[BAHAYA] Isu Negara Kristian: PERKASA Ugut Lancarkan Jihad
Saya petik:
[TMI] GOMBAK, 15 Mei — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali malam tadi memberi komuniti Kristian amaran bahawa beliau akan melancarkan “perang jihad” jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam negara ini.
Bercakap di hadapan sekitar 200 hadirin pada satu ceramah di Kampung Changkat di sini, Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini berkata, beliau (gambar) bersedia untuk jatuh atas kenyataannya itu demi mempertahankan maruah Islam.
Meskipun mengadu keletihan ekoran sembilan ceramah bermula dari Kelantan sejak malam kelmarin, Ibrahim juga berkata, darahnya sedang mendidih ekoran laporan terbaru kononnya wujud konspirasi antara pengikut Kristian dengan pemimpin-pemimpin agama dan ahli politik pembangkang.
“Di Kelantan sebelum ini, saya mengisytiharkan di depan polis, saya memberitahu pasukan keselamatan yang hadir bahawa jika mereka mahu menghantar mesej saya kepada (ibu pejabat polis) Bukit Aman, silakan.
“Sila rakamkan kata-kata saya, jika ada mana-mana pihak di Pulau Pinang khususnya paderi-paderi Kristian yang didokong oleh DAP Pulau Pinang, jika mereka terus dengan agenda mereka yang sudah pun diketahui sekarang, saya bersedia untuk menawarkan, jika mereka mahukan perang salib, kami boleh adakan.
“Ini selari dengan semangat Sultan Saladin Ayubi... jika mereka adakan perang salib, kami boleh,” kata ketua pertubuhan bukan kerajaan ini, yang mendakwa bergerak atas platform mahu membela kepentingan dan hak kaum Melayu.
Dalam ucapannya, Ibrahim juga memberi amaran agar bukan Islam tidak memandang mudah sikap berdiam diri umat Islam sambil menegaskan, umat Islam sebenarnya mengutamakan keamanan dan keharmonian.
“Kami sudah bersedia. Berdiam diri bukan bermakna kami takut, kami telah berdiam diri sebab kami utamakan keamanan dan keharmonian.
“Tetapi orang-orang ini, jika mereka merasakan keamanan yang mereka nikmati selama ini tidak cukup atau kestabilan dan kemajuan negara tidak cukup dan mereka mahu melakukan sesuatu yang kita tidak pernah terfikir, teruskan... kami bersedia,” katanya lagi.
Ibrahim mendakwa bukan Muslim kini seolah-olah berani dan tidak risau untuk bertindak sedemikian kerana mereka merasakan ada sokongan daripada ramai Muslim liberal dan pemimpin-pemimpin politik seperti Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Ini pandangan saya. Jika saya tidak tepat, ia hak saya. Jika saya kasar, saya minta maaf. Dosa saya, saya tanggung.
“Tetapi mengapa ini berlaku sekarang selepas 53 tahun? Jawapannya anda tahu, punca utama ialah Anwar,” katanya lagi.
Ucapan Ibrahim kali ini berkisar pada kontroversi terbaru ekoran laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian agama rasmi?” pada 7 Mei lalu, mendakwa paderi-paderi Kristian dan pemimpin-pemimpin DAP berkonspirasi mahu memansuhkan Islam sebagai agama persekutuan dan melantik orang Kristian sebagai perdana menteri.
P/s: Bahaya! Kerajaan, NGO, parti politik, dan pihak berkuasa "main wayang" dalam isu ini. Penduduk kampung yang tidak tahu apa-apa tentang wayang ini mungkin terpengaruh dan melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya. Bahaya! Kalau terjadi begitu, sudah tentu kita tahu siapa yang perlu dipertanggungjawabkan.


Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.