Peguam: Polis kawal rapi bedah siasat Sugumar

[MK] Sekumpulan polis mengawal ketat kawasan rumah mayat Hospital Serdang hari ini ketika bedah siasat dijalankan ke atas seorang lelaki yang ditemui mati dalam keadaan bergari pada malam semalam.

Peguam PKR Latheefa Koya berkata, kira-kira 20 orang termasuk empat anggota polis bersenjatakan M-16 mengawal kawasan tersebut yang dipenuhi anggota keluarga si mati.

Katanya, anggota keluarga berkenaan menunggu untuk mengecam mayat Sugumar Chelliah, 40, semenjak diberitahu mengenai kematian lelaki tersebut, lewat malam semalam.

Latheefa mendakwa, saksi melihat sekumpulan individu memukul Sugumar sehingga membawa kepada kematian lelaki tersebut dalam kejadian pada kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Sementara itu, satu laporan laman berita The Malaysian Insider yang memetik kenyataan saksi menyebut sekurang-kurangnya empat anggota polis terlibat mengejar Sugumaran dan seterusnya menahan dan menggari lelaki tersebut dalam kejadian itu.

Laporan itu menyebut, seramai 20 orang yang lain kemudiannya didakwa menyertai anggota polis berkenaan dan memukul Sugumaran.

Mengulas dakwaan berkenaan, Latheefa berkata beliau menuntut agar anggota polis yang didakwa terlibat dalam kejadian itu tindakan tegas.

Turut hadir bersama keluarga mangsa hari ini ialah naib presiden PKR N Surendran dan MP Kapar M Manikavasagam.

Surendran berkata, Manikavasagam yang turut masuk ke bilik bayat untuk mengecam mayat Sugumar mendapati tangan si mati masih bergari.Sementara itu, ketua polis daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau akan mengadakan sidang media pada malam ini.

Beliau dijangka akan menjelaskan rentetan kejadian yang berlaku pada malam semalam, sehingga membawa kepada kematian Sugumar di kawasan taman perumahan di Hulu Langat itu.