[PANAS] Harussani: Darah Peserta TURUN "Halal"
Harussani: Peserta Demo 'Bughah', Halal Darah
[MK] Mutfi Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sepatutnya semua peserta perhimpunan pada 31 Disember lalu ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan “dihalalkan darah golonganbughah (pemberontak)”.
“Sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari hukum syarak, dihalalkan darah golongan bughah,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Harian itu juga melaporkan, mufti itu membidas pembabitan pembangkang, khususnya PAS dalam perhimpunan 'haram' malam kelmarin yang disifatkannya cuba berlagak alim tetapi didakwanya tidak memahami al-Quran.
Sambil melabelkan peserta perhimpunan itu sebagai bughah, beliau dilaporkan berkata, haram bagi mana-mana pihak menyertai perhimpunan itu.
“Pemimpin PAS menyertai perhimpunan itu kerana mereka gagal memahami al-Quran,” katanya lagi seperti dilaporkan Berita Harian.
Harussani juga dilaporkan berkata, kerajaan terlalu bertoleransi sehingga menunjukkan kelemahan mereka kepada pihak yang menentang.
“Kerajaan British juga tidak pernah tunduk kepada penunjuk perasaan. Jadi kenapa kerajaan selepas merdeka perlu akur dengan tekanan mereka,” beliau dipetik sebagai berkata. - 2/1/14
Respons:
Mahasiswa Islam Desak Mufti Perak Minta Maaf atas Kenyataan Darah Peserta Turun ‘Halal’
[TMI] Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) mendesak Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) memohon maaf kepada rakyat kerana melabelkan para peserta perhimpunan ambang Tahun Baru yang lalu sebagai 'bughah' atau pemberontak.
"Jangan hanya tahu salahkan rakyat semata-mata," kata Presiden PMIUM, Mohd Bukhairy Sofian dalam kenyataannya.
Harussani sebelum ini berkata peserta perhimpunan pada 31 Disember lalu perlu ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan, sambil berkata darah mereka “dihalalkan" kerana tergolong dalam kategori pemberontak.
“Sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari hukum syarak, dihalalkan darah golongan bughah,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Mufti itu juga membidas pembabitan pembangkang, khususnya PAS, dalam perhimpunan “haram” malam kelmarin, yang disifatkannya cuba berlagak alim tetapi tidak memahami al-Quran.
Beliau juga dilaporkan berkata bahawa adalah haram bagi mana-mana pihak menyertai perhimpunan itu.
Bukhairy bagaimanapun berkata tujuan himpunan adalah untuk memberi isyarat kepada kerajaan rakyat terbeban dengan kenaikan harga barang, bukannya mengguling kerajaan.
"Kalau guling kerajaan yang adil barulah bughah (pemberontak) namanya di dalam Islam," katanya.
Beliau bertanya, dalam keadaan negara yang menanggung hutang yang banyak, pembaziran terus berlaku,
"Adakah mufti tidak nampak perkara ini. Adakah itu tidak zalim?"
Bukhairy juga mempersoalkan pendirian mufti itu berkenaan peruntukan untuk konsert di Dataran Merdeka sebanyak RM15 juta.
"Adakah mufti melihat ini sebagai langkah bijak menyambut tahun baru?" soalnya.
Bagi beliau, mufti harus berfungsi menasihati pemerintah, bukan mengampu semata-mata.
"Orang di bawah dan rakyat begitu susah untuk mendapat sesuap nasi. Mereka tidak ada elaun dan dibayar gaji seperti mufti," tambahnya. – 2 Januari, 2014.
Ulama PAS Kecam Harussani ‘Sangat Jahil’ Selepas ‘Fatwa’ Darah Halal ke atas Peserta Himpunan
[TMI] Kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang melabel peserta perhimpunan anti-kenaikan harga baru-baru ini sebagai pemberontak yang halal darah mereka terus dikecam, termasuk oleh Dewan Ulama PAS.
"Sangat jahil seorang mufti yang mengkategorikan mereka ini sebagai pemberontak. Lebih malang dan merbahaya apabila darah demonstrator ini pula diisytiharkan sebagai halal darah.
"Ia merupakan kenyataan yang sangat berbahaya yang boleh membawa kepada huru-hara kepada negara dan tergugatnya keharmonian antara rakyat," kata ketua penerangan Dewan Ulama PAS, Khairudin Aman Razali.
Khairudin berkata kenyataan Harussani itu amat mendukacitakan kerana ia menggambarkan kegagalan seorang mufti memahami hukum "bughah" dalam Islam.
Harussani sebelum ini dilaporkan berkata peserta perhimpunan di Dataran Merdeka pada 31 Disember lalu perlu ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan, sambil berkata darah mereka “dihalalkan" kerana tergolong dalam kategori "bughah", atau pemberontak.
“Sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari hukum syarak, dihalalkan darah golongan bughah,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Bagi Khairudin, kenyataan itu menyeleweng dari hukum Islam dan sangat menyesatkan.
Ahli parlimen Kuala Nerus itu menjelaskan bahawa dalam Islam, 'bughah' atau pemberontak merujuk kepada penentangan bersenjata oleh rakyat terhadap kerajaan Islam, dan termasuk salah satu kesalahan jenayah hudud.
"Adakah peserta perhimpunan 31 Disember 2013 turun berhimpun dengan senjata menentang pemerintah?" tanya beliau dalam kenyataannya.
Lagipun, katanya, takrifan pemberontak dalam perlembagaan Malaysia merujuk kepada melancarkan peperangan terhadap Yang diPertuan Agong.
Katanya, para peserta perhimpunan malam Selasa lepas hanya turun dengan membawa sepanduk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap urus tadbir negara yang membawa kepada peningkatan kos hidup.
"Saya menyeru seluruh pihak yang prihatin terhadap keamanan bernegara dan keharmonian bermasyarakat membantah kenyataan-kenyataan songsang seumpama ini," kata Khairudin, sambil berkata "fatwa" yang dikeluarkan Harussani itu dibimbangi membawa kepada pertumpahan darah sesama rakyat. - 2 Januari, 2014.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.