Hudud: Mohd Amar, Takiyuddin Perlu Bertanggungjawab
KOTA BHARU - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menyarankan dua individu penting dalam perlaksanaan hukum hudud di Kelantan bertanggungjawab kerana hingga kini gagal membawa usul pindaan Akta 355 ke Parlimen.
Husam berkata, dua individu terbabit, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.
Menurutnya, kedua-dua mereka perlu bertanggungjawab dengan melepaskan jawatan masing-masing sekiranya gagal memberi penjelasan.
“Saya mahu tiga individu itu dengan dikecualikan Presiden supaya bertanggungjawab dan harus memikul bebanan ini. Takiyuddin kalau tidak boleh jelaskan perkara ini boleh berhenti, letak jawatan kerana dia kena bertanggungjawab. Datuk Nik Amar kalau dia terbabit dia mesti letak jawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff pada Forum Akta 355 dan Hudud di Malaysia di Tunjong Banquet di sini, malam kelmarin.
Selain Husam turut menjadi panel forum itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara ( Amanah) Kelantan, Che Ibrahim Mohamed, Ketua Exco Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wan Ji Wan Yusoff dan pakar undang-undang yang juga ahli DAP, Prof Dr Abdul Aziz Bari.
Mohd Amar merupakan Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah manakala Takiyuddin merupakan Ketua Sekretariat Tetap Hudud Negeri.
Terdahulu Husam yang juga Adun Salor mendakwa matlamat melaksanakan hukum hudud di Kelantan hanya mainan politik Pas dan Umno.
Menjelaskan dakwaan itu, Husam berkata, pada 18 Mac tahun lalu terdapat seorang wakil kerajaan Pusat datang ke pejabat kerajaan negeri untuk memaklumkan usul berkenaan boleh dibawa ke Parlimen dan meminta Presiden Pas ketika itu membawa usul itu dengan serta-merta.
“Yang datang 18 Mac adalah wakil sorang menteri bawa cadangan serta merta, perkara itu tidak dimaklumkan kepada Pas Pusat dan dua individu tersebut terbabit dengan perbincangan itu adalah mungkin Datuk Mohd Amar dan Datuk Takiyuddin.
“Saya sempat berjumpa presiden di rumahnya dan beliau (Abdul Hadi) memberi keyakinan bahawa Kerajaan Pusat mengatakan usul tersebut boleh dibentangkan di Parlimen pada April (2015).
“Bagaimana agenda sebesar itu hanya dibincangkannya dengan tiga orang sahaja dan akhirnya hari ini kita tidak dengar apa-apa. Sudah jelas yang menentukan perkara ini bukan Pas Pusat sebaliknya tiga individu berkenaan,” katanya.
Dalam sidang medianya, Husam berkata, dengan menggunakan modal hudud, Umno berjaya memecahkan Pakatan Rakyat sekali gus merencatkan usaha pembangkang untuk menawan Putrajaya.
Malah, beliau tidak menolak negeri dimiliki pembangkang seperti Kelantan boleh terlepas setelah pergolakan dalaman yang menyaksikan Pas terpaksa bersendirian. - Sinar Harian
Berkaitan:
KETUA PEMUDA PAS KELANTAN GAGAL FAHAM ISU
Komen balas saya pada kenyataan Saudara Fadli Shaari hari ni:
1. Pemuda Pas Kelantan gagal fahami isu.
2. Di bawah konsep accountability yang juga satu dari teras Membangun Bersama Islam, seseorang pemimpin perlu memikul kesan kegagalan tindakannya, apa lagi bila tindakan itu diambil secara bersendirian dan tidak dirujuk pada organisasi.
3. Sefaham saya, menerusi roadmap pelaksanaan undang-undang syariah oleh Jawatan Kuasa Teknikal Bersama Negeri dan Pusat, tidak ada cadangan bill persendirian 355 diputuskan.
3. Ini bermakna apabila ada individu yang mempengaruhi Presiden Pas untuk membawa usul persendirian itu dan langsung tidak dirujuk pada parti terlebih dahulu, mereka perlu bertanggung jawab atas kegagalan bill itu dibentangkan seperti dijanjikan sampai hari ini.
4. Bahkan, membawa usul secara pra matang telah melenyapkan atau merosakkan roadmap asal.
Ia lebih membawa kegagalan berbanding kejayaan.
5. Tindakan tergesa-gesa itu lebih bersifat riya' dan agenda peribadi.
6. Sudah hampir setahun berlalu sejak usul persendirian itu difailkan tetapi ternyata hingga kini, ia gagal dibentangkan.
Ini menunjukkan, tidaklah rugi jika tindakan itu ditangguhkan pada masa itu dan dibincangkan secara lebih masak dan diputuskan secara kolektif.
7. Ketua Pemuda Pas Kelantan seolah anak kecil yang belum lepas susuan dan berteriak takut-takut botol susuannya tidak bersambung.
Anda gagal menarik minat anak muda yang kritis dan juga gagal mempamirkan sikap pemuda Islam yang menilai sesuatu berdasarkan neraca kebenaran dan bukannya asobiyyah kelompok.
9. Saya hairan, jika Ketua Pemuda Pas berani, kenapa beliau tidak hadhir mewakili Kerajaan Negeri dalam forum itu.
Husam Musa
21 Rabiul Akhir 1437/31 Januari 2016
+++++++++++++++++++++++++
Pemuda Pas mahu Husam letak jawatan
WARTAWAN SINAR HARIAN
31 JANUARI 2016
KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan membuat serangan balas dengan menggesa bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa meletak jawatan sebagai Adun Salor dan Yang Dipertua Pas Kubang Kerian.
Kenyataan dibuat setelah Husam membuat gesaan supaya dua pemimpin, Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bertanggungjawab termasuk mempertimbangkan meletak jawatan dalam parti setelah gagal membawa usul pindaan Akta 355 di Parlimen.
Ketua Pemuda Pas Kelantan, Fadli Shaari berkata, Husam perlu meletak dua jawatan itu kerana tidak lagi membantu untuk mengukuh kerajaan dan parti.
"Hakikatnya desakan beliau agar Datuk Mohd Amar dan Datuk Takiyuddin meletak jawatan hanya untuk menarik perhatian orang ramai sahaja," katanya.
Fadli yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat berkata, Husam sendiri sudah menyedari beliau bukan lagi relevan dalam arus politik semasa.
Kekhilafan Sekitar Pelaksanaan 'Hudud' Melalui Usul Bil Persendirian Akta 355
1. Membawa usul meminda Akta 355 menerusi Bil Persendirian adalah tindakan di luar keputusan Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah Persekutuan (Bersama Pusat Dan Negeri).
Kenapa tindakan di luar keputusan Jawatankuasa Teknikal Bersama itu dibuat?
Adakah Saudara Mohd Amar dan Saudara Taki tahu dan faham apa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa berkenaan?
Jika anda tahu, mengapa anda berdua tidak menasihati Presiden supaya tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ketetapan Jawatankuasa berkenaan?
Anda lebih hebat dari mereka?
Anda tidak merujuk lebih dahulu kepada anggota Jawatankuasa berkenaan?
Kenapa?
2. Usul dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat tanpa dirundingi mahu pun dimaklumkan kepada mana-mana peringkat Pas Pusat, melainkan Presiden yang juga MP Marang yang telah dinasihatkan sebagai pembawa usul.
Oleh kerana itu, tindakan sedemikian tidak dapat diberikan pandangan kedua.
Bagaimana kegagalannya, jika berlaku, hendak dikongsikan dengan parti atau orang lain pada hal ia dibuat secara pintu belakang?
Sehinggakan draf usul itu sendiri mempunyai kesalahan berkait samada kuasa yang hendak dipinda terletak di bawah Senarai Pertama atau Senarai Kedua Jadual Kesembilan Perlembagaan Malaysia!
Salah se orang Penolong SUA Pas di waktu itu telah memainkan peranan merangka draf itu, mendapatkan tandangan Presiden dan menyerahkan usul itu ke Parlimen.
Pakar undang-undang juga tidak dirujuk.
3. Kesegeraan itu berlaku kerana dua orang pemimpin Kelantan telah didatangi oleh wakil salah se orang Menteri Pusat yang memberi jaminan usul itu akan diizinkan untuk dibentangkan dalam sidang Parlimen yang sedang berjalan di waktu itu, Mac/ April 2015.
Kedatangan wakil Menteri membawa pesan Menteri untuk bertindak sedemikian ialah sewaktu sidang Dun Kelantan untuk pembentangan Enakmen Jenayah Syariah II(1993) 2015 sedang berjalan pada tarikh 17 hingga 19 Mac.
Sebaik pindaan dibawa iaitu pada 18 Mac, draf usul itu terus ditandatangani!
5. Bahkan, Bil Persendirian berkenaan terus dibawa tanpa menunggu Enakmen yang baru diluluskan itu digazetkan terlebih dahulu.
Satu kegopohan luar biasa tetapi setakat ini, berakhir dengan ketidaksampaian.
5. Sefaham saya, Jawatankuasa Teknikal Bersama Pusat Dan Negeri menetapkan pindaan Akta 355 hendaklah dibawa oleh Menteri atas nama Kerajaan Pusat selepas mendapat perkenan Raja-Raja terlebih dahulu.
Tujuan pindaan diputuskan dibentangkan oleh Menteri atau atas nama Kerajaan Pusat kerana beberapa pertimbangan, yang saya tidak akan panjangkan di sini atas dasar kemaslahatan jangka panjang.
Pertimbangan dan pandangan yang hampir sama telah timbul semasa mesyuarat Pas Pusat.
Termasuk, cukup bilangan MP yang menyokong, perkenan Raja-Raja dan laluan yang paling tepat, berhemah, bukan untuk political mileage dll.
Adakah individu-individu terlibat tidak merasa bersalah kerana mengabaikan pandangan jamaah mereka sendiri?
Selain membelakangkan keputusan Jawatankuasa Teknikal Bersama.
Jika pandangan mereka lebih tepat, kenapa sampai kini usaha itu nampaknya tidak kesampaian?
6. Bagaimana Presiden pada waktu itu begitu yakin usul yang dibawanya akan diizinkan untuk dibentangkan?
Melainkan ada pihak yang memberikan keyakinan itu kepada beliau.
Keyakinan itu sudah pasti dalam bentuk pihak berautoriti dari Kerajaan Pusat.
Soalnya:
A. Siapa pemimpin Pas yang memberikan info tidak tepat dan memberikan keyakinan yang tidak benar itu kepada Presiden?
B. Dari mana pemimpin Pas berkenaan mendapatkan jaminan itu?
C. Apa bentuk jaminan itu? Bertulis, lisan atau apa?
D. Ketepatan atau kekhilafan pemimpin atau pemimpin-pemimpin itu menilai jaminan yang diberi
E. Apakah wujud tipu daya politik dalam jaminan itu?
F. Jika ia tipu daya politik, siapa perlu bertanggung jawab kerana terperangkap dengan tipu daya itu?
7. Usul Bil Persendirian meminda Akta 355 tidak boleh bersandar atas 'tugas kita berusaha membentangkan sahaja. Berjaya atau gagal dibawa bukan tanggungjawab kita' kerana senario dan keadaan adalah berbeza dari Bil Persendirian mengenai isu yang sama yang pernah dibawa oleh MP Marang tidak lama dulu.
Premis kini, adanya laluan oleh Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Umno berikutan wujudnya Jawatankuasa Teknikal Bersama dan semangat yang ianya akan berjaya yang telah ditunjukkan oleh ucapan sekian ramai pimpinan Pas Pusat.
'Nak beli rempah kena pergi kedai rempah......', katanya.
8. Implikasi dari membawa Bil Persendirian Akta 355 adalah besar;
A. Mesyuarat Jawatankuasa Bersama terus terhenti sejak usul MP Marang dimasukkan.
Kenapa?
Mesyuarat terakhir Jawatankuasa berkenaan adalah pada 12 - 14 Februari 2015, iaitu kira-kira sebulan sebelum Sidang Dun Kelantan pada bulan Mac tahun itu.
Sejak itu, Jawatankuasa berkenaan tidak lagi bersidang.
Pada hemat saya adalah kerana kekecewaan sesetengah pihak atas kegopohan Pas yang mungkin didorong oleh pertimbangan politik yang singkat.
Sesuatu yang malang.
B. Pas dilihat begitu mudah dipermainkan.
C. Tindakan Pas dilihat tidak matang.
9. Meletakkan jawatan sebagai cagaran atas gagal berjalannya Enakmen Jenayah Syariah yang diwar-warkan sebagai Hudud bukan ciptaan saya.
Ia adalah janji Saudara MB Kelantan sendiri.
Saya tidak menggesa beliau menunaikan janjinya atas dasar ada orang lain yang lebih ke depan mengambil peranan sehingga apa yang direncanakan gagal pada waktu ini.
Namun, jika orang itu enggan meletakkan jawatan dan enggan pula mengambil tanggungjawab atas kegagalan yang ditempah atas salah perhitungan mereka sendiri, saya tidak dapat berbuat apa-apa.
10. Ada pun isu-isu lain yang dibangkitkan oleh Saudara Mohd Amar Dan Saudara Taki, saya letakkan respon saya dalam helai yang lain untuk lebih mudah isu ini dinilai dengan pertimbangan yang lebih 'cool'.
Husam Musa
22 Rabiul Akhir 1437/
1 Februari 2016
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.