Klik "LIKE" Untuk Terima Kemas Kini DCM di Facebook. Klik Butang "LIKE" di Bawah

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets

Rakan DUNIACACAMARBA

Rakan DUNIACACAMARBA

Jadi Rakan TM

Follow tayadihmaysia on Twitter

BAGASI KIRIMAN POPULAR

Iklan & Tawaran

1. Mari sertai ChurpChurp, berinteraksi bersama-sama dengan taulan sambil menjanakan pendapatan, Percuma! Lanjut sila klik di sini.





Advertlet Hutang DCM RM1710

Advertlet Hutang DCM RM1710
Review http://duniacacamarba2.blogspot.com/ on alexa.com

Sponsored Ads

Cerita UG- Kerajaan Perpaduang

Agenda Unity Government (UG). Apa progresnya selepas ketiadaan TGNA?Video lain:1....

Posted by DUNIACACAMARBA on Saturday, October 17, 2015

Memaparkan catatan dengan label keluar parti. Papar semua catatan

, ,

Isnin, 4 Julai 2016

Shafie Apdal Umum Keluar Umno



Naib presiden Umno yang digantung keahliannya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan keluar daripada parti itu.

Beliau yang juga adalah ahli parlimen Semporna berkata, keputusan itu dibuat berikutan tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menggantung keahliannya pada 24 Jun lalu.

"Perjuangan kita akan diteruskan di bumi Sabah ini. Perjuangan kita akan diteruskan di Sabah dan di Semenanjung untuk membela bangsa dan negara.

"Saya mohon ampun dan maaf sekiranya ada kesilapan saya, salah laku saya selama saya memimpin Umno ini," katanya.

Keputusan itu diumumkan di hadapan ribuan penyokongnya di dewan di perkarangan rumahnya di Kampung Bubul Lama, Semporna Sabah, hari ini.

Ini kali pertama beliau kembali ke Semporna sejak digantung keahlian Umno selepas pulang daripada menunaikan ibadat umrah.

"Saya dah fikir panjang, tuan-tuan nak saya letak jawatan. Selama ini saya bertahan, bersabar.

"Jadi saya berhenti serta-merta. Saya sayang Umno, tapi jangan hina saya, jangan zalimi saya dalam Umno," katanya.

Bismillahirrahmanirrahim, saya Mohd Shafie bin Hj Apdal, pada hari ini (4/7/2016), dgn rasminya mengumumkan keluar UMNO serta-merta.
MT juga sebulat suara memutuskan timbalan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat daripada parti.

Berikutan keputusan itu, pada 27 Jun lalu, naib ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Jaujan Sambakong mengumumkan keluar parti bersama tiga ketua sayap dan 300 ketua cawangan.

Julai tahun lalu, Shafie dilucutkan sebagai menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.. -Malaysia Kini/4/7/2016





,

Selasa, 28 Jun 2016

300 Ketua Cawangan Umno Semporna Keluar Parti



SEMPORNA: Naib Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Dr Jaujan Sambakong hari ini mengumumkan keluar parti.

Turut mengambil tindakan sama ialah tiga ketua sayap iaitu Ketua Pemuda Mohd Aziz Jamman, Ketua Wanita Manis Muka Dara dan Ketua Puteri Zakiah Kalipunya (nafi) dan 300 ketua cawangan bahagian itu.

Keputusan itu dibuat mereka selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian itu di sini yang dipengerusikan Jaujan yang juga Adun Sulabayan.

Pada sidang media, Jaujan berkata keputusan itu dibuat susulan tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat lepas menggantung keahlian Naib Presiden Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.

Beliau berkata Shafie tidak diberi peluang membela diri dengan diberikan surat tunjuk sebab terlebih dalu sebelum MT membuat keputusan menggantung keahliannya.

Bagaimanapun, Shafie tidak hadir pada mesyuarat itu kerana sedang mengerjakan umrah. Turut tidak hadir Timbalan Ketua Bahagian Datuk Nasir Tun Sakaran.

Umno Bahagian Semporna mempunyai 481 ketua cawangan. -BERNAMA/27/6/2016

Berkaitan:

‘Hanya 150-200 ketua cawangan keluar Umno’

 June 28, 2016

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Nasir Sakaran menyangkal laporan 300 ketua cawangan di bahagian itu keluar parti, sebaliknya sekitar 150 hingga 200 ketua cawangan sahaja yang berbuat demikian.

Nasir dalam satu kenyataan turut menyifatkan ketua-ketua cawangan terbabit bertindak berdasarkan emosi tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Semalam, dilaporkan Naib Ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Dr Jaujan Sambakong bersama tiga ketua sayap dan 300 daripada 481 ketua cawangan di bahagian itu mengumumkan keluar parti.

Ia susulan tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung keanggotaan Ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Jumaat lalu.

Jaujan dilaporkan sebagai berkata, Shafie tidak diberi peluang membela diri dengan diberikan surat tunjuk sebab terlebih dahulu, sebelum MT membuat keputusan menggantung keanggotaannya.

Nasir turut berkata belum menerima surat daripada Umno memangku jawatan ketua bahagian, susulan penggantungan keahlian Shafie pada minggu lalu.

Beliau berpendapat, keputusan MT Umno menggantung keahlian Shafie berpunca daripada tindakannya yang merugikan Umno Semporna.

Jelasnya, Shafie dijangka pulang daripada mengerjakan umrah pada hari ini atau esok dan sehingga kini Ahli Parlimen Semporna itu belum membuat sebarang kenyataan. - FreeMalaysiaToday/28/6/2016


, ,

Isnin, 29 Februari 2016

Mahathir: Umno Perlu Digulingkan, Tetapi ...



Umno perlu digulingkan daripada kuasa jika terus menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Parti itu perlu digulingkan.

"Tetapi pembangkang tidak mempunyai majoriti," kata Mahathir ketika ditanya sama ada Umno perlu disingkirkan.

Mahathir juga menolak sebarang harapan mengenai usul undi tidak percaya terhadap Najib kerana katanya, ahli parlimen Umno tidak mempunyai keberanian untuk berbuat demikian.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini ketika mengumumkan bahawa dirinya akan keluar Umno.

Sebelum majlis itu, Mahathir berjumpa dengan beberapa pemimpin pembangkang termasuk, Datuk Mujahid Yusof Rawa, Dr Hatta Ramli, dan Hanipa Maidin dari AMANAH dan naib presiden PKR Tian Chua.

Beliau berkata mereka berbincang dan bersetuju bahawa Najib perlu disingkirkan.

Ditanya apa langkah seterusnya, Mahathir mencadangkan sebuah gerakan utama bersama parti pembangkang untuk menyelaraskan usaha memerangi Najib.

"Ia belum lagi ditubuhkan. Saya berharap sebuah gerakan utama dapat menunjukkan komitmen mereka dengan menandatangani deklarasi bersama.

"Kita bersetuju untuk satu perkara, iaitu menyingkirkan Najib," katanya.

Namun, menurut Mahathir, dirinya tidak akan mengetuai kumpulan teras itu.

"Saya akan jadi seorang daripada (ahli) mereka bukannya ketua,” kata Mahathir.

Mahathir hari ini mengumumkan keluar Umno atas alasan parti itu sudah lari daripada landasan perjuangan sebenar.- Malaysia Kini/29/2/16

,

Tun Mahathir, Tun Siti Hasmah Keluar Umno dalam Protes



Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengisytiharkan keluar Umno buat kali kedua sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata membuat keputusan itu kerana Umno bukan lagi Umno dan hanya menjadi parti untuk mempertahankan Najib sebagai presidennya.

“Saya tidak boleh jadi anggota untuk parti sebegini,” katanya dalam sidang media di di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, beliau akan berada di luar Umno selagi Najib memimpin parti itu.

Mahathir berkata tindakan itu terpaksa diambil kerana sayangkan negara ini.

Beliau pada 19 Mei 2008 pernah melakukan tindakan sama sebagai tanda protes kepada pentadbiran perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Mahathir menyertai Umno semula pada 2009 selepas Abdullah berundur.

Reuters melaporkan beliau sebagai berkata tidak akan membentuk sebuah parti baru mahupun menyertai mana-mana parti.

Selain Mahathir, turut meninggalkan Umno hari ini adalah isterinya,Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan bekas pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Mahathir antara pemimpin yang lantang mengkritik pentadbiran Najib, terutamanya dalam isu syarikat pelaburan negara 1MDB yang sarat hutang.

Baru-baru ini anak beliau Datuk Seri Muhkriz juga digugurkan sebagai menteri besar Kedah, tindakan yang dilihat sebagai reaksi balas kem pro-Najib.

Kedudukan Najib kini dilihat semakin mencengkam dalam Umno dan kerajaan, terutamanya selepas peguam negara membersihkannya daripada sebarang salah laku dalam kes derma RM2.6 bilion ke dalam akaunnya dan SRC International.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dilihat hampir senada dengan Mahathir, juga telah digantung daripada jawatannya minggu lalu.-Malaysia Kini/29/2/16


Berkaitan:

Mahathir Harap Muhyiddin Juga Keluar Umno

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengikuti jejak langkahnya dan meninggalkan parti itu.

"Saya harap begitu," kata Mahathir ketika ditanya sama ada Muhyiddin patut meninggalkan Umno sebagai bantahan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Mahathir, beliau akan berada di luar Umno selagi Najib memimpin parti itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.

Selain Mahathir, turut meninggalkan Umno hari ini adalah isterinya,Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan bekas pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Jumaat lalu, Majlis Tertinggi Umno menggantung Muhyiddin sebagai timbalan presiden kerana terus lantang menentang presiden parti Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, tujuh blan lalu, Najib memecatnya sebagai timbalan perdana menteri kerana mempertikaikan cara isu 1MDB ditangani.

Bercakap pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu jika tindakannya akan mendorong orang lain untuk keluar parti, tetapi tidak akan menghalang mereka daripada berbuat demikian.

Sejurus selepas sidang akhbarnya, bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan turut mengumumkan bahawa beliau akan keluar Umno.

Sementara itu, Gerakan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) memberitahu pemberita bahawa mereka akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini untuk membuat keputusan sama ada untuk kekal bersama parti.

GKCM mendakwa mempunyai lebih 400 ahli di seluruh negara. - Malaysia Kini/29/2/16


, ,

Khamis, 12 November 2015

‘Harum Manis’ Pertama Gugur 19 November



ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah memberi gambaran bahawa ‘harum manis’ pertama akan gugur dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Dr Ismail Salleh berkata, harum manis yang dimaksudkan ialah pemimpin dan ahli yang luarannya pengikut Pas tetapi dalamannya menyokong Amanah.

“Kita seolah dicabar untuk menunjukkan bukti bahawa wujudnya ahli Pas yang cenderung kepada Amanah.

“Maka kita akan tunjuk bukti kepada mereka dalam bentuk gugurnya buah itu. Sekarang kita bagi mereka bau dulu bunganya,” katanya kepada media di Ibu Pejabat DAP Kedah, Jalan Putra, di sini, semalam.

Menurutnya, maklumat lanjut berhubung perkara itu akan didedahkan pada 19 November ini kerana terpaksa menunggu ‘harum manis’ tersebut masak sebelum boleh diambil dan kupas.

Difahamkan, gelombang pertama ‘harum manis’ itu adalah melibatkan lebih 300 ahli Pas Kawasan Pokok Sena.

Mengulas lanjut perkara itu, Ismail mengesahkan terdapat beberapa pemimpin besar dalam Pas Kawasan juga akan terlibat.

“Buat masa ini ia hanya melibatkan peringkat kawasan. Di peringkat negeri kita akan buat pada gelombang berikutnya nanti,” katanya.

Pas Kedah sebelum ini tidak bimbang dengan dakwaan wujudnya ‘harum manis’ yang dikatakan cenderung kepada Amanah walaupun masih bergelar ahli pas.

Timbalan Pesuruhjaya III, Muhammad Sanusi Md Noor turut mencabar Amanah untuk menunjukkan bukti jika benar terdapat ‘harum manis’ dalam parti Islam itu.

Pada perkembangan lain, Ismail turut menegaskan bahawa Amanah Kedah belum berbincang mengenai hasrat untuk bertanding di kawasan Pas.

“Kita berada dalam satu pakatan. Apa-apa keputusan akan dibincangkan dahulu dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan.

“Lawan kita hanyalah BN. Bermakna hanya ada dua penjuru iaitu satu oleh Pakatan Harapan dan satu lagi oleh BN,” katanya.

Tambahnya, mana-mana parti lain yang tercicir daripada itu adalah dianggap melakukan pertandingan tiga penjuru dalam PRU14.

“Kami dalam Pakatan Harapan hanya akan lawan BN, yang lain kami tidak kacau. Tapi kalau dia (Pas) masuk, dia lah yang akan buat tiga penjuru.

“Tentang spesifik Dun dan Parlimen itu bukan dalam bayangan kita lagi sebab masih di peringkat awal untuk tambah bilangan ahli,” katanya. -Sinar Harian/12/11/15


, , ,

Khamis, 15 Oktober 2015

Saifuddin Abdullah Sertai PKR


PETALING JAYA: Datuk Saifuddin Abdullah akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), demikian menurut sumber yang rapat dengan beliau.

Penyertaan Saifuddin yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno dijangka akan diumumkan oleh kepimpinan tertinggi PKR ketika sidang akhbar pada Khamis.

Sebuah poster mengumumkan penyertaannya ke parti pembangkang itu mula tersebar menerusi aplikasi WhatsApp pada petang Rabu walaupun sumber imej berkenaan tidak diketahui.

Bagaimanapun terdapat kesalahan menerusi maklumat dalam poster berkenaan apabila ia menyatakan bahawa pengumuman penyertaan Saiffuddin ke PKR akan dibuat di pejabat Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) di Damansara Heights.

Bagaimanapun PKR sendiri sudah mengeluarkan jemputan bagi membuat liputan sidang media di ibu pejabat parti itu pada Khamis.

Saifuddin dan PKR bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Saifuddin baru-baru ini diberikan surat tunjuk sebab oleh Umno kerana menghadiri persidangan meja bulat pihak pembangkang pada 21 September lalu. -Mstar/15/10/15


Kemas Kini:

Saifuddin Abdullah Keluar Umno, Sertai PKR


Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini mengisytiharkan keluar parti untuk menyertai PKR.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di ibu pejabat parti itu, di Petaling Jaya.

Saifuddin yang hadir pada sidang media itu merakamkan penghargaannya kepada rakan-rakan PKR kerana mernerimnya sebagai anggota parti.

"Terima kasih. Ini adalah keputusan besar bagi orang kecil seperti saya,” katanya.

Ditanya mengapa beliau memilih PKR dan bukan parti politik lain, Saifuddin mengakui beliau juga tidak pasti sebabnya.

"Dalam isu ini, saya tidak pasti mengapa hati saya condong kepada PKR meskipun saya tahu ada parti-parti lain yang juga melakukan tugas mereka dengan baik,” katanya.


Tambahnya beliau menyertai politik bagi menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik untuk rakyat dan atas sebab itu beliau mendapati dirinya tidak lagi sesuai bersama Umno.

Saifuddin juga memaklumkan beliau akan berundur sebagai pengarah eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).- Malaysia Kini/15/10/15








, , ,

Khamis, 8 Oktober 2015

Beranikah 10 Wakil Rakyat PAS Lompat Parti?



KOTA BHARU - Suasana politik di Kelantan ketika ini sedikit 'panas' apabila tersebar khabar angin kononnya 10 wakil rakyat daripada Pas akan melompat parti dan menyertai Parti Amanah Rakyat (Amanah) awal tahun depan.

Isu berkenaan mula timbul selepas Pengerusi Harapan Baharu Mohamad Sabu melancarkan Amanah pada 31 Ogos lepas, dan isu itu terus dimainkan Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah semasa melancarkan parti berkenaan di Kota Baharu, pada 11 September.

Bagaimanapun, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Kelantan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV menafikan dakwaan berkenaan dan berkata ia hanya strategi perang saraf pihak lawan, semata-mata untuk meraih sokongan pengundi.

Difahamkan, 10 wakil rakyat terbabit terdiri daripada tiga anggota Parlimen dan tujuh Adun dari negeri ini.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff menjangkakan 10 wakil rakyat Pas Kelantan akan menyertai Amanah selewat-lewatnya Januari depan tidak akan menjadi kenyataan kerana masih terikat dengan bai'ah dan lafaz taklik cerai talak tiga yang dipersetujui mereka pada PRU13.

Ini kerana hampir semua alim ulama di Kelantan, termasuk Mufti Kelantan Datuk Muhamad Shukri Muhamad dan Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Mohammad, sepakat bahawa bai'ah dan lafaz taklik cerai talak tiga yang dikenakan ke atas wakil rakyat Pas adalah sah, kata Kamarul Zaman.

"Sebaliknya, wakil rakyat Pas Kelantan yang keluar daripada Pas inilah yang akan terancam kerana besar kemungkinan mereka tidak lagi akan diterima oleh rakyat Kelantan jika mereka bertanding di atas tiket parti lain dalam pilihan raya umum akan datang.

"Jika wakil rakyat Pas Kelantan tetap keluar daripada Pas di sebalik bai'ah mereka ini, maka sudah tentu mereka akan menghadapi tekanan daripada masyarakat setempat," katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

Ditanya mengenai tindakan anggota Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli dan Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamarudin Jaffar yang menyertai Amanah dan PKR baru-baru ini, Kamarul Zaman berkata kedua-dua ahli Parlimen berkenaan tidak bimbang dipulaukan masyarakat setempat kerana mereka bukan berasal dari Kelantan.

"Saya melihat bahawa faktor penerimaan daripada masyarakat setempat menyebabkan sesuatu yang tidak begitu besar kebarangkaliannya untuk wakil rakyat Pas Kelantan yang menetap di Kelantan keluar daripada Pas.

"Selain itu, Kamarudin sendiri contohnya pernah beberapa kali bertanding di Tumpat di atas tiket BN tetapi tidak pernah menang sehinggalah beliau bertanding di atas tiket Pas, sekali gus menunjukkan kemenangan beliau bukanlah berpunca daripada populariti diri beliau tetapi oleh parti yang beliau wakili," katanya.

Pas menguasai majoriti 32 kerusi Dun di Kelantan, diikuti BN dengan 12 kerusi, manakala PKR hanya mempunyai satu kerusi.

Kamarul Zaman berkata jika benar tujuh Adun Pas melompat parti dan menyertai Amanah, Pas Kelantan masih mampu berdiri dengan utuh dan mempunyai majoriti selesa.

"Jika pun 10 wakil rakyat Pas Kelantan, terutama tujuh Adunnya ini benar-benar keluar daripada Pas menjelang Januari ini ia tetap tidak akan mengganggu keutuhan Kerajaan Pas Kelantan kerana mereka masih tetap mempunyai majoriti yang selesa dalam Dun yang tidak memungkinkan ia akan tumbang.

"Pada masa yang sama, kemungkinan untuk tujuh Adun Pas Kelantan yang keluar daripada parti itu bergabung dengan wakil rakyat BN untuk cuba menumbangkan Kerajaan Pas Kelantan juga adalah terlalu kecil," katanya. - Bernama/8/10/15


, , , , ,

Selasa, 29 September 2015

Anak Saudara Haji Hadi Sertai Amanah, Dakwa Diboikot Ahli PAS di Kawasannya


Hadi, Pemimpin PAS ‘Hilang Saudara’ Kerana Amanah

Tindakan pemimpin progresif dalam PAS meninggalkan parti itu dan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) mengakibatkan perpecahan bukan saja di kalangan ahli dan pemimpinnya bahkan juga ahli keluarga pimpinan utama PAS, termasuk presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hadi yang berpangkalan di Rusila, Marang, Terengganu kehilangan keluarganya apabila anak saudara di sebelah isterinya, Miqdad Zakaria, dilantik sebagai ketua Amanah kawasan Marang.

Pada 19 September, Miqdad bersama ahli jawatankuasa Amanah Marang melancarkan program pertama mereka pada majlis pembukaan pejabat di Wakaf Dua iaitu kawasan penempatan campuran antara Melayu dan Cina dalam kawasan Marang.

"Saya buat ini atas dasar sayang kepada rakan seagama sebab saya lihat menjadi satu kesilapan daripada segi akidah apabila ditanam seolah-olah PAS ini agama," kata Miqdad kepada The Malaysian Insider.

Rumah Miqdad hanya 200 meter saja dari Masjid Rusila dan juga rumah Hadi. Sejak sekian lama beliau adalah ahli jemaah masjid itu dan kekal hingga sekarang.

Namun Miqdad terpaksa membayar harga yang mahal dengan keputusannya menerima pelantikan sebagai ketua Amanah Marang, kawasan Parlimen yang diwakili Hadi, apabila beliau diboikot penyokong PAS di tempat tinggalnya sendiri.

"Saya akan hadapi semuanya walaupun pelbagai perkara dilakukan mereka (penyokong dan ahli PAS).

"Saya diboikot mereka, salam saya tidak berjawab, 24 surau dan masjid yang selama ini saya dijemput untuk memberikan kuliah sudah berhenti berbuat demikian," cerita Miqdad yang belajar di Universiti Al Azhar sebelum ini.

Apa yang dialami Miqdad boleh difahami logiknya kerana Rusila adalah kubu PAS sejak dulu.

Hadi, yang memberikan kuliah mingguan di Masjid Rusila sejak 1980-an, dalam kenyataannya sebelum ini menyifatkan mereka yang menyertai Amanah adalah pengkhianat dan tidak akan bekerjasama dengan mereka.

Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, pihaknya menyedari penyertaan Miqdad yang mempunyai pertalian darah dengan Hadi.

"Saya maklum penyertaan beliau, tetapi saya tidak pasti beliau merupakan anak saudara Hadi, ataupun anak saudara isteri Hadi.

"Sepatutnya tidak menjadi isu kerana mereka sertai Amanah atau mana-mana parti dengan kerelaan masing-masing," katanya.

Beliau turut mengakui mempunyai saudara mara yang merupakan ahli PAS dan Umno.

"Sesiapa pun yang menyertai Amanah adalah atas kepercayan mereka terhadap parti.

"Ada juga ibu dan bapa yang sertai Amanah, tetapi anak mereka masih mahu bersama PAS, itu tidak menjadi isu," katanya.

Apa yang dialami Hadi, sama seperti Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Nik Zawawi Salleh apabila adiknya, Saberi Salleh sendiri turut menyokong Amanah.

Saberi yang kini tinggal di Pasir Puteh, Kelantan juga menjadi penggerak utama penentangan terhadap kepimpinan PAS sejak penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia atau PasMa, kemudiannya Gerakan Harapan Baru (GHB) dan kini Amanah.

Di Bachok, Kelantan anak dan cucu bekas yang dipertua PAS Bachok allahyarham Datuk Omar Muhamad juga menjadi penggerak utama Amanah kawasan itu.

Khairudin Omar, anak bekas speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu kini ketua Amanah Bachok manakala anak beliau yang juga cucu Omar, Syahidulamri Khairudin ketua Pemuda Amanah Bachok.

PAS kini berpecah kepada 2 dengan kelahiran Amanah. Ketika pelancarannya 16 September lalu, Kelantan menjadi penyumbang ahlinya yang paling ramai iaitu 8,000 daripada kira-kira 30,000 ahli Amanah yang berdaftar ketika itu.

Menjelang hujung tahun ini, Amanah mensasarkan keahliannya seramai 100,000 orang yang majoritinya bekas ahli PAS.

Amanah dalam kempennya terus mahu menyebarkan kasih sayang dengan taglinenya Amanah Sayang Semua, tetapi sukar bagi PAS menerimanya kerana bagi mereka Amanah adalah pengkhianat perjuangan mereka. – The Malaysian Insider/29 September, 2015.



, , ,

Jumaat, 11 September 2015

Pemimpin Kanan PAS Sertai PKR Hari Ini



Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamarudin Jaffar dijangka akan meninggalkan PAS dan menyertai PKR.

Bekas setiausaha agung PAS itu dijangka membuat pengumuman itu pada satu sidang media hari ini.

Turut serta dijangka menyertai PKR ialah bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Seorang blogger politik, Sayuti Omar, turut melaporkan desas-desus ini hari ini namun tidak menyebut nama ahli politik berkenaan.

Kamarudin ketika dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan berita ini kemudiannya. – The Malaysian Insider/11 September, 2015.

Kemas Kini:
Sah Dato' Kamaruddin Jaffar dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyertai PKR pagi ini. Hal itu diumumkan oleh PKR di Ibu Pejabat KEADILAN di Tropicana sebentar tadi.

, , , , , , ,

Khamis, 10 September 2015

Raja Bahrin Tebus Baiah Taklik Beri Makan Orang Miskin



Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah memilih untuk memberi makan kepada 10 orang miskin sebagai menebus sumpah baiah yang dilafazkan sebelum ini berhubung ketaatannya terhadap perjuangan PAS, lapor Sinar Harian hari ini.

Tindakan itu diambil selepas beliau melanggar lafaz baiah yang diikrarkannya secara sukarela di hadapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dua tahun lalu dan kini mengambil keputusan menyertai Parti Amanah Negara (PAN).

Beliau berkata, tindakannya itu dirujuk berdasarkan kepada ayat al-Quran berhubung ruang untuk menebus sumpah baiah jika berlaku pelanggaran sumpah.

"Hukumnya adalah memerdekakan seorang hamba, beri makan 10 orang miskin daripada apa yang kita makan dan berpuasa 3 hari.

"Saya memilih yang kedua, akan beri makan 10 orang miskin," katanya kepada akhbar itu.

Sebelum ini, melalui baiah tersebut, beliau bersumpah perkahwinannya akan terbubar dengan talak 3 sekiranya beliau meninggalkan PAS.

Raja Kamarul Bahrin menganggap PAS sudah lari daripada perjuangan asal, terutama berhubung tahalluf siyasi, sementara sebahagian besar pemimpin parti itu masih menganggap sumpah baiah itu sah hingga kini.

Beliau mendakwa, antara perkara yang diabaikan dalam PAS ialah konsep "PAS untuk semua" yang kini ditinggalkan terutamanya apabila ia memutuskan hubungan dengan DAP secara rasmi pada Jun lalu.

Katanya, ia satu perubahan besar kepada konsep asal parti itu sebelum pilihan raya umum 13.

Berikutan daripada perjuangan PAS yang dirasakannya sudah berubah, beliau mengambil keputusan untuk "berhijrah" kepada Amanah.

Sementara itu, mengulas desakan PAS Terengganu supaya beliau meletak jawatan sebagai ahli Parlimen, Raja Kamarul Bahrin menuntut Pesuruhjaya PAS Negeri Saiful Bahri Mamat membentangkan prestasi dan kehadiran setiap seorang wakil rakyat Terengganu terlebih dahulu.

"Setelah itu, barulah beliau dan rakyat, pengundi, boleh buat penilaian siapakah sebenarnya yang patut letak jawatan sebagai ahli Parlimen," katanya. – The Malaysian Insider/10 September, 2015.


, , , , ,

Rabu, 9 September 2015

ADUN Kuala Semantan keluar PAS


TEMERLOH - Bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang yang juga Adun Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamed secara rasmi mengumumkan keluar dari Pas untuk menyertai Parti Pekerja Malaysia selepas melihat hala tuju Pas semakin bercelaru.

Syed Hamid 63, berkata, keputusan dibuat selepas merasakan Pas kini bukan lagi sebuah parti yang kondusif dan eksklusif buat semua peringkat masyarakat seperti yang berlaku pada muktamar Pas yang lalu.

Menurutnya, hala tuju politik Pas dilihat semakin bercelaru dan banyak kenyataan dibuat seolah-olah tidak lagi mengutarakan kepentingan pemerintah di peringkat nasional.

“Keadaan ini sudah tentu menyebabkan rakyat semakin keliru dengan objektif sebenar Pas untuk melaksanakan Islam secara syumul.

“Dengan mengambil kira kehendak rakyat yang mahukan perubahan politik yang menyeluruh melalui PR, Pas pula semakin memencilkan diri telah menyebabkan pelbagai isu kepentingan rakyat seperti GST, rasuah, 1MDB, kejatuhan nilai ringgit dan lain-lain isu.

“Saya tidak sesekali menentang apa jua dasar Islam yang dibawa oleh Pas tetapi keadaan menuntut kepada ihtihad baru bagi meneruskan perjuangan Islam melalui wadah yang baru,” katanya pada sidang media khas, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Parti Pekerja Malaysia negeri Pahang Dr Hamzah Jaafar.

Syed Hamid yang telah dua penggal menjawat jawatan sebagai Adun Kuala Semantan berkata, walaupun keputusan itu amat sedih untuk dibuat, namun bagi melihat amalan Islam yang lebih menyeluruh dapat dilaksanakan serta berusaha menyatukan negara ini.

Beliau berkata, dari segi bai’ah negeri Pahang yang dibuat semasa menjadi calon PRU lalu, beliau berkata telah merujuk perkara berkenaan kepada ramai ulama termasuk anaknya yang belajar di Yaman.

“Dari segi bai’ah tidak ada masalah, saya telah rujuk dengan ramai ulama, dalam bai’ah negeri Pahang ada menyatakan elaun yang diterima sebagai wakil rakyat menjadi haram kalau keluar parti.

“Tetapi selepas rujuk perkara ini saya yakin keputusan saya keluar betul, dari sudut fekah boleh bayar denda, saya sedia bayar denda,” katanya.

Syed Hamid berkata, beliau sekarang tidak memegang apa-apa jawatan lagi dalam Pas dan yang terakhir sebelum mengisytiharkan keluar parti adalah ketua cawangan Pas Setia Jasa.

Menurutnya, keputusannya keluar parti juga tidak menjejaskan moralnya kerana dia menyertai parti baharu yang juga pembangkang dan bukannya menyertai Umno.

Beliau menyertai Pas ketika berusia 40 tahun dan pernah menjadi ahli Umno selama lima tahun sebelum parit itu diharamkan dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Lipis.

Keputusan keluar dari Pas menyaksikan beliau adalah Adun Pas pertama keluar parti itu di Pahang. Pas Pahang menguasai Dun Tanjung Lumpur, Beserah dan Kuala Semantan dalam pilihan raya umum yang lalu. - Sinar Harian/9/9/15


, ,

Ahad, 6 September 2015

Lebih 400 Ahli PAS Sertai AMANAH di Johor



Seramai 443 orang termasuk anggota PAS menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini.

Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Dzulkefly Ahmad berkata mereka terdiri daripada 62 orang dari kawasan Parlimen Pasir Gudang, Gelang Patah (131), Johor Baharu (100), Pulai (100) dan Tebrau (50).

"Keputusan mereka menyertai AMANAH adalah untuk meneruskan harapan besar rakyat yang disandarkan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 lalu," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan borang keanggotaan PAN di Johor Bahru.

Dzulkefly yang juga bekas Yang Dipertua PAS kawasan Gelang Patah mengumumkan penubuhan lima jawatankuasa penaja AMANAH yang akan menguruskan setiap kawasan Parlimen terlibat serta bagi mendapatkan lebih ramai anggota.-Bernama/6/9/15


Berkaitan:

80 Lagi Ahli Pas Johor Keluar Parti

Sebahagian daripada ahli Pas yang bertindak keluar parti. - Foto Sinar Harian

SEGAMAT - Susulan peletakan jawatan kepimpinan tertinggi Pas di negeri ini untuk menyertai Parti Pekerja Malaysia, kira-kira seramai 80 ahli Pas Kawasan Segamat, Sekijang dan Labis pula yang bertindak keluar daripada parti tersebut.

Bekas Timbalan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Labis, Md Zin Johar berkata, kesemua mereka juga telah bersetuju untuk terus berkhidmat kepada rakyat menerusi parti baharu ini selain memperkuatkan semula Pakatan Rakyat (PR).

“Setelah mengambil perkiraan yang panjang dan meneliti kesan positif dan negatif untuk bergerak melakukan kerja di masa hadapan, kami yang ada pada hari ini (kelmarin) mengumumkan untuk keluar daripada Pas untuk menyertai Parti Pekerja Malaysia ini.

“Usaha ini diambil bagi membolehkan sahabat-sahabat yang masih berada di dalam Pas memilih kepimpinan baharu yang dirasakan sesuai untuk terus memimpin Pas kawasan berdasarkan halatuju dan kompas politik yang ditetapkan oleh Presiden Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media khas bagi mengumumkan peletakan jawatan oleh kepimpinan Pas Kawasan Segamat, Sekijang dan Labis di Hotel Golden Lake, di sini, petang semalam.

Turut hadir semasa sidang media khas tersebut ialah Pengerusi Parti Pekerja Malaysia Negeri Johor, Aminolhuda Hassan.

Menurutnya, beliau juga turut berharap agar ukhuwah di antara mereka dengan ahli-ahli Pas yang lain juga akan berkekalan sampai bila-bila dan sama sekali tidak akan pernah bersetuju terhadap sebarang usaha untuk mengeruhkan hubungan kekeluargaan di antara mereka.

“Harapan ini wajib dijelaskan kerana perbezaan antara kami dan rakan-rakan dalam Pas hanyalah platform perjuangan. Apa yang lebih penting kami akan istiqamah membawa agenda perjuangan Islam yang lebih inklusif.

“Kita mahu lebih fokus kepada isu rakyat, maknanya pendekatan kita lebih mendekati masalah rakyat dan bukan permasalahan dalaman serta akan terus komited membina negara yang kuat dan bebas rasuah serta penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Pada masa sama, mereka juga turut berterima kasih atas kepercayaan yang telah diberikan oleh ahli-ahli Pas Kawasan Segamat, Sekijang dan Labis selama ini dan menjangkakan lebih ramai yang akan menyertai mereka selepas ini.

Menurutnya, mereka juga yakin bahawa parti baharu ini turut mengambil kira unsur-unsur inklusif yang mengambil berat demokrasi dan progresif di dalamnya kerana dan akan bergerak seiring serta tampil dengan penjelasan terkini isu-isu semasa.

“Setakat ini sambutan yang diterima amat menggalakkan dan aya menyeru semua pihak agar memberi ruang dan peluang kepada parti baharu ini untuk memberikan khidmat baktinya kepada seluruh rakyat Malaysia agar matlamat kita untuk menumbangkan BN akan tercapai pada PRU14 nanti,” katanya.-Sinar Harian/6/9/15


, , , , ,

Rabu, 2 September 2015

25 Exco Pemuda, Muslimat PAS Johor Sertai AMANAH



Seramai 25 anggota Exco Pemuda dan Muslimat PAS Johor termasuk ketua kedua-dua sayap parti itu hari ini mengumumkan peletakan jawatan dalam parti bagi menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Semalam, Pengerusi Gerakan Harapan Baru (HB) Mohamad Sabu mengumumkan 'Amanah' akan digunakan sebagai nama rasmi wadah politik HB.

Pengerusi HB Johor Aminolhuda Hassan berkata peletakan jawatan beramai-ramai ahli PAS Johor bagi menyertai parti baru ini bukan kerana dipaksa, tetapi keranaia (parti baru) lebih menepati hala tuju yang diingini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Johor Mohd Faizul Mohd Salleh dan Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Norhayati Bachok antara mereka yang meletakkan jawatan.

"Kita mahu lebih fokus kepada isu rakyat, maknanya pendekatan kita lebih mendekati masalah rakyat dan bukan permasalahan dalaman.

"Kita menggunakan pendekatan parti baru iaitu Amanah, Inklusif dan Peduli," kata Aminolhuda ketika mengumumkan perkara itu di Johor Bahru hari ini.

Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Negeri, berkata pihaknya menyasarkan seramai 5,000 keanggotaan baru menjelang pelancaran parti itu peringkat negeri 11 September ini.

Pada 24 Ogos lalu, seramai 91 ahli jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan GelangPatah meletakkan jawatan masing-masing.

Semalam, Mat Sabu, bekas timbalan presiden PAS berkata, HB telah mengambilalih Parti Pekerja-pekerja Malaysia yang dijenamakan semula sebagai Amanah.- Bernama/1/9/15


, , , , ,

Suhaizan Letak Jawatan, Sertai Parti Amanah Negara



PETALING JAYA: Kurang 24 jam selepas 10 wakil rakyat PAS bertindak meninggalkan parti tersebut, kini bekas Ketua Pemudanya, Suhaizan Kaiat pula mengumumkan peletakan jawatan dalam parti Islam itu.

Suhaizan berkata, peletakan jawatan Yang Dipertua PAS Pulai itu dibuat kerana beliau sudah menganggotai Parti Amanah Negara atau singkatannya Amanah Negara.

Turut bersama mengumumkan peletakan jawatan dalam PAS adalah Ketua Pemuda PAS Pulai, Mohd Syafiq Abdul Aziz dan Ketua Muslimatnya, Fatimah Mohd Ali.

"Kami telah dan akan menganggotai Parti Amanah Negara atau singkatannya Amanah Negara yang telah diumumkan oleh Pengerusinya, Mohammad Sabu di Kuala Lumpur pada Isnin.


"Kami berterima kasih atas kepercayaan yang telah diberikan oleh ahli-ahli PAS Pulai selama ini. Perbezaan pendekatan untuk meletakan agama, bangsa dan negara ditempatnya tidak boleh memisahkan ikatan persaudaraan yang telah lama terbina. Marilah sama-sama kita uruskan perbezaan ini dengan hikmah bijaksana," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Pada Isnin, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang juga bekas Timbalan Presiden PAS mengumumkan Amanah digunakan sebagai nama rasmi wadah politik Harapan Baharu (HB). 

Mat Sabu berkata, HB telah mengambil alih dan akan menjenamakan semula parti politik sedia ada iaitu Parti Pekerja-pekerja Malaysia sebagai Amanah.

Jelas beliau, butiran mengenainya akan diserah kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) secepat mungkin bagi mendapatkan kelulusan.

Sementara itu, Suhaizan berkata, tumpuan Amanah selepas ini adalah untuk terus memperkukuhkan parti dengan memfokuskan isu rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bersama dengan Pakatan Rakyat 2.0 yang akan ditubuhkan selepas ini.

"Program-program penerangan dan kebajikan rakyat akan dilaksanakan. Kami berharap rakyat dapat bersama kami membina harapan baharu Malaysia," katanya.

Terdahulu, 10 wakil rakyat yang gugur keahlian PAS secara automatik ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Kuala Kerai), Khalid Samad (Shah Alam) dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).

Selain itu, lima Adun yang meninggalkan PAS ialah Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundot), Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib). -Mstar/1/9/15



, , , , ,

Jumaat, 28 Ogos 2015

24 AJK PAS dan DHPP Letak Jawatan,Harapan Baru Ambil Alih Pejabat Pas Jelebu

JELEBU - Seramai 24 orang daripada 28 Ahli Jawatankuasa termasuk ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) kawasan itu mengisytiharkan keluar parti berkuatkuasa hari ini.

Sehubungan itu, Pejabat Pas kawasan itu ditutup dan akan menjadi pejabat operasi Harapan Baru kawasan berkenaan.

Timbalan Pengerusi Harapan Baru Jelebu, Muhammed Zabidi Abdullah berkata, mereka akan menghantar surat perletakan jawatan kepada Pas Pusat minggu depan dan keahlian mereka juga akan terlucut selepas menyertai parti baharu.

"Setakat ini kita telah menerima keahlian seramai 180 orang dan dijangka akan lebih ramai lagi penyertaan.

"Kita menjangkakan seramai 500 keahlian Harapan Baru sehingga hujung tahun ini,"katanya pada sidang media diadakan di sini, semalam‎.

Hadir sama, Pengerusi Harapan Baru Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar dan Timbalan, Muhamad Taufek Abdul Ghani.

Menurutnya, tindakan itu diambil kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pas sekarang yang membiarkan 'mungkar fitnah' berleluasa semasa pemilihan di dalam Muktamar Ke-61 lalu. -Sinar Harian/28/8/15

, , , , ,

Rabu, 26 Ogos 2015

19 AJK Pas Sri Gading Umum Letak Jawatan


JOHOR BAHRU - Seramai 19 ahli jawatankuasa Pas Sri Gading, Batu Pahat meletakkan jawatan dalam parti kira-kira 10.25 malam, tadi.

Majlis peletakan jawatan tersebut diketuai Yang DiPertua Pas Kawasan, Mohd Salleh Samad dan turut disertai jawatankuasa atasan Pas kawasan tersebut.

Antara lain yang turut berbuat demikian ialah Timbalan Yang DiPertua Pas Kawasan, Mohd Alias Sabu dan Naib Yang DiPertua Pas Kawasan, Noor Khalim Shakib.

Majlis berlangsung dalam suasana harmoni di Markas Kampung Baru Sri Gading.

Pengumuman peletakkan jawatan tersebut juga disusuli dengan majlis penyerahan kunci markas kepada ahli jawatankuasa yang kekal dalam parti itu, yang diwakili Nazaruddin Saali dan Nasir Abdullah. -Sinar Harian/26/8/15

, , ,

Ahad, 23 Ogos 2015

91 AJK Pas Gelang Patah Letak Jawatan



JOHOR BAHRU: Seramai 91 ahli jawatankuasa yang memegang pelbagai jawatan dalam Pas Kawasan Gelang Patah meletak jawatan masing-masing berkuatkuasa hari ini bagi menyertai parti baru yang bakal dilancar 31 Ogos ini.

Seramai 16 daripada 32 AJK Pas kawasan berkenaan menghantar surat peletakan jawatan mereka termasuk Yang Dipertua Pas Kawasan Gelang Patah, Dzulkefly Ahmad, Naib YDP Kawasan, Isnin Hassan dan Setiausaha, Musa Abdul Wahab.

Manakala seramai 17 daripada 22 AJK Dewan Pemuda kawasan turut meletak jawatan termasuk Ketua Pemuda, Mohd Azam Mektar dan tujuh daripada 15 AJK Dewan Muslimat kawasan turut mengambil langkah sama termasuk Naib Ketuanya, Khadijah Abdul Ghani.

Selain itu 51 ajk daripada sembilan cawangan pas kawasan berkenaan turut meletak jawatan termasuk empat ketua cawangan.

Dzulkefly Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Harapan Baharu Johor berkata, mereka masih kekal sebagai ahli Pas sehingga parti baru ditubuhkan pada 31 Ogos ini dan tujuan perletakan jawatan itu bagi memastikan penyerahan kuasa kepada ajk baru berjalan dengan baik.

Katanya, lebih ramai AJK Pas dari kawasan lain di negeri ini dijangka mengambil tindakan sama bagi menyertai parti baru berkenaan dan memberi fokus memperjuangkan hak rakyat menggunakan pendekatan berbeza dan menepati syariat Islam.- Sinar Harian/23/8/15


, , ,

18 AJK PAS Kelana Jaya Letak Jawatan


Pengerusi Harapan Baru Selangor, Izham Hashim (tengah) mengadakan sidang media mengenai peletakan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan-Dewan PAS serta pimpinan Cawangan-Cawangan di dalam PAS kawasan Kelana Jaya di Glenmarie Shah Alam, Ahad. -fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Seramai 18 orang Anggota Jawatan Kuasa (AJK) PAS kawasan Kelana Jaya yang dipimpin Yang Dipertuanya Izham Hashim meletak jawatan mulai Ahad bagi menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

Termasuk yang berbuat demikian ialah Timbalan Yang Dipertua Omar Ahmad, Naib Yang Dipertua Muzammil Hafiz dan tujuh orang Ketua Cawangan.

Izham berkata jumlah tersebut melibatkan lebih dua pertiga daripada keseluruhan AJK PAS Kelana Jaya dan mereka menyerahkan kepada pimpinan PAS Pusat untuk mengambil alih pentadbiran seterusnya di kawasan berkenaan.

"Peletakan jawatan ini secara keseluruhan melibatkan 87 pimpinan di pelbagai peringkat di kawasan Kelana Jaya dan ia bertepatan dengan masa dan waktu untuk kami menjayakan dan bersama dalam mendokong cita-cita murni melalui usaha politik Islam yang lebih kami yakini yang bersifat inklusif, progresif dan sejagat yang merentasi kaum, agama dan budaya," katanya dalam sidang akhbar di sini, Ahad.

Sementara itu Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan Subang, Roslan Abu Bakar dalam sidang akhbar yang sama berkata beliau turut meletak jawatan bersama tiga AJK Dewan Muslimat.

Sebelum ini beberapa pemimpin PAS kawasan Shah Alam, Kota Raja, Klang dan Kapar juga telah meletak jawatan. -Mstar/23/8/15


, , , , ,

Selasa, 4 Ogos 2015

Selepas PAS Kuala Terengganu Putus Hubungan dengan Kerabat, Pak Cik Sultan Terengganu Keluar Parti



Berikutan tindakan PAS Kuala Terengganu menamatkan hubungan dengan ahli Parlimennya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, seorang kerabat diraja negeri itu, Tengku Seri Paduka Raja Ibrahim Ismail mengambil tindakan meninggalkan parti itu hari ini.

Pengumuman keluar PAS oleh Raja Ibrahim yang juga bekas pengerusi Semangat 46 Terengganu itu dibuat pada satu sidang media khas di kediamannya pagi ini.

Ia merupakan satu tamparan hebat kepada PAS yang selama ini berbangga dengan penyertaan bapa saudara kepada Sultan Terengganu itu ke dalam PAS menjelang pilihan raya umum 2013 lalu.

Usaha PAS Kuala Terengganu melalui yang dipertuanya Wan Sukairi Wan Abdullah yang datang memujuk beliau agar tidak keluar, sebelum pengumuman itu dibuat, gagal.

"Saya rasa pucuk pimpinan PAS tidak mempunyai hala tuju yang jitu dan keazaman untuk memperkuatkan parti selepas muktamar lalu," kata Raja Ibrahim pada sidang medianya merujuk muktamar tahunan PAS ke-61 awal Jun lalu.

Raja Kamarul Bahrin, seorang arkitek terkenal di Kuala Terengganu, adalah juga salah seorang dari keluarga diraja Terengganu yang bertanding atas tiket PAS buat pertama kalinya dalam pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, tulisan seorang pemimpin PAS Terengganu, Dr Azman Ibrahim, melalui laman Facebook yang memberi amaran agar jangan diadakan program Gerakan Harapan Baru (GHB) di Besut 31 Julai lepas, juga menjadi antara punca kenapa Raja Ibrahim bertindak sedemikian hari ini ini.


Dalam posting Facebook itu, Dr Azman menulis, Besut adalah negeri “republik” dan meminta semua pihak berhati-hari apabila membuat program di sana kerana dikhuatiri akan "bertelur di atas dahi."

Ia dipercayai menimbulkan rasa tidak puas hati kerabat diraja Terengganu itu dan Raja Kamarul Bahrin sendiri.

Dr Azman ketika dihubungi berkata, beliau bergurau sahaja ketika menulis status itu dan tidak berniat mengugut sesiapa tetapi sekadar menceritakan sikap orang Besut sahaja.

Raja Kamarul Bahrin ketika bercakap dengan The Malaysian Insider memaklumkan, budaya politik PAS di Terengganu yang tidak pandai berkawan dan "keras dalam perhubungan" akan menyebabkan PAS tidak akan berkembang.

Beliau yang masih sedih dengan tindakan PAS Kuala Terengganu memutuskan hubungan dengannya berkata, beliau belum lagi menerima pelantikan sebagai penyelaras GHB Terengganu, namun tindakan sudah diambil.

"Namun dengan tindakan ini, ia memaksa saya untuk bersama mereka dan saya akan membuat yang terbaik untuk GHB. 

"Walaupun berat hati untuk menerimanya kerana ada orang lain yang lebih baik, saya akan berbuat dengan sepenuh hati," katanya yang kini diboikot PAS ekoran pengumuman yang dibuat GHB dalam majlis di Besut hujung bulan lalu itu.

Raja Kamarul Bahrin berkata, antara majlis yang cuba diboikot PAS adalah majlis sambutan Hari Raya beliau bersama ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok baru-baru ini.

"Namun, Alhamdulillah sambutan sangat memuaskan dari orang ramai. 

"Kami sedia makanan untuk 4,000 orang namun majlis yang bermula jam 11 pagi kehabisan makanan pada jam 12.15 tengahari dan terpaksa ditambah kerana orang yang sangat ramai hadir," kata beliau. – Malaysia Kini/3 Ogos, 2015.


, ,

Selasa, 16 Jun 2015

PAS Kedah Akan Keluar Parti Beramai-ramai - PasMa



Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) mendakwa ahli PAS Kedah akan meninggalkan parti Islam itu secara beramai-ramai dalam masa terdekat dan akan memberi sokongan kepada badan bukan kerajaan (NGO) pro Pakatan Rakyat (PR) itu.

Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, ahli PAS yang keluar parti akan memberi sokongan kepada PasMa dan ia dapat direalisasikan tidak lama lagi.

“Nanti akan ada majlis keluar parti PAS beramai-ramai dan saya akan maklum kepada pihak media,” katanya kepada akhbar milik Umno, Utusan Malaysia. 

Phahrolrazi berkata, ahli PAS berhak meninggalkan parti Islam itu dan menyertai PasMa dalam usaha membentuk sebuah parti baharu yang cenderung kepada pakatan pembangkang. 

“Kita sebuah negara demokrasi dan penubuhan sebuah parti baharu yang menyokong perjuangan pakatan pembangkang juga merupakan satu alternatif kepada rakyat.

“Kita tidak boleh tuduh penubuhan parti politik baharu ini membuatkan rakyat berpecah belah kerana ia merupakan satu proses dalam negara demokrasi,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kundor itu berkata, ahli PAS kini terbuka untuk menyertai PasMa memandangkan selepas muktamar, parti Islam itu diwakili pemimpin yang bercirikan autokratik.

“Kita lihat selepas Muktamar Tahunan ke-61 baru-baru ini, PAS dikuasai pimpinan ulama yang pimpinannya bercorak autokratik.

“Sekarang terpulang kepada ahli sama ada mereka mahu kekal bersama PAS atau menyertai sebuah parti baharu dan bersedia untuk bersama-sama pakatan pembangkang,” katanya kepada akhbar itu.

Sementara itu, Dewan Ulama PAS berkeyakinan parti Islam itu akan tetap berdiri kukuh walaupun terdapat kemungkinan segelintir ahli yang berhijrah ke parti baharu anjuran PasMa.

Ketua penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilaporkan berkata penubuhan parti baharu yang akan digerakkan PasMa selepas Hari Raya Aidilfitri ini, tidak akan menggugat langsung kedudukan PAS.

“Saya tak risau (penghijrahan ahli PAS). Dalam perjuangan Islam, kita yakin seorang keluar, berpuluh lagi datang kepada kita.

“Allah akan hantar satu puak lain yang mereka sayangkan Allah, dan Allah sayangkan mereka. Itu biasa dalam perjuangan,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Khairuddin berkata, sejarah menunjukkan PAS tidak pernah terjejas dengan kemunculan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) yang merupakan serpihan daripada parti itu pada 1977. – The Malaysian Insider/ 16 Jun, 2015.

BAGASI KIRIMAN TERKINI

BAGASI KIRIMAN

PERHATIAN

Tulisan dalam blog ini sebahagian besarnya ialah respons/pendapat/ulasan RINGKAS/SPONTAN saya terhadap pelbagai isu dan perkara yang berlaku di serata negara mahupun di luar negara.

Sebahagiannya pula disalin & ditampal (
semoga dengan izin) dari blog, laman sesawang atau laman berita dari dalam dan dari luar negara. Hak cipta berita, artikel & makalah adalah milik laman sesawang atau blog tersebut.

Seboleh-bolehnya, saya cuba mengelak untuk menyiarkan mana-mana makalah/petikan/gambar tanpa restu pemilik asalnya. Jika mana-mana petikan/tulisan/gambar yang disiarkan dalam blog ini kurang disenangi pemilik asalnya, maka maklumkanlah segera kepada saya (di ruangan komen bahan terbabit) agar petikan/tulisan/gambar tersebut dapat dikeluarkan dengan kadar segera.

Untuk makluman, sebarang petikan, makalah, gambar yang dipetik dari laman berita atau dari blog /laman sesawang atau dari sumber internet yang lain tidak semestinya menggambarkan/mewakili pandangan saya dalam sesuatu isu yang berkaitan.

PENAFIAN:
Semua artikel atau berita yang disiar dalam blog ini adalah untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am. Ketepatan maklumat artikel atau berita itu perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan atau penyebaran maklumat palsu atau fitnah.

-tayadihmaysia@yahoo.com







TERIMA KASIH