Tun Mahathir, Tun Siti Hasmah Keluar Umno dalam Protes
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengisytiharkan keluar Umno buat kali kedua sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata membuat keputusan itu kerana Umno bukan lagi Umno dan hanya menjadi parti untuk mempertahankan Najib sebagai presidennya.
“Saya tidak boleh jadi anggota untuk parti sebegini,” katanya dalam sidang media di di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, beliau akan berada di luar Umno selagi Najib memimpin parti itu.
Mahathir berkata tindakan itu terpaksa diambil kerana sayangkan negara ini.
Beliau pada 19 Mei 2008 pernah melakukan tindakan sama sebagai tanda protes kepada pentadbiran perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Mahathir menyertai Umno semula pada 2009 selepas Abdullah berundur.
Reuters melaporkan beliau sebagai berkata tidak akan membentuk sebuah parti baru mahupun menyertai mana-mana parti.
Selain Mahathir, turut meninggalkan Umno hari ini adalah isterinya,Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan bekas pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Mahathir antara pemimpin yang lantang mengkritik pentadbiran Najib, terutamanya dalam isu syarikat pelaburan negara 1MDB yang sarat hutang.
Baru-baru ini anak beliau Datuk Seri Muhkriz juga digugurkan sebagai menteri besar Kedah, tindakan yang dilihat sebagai reaksi balas kem pro-Najib.
Kedudukan Najib kini dilihat semakin mencengkam dalam Umno dan kerajaan, terutamanya selepas peguam negara membersihkannya daripada sebarang salah laku dalam kes derma RM2.6 bilion ke dalam akaunnya dan SRC International.
Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dilihat hampir senada dengan Mahathir, juga telah digantung daripada jawatannya minggu lalu.-Malaysia Kini/29/2/16
Berkaitan:
Mahathir Harap Muhyiddin Juga Keluar Umno
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengikuti jejak langkahnya dan meninggalkan parti itu.
"Saya harap begitu," kata Mahathir ketika ditanya sama ada Muhyiddin patut meninggalkan Umno sebagai bantahan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Mahathir, beliau akan berada di luar Umno selagi Najib memimpin parti itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.
Selain Mahathir, turut meninggalkan Umno hari ini adalah isterinya,Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan bekas pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Jumaat lalu, Majlis Tertinggi Umno menggantung Muhyiddin sebagai timbalan presiden kerana terus lantang menentang presiden parti Datuk Seri Najib Razak.
Sebelum ini, tujuh blan lalu, Najib memecatnya sebagai timbalan perdana menteri kerana mempertikaikan cara isu 1MDB ditangani.
Bercakap pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu jika tindakannya akan mendorong orang lain untuk keluar parti, tetapi tidak akan menghalang mereka daripada berbuat demikian.
Sejurus selepas sidang akhbarnya, bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan turut mengumumkan bahawa beliau akan keluar Umno.
Sementara itu, Gerakan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) memberitahu pemberita bahawa mereka akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini untuk membuat keputusan sama ada untuk kekal bersama parti.
GKCM mendakwa mempunyai lebih 400 ahli di seluruh negara. - Malaysia Kini/29/2/16
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.