Klik "LIKE" Untuk Terima Kemas Kini DCM di Facebook. Klik Butang "LIKE" di Bawah

▼

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets

Rakan DUNIACACAMARBA

Rakan DUNIACACAMARBA

Jadi Rakan TM

Follow tayadihmaysia on Twitter

BAGASI KIRIMAN POPULAR

Iklan & Tawaran

1. Mari sertai ChurpChurp, berinteraksi bersama-sama dengan taulan sambil menjanakan pendapatan, Percuma! Lanjut sila klik di sini.





Advertlet Hutang DCM RM1710

Advertlet Hutang DCM RM1710
Review http://duniacacamarba2.blogspot.com/ on alexa.com

Sponsored Ads

Cerita UG- Kerajaan Perpaduang

Agenda Unity Government (UG). Apa progresnya selepas ketiadaan TGNA?Video lain:1....

Posted by DUNIACACAMARBA on Saturday, October 17, 2015

Memaparkan catatan dengan label PasMa. Papar semua catatan

, , , , , ,

Selasa, 8 September 2015

'Mereka hanya tidak setuju dengan pemimpin Pas' - Naib Pengerusi PASMA Kelantan



KOTA BHARU - Naib Pengerusi Pasma Kelantan, Che Ibrahim menegaskan apa yang berlaku di dalam Pas kini tidak boleh dianggap sebagai perbuatan menghina ulama.

Menurutnya, pihak yang tidak bersetuju dengan Pas juga sebenarnya tidak pernah sesekali berniat untuk menolak golongan ulama.

“Mereka hanya tidak bersetuju dengan pendekatan dan kepimpinan beberapa pemimpin Pas yang kebetulannya dianggap sebagai ulama, bukannya menolak ulama secara keseluruhan,” katanya. 

Beliau mengulas kenyataan veteran Pas, Subky Latif yang meluahkan kebimbangan sekiranya dibiarkan pihak tertentu memperlekehkan ulama, didatangi ‘tulah’ (kemalangan yang menimpa kerana melanggar larangan) oleh ALLAH SWT.

Che Ibrahim berkata, kepercayaan_ bahawa perbuatan menghina ulama boleh membawa 'tulah' adalah kepercayaan karut dan termasuk dalam perkara khurafat.

“Tidak ada sesiapa pun yang boleh mendatangkan mudarat atau manfaat kepada orang lain kecuali dengan izin ALLAH SWT. Islam mengajar umatnya menghormati semua golongan masyarakat tanpa mengira darjat dan status termasuk ulama dan bukan ulama.

“Itu membuktikan bukan sahaja ulama, bahkan seorang peminta sedekah pun tidak boleh diperlekehkan," katanya. -Sinar Harian/8/9/15


P/s: Setuju.


, ,

Sabtu, 4 Julai 2015

[Gambar] Pakatan Baharu Diumum Selepas Hari Raya - Mat Sabu



Bekas pemimpin PAS Pusat yang bekerjasama di bawah panji-panji yang dinamakan G18 menjanjikan pakatan baharu selepas Hari Raya Aidilfitri bulan ini.

Bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu berkata, mereka mesti membina Pakatan Rakyat (PR) yang baharu yang lebih hebat daripada PR yang kini terkubur.

Beliau berkata ia perlu menjadi pakatan yang menjunjung integriti sebagai nilai paling penting.

"Tugas kita bukan hanya menggantikan Umno dan Barisan Nasional. Kita perlu bentangkan satu formula baru.

"Saya sokong kuat kerajaan Pulau Pinang kerana ia mempunyai integriti dan mengamalkan budaya dan nilai yang serupa dengan ajaran Islam.

"Ia bukan tentang semangat Melayu tetapi semangat harmoni. Tiada ubat lain selain daripada mengubah kerajaan," katanya pada majlis berbuka puasa anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di The Light Hotel di Seberang Jaya malam ini.

Mohamad, juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Islam agama yang menganjurkan keamanan dan Al-Quran juga mengajar umatnya bercakap dengan santun dan menggunakan perkataan yang baik apabila berbicara atau berhujah, baik dengan orang Islam mahupun dengan bukan Islam.


Bekas timbalan presiden PAS Mat Sabu (tengah) dilihat bersama bekas menteri Selangor Tan Sri Muhamad Muhd Taib (kiri) dan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng di majlis berbuka puasa di Seberang Jaya. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 3 Julai, 2015.

"Ia tidak mengajar kita menggunakan perkataan seperti serigala, anjing atau jebon.

"Tak kena tu," katanya, memperli Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menggunakan perkataan seperti itu semasa ceramahnya minggu lepas.

Hadi mengatakan serigala dan anjing boleh terus menyalak, tetapi PAS tidak akan berganjak daripada agenda hududnya.

Selain Mat Sabu, turut hadir ialah presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Datuk Phahrolrazi Zawawi, bekas pemimpin PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, bekas strategis PAS Dr Mohd Hatta Ramli dan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Mujahid berkata, tidak perlu sedih dengan terkuburnya PR kerana satu kuasa baharu akan muncul.

Beliau berkata gabungan yang lebih kuat akan terus berusaha untuk rakyat.

"Kita tidak pernah lihat sebelum ini, yang kalah disanjungi. Saya bercakap ini, tentang parti saya (PAS).

"Kita akan lihat satu gelombang baharu. Harap-harap dengan ketibaan Syawal, kita akan lihat munculnya gelombang baharu," katanya di majlis tersebut.

Phahrolrazi bersetuju dengan Mujahid, mengatakan wujud keperluan segera untuk menubuhkan satu gabungan baharu di kalangan parti pembangkang.

Katanya, beliau berkata demikian bukan bagi pihak organisasinya, tetapi mewakili semua kumpulan yang menyokong PR, dan menaruh harapan tinggi pada pakatan tersebut dan kini luluh melihat ia terkubur.

"Kita mesti ada gabungan baru. Saya sudah katakan, kalau G18 tak buat, PasMa akan buat," katanya.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, sasaran dan hala tuju utamanya ialah menumbangkan BN, menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan negara kepada rakyat.

Katanya, mereka tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin membina kerajaan perpaduan dengan Umno.

Beliau berkata mahu bekerjasama dengan mereka yang benar-benar mahu memperjuangkan rakyat.

"Kami akan menunggu berita terkini (tentang parti baharu) dan menunggu untuk menyatukan kekuatan kita melawan BN," katanya.

DAP dan PAS berbalah sejak parti Islam tersebut membentangkan dan meluluskan rang undang-undang hudud di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Mac.

Awal bulan lepas di muktamar tahunan PAS, parti itu menerima tanpa bahas usul dari Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Berikutan ini, DAP mengisytiharkan PR kini mati dan pemimpin progresif PAS yang kini dipanggil G18 sedang mempertimbangkan pertubuhan parti Islam baharu untuk mewujudkan gabungan pembangkang yang baharu. – The Malaysian Insider/3 Julai, 2015.

Kredit kepada empunya foto.

,

Khamis, 2 Julai 2015

Jika G18 Gagal, PasMa Tubuh Parti Baharu


Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) akan menerajui sendiri usaha menubuhan sebuah parti Islam yang baru sekiranya Kumpulan progresif, G18, gagal berbuat demikian.

Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata pihaknya akan menyokong parti yang ditubuhkan oleh G18.


Bagaimanapun, katanya, jika ia tidak menjadi kenyataan, PasMa sendiri akan berusaha menubuhkan sebuah parti baru.

Phahrolrazi berkata pendirian PasMa ialah perlunya sebuah parti Islam yang baru dalam gabungan pembangkang selepas Pakatan Rakyat berpecah.

"Sekiranya G18 tak tubuh parti, kita (PasMA) akan ambil inisiatif, kita akan teruskan tanggungjawab (menubuhkan parti baru).

"Tapi buat masa ini, ada pihak (G18) nak tubuhkan parti, maka kita bagi laluan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Phahrolrazi menegaskan bahawa usaha menubuhkan parti baru itu memerlukan kerjasama banyak pihak dan tidak boleh secara bersendirian.

“Kita ni NGO penyokong, apa saja keperluan kita terus sokong,” katanya.

Usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP dan kekalahan kumpulan progresif PAS dalam muktamar parti itu bulan lalu, menguatkan lagi hasrat penubuhan sebuah parti Islam yang baru itu.

Kumpulan progresif PAS telah membayangkan kemungkinan sebuah parti Islam yang baru ditubuhkan sekiranya PAS tidak memenuhi pendekatan inklusif yang dibina pada masa ini. -Malaysia Kini/2/7/15


,

Selasa, 23 Jun 2015

Parti Islam Baru Ganti PAS, Apa Respons Haji Hadi?


Sebuah parti Islam baru yang dicadangkan oleh Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) akan menganggotai gerakan baru diwujudkan DAP bagi menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, pakatan baru yang dicadangkan DAP selaras cadangan PasMapada 13 Jun lalu selepas beberapa perbincangan membabitkan kepimpinan NGO itu dari seluruh negara, lapor Berita Harian hari ini.

Laporan itu juga menyebut, PasMa akan terus kekal menjadi sebuah NGO dan akan menyokong kuat penubuhan pakatan baru bagi menghadapi pilihan raya umum Ke-14 nanti.

"Cadangan PasMa antaranya mewujudkan pakatan baru dengan struktur lebih jelas disebabkan struktur Pakatan Rakyat sebelum ini longgar dan sekadar satu persefahaman.

"Oleh itu perlu diwujudkan Pakatan baru yang mempunyai struktur kepimpinan dan mekanisme jelas yang mengikat parti komponen menerusi dasar bersama… Jika ada perbezaan pandangan, bagaimana mekanisme untuk menentukannya… cadangan DAP itu menyamai cadangan PasMa,” kata Phahlolrazi seperti dilaporkan akhbar itu.

Sebelum ini DAP bercadang menubuhkan gerakan baru bagi menggantikan pakatan pembangkang yang menggabungkan kerjasama dengan PKR dan PAS.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dilaporkan berkata langkah itu penting bagi memastikan perjuangan politik serta rangka kerja pakatan pembangkang selepas ini mempunyai objektif serta matlamat yang sama.

Apa kata Haji Hadi?

Kamu Akan 'Tenggelam' - Haji Hadi


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini memberi peringatan kepada semua ahlinya tentang sejarah parti itu bahawa pemimpin tertinggi parti yang bersama parti atau pertubuhan lain, akan "tenggelam".



Peringatan itu terkandung dalam surat terbukanya kepada anggota parti hari ini tanpa menamakan mana-mana pihak dalam PAS.

"Setiap ahli PAS mestilah bersama dengan jamaah yang ditubuhkan di atas prinsip dan matlamat berakidah yang teguh bersama konsep pendekatannya, dan wajib beristiqamah mengikut kenyataan nas serta sejarah.

"Sesiapa yang mengikuti perjalanan bersama atau membaca sejarah PAS, akan menyaksikan gelombang dan liku perjuangan dan hilangnya pemimpin paling tinggi, ahli biasa atau penyokong secara sendirian atau tenggelam bersama parti dan pertubuhan yang dijadikan bahteranya.

"Adapun perkara yang akan datang berada dalam ilmu Allah dan kita diwajibkan mengambil iktibar serta sentiasa berilmu, berdoa dan bertawakkal kepada Allah," kata Hadi.

Dalam surat itu, Hadi turut mengingatkan anggota supaya memahami dan menghayati dua aspek penting iaitu istiqamah dengan akidah perjuangan dan pendekatan dakwah bagi melaksanakan Islam, bagi mengelak kecundang atau tercicir dalam perjuangan.

Katanya, kedua-dua aspek itu dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sababat sewaktu lemah dan kuat, serta belum wujudnya negara dan setelah tegaknya negara.

"Kedua-dua aspek tersebut mewajibkan hidayah, melalui ilmu, kebijaksanaan dan terpentingnya memohon petunjuk Allah dengan khusyuk setiap rakaat salat dan bila-bila masa sahaja," katanya.

Mengulas lanjut, Hadi berkata perjuangan Islam berbeza dengan ideologi ciptaan manusia, malah beliau menyeru supaya ahli konsisten melaksanakan pendekatan yang dizinkan Allah.

Katanya, perkara tersebut perlu dengan mengambil kira hukum halal dan haram termasuk dalam berhubungan dengan bukan Islam dan musuh tetapi bertegas dalam akidah.

Beliau memberi dalil Al-Quran, hadith serta sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat khususnya dalam melaksanakan arahan berhijrah Madinah sehingga tertegaknya negara yang mempunyai masyarakat majmuk berbagai agama, kaum dan sikap.

"Ayat-ayat al-Quran tersebut bermaksud bahawa Allah menunjukkan kepada kita supaya berlaku baik kasih sayang terhadap seluruh manusia mengikut sempadannya.

"Maka Rasulullah SAW, menjalinkan segala pendekatan hubungan dengan kalangan bukan Islam, secara bertahaluf, berta’awun, berdamai, memaaf kesalahan dan lain-lain.

"Apabila berlakunya sikap bermusuh yang mahu merosakkan Aqidah maka dibatalkan segala bentuk hubungan walupun terhadap kaumnya di Makkah. Menunjukkan banyaknya keterbukaan dalam perkara pendekatan dan sangat tegas dalam perkara Aqidah perjuangan," katanya. Malaysia Kini/23/6/15


P/s: Jangan lupa parti serpihan sebelum ini kiblatnya ke arah BN, kali ini kiblatnya ke arah PR dan sudah tentu menerima sokongan padu daripada PKR dan DAP. Telahan yang mengatakan bahawa parti baru akan gagal tidak boleh diterima bulat-bulat. Peluang untuk diterima oleh rakyat terbuka luas jika strategi yang dijalankan betul.


, ,

Selasa, 16 Jun 2015

PAS Kedah Akan Keluar Parti Beramai-ramai - PasMa



Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) mendakwa ahli PAS Kedah akan meninggalkan parti Islam itu secara beramai-ramai dalam masa terdekat dan akan memberi sokongan kepada badan bukan kerajaan (NGO) pro Pakatan Rakyat (PR) itu.

Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, ahli PAS yang keluar parti akan memberi sokongan kepada PasMa dan ia dapat direalisasikan tidak lama lagi.

“Nanti akan ada majlis keluar parti PAS beramai-ramai dan saya akan maklum kepada pihak media,” katanya kepada akhbar milik Umno, Utusan Malaysia. 

Phahrolrazi berkata, ahli PAS berhak meninggalkan parti Islam itu dan menyertai PasMa dalam usaha membentuk sebuah parti baharu yang cenderung kepada pakatan pembangkang. 

“Kita sebuah negara demokrasi dan penubuhan sebuah parti baharu yang menyokong perjuangan pakatan pembangkang juga merupakan satu alternatif kepada rakyat.

“Kita tidak boleh tuduh penubuhan parti politik baharu ini membuatkan rakyat berpecah belah kerana ia merupakan satu proses dalam negara demokrasi,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kundor itu berkata, ahli PAS kini terbuka untuk menyertai PasMa memandangkan selepas muktamar, parti Islam itu diwakili pemimpin yang bercirikan autokratik.

“Kita lihat selepas Muktamar Tahunan ke-61 baru-baru ini, PAS dikuasai pimpinan ulama yang pimpinannya bercorak autokratik.

“Sekarang terpulang kepada ahli sama ada mereka mahu kekal bersama PAS atau menyertai sebuah parti baharu dan bersedia untuk bersama-sama pakatan pembangkang,” katanya kepada akhbar itu.

Sementara itu, Dewan Ulama PAS berkeyakinan parti Islam itu akan tetap berdiri kukuh walaupun terdapat kemungkinan segelintir ahli yang berhijrah ke parti baharu anjuran PasMa.

Ketua penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilaporkan berkata penubuhan parti baharu yang akan digerakkan PasMa selepas Hari Raya Aidilfitri ini, tidak akan menggugat langsung kedudukan PAS.

“Saya tak risau (penghijrahan ahli PAS). Dalam perjuangan Islam, kita yakin seorang keluar, berpuluh lagi datang kepada kita.

“Allah akan hantar satu puak lain yang mereka sayangkan Allah, dan Allah sayangkan mereka. Itu biasa dalam perjuangan,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Khairuddin berkata, sejarah menunjukkan PAS tidak pernah terjejas dengan kemunculan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) yang merupakan serpihan daripada parti itu pada 1977. – The Malaysian Insider/ 16 Jun, 2015.

,

Rabu, 10 Jun 2015

PasMa: Perlu Parti Baharu Ganti PAS dalam Pakatan Rakyat


Pakatan Rakyat perlu dibubarkan memandangkan muktamar PAS menerima usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP minggu lalu.

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, gabungan pembangkang tidak boleh dibuat tanpa penyertaan PAS dan harus di ganti dengan parti lain, lapor Sinar Harian.

“Sekiranya PAS memutuskan hubungan dengan DAP dan mereka tidak boleh duduk bersama, maka Pakatan tidak boleh diwujudkan lagi.

“Kalau mereka (PAS) keluar, Pakatan sudah tidak sempurna dan perlu dicari pengganti lain bagi mengisi kekosongan terbabit,” beliau dilaporkan berkata.

Menurutnya, pembubaran itu perlu dibuat dan distrukturkan semula dengan Pakatan yang baru bagi mengembalikan sokongan rakyat menjelang PRU14.

“Dalam situasi sekarang, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dalam soal menarik sokongan rakyat.

“Misalnya DAP banyak penyokong bukan Melayu, PKR pula mempunyai sokongan pelbagai kaum dan Pas mempunyai penyokong Melayu yang ramai,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Phahrolrazi April lalu mengumumkan akan memutuskan menjadi parti politik selepas berakhirnya muktamar PAS bagi melihat terlebih dahulu hubungan parti Islam itu dalam Pakatan.

Keputusan penubuhan parti itu mungkin akan dibuat Sabtu ini selepas PAS mengemukakan usul memutuskan hubungan dengan DAP di muktamar dan diterima tanpa bahas. -Malaysia Kini/10/6/15

, , ,

Ahad, 26 April 2015

Saari: PAS Seharusnya Keluar Pakatan Rakyat Jika...



ADUN Hulu Kelang Saari Sungib berkata PAS seharusnya keluar daripada Pakatan Rakyat sekiranya rakyat tidak dapat lagi menerima mereka dalam gabungan pembangkang itu.

Beliau yang kini digantung keahlian selama setahun berkata badan pengkaji Merdeka Centre perlu membuat kajian terhadap rakyat dan pengundi sama ada PAS masih lagi relevan dalam pakatan pembangkang itu ataupun tidak.

"Banyak orang tidak puas hati, dalam parti, luar parti, dalam Keadilan, dalam DAP, dalam Pakatan Rakyat, pengundi, penyokong, pelbagai lagi.

"Dari segi semangat (PAS) yang wujud seperti ambil hati, macam kes Permatang Pauh, (terpaksa) berunding, tapi sampai bila (nak) berunding?

"Kalau keputusannya lebih baik PAS tidak berada dalam Pakatan Rakyat, ada bukti yang kukuh, kajian yang menyeluruh, PAS harus keluar dari Pakatan Rakyat. Dan diganti dengan pakatan yang baru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi menjelaskan lebih lanjut kenyataannya dalam satu forum di Konvensyen PasMa sebelum itu di Perpusatakaan Awam Raja Tun Uda di Shah Alam petang ini.

Dalam forum itu Saari - yang diundang ke majlis itu - berkata PAS harus keluar Pakatan Rakyat kerana sering dituduh mengkhianati rakan dalam Pakatan Rakyat.

Saari yang juga berkata saranannya terhadap parti Islam itu dibuat antara lain kerana PAS sering dilihat membelakangi Pakatan dalam membuat keputusan.

Ditanya sama ada beliau bimbang akan dipecat daripada PAS susulan cadangan tersebut, Saari berkata: "Bergantung dengan cara berita ini diterima," katanya sambil ketawa kecil.

Saari digantung keahlian PAS selama setahun ekoran tindakan beliau menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa kemelut menteri besar Selangor. -Malaysia Kini/26/4/15


Berkaitan:

PasMa Umum Jadi Parti Politik Lepas Muktamar



NGO Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan mengumumkan sama ada badan itu akan menjadi parti politik atau tidak, selepas berakhirnya muktamar PAS Jun ini.

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata setakat ini pihaknya "menunggu masa yang sesuai" khususnya "bagi melihat terlebih dahulu keadaan parti Islam itu" selepas muktamar tahunannya di Kuala Selangor.


"Banyak pihak yang nak tunggu saya umumkan jadi parti politik atau tidak. Saya sangat berhati-hati dalam isu ini agar elak kita dari terperangkap dalam cabaran sesetengah pihak.

"Kalau kita nak jadi parti politik, kita tidak boleh jadi parti politik bersendirian. Kita hendaklah jadi satu komponen dari Pakatan Rakyat.

"Kita tunggu masa yang sesuai ingin umumkan dalam satu konvensyen PasMa peringkat nasional. Kita jangka bulan enam.

"Selepas Muktamar (PAS) kita jangka, kita akan buat satu keputusan (tubuh parti atau tidak),” katanya dalam konvensyen NGO itu di Shah Alam.

Menurut Phahrolrazi lagi, kini pihaknya sedang mengumpulkan maklumat awal mengenai perkara itu dan akan membawanya ke dalam kovensyen akan datang.

Phahrolrazi mengulas desakan kira-kira 50 penyokong PasMa dalam Konvensyen PasMa peringkat Wilayah Persekutuan dan Selangor untuk menyatakan pendirian sama ada NGO itu mahu menjadi parti politik.

Rata-rata soalan yang ditujukan kepada beliau juga berkisar dakwan beliau terlalu berlembut kerana tidak membuat serangan balas kepada PAS.

Beliau yang juga ADUN PAS Pengkalan Kundor berkata pihaknya kini sedang mengumpulkan maklumat awal dan akan membawanya ke dalam kovensyen nasional NGO itu akan datang.

Turut hadir dalam acara itu ialah ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan bekas exco Selangor Ronnie Liu. - Malaysia Kini/26/4/15

,

Selasa, 24 Februari 2015

PasMa TIDAK Akan Maafkan Ahmad Yakob


PasMa mencabar Ahmad Yakob berdialog dengan wakil persatuan itu bagi menjawab dakwaan memfitnah.

PETALING JAYA: Persatuan Sejahtera Ummah Malaysia (PasMa) menyifatkan Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Nik Amar Abdullah melakukan fitnah terhadap persatuan itu dengan melemparkan pelbagai tuduhan.

Melalui status Facebook rasminya, PasMa menyatakan, ia memandang berat dakwaan-dakwaan yang dibuat ke atasnya dan sehubungan itu tidak akan memaafkan Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan.

“Fitnah yang dibuat oleh seorang Ketua Ulama tidak boleh dimaafkan,” katanya dalam kenyataan di Facebook PasMa.

Dakwanya, antara tuduhan yang didakwa dilemparkan terhadap persatuan mesra Pakatan Rakyat itu ialah membawa ajaran songsang, liberal, menolak hudud dan lain-lain.

Sehubungan itu PasMa akan menganjurkan dialog dengan membabitkan Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS dan wakil Dewan Ulama PAS bagi menjawab segala fitnah.

“Tarikh, masa dan tempat akan ditetapkan segera,” katanya dan menambah, PasMa akan diwakili Muhamad Husin,Timbalan Presiden PasMa seorang lulusan Usuluddin Universiti Malaya; Aziz Abbas, lulusan Universiti AlAzhar selaku Pengerusi Pasma Terengganu; Ibrahim Ahmad, Timbalan Pengerusi Pasma Pahang yang merupakan lulusan Sarjana Universiti AlAzhar.

Menurutnya, dialog itu berjudul Fitnah Songsang Terhadap PasMa oleh Pemangku Ketua Ulama PAS. -FreeMalaysiaToday/23/2/15


,

Ahad, 7 September 2014

Anggota PAS Dilarang Sertai PasMa - Tuan Ibrahim



Forum ini ditangguhkan

[The Malaysian Insider] Naib Presiden PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) hari ini berkata anggota PAS tidak dibenarkan menyertai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) sekiranya ia merupakan sebuah pertubuhan parti politik.

Beliau juga berkata, PAS tidak menggalakkan sekiranya ahli PAS ingin menyertai pertubuhan itu jika ianya sebuah pertubuhan kebajikan kerana dalam parti Islam itu sendiri sudah mempunyai lajnah kebajikan.

"Kita teliti NGO tersebut dan setakat ini kita tahu pendaftaran adalah bagi tujuan kebajikan bukan parti politik.


"Tapi tidak ada keperluan ahli PAS untuk sertai PasMa kerana kita sendiri pun ada lajnah kebajikan sendiri," katanya kepada pemberita selepas program Ijtimak PAS Selangor 2014 di Serdang Selangor hari ini.

Antara lain beliau juga menolak PasMa dilihat sebagai alternatif PAS dalam Pakatan Rakyat (PR).

Katanya isu alternatif tersebut bukan merupakan perkara baru dalam sejarah parti Islam seperti mana penubuhan Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim).

"Tidak mungkin,‎ isu ini bukan perkara baru dulu pun ada isu penubuhan Berjasa dan Hamim. Ini kerana PasMa mendapat liputan meluas sebab itu ia tersebar dengan cepat," katanya.

PasMa kini menjadi sorotan media berikutan krisis Selangor yang memperlihatkan keretakan ketara dalam PAS.

Penganalisa menganggap PasMa merupakan alternatif memainkan peranan dalam PR.

Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi menegaskan persatuannya itu kekal sebagai badan bukan kerajaan (NGO) dan akan berusaha mengukuhkan sistem dua parti di negara ini.

"Kami akan memperkukuhkan sistem dua parti yang sudah berjalan dengan baik kini."

‎Ketika kepimpinan utamanya dilihat membuat tindakan dan kenyataan provokasi terhadap rakan mereka PKR dan DAP, PasMa pula lebih cenderung mengekalkan persahabatan dalam PR.

Mesyuarat pertama PasMa berlangsung di Kota Baru pada 31 Ogos lepas.

Sementara itu Tuan Ibrahim juga yakin sekiranya PasMa kononnya dapat menggantikan peranan PAS dalam PR ia juga tidak dilihat sebagai satu parti progresif.

"Kalau kata nak tubuh parti sebab tidak puas hati dengan satu isu saya fikir parti itu tidak akan jadi progresif, parti perlu ada satu agenda besar.

"Meskipun itu hak mereka namun Malaysia ini berasaskan sistem dua parti dari segi ruang politik susah hendak bertahan dan saya yakin ahli PAS tetap istiqamah dengan perjuangan parti ini."

Dalam perkembangan berkaitan mengenai isu krisis Selangor, beliau sekali lagi mengulangi pendirian yang diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pagi tadi.

"Kita tetap dengan keputusan iaitu kita tidak mahu kerusi itu dan kita berikan kepada PKR‎," katanya. – DIYANA IBRAHIM/7 September, 2014.


P/s: Goyang? Semalam dengan nada angkuh menghalau "nyamuk".


Kemas Kini:

PasMa: Kenyataan saya disalah petik - Tuan Ibrahim

[Harakah Daily] KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan laporan media yang memetik kenyataan beliau kononnya PAS melarang ahlinya menyertai NGO Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) kecuali mereka keluar dari parti Islam itu.

Tuan Ibrahim berkata kenyataan yang dibuat beliau ketika diserbu wartawan selepas Ijtimak PAS Selangor di Seri Kembangan petang semalam itu telah dipetik secara tidak tepat.

"Kenyataan saya tentang penyertaan ahli parti dalam PasMa telah dilaporkan secara tidak tepat.

"Ahli PAS tidak dilarang menyertai mana-mana NGO, bahkan dalam PAS pun terdapat pelbagai NGO yang ditubuhkan.

"Namun, 'sekiranya NGO tersebut bertukar menjadi sebuah parti politik', maka ahli PAS dilarang menyertainya, melainkan ia bukan lagi ahli PAS," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu beliau mengingatkan ahli PAS agar terus istiqamah dengan parti dan mengawasi usaha musuh untuk memecah-belahkan jamaah.

Beliau juga memohon jasa baik media yang tersalah tafsir kenyataannya untuk memperbetulkan laporan mereka.- HARAKAHDAILY 8/9/2014


BAGASI KIRIMAN TERKINI

BAGASI KIRIMAN

PERHATIAN

Tulisan dalam blog ini sebahagian besarnya ialah respons/pendapat/ulasan RINGKAS/SPONTAN saya terhadap pelbagai isu dan perkara yang berlaku di serata negara mahupun di luar negara.

Sebahagiannya pula disalin & ditampal (
semoga dengan izin) dari blog, laman sesawang atau laman berita dari dalam dan dari luar negara. Hak cipta berita, artikel & makalah adalah milik laman sesawang atau blog tersebut.

Seboleh-bolehnya, saya cuba mengelak untuk menyiarkan mana-mana makalah/petikan/gambar tanpa restu pemilik asalnya. Jika mana-mana petikan/tulisan/gambar yang disiarkan dalam blog ini kurang disenangi pemilik asalnya, maka maklumkanlah segera kepada saya (di ruangan komen bahan terbabit) agar petikan/tulisan/gambar tersebut dapat dikeluarkan dengan kadar segera.

Untuk makluman, sebarang petikan, makalah, gambar yang dipetik dari laman berita atau dari blog /laman sesawang atau dari sumber internet yang lain tidak semestinya menggambarkan/mewakili pandangan saya dalam sesuatu isu yang berkaitan.

PENAFIAN:
Semua artikel atau berita yang disiar dalam blog ini adalah untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am. Ketepatan maklumat artikel atau berita itu perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan atau penyebaran maklumat palsu atau fitnah.

-tayadihmaysia@yahoo.com







TERIMA KASIH