DAP Tentang Hudud tetapi Tidak Anti-Islam - Kit Siang
DAP tidak bersikap anti Islam apabila menentang hudud dilaksanakan di negeri Kelantan kerana bantahan itu dibuat berdasarkan pertentangannya dengan Perlembagaan Persekutuan, kata Lim Kit Siang.
Beliau juga mengakui DAP berusaha memahami isu hudud dengan menghantar rombongan ke negara Islam di Timur Tengah dan beliau sendiri membaca buku tulisan sarjana dan ulama Islam mengenainya.
"Kami ke Jordan dan Mesir berjumpa pelajar-pelajar kita di sana serta berbincang dengan tokoh-tokoh Islam.
"Di Jordan dan Mesir juga, yang majoriti umat Islamnya sangat tinggi, tidak ada hudud. Dan ada debat di sana (mengenai) patutkah utamakan hudud atau tidak," katanya di Kota Baru malam tadi.
Ketua ahli Parlimen DAP itu berkata demikian pada satu program ceramah anjuran PAS Kota Baru yang turut dihadiri timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dan setiausaha agung PKR Rafizi Ramli.
Lim berkata, DAP menolak pelaksanaan hudud kerana ia tidak sesuai di Malaysia yang bermasyarakat majmuk dan ada perlembagaan yang perlu dipatuhi.
Katanya, selain beliau, turut serta dalam rombongan ke Timur Tengah itu ialah tiga lagi ahli Parlimen DAP iaitu Zairil Khir Johari, Teresa Kok dan Sim Tze Tsim.
Beliau berkata, difahamkan dari pembacaannya, ramai sarjana dan ulama Islam yang berpendapat hudud hanya sebahagian kecil undang-undang syariah, dan ada syarat yang perlu dipenuhi sebelum melaksanakannya.
"Dr Yusof Qardawi, ketua ulama Islam sedunia juga ada berpendapat kalau semua undang-undang syariah tidak boleh dilaksanakan, maka hudud belum sampai masanya untuk dilaksanakan," kata Lim.
Baginya, masalah dalam Pakatan Rakyat (PR) sekarang bukan soal hudud, tetapi soal sama ada parti di dalamnya boleh menunaikan janji atau tidak ketika penubuhan PR.
"Kita bersetuju mengenai dasar bersama mengenai masa depan menyelamatkan Malaysia, iaitu mengembalikan demokrasi, keadilan dan mendapatkan negara yang adil dan makmur," katanya.
Sehubungan itu, katanya, tempoh sebulan dua ini amat penting dalam menentukan masa depan PR.
Tanpa memperjelaskannya, Lim dipercayai merujuk kepada Muktamar PAS ke-61 yang akan berlangsung awal bulan depan, dipercayai bakal menentukan sikap PAS terhadap kerjasamanya dalam PR.
Perwakilan PAS juga akan membuat pemilihan kepimpinannya yang bakal menentukan hala tuju parti Islam itu pada masa depan, sama ada kukuh bersama PR atau mencari jalan sendiri.
DAP sebelum ini mengambil keputusan memutuskan hubungannya dengan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang namun mengekalkan kerjasama dengan parti itu dalam PR. – The Malaysian Insider/11 Mei, 2015.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.