Pemuda Dipercayai Mati Dibunuh Kerana Cicak Tokek RM1 Juta
[Bernama] SHAH ALAM: Pemuda yang ditemui mati di dalam sebuah kereta yang separuh tenggelam di sebuah lombong di Jalan Rantau Panjang Bestari Jaya pada 30 Ogos lepas disyaki dibunuh kerana seekor cicak tokek yang dianggarkan bernilai RM1 juta di pasaran gelap.
Berikutan itu, polis menahan secara berperingkat 16 lelaki di sekitar Selangor dan hilir Perak dari 1 September sehingga hari ini dan pemilik cicak tokek iaitu seorang wanita berumur 60 tahun di Kuala Selangor hari ini berhubung kes pembunuhan Syairul Helmi Azhar, 24.
Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan dalam sidang media di sini hari ini berkata, suspek itu dipercayai diupah wanita berkenaan untuk mengesan Syairul yang dikatakan menghilangkan diri selepas diamanahkan untuk menjaga dan mencari pembeli berpotensi cicak tokek itu.
Suspek dikatakan berjaya mengesan Syairul lalu berlaku pergaduhan sebelum seorang daripada suspek melepaskan tembakan ke arah mangsa daripada senjata buatan sendiri yang mengenai rusuk kanan simati.
Mohd Shukri berkata polis turut merampas pelbagai barangan termasuk satu batang paip besi menyerupai selaras senjata buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa, sebuah beg hitam, kain putih, enam peluru hidup, tiga kelongsong peluru, sembilan telefon bimbit pelbagai jenis, pemutar skru dan playar.
"Kita belum menemui cicak tokek yang dikatakan itu," katanya. -11/9/13
Berkaitan:
Cicak Gecko Bernilai RM1 Juta Tidak Ditemui Tetapi Pencurinya Ditemui Mati Ditembak
[Mstar] SHAH ALAM: Seorang lelaki yang melarikan seekor cicak gecko yang ditafsirkan bernilai RM1 juta telah ditemui mati ditembak tetapi cicak tersebut masih belum ditemui.
Cicak yang dipercayai dapat dijadikan ramuan yang mampu memyembuh pelbagai penyakit termasuk jangkitan HIV telah dilarikan oleh mangsa setelah ia diserahkan oleh seorang usahawan wanita yang dikatakan pemilik cicak tersebut.
Wanita tersebut menyerahkan cicak itu kepada mangsa setelah dia diyakinkan yang mangsa mampu menjadi pembeli yang berpotensi.
Ketua Polis Selangor, Timbalan Komisioner Kanan Polis, Datuk Mohd Shukri Dahlan memberitahu, lelaki berkenaan telah ditemui terkulai di dalam sebuah kereta berhampiran sebuah kilang minuman dekat sini pada 30 Ogos lalu dengan kesan tembakan ditemui pada anggotanya.
Ekoran kejadian itu polis telah berjaya menahan 16 orang suspek berusia antara 21 hingga 60 untuk membantu siasatan.
Katanya lagi, hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan dibunuh kerana mencuri cicak gecko tersebut selepas dikatakan mampu mencari pembeli yang berpotensi.
“Pada masa yang sama kami juga berjaya menahan seorang usahawan wanita berusia 60 tahun yang kami percaya telah mengupah seseorang untuk mencari dan membunuh pencuri cicak gecko berkenaan," katanya kepada para wartawan pada Selasa.
Menurut Mohd Sukri, usahawan wanita itu yang dipercayai pemilik cicak berkenaan memberitahu pihak polis yang dia bersetuju untuk menyerahkan reptilia itu kepada mangsa setelah mangsa menyakinkan yang dia mampu mencari pembeli berpotensi.
Malangnya mangsa telah melarikan cicak tersebut.
Mohd Shukri berkata, suspek yang diupah oleh usahawan wanita tersebut untuk menjejaki mangsa, berjaya menemuinya tetapi telah berlaku pergaduhan yang kemudiannya salah seorang daripada mereka menembak mangsa.
Hasil penangkapan yang dilakukan, polis telah menemui batang besi, enam butir peluru hidup, tiga kelongsong peluru, sembilan buah telefon bimbit dan pemutar skru.
Bagaimanapun sehingga kini, cicak gecko yang berharga RM 1 juta itu masih belum ditemui. -11/9/13
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.