Klik "LIKE" Untuk Terima Kemas Kini DCM di Facebook. Klik Butang "LIKE" di Bawah

▼

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets

Rakan DUNIACACAMARBA

Rakan DUNIACACAMARBA

Jadi Rakan TM

Follow tayadihmaysia on Twitter

BAGASI KIRIMAN POPULAR

Iklan & Tawaran

1. Mari sertai ChurpChurp, berinteraksi bersama-sama dengan taulan sambil menjanakan pendapatan, Percuma! Lanjut sila klik di sini.





Advertlet Hutang DCM RM1710

Advertlet Hutang DCM RM1710
Review http://duniacacamarba2.blogspot.com/ on alexa.com

Sponsored Ads

Cerita UG- Kerajaan Perpaduang

Agenda Unity Government (UG). Apa progresnya selepas ketiadaan TGNA?Video lain:1....

Posted by DUNIACACAMARBA on Saturday, October 17, 2015

Memaparkan catatan dengan label Harapan Baru. Papar semua catatan

, , , , , ,

Ahad, 20 September 2015

PAS Tekad Lawan 3 Penjuru di Kerusi Bekas Wakil Rakyatnya




PAS akan tetap bertanding meletakkan calonnya di kerusi bekas wakil rakyatnya yang bertindak keluar parti, kata pengarah pilihan rayanya Datuk Mustafa Ali.

Tanpa merujuk secara langsung kepada mana-mana pihak, kenyataan beliau itu dipercayai ditujukan kepada bekas pemimpinnya yang menyertai parti baharu, Parti Amanah Negara (Amanah).

"Mana-mana bawa lari kerusi, kerusi itu tetap kerusi PAS. PAS akan bertanding itu. Kalau (mereka) nak bertanding juga, 3 penjuru," kata Mustafa di Terengganu, menurut laporan Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.2 di Kampung Pulau Serai, Dungun malam tadi.

Bulan lalu, susulan satu mesyuarat, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, kesepakatan sudah dicapai untuk memastikan tidak berlaku pertandingan 3 penjuru antara PAS, gabungan parti pembangkang yang baharu, atau Pakatan Rakyat 2.0 dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Portal rasmi PAS itu juga memetik Mustafa sebagai berkata, parti itu berkemungkinan akan bertanding lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang

"Di (kerusi) mana? (Itu) jabatan pilihan raya sedang kaji hendak tambah daripada pilihan raya yang lepas," beliau dipetik berkata.

Portal sama turut melaporkan, PAS akan meneruskan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan PKR tetapi tidak dengan DAP dan parti baharu, yang dipercayai merujuk kepada Amanah.

Namun, PAS tidak menghalang PKR bekerjasama dengan DAP, kata Mustafa pada majlis yang sama.

"Kita masih tahaluf dengan PKR, tapi dengan DAP dan parti baharu kita tak ada tahaluf," katanya.

PAS memutuskan hubungan kerjasama politik dengan DAP, sekali gus membubarkan ikatan rasmi Pakatan Rakyat, susulan usul Dewan Ulama yang diterima tanpa bahas pada muktamar tahunannya pada Jun lalu.

Isnin lalu, Rafizi berkata pada satu forum di Kuala Lumpur, bentuk gabungan parti pembangkang baharu akan diketahui dalam masa lebih kurang sebulan, serta mengulangi komitmen bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dalam pilihan raya. – The Malaysian Insider/19 September, 2015.


, , ,

Sabtu, 12 September 2015

PAN Jangka Keanggotaan Lebih 100,000 Menjelang Hujung Tahun



Parti Amanah Negara (PAN) menjangkakan lebih 100,000 orang termasuk anggota PAS akan menyertai parti itu menjelang hujung tahun ini.

Presiden PAN Mohamad Sabu  berkata sehingga kini PAN menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur daripada pelbagai pelbagai parti politik di negara ini.

"Kita mengedarkan borang keahlian PAN di seluruh negara dan menjangkakan bilangannya akan meningkat sehingga akhir tahun ini.

"Pada hari ini PAN menerima borang keahlian sebanyak 500 melibatkan penduduk Melaka termasuk anggota PAS.

"Di Johor PAN menerima 5,000 borang keahlian manakala di Kedah sebanyak 2,721 borang keahlian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran PAN Melaka di Melaka, hari ini.

Turut hadir Pengerusi PAN Melaka Adly Zahari dan Anggota Dewan Undangan Negeri Duyong dari DAP, Goh Leong San yang juga bekas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka.

Mohamad berkata PAN Melaka akan bergerak sebagai sebuah parti politik bermula hari ini dan terus bekerjasama dengan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong parti itu.

Beliau berkata PAN juga bersedia bekerjasama dan menjalin hubungan baik dengan PAS dalam sesuatu isu sekiranya perlu.

Mengulas tentang anggota PAS iaitu bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan anggota Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar memilih untuk yang menyertai PKR, katanya ia tidak memberi kesan kepada PAN kerana mereka masih anggota Pakatan Rakyat.

"Tidak apalah...asalkan mereka berada dalam Pakatan Rakyat..barangkali mereka ada pandangan masing-masing..saya mengalu-alukan mereka menyertai PKR," katanya. – Bernama, 12 September, 2015.


, , ,

Jumaat, 11 September 2015

Parti Pekerja (AMANAH) Cetak 85,000 Borang, Sambutan Luar Dugaan - Setiausaha Agung



Parti Pekerja Malaysia menambah cetakan borang 50,000 helai borang lagi berikutan sambutan masyarakat yang menggalakkan mahu menyertai parti itu, lapor Sinar Harian hari ini.

Setiausaha agungnya Anuar Tahir berkata, jumlah tersebut menjadikan keseluruhan 85,000 keping borang dicetak.

"Saya juga terima laporan ada yang terpaksa mencetak sendiri borang kerana tidak cukup. Jadi kita terpaksa cetak 50,000 helai lagi.

"Sambutan kepada parti kami amat luar biasa dan tidak saya bayangkan sebelum ini," katanya.

Anuar berkata, latar belakang pemohon adalah daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk ahli profesional dan agamawan dari seluruh negeri.

Beliau percaya, konsep dibawa parti itu menjadikan mereka mudah diterima rakyat.

"Agaknya, orang melihat ini adalah model parti baharu dalam sejarah. Ada orang tanya apa beza kami dengan PKR? Sangat besar, kerana Islam pegangan kami," katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan ahli akan diumumkan pada 16 September ini.

Sementara itu, beliau berkata parti tersebut masih menunggu keputusan berhubung penukaran nama parti itu kepada Parti Amanah Negara. – The Malaysian Insider/11 September, 2015.

, , , , , , ,

Khamis, 10 September 2015

Raja Bahrin Tebus Baiah Taklik Beri Makan Orang Miskin



Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah memilih untuk memberi makan kepada 10 orang miskin sebagai menebus sumpah baiah yang dilafazkan sebelum ini berhubung ketaatannya terhadap perjuangan PAS, lapor Sinar Harian hari ini.

Tindakan itu diambil selepas beliau melanggar lafaz baiah yang diikrarkannya secara sukarela di hadapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dua tahun lalu dan kini mengambil keputusan menyertai Parti Amanah Negara (PAN).

Beliau berkata, tindakannya itu dirujuk berdasarkan kepada ayat al-Quran berhubung ruang untuk menebus sumpah baiah jika berlaku pelanggaran sumpah.

"Hukumnya adalah memerdekakan seorang hamba, beri makan 10 orang miskin daripada apa yang kita makan dan berpuasa 3 hari.

"Saya memilih yang kedua, akan beri makan 10 orang miskin," katanya kepada akhbar itu.

Sebelum ini, melalui baiah tersebut, beliau bersumpah perkahwinannya akan terbubar dengan talak 3 sekiranya beliau meninggalkan PAS.

Raja Kamarul Bahrin menganggap PAS sudah lari daripada perjuangan asal, terutama berhubung tahalluf siyasi, sementara sebahagian besar pemimpin parti itu masih menganggap sumpah baiah itu sah hingga kini.

Beliau mendakwa, antara perkara yang diabaikan dalam PAS ialah konsep "PAS untuk semua" yang kini ditinggalkan terutamanya apabila ia memutuskan hubungan dengan DAP secara rasmi pada Jun lalu.

Katanya, ia satu perubahan besar kepada konsep asal parti itu sebelum pilihan raya umum 13.

Berikutan daripada perjuangan PAS yang dirasakannya sudah berubah, beliau mengambil keputusan untuk "berhijrah" kepada Amanah.

Sementara itu, mengulas desakan PAS Terengganu supaya beliau meletak jawatan sebagai ahli Parlimen, Raja Kamarul Bahrin menuntut Pesuruhjaya PAS Negeri Saiful Bahri Mamat membentangkan prestasi dan kehadiran setiap seorang wakil rakyat Terengganu terlebih dahulu.

"Setelah itu, barulah beliau dan rakyat, pengundi, boleh buat penilaian siapakah sebenarnya yang patut letak jawatan sebagai ahli Parlimen," katanya. – The Malaysian Insider/10 September, 2015.


, , , ,

Rabu, 9 September 2015

Wakil Rakyat PAS Tidak Wajar Letak Jawatan


JOHOR BAHRU - Bekas Pesuruhjaya Pas negeri, Aminolhuda Hassan menyifatkan sebagai tidak wajar mendesak wakil rakyat Pas meletak jawatan apabila mereka menyertai parti lain. 

Sebaliknya, beliau berkata, pelantikan sebagai wakil rakyat adalah berdasarkan undi rakyat dan bukan datang sepenuhnya daripada penyokong Pas.

Aminolhuda, yang kini Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri berkata, peletakan jawatan hanya akan mengundang kekecewaan pengundi kerana telah mengkhianati kepercayaan mereka.

"Saya dilantik berdasarkan undi rakyat, kalau undi ahli Pas hanya sebahagian sahaja. Kalau saya letak jawatan sebagai wakil rakyat, saya telah mengkhianati pengundi saya," kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau, yang juga Adun Parit Yaani, mengulas desakan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Selain Aminolhuda, ada tiga lagi Adun Pas di Johor iaitu Adun Sg Abong, Dr Sheikh Ibrahim Salleh; Adun Puteri Wangsa Abdullah Hussin dan Adun Maharani, Dr Mohammad Taslim.

Setakat ini, hanya Aminolhuda yang menyertai parti baharu itu.

Sementara itu, beliau berkata, pelancaran parti baharu itu di peringkat negeri akan diadakan pada Jumaat ini (11 Oktober), lebih awal dari pelancaran peringkat pusat, memandangkan gerakan parti baharu itu bermula di Johor.

Amanah merupakan nama baru bagi Parti Pekerja Malaysia yang masih dalam proses didaftarkan Pendaftar Pertubuhan (RoS). - Bernama/9/9/15


, , , , ,

ADUN Kuala Semantan keluar PAS


TEMERLOH - Bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang yang juga Adun Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamed secara rasmi mengumumkan keluar dari Pas untuk menyertai Parti Pekerja Malaysia selepas melihat hala tuju Pas semakin bercelaru.

Syed Hamid 63, berkata, keputusan dibuat selepas merasakan Pas kini bukan lagi sebuah parti yang kondusif dan eksklusif buat semua peringkat masyarakat seperti yang berlaku pada muktamar Pas yang lalu.

Menurutnya, hala tuju politik Pas dilihat semakin bercelaru dan banyak kenyataan dibuat seolah-olah tidak lagi mengutarakan kepentingan pemerintah di peringkat nasional.

“Keadaan ini sudah tentu menyebabkan rakyat semakin keliru dengan objektif sebenar Pas untuk melaksanakan Islam secara syumul.

“Dengan mengambil kira kehendak rakyat yang mahukan perubahan politik yang menyeluruh melalui PR, Pas pula semakin memencilkan diri telah menyebabkan pelbagai isu kepentingan rakyat seperti GST, rasuah, 1MDB, kejatuhan nilai ringgit dan lain-lain isu.

“Saya tidak sesekali menentang apa jua dasar Islam yang dibawa oleh Pas tetapi keadaan menuntut kepada ihtihad baru bagi meneruskan perjuangan Islam melalui wadah yang baru,” katanya pada sidang media khas, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Parti Pekerja Malaysia negeri Pahang Dr Hamzah Jaafar.

Syed Hamid yang telah dua penggal menjawat jawatan sebagai Adun Kuala Semantan berkata, walaupun keputusan itu amat sedih untuk dibuat, namun bagi melihat amalan Islam yang lebih menyeluruh dapat dilaksanakan serta berusaha menyatukan negara ini.

Beliau berkata, dari segi bai’ah negeri Pahang yang dibuat semasa menjadi calon PRU lalu, beliau berkata telah merujuk perkara berkenaan kepada ramai ulama termasuk anaknya yang belajar di Yaman.

“Dari segi bai’ah tidak ada masalah, saya telah rujuk dengan ramai ulama, dalam bai’ah negeri Pahang ada menyatakan elaun yang diterima sebagai wakil rakyat menjadi haram kalau keluar parti.

“Tetapi selepas rujuk perkara ini saya yakin keputusan saya keluar betul, dari sudut fekah boleh bayar denda, saya sedia bayar denda,” katanya.

Syed Hamid berkata, beliau sekarang tidak memegang apa-apa jawatan lagi dalam Pas dan yang terakhir sebelum mengisytiharkan keluar parti adalah ketua cawangan Pas Setia Jasa.

Menurutnya, keputusannya keluar parti juga tidak menjejaskan moralnya kerana dia menyertai parti baharu yang juga pembangkang dan bukannya menyertai Umno.

Beliau menyertai Pas ketika berusia 40 tahun dan pernah menjadi ahli Umno selama lima tahun sebelum parit itu diharamkan dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Lipis.

Keputusan keluar dari Pas menyaksikan beliau adalah Adun Pas pertama keluar parti itu di Pahang. Pas Pahang menguasai Dun Tanjung Lumpur, Beserah dan Kuala Semantan dalam pilihan raya umum yang lalu. - Sinar Harian/9/9/15


, , ,

Parti Pekerja Sedia Sepenuhnya Jadi Parti Amanah Negara



Parti Pekerja-pekerja Malaysia semalam meluluskan pertukaran namanya kepada Parti Amanah Negara (Amanah) di samping menukar logo dan benderanya pada satu mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata logo dan bendera baharu parti itu akan dilancarkan sepenuhnya pada satu perhimpunan yang bakal diadakan 16 September ini.

EGM semalam adalah yang kedua diadakan parti itu selepas yang pertama pada bulan lalu.

Pada EGM Ogos, mereka mencapai kata sepakat menukar kepimpinan parti itu kepada kepimpinan baru iaitu yang dibarisi pemimpin Gerakan Harapan Baru (GHB), bagi membolehkan mereka mengambil alih parti itu daripada kepimpinan lamanya.

Anuar yang sebelum ini terlibat membentuk Parti Keadilan Nasional (PKN), menceritakan bagaimana pihaknya boleh mengambil alih parti itu.

"Apabila kami berusaha mencari satu wadah baharu untuk bergerak, kami temui nama parti pekerja ini yang ditubuhkan sejak 1978 dan pernah bertanding di Sungai Besi dalam pilihan raya umum selepas itu.

"Kami jumpa setiausaha agungnya, Gopalan K Papachan. Beliau seorang yang sangat dinamik.

"Apabila mendengar hasrat kami itu, beliau sendiri sedia serahkannya kerana percaya kami akan meneruskan perjuangan untuk memberikan hak kepada rakyat dengan sewajarnya," kata Anuar.

Selepas beberapa siri perbincangan, Gopalan menyatakan persetujuan rakan-rakannya yang lain dan beliau sendiri akan turut serta dalam parti ini bagi meneruskan kesinambungannya, kata Anuar.

Sebelum ini, beliau berpengalaman menguruskan pembentukan PKN yang ditukar kepada Parti Keadilan Rakyat atau PKR sekarang, daripada parti asalnya iaitu Parti Ikatan Masyarakat Muslim Malaysia pimpinan Abdul Wahad Yunos.

Parti Pekerja, kata Anuar diambil alih tanpa sebarang syarat daripada pemilik asalnya serta tanpa sebarang bayaran satu sen pun.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Parti Pekerja tidak boleh dijenamakan semula sebagai Amanah kerana ia bukan parti politik tetapi sebuah parti yang memperjuangkan hak pekerja.

Oleh itu, katanya, GHB tidak boleh menggunakan nama Amanah sebagai nama rasmi wadah politik mereka selagi perlembagaan parti itu tidak dipinda dan mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Berdasarkan nasihat Nur Jazla kata Anuar, EGM pertama itu diadakan bagi menukar struktur parti itu.

"Permohonan pertukaran ini akan diserahkan kepada RoS yang akan berjalan serentak dengan pelancarannya," katanya.

Beliau yang juga bekas timbalan pesuruhjaya PAS Perlis dan bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, pihaknya sentiasa mendapat kerjasama yang baik daripada para pegawai dan kakitangan RoS dan ia adalah satu amalan biasa di negara ini.

"Harap mereka terima permohonan kami dengan baik dan kami percaya pegawai RoS adalah penjawat awam yang akan menjalankan tugas mengikut peruntukan dan menjaga hak rakyat untuk berpersatuan dengan baik," katanya.

Anuar berkata, negara akan mencatatkan sejarahnya tersendiri pada 16 September ini apabila Amanah dilancarkan dengan penuh gilang gemilang.

"Kami jangka kira-kira 2,000 perwakilan dari seluruh negara dan pemerhati akan menyertai perhimpunan yang akan diadakan di Shah Alam itu," katanya mengenai pelancaran parti baharu itu. –  The Malaysian Insider/9 September, 2015.


, , , , , ,

Selasa, 8 September 2015

'Mereka hanya tidak setuju dengan pemimpin Pas' - Naib Pengerusi PASMA Kelantan


KOTA BHARU - Naib Pengerusi Pasma Kelantan, Che Ibrahim menegaskan apa yang berlaku di dalam Pas kini tidak boleh dianggap sebagai perbuatan menghina ulama.

Menurutnya, pihak yang tidak bersetuju dengan Pas juga sebenarnya tidak pernah sesekali berniat untuk menolak golongan ulama.

“Mereka hanya tidak bersetuju dengan pendekatan dan kepimpinan beberapa pemimpin Pas yang kebetulannya dianggap sebagai ulama, bukannya menolak ulama secara keseluruhan,” katanya. 

Beliau mengulas kenyataan veteran Pas, Subky Latif yang meluahkan kebimbangan sekiranya dibiarkan pihak tertentu memperlekehkan ulama, didatangi ‘tulah’ (kemalangan yang menimpa kerana melanggar larangan) oleh ALLAH SWT.

Che Ibrahim berkata, kepercayaan_ bahawa perbuatan menghina ulama boleh membawa 'tulah' adalah kepercayaan karut dan termasuk dalam perkara khurafat.

“Tidak ada sesiapa pun yang boleh mendatangkan mudarat atau manfaat kepada orang lain kecuali dengan izin ALLAH SWT. Islam mengajar umatnya menghormati semua golongan masyarakat tanpa mengira darjat dan status termasuk ulama dan bukan ulama.

“Itu membuktikan bukan sahaja ulama, bahkan seorang peminta sedekah pun tidak boleh diperlekehkan," katanya. -Sinar Harian/8/9/15


P/s: Setuju.


, , ,

Khamis, 3 September 2015

Amanah: 35 000 Borang Keahlian Habis dalam Tiga Hari


KUALA LUMPUR - Sambutan luar biasa diterima Parti Pekerja Malaysia apabila 35,000 borang keahlian yang dicetak habis dalam masa tiga hari selepas parti itu dilancarkan semula.

Setiausahanya, Anuar Tahir berkata, ketika ini mereka sedang melakukan cetakan borang baru untuk diedar ke beberapa negeri lagi termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Sambutan luar biasa, kami juga terkejut kerana baru sahaja pelancaran rasmi dibuat sudah ramai yang berminat.

"Kita dalam proses mencetak borang keahlian baru dan dijangka dalam tempoh sebulan ini kita boleh capai 50,000 keahlian," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya adakah 35,000 borang itu sudah diisi dan diserahkan semula kepada pihak parti.

Beliau berkata, sebahagian besarnya sudah dikembalikan kepada parti bagaimana masih belum mendapat angka rasmi.

Menurut Anuar, pada 16 September depan Parti Pekerja Malaysia akan bertukar nama kepada Parti Amanah Negara.

"Kita sudah mengemaskini proses perundangan bagi penukaran nama parti. Setakat ini itulah nama yang diputuskan (Parti Amanah Negara)," katanya.

Tambah beliau lagi, keahlian yang diterima kebanyakan adalah bekas ahli Pas dan daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas.

"Majoriti yang masuk parti kita ada Melayu, kedua India dan sebilangan kecil sahaja Cina. Walaupun membawa wadah Islam namun kita terbuka pada semua kaum," katanya. - Sinar Harian/3/9/15






, , , ,

Pemuda, Wanita DHPP Selangor Umum Keluar PAS, Sertai Amanah



Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Selangor Rajkumar Batumalai, bersama Ketua Wanita DHPP Selangor Pushpa Nagiah Vengdesa mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) bersama anggota jawatankuasa mereka.

Turut bersama-sama mereka adalah 24 ahli jawatankuasa Pemuda dan Wanita DHPP di Selangor termasuk ahli daripada beberapa kawasan seperti Kuala Selangor, Kuala Langat, Kota Raja, Subang, Shah Alam, dan Kapar.

"Kami memilih untuk bersama parti baharu ini atas pilihan kami sendiri tanpa paksaan atau pujukan mana-mana pihak.

"Kami percaya parti baharu ini lebih sesuai dan mesra dengan jiwa kami kerana pendekatannya yang jauh lebih inklusif, progresif, dan adil, bersesuaian dengan konsep rahmat untuk semua," kata Rajkumar pada sidang medianya di Shah Alam hari ini.

Antara yang turut bersama mereka adalah seramai 500 ahli dari kawasan Kuala Selangor, 425 daripada Kota Raja, Subang (300), Shah Alam (300), Kapar (100), Hulu Selangor (300), Kuala Langat (100), dan Klang seramai 30 ahli.

Selain itu, 16 kawasan daripada 21 kawasan DHPP juga sudah dibubarkan.

"Lebih ramai ahli-ahli DHPP dari kawasan-kawasan lain akan mengikut langkah kami ini secara berperingkat memandangkan parti baharu ini memberikan keahlian penuh kepada kami," kata Rajkumar.

Sebelum ini beberapa kepimpinan PAS peringkat cawangan mengambil keputusan meninggalkan parti Islam itu dengan menyertai Amanah.

Antara yang turut mengambil tindakan sama adalah mantan ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat bersama barisan kepimpinan PAS Pulai, Johor mengumumkan penyertaan mereka terhadap parti berkenaan.

Beliau sebelum ini tewas dalam pemilihan merebut jawatan ketua Pemuda kepada Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz awal Jun lalu.

Turut menerima nasib sama tewas dalam pemilihan itu adalah pemimpin daripada kumpulan progresif PAS manakala pemimpin daripada kalangan konservatif yang pro kumpulan ulama menguasai PAS.

Mereka kemudiannya menubuhkan Gerakan Harapan Baru dan akan menjadi wadah baharu dalam arena politik dan bekerjasama dengan parti pembangkang seperti DAP dan PKR. – The Malaysian Insider/3 September, 2015.

, , , , ,

Rabu, 2 September 2015

25 Exco Pemuda, Muslimat PAS Johor Sertai AMANAH



Seramai 25 anggota Exco Pemuda dan Muslimat PAS Johor termasuk ketua kedua-dua sayap parti itu hari ini mengumumkan peletakan jawatan dalam parti bagi menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Semalam, Pengerusi Gerakan Harapan Baru (HB) Mohamad Sabu mengumumkan 'Amanah' akan digunakan sebagai nama rasmi wadah politik HB.

Pengerusi HB Johor Aminolhuda Hassan berkata peletakan jawatan beramai-ramai ahli PAS Johor bagi menyertai parti baru ini bukan kerana dipaksa, tetapi keranaia (parti baru) lebih menepati hala tuju yang diingini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Johor Mohd Faizul Mohd Salleh dan Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Norhayati Bachok antara mereka yang meletakkan jawatan.

"Kita mahu lebih fokus kepada isu rakyat, maknanya pendekatan kita lebih mendekati masalah rakyat dan bukan permasalahan dalaman.

"Kita menggunakan pendekatan parti baru iaitu Amanah, Inklusif dan Peduli," kata Aminolhuda ketika mengumumkan perkara itu di Johor Bahru hari ini.

Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Negeri, berkata pihaknya menyasarkan seramai 5,000 keanggotaan baru menjelang pelancaran parti itu peringkat negeri 11 September ini.

Pada 24 Ogos lalu, seramai 91 ahli jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan GelangPatah meletakkan jawatan masing-masing.

Semalam, Mat Sabu, bekas timbalan presiden PAS berkata, HB telah mengambilalih Parti Pekerja-pekerja Malaysia yang dijenamakan semula sebagai Amanah.- Bernama/1/9/15


, , , , ,

Suhaizan Letak Jawatan, Sertai Parti Amanah Negara



PETALING JAYA: Kurang 24 jam selepas 10 wakil rakyat PAS bertindak meninggalkan parti tersebut, kini bekas Ketua Pemudanya, Suhaizan Kaiat pula mengumumkan peletakan jawatan dalam parti Islam itu.

Suhaizan berkata, peletakan jawatan Yang Dipertua PAS Pulai itu dibuat kerana beliau sudah menganggotai Parti Amanah Negara atau singkatannya Amanah Negara.

Turut bersama mengumumkan peletakan jawatan dalam PAS adalah Ketua Pemuda PAS Pulai, Mohd Syafiq Abdul Aziz dan Ketua Muslimatnya, Fatimah Mohd Ali.

"Kami telah dan akan menganggotai Parti Amanah Negara atau singkatannya Amanah Negara yang telah diumumkan oleh Pengerusinya, Mohammad Sabu di Kuala Lumpur pada Isnin.


"Kami berterima kasih atas kepercayaan yang telah diberikan oleh ahli-ahli PAS Pulai selama ini. Perbezaan pendekatan untuk meletakan agama, bangsa dan negara ditempatnya tidak boleh memisahkan ikatan persaudaraan yang telah lama terbina. Marilah sama-sama kita uruskan perbezaan ini dengan hikmah bijaksana," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Pada Isnin, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang juga bekas Timbalan Presiden PAS mengumumkan Amanah digunakan sebagai nama rasmi wadah politik Harapan Baharu (HB). 

Mat Sabu berkata, HB telah mengambil alih dan akan menjenamakan semula parti politik sedia ada iaitu Parti Pekerja-pekerja Malaysia sebagai Amanah.

Jelas beliau, butiran mengenainya akan diserah kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) secepat mungkin bagi mendapatkan kelulusan.

Sementara itu, Suhaizan berkata, tumpuan Amanah selepas ini adalah untuk terus memperkukuhkan parti dengan memfokuskan isu rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bersama dengan Pakatan Rakyat 2.0 yang akan ditubuhkan selepas ini.

"Program-program penerangan dan kebajikan rakyat akan dilaksanakan. Kami berharap rakyat dapat bersama kami membina harapan baharu Malaysia," katanya.

Terdahulu, 10 wakil rakyat yang gugur keahlian PAS secara automatik ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Kuala Kerai), Khalid Samad (Shah Alam) dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).

Selain itu, lima Adun yang meninggalkan PAS ialah Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundot), Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib). -Mstar/1/9/15



, , , , ,

'Saya tidak akan letak jawatan' - Raja Kamarul Bahrin Shah


KUALA TERENGGANU - Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menegaskan tidak akan meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu walaupun sudah menyertai Parti Amanah Negara.

Beliau yang bertanding atas tiket Pas pada PRU13 lalu memberitahu, tiada sebarang peruntukan dalam undang-undang supaya mana-mana wakil rakyat berbuat demikian selepas keluar daripada parti asal untuk menyertai parti lain.

“Pihak yang menyuruh meletak jawatan kerana ia berkaitan dengan moral, tetapi kalau perjuangan parti yang dulu sudah berubah, kalau dulu ‘Pas For All’ tetapi sekarang ini tidak melambangkan untuk semua, golongan profesional pun sudah ditolak, (hubungan) dengan bangsa lain pun sudah longgar, bagaimana pula? Kalau orang berubah, kita berubah,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang mahu bekas ahli Pas yang memenangi kerusi Dun serta Parlimen perlu meletakkan jawatan sekiranya mereka menyertai Parti Amanah Negara.

Takiyuddin berkata, perkara itu perlu dilakukan berdasarkan bai’ah yang ditandatangani oleh bekas ahli parti itu. 

Mengulas mengenai bai’ah, Raja Bahrin berkata, pihaknya menerima pandangan daripada Penasihat Umum Parti Pekerja Malaysia, Ahmad Awang bahawa bai’ah yang dilafazkan wakil rakyat Pas yang meninggalkan parti itu tidak lagi sah selepas PR berkubur.

“Bagi saya cukuplah dengan kenyataan dibuat Ustaz Ahmad di mana ia hanya terpakai apabila situasi yang wujud dahulu kekal. Apabila berubah, bai’ah sudah tidak terpakai,” katanya.

Menurutnya, Parti Amanah Negara akan dilancarkan secara rasmi di peringkat Terengganu pada 4 September ini, di Dungun.

Raja Bahrin yang bertindak selaku Pengerusi Parti Amanah Negara Terengganu berkata, beliau akan tetap menggunakan pejabat ahli parlimen di Paya Keladi untuk menyampaikan khidmat kepada rakyat.

Ditanya mengenai sasaran keahlian khusus di negeri ini, beliau percaya parti tersebut boleh pergi lebih jauh walaupun Terengganu lebih didominasi Pas dan Umno. 

Jelasnya, Parti Amanah Negara lebih inklusif kepada semua kaum dan agama, serta tidak terhad kepada mana-mana golongan.

Menurutnya, parti itu juga tidak mewujudkan persaingan dengan PKR, lebih-lebih lagi apabila parti tersebut turut memberi kerjasama yang baik kepada pihaknya dan kedua-duanya bakal bergabung dalam PR II yang turut melibatkan DAP kelak.

Sementara itu, mengulas penyertaan dalam PRU14, beliau tidak menolak parti itu akan menurunkan calon sekiranya ada keperluan untuk bertanding di negeri ini. - Sinar Harian/2/9/15

, , , , ,

Mat Sabu Minta PAS Kenang Jasa


KOTA BHARU - “Saya tidak akan lantik peguam untuk tuntut harta sepencarian,” itu sindiran Pengerusi Parti Pekerja Malaysia, Mohamad Sabu atau Mat Sabu kepada bekas rakan seangkatannya dalam parti Pas.

Menurutnya, walaupun kini beliau dipandang ‘kecil’ di mata Pas, namun jasa dan pengorbanan beliau sewaktu berada di dalam parti Islam itu selama 37 tahun seharusnya dikenang parti Islam itu.

“Saya sekarang kalau tengok markas Pas, air mata masih mengalir, bukan senang untuk ke wadah Islam, tapi bot lain, kapal lain, sebab markas mana yang saya tidak ceramah untuk kutip derma, semua saya pergi. Sampai ada satu masa itu, kaset saya mengatasi jualan kaset Ning Baizura.

“Tetapi kawan-kawan, adik-adik ini kasar, mereka bersikap macam halau kita, saya kata saya tidak ambil peguam pun untuk tuntut harta sepencarian. Kalau saya tuntut, banyak mana pun tak tahu. Segala khidmat dan segala bentuk jasa serta pengorbanan itu kita tidak ungkit dan halalkan semuanya,” katanya semasa menyampaikan ceramah sulung Parti Pekerja Malaysia di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengerusinya, Salahuddin Ayub, aktivis DAP, Young Syefura Othman atau Rara Othman, bekas Menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim dan barisan pemimpin utama Parti Pekerja Malaysia.

Menurutnya, perkara tersebut merupakan asam garam politik di Malaysia dan beliau masih optimis dengan penganjuran Bersih 1.0 sehingga 4.0, matlamat utama untuk menawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang tetap menjadi pemangkin parti baru yang ditubuhkan itu.

Bekas Timbalan Presiden Pas itu juga berkata, walaupun wujud insiden memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, namun itu bukan salah satu acara dalam penganjuran Bersih 4.0.

“Dalam himpunan itu ada macam-macam. Saya cukup tidak setuju dengan apa yang berlaku, saya cukup marah dengan insiden tersebut, tidak kira lah gambar Datuk Seri Najib ataupun Tok Guru Haji Hadi, saya tidak setuju.

“Saya amat sedih dengan perkara ini, perkara yang sama juga berlaku apabila gambar saya dan beberapa kepimpinan lain dipijak oleh pemuda kita, masa itu tidak muncul pun pahlawan yang membela. Mereka tidak kata apa-apa. Ada pun anak muda itu, semasa saya di tahan di ISA, mereka pun belum wujud lagi,”katanya.

Mat Sabu juga turut menasihati rakan seperjuangannya untuk terus menjadikan kepimpinan dan ketokohan arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz sebagai contoh terutamanya dalam mengendalikan kemelut perbezaan pendapat antara parti komponen.

“Walaupun mendiang Karpal Singh mempunyai pendapatnya sendiri mengenai pelaksanaan hudud, namun arwah Tok Guru mengambil sikap positif untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan pemberian kek hari jadi dan sebagainya supaya hubungan itu masih kekal walaupun berbeza pendapat. Tetapi kita sekarang, gaduh sikit, bercerai,”katanya.

Sementara itu, dalam sidang media yang diadakan selepas ceramah, beliau turut berkongsi harapannya untuk mencapai 50,000 keahlian dalam parti baru itu menjelang tarikh perasmian pada 16 September ini.

“Sambutan di luar jangkaan, kita pun masih belum dapat jumlah keahlian yang berdaftar sejak kelmarin kerana borang kini sedang giat diagihkan. Kami juga masih belum berbincang sama ada mahu bertanding di pilihan raya ataupun tidak,” katanya.

Mat Sabu ketika diminta mengulas mengenai isu bai’ah bagaimanapun tidak memberi sebarang komen dan tidak memberi gambaran jelas jumlah keseluruhan keahlian Pas yang bertukar ke parti itu. -Sinar Harian/2/9/15


, , , , , ,

Tak betul Jatuh Talak Tiga - Dr. Hatta



Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli menafikan dakwaan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob bahawa beliau kini secara automatik bercerai talak tiga dengan isterinya.

New Straits Times hari ini melaporkan, Ahmad mendakwa Hatta dengan sendirinya bercerai talak tiga dengan isterinya kerana meninggalkan PAS dan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Ahmad dilaporkan berkata, ia berikutan bai'ah yang pernah dilakukan wakil rakyat PAS sebelum ini.

"Tak betul semua tu (cerai talak tiga)", kata Hatta ketika dihubungi Malaysiakini.

Sehubungan itu, dengan nada sinis, Hatta mengucapkan 'terima kasih' kepada pesuruhjaya PAS Kelantan itu kerana mengaturkan hidup beliau.

"Terima kasih dekat dia (Ahmad) kerana mengaturkan hidup saya. Tak ada apa pun.

"Biarlah. Dia tak ada urusan dengan keluarga saya," kata Hatta yang juga bekas pengarah pilihan raya PAS itu.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai bai'ah yang pernah dilakukan sebelum ini, Hatta enggan mengulas lanjut dan hanya berkata:

"Dah banyak penulisan orang mengenai perkara itu (bai'ah). Biarlah, saya tak nak komen apa-apa," ujarnya.

Sumpah bai'ah dilakukan oleh setiap wakil rakyat PAS yang bertujuan untuk menghalang mereka dairpada melompat parti.

Dipercayai PAS setiap negeri mempunyai sumpah bai'ah masing-masing dan yang paling kontroversi adalah di Kelantan dan Terengganu yang memasukkan klausa perceraian.

Malah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga pernah dilaporkan berkata, wakil rakyat parti itu yang gagal mematuhi sumpah bai'ah perlu bersedia menerima laknat oleh Allah dan Rasulullah SAW.

Hadi dilaporkan berkata, lafaz sumpah taat setia kepada parti terkandung dalam bai'ah yang ditandatangani sebelum bersetuju menjadi calon atas tiket PAS dalam pilihan raya umum lalu, sama ada menang atau kalah.

Isu sumpah bai'ah ini timbul ekoran beberapa wakil rakyat PAS yang tewas dalam pemilihan PAS baru-baru ini, telah membentuk Gerakan Harapan Baru (GHB) dan kemudiannya menubuhkan parti baru, AMANAH. -Malaysia Kini/2/9/15


, , ,

Adun Pengkalan Kundor Sah Sertai Parti Amanah Negara


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Pengkalan Kundor Datuk Ir Pahrolrazi Zawawi daripada PAS mengesahkan menyertai parti baharu yang sedang dalam proses didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) iaitu Parti Amanah Negara (Amanah).

Bekas Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah dan Exco kerajaan negeri itu berkata dengan itu keanggotaannya dalam PAS gugur secara automatik.

Bagaimanapun, beliau akan terus kekal sebagai wakil rakyat DUN itu, katanya dalam sidang media di Alor Setar hari ini.

Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu pada Isnin lepas mengumumkan Amanah digunakan sebagai nama rasmi wadah politik GHB.
Katanya, GHB mengambil alih Parti Pekerja-pekerja Malaysia dan dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara, dan butirannya akan diserah kepada RoS bagi mendapatkan kelulusan.

Sementara itu, Pengerusi Penaja Amanah Kedah Datuk Dr Ismail Salleh yang turut hadir pada sidang media itu berkata, Amanah Kedah akan dilancarkan secara rasmi oleh penasihat umumnya Ahmad Awang pada 9 September ini. – Bernama, 2 September, 2015.

, , ,

Jumaat, 28 Ogos 2015

GHB Sertai Bersih 4 Sepenuhnya, Ganti PAS yang Boikot



Ketika PAS tidak menyertai Bersih 4, kesemua pemimpin dan ahlinya yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) bakal turun menyertai himpunan kali ini yang akan bermula esok.

Mereka akan ditempatkan di kesemua 5 pusat himpunan utama di tengah-tengah bandaraya dengan Masjid Negara menjadi tumpuan kepimpinan mereka yang dipecahkan mengikut negeri asal.

Pengerusi GHB, Mohamad Sabu bersama timbalannya Salahudin Ayub akan berhimpun di Masjid Negara bersama pemimpin GHB dari Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.

Turut sama di kawasan itu Datuk Dr Mujahid Yusuf, Mohd Sany Hamzan, Anuar Tahir, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh.

Peserta dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pula akan berkumpul di Central Market dengan dipimpin Dr Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat, Mazlan Aliman, Aiman Athirah, Adly Zahari, Zulkefly Mohamad Omar dan Aminolhuda Hassan.

Para peserta dari Wilayah Persekutuan, Selangor dan Pahang pula akan berkumpul di Menara Maybank dengan dipimpin oleh Dr Hatta Ramli, Khalid Samad, Hanipa Maidin, Izeham Hashim dan juga Dr Hamzah Jaafar.

Di Sogo pula, peserta dari Kelantan dan Terengganu akan berhimpun di bawah pimpinan Datuk Kamarul Baharin, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah dan Dr Siti Mariah Mahmud.

Peserta GHB dari Perak pula akan berhimpun di Brickfields dengan dipimpin Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin dan Asmuni Awi.

Turut serta bersama pimpinan mereka adalah pasukan Amal Relief (Arif) yang dibentuk GHB bagi menggantikan Unit Amal PAS yang sentiasa memberikan khidmat kawalan sebelum ini.

GHB juga membawa pasukan peguam mereka dalam membantu peserta perhimpunan kali ini.

Himpunan Bersih 4 akan diadakan pada 29 dan 30 Ogos ini di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu serta beberapa bandar utama dunia.

Ia akan bermula jam 2 petang esok dan akan berlangsung selama 34 jam bagi menuntut lima perkara iaitu bersihkan pilihan raya, wujudkan kerajaan yang bersih, berikan hak untuk membantah, kukuhkan demokrasi berparlimen dan selamatkan ekonomi Malaysia. – The Malaysia Insider/28 Ogos, 2015.


, , ,

Tan Sri Antara Akan Sertai Harapan Baru


KOTA BHARU - Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) yang akan melancarkan Parti Amanah Negara (Amanah) pada 31 Ogos ini, akan melibatkan pemimpin pelbagai peringkat, termasuk yang bergelar Tan Sri.

Pengerusi Harapan Baru Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, mereka yang terlibat dalam Amanah adalah daripada golongan profesional dan individu yang pertama kali terlibat dalam politik.

“Beberapa nama besar akan turut diumumkan sempena pelancaran itu, malah mereka yang terlibat dengan Amanah bukan dalam kalangan pemimpin yang bertanding pada muktamar Pas tahunan Jun lalu.

“Ini sekali gus menolak dakwaan penubuhannya disebabkan kecewa selepas digugurkan daripada barisan kepimpinan parti,” katanya kepada media selepas melawat mangsa kebakaran di Taman Kenangan di sini, kelmarin.

Wan Abdul Rahim berkata, pada majlis pra pelancaran itu juga beliau akan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Kota Bharu, bagi memberikan komitmen kepada parti baharu itu.

“Pada hari itu juga barulah ada parti, borang, pendaftaran, nama, logo dan kita akan edarkan borang keahlian,” katanya.

Wan Abdul Rahim, bekas Ahli Parlimen Kota Bharu juga berkata, pelancaran secara rasmi akan diadakan pada 16 September di Kuala Lumpur.

“Pada 11 September kita akan melancarkan di Kelantan yang disertai pengisytiharan kepimpinan di peringkat negeri,” katanya.

, , , , ,

24 AJK PAS dan DHPP Letak Jawatan,Harapan Baru Ambil Alih Pejabat Pas Jelebu

JELEBU - Seramai 24 orang daripada 28 Ahli Jawatankuasa termasuk ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) kawasan itu mengisytiharkan keluar parti berkuatkuasa hari ini.

Sehubungan itu, Pejabat Pas kawasan itu ditutup dan akan menjadi pejabat operasi Harapan Baru kawasan berkenaan.

Timbalan Pengerusi Harapan Baru Jelebu, Muhammed Zabidi Abdullah berkata, mereka akan menghantar surat perletakan jawatan kepada Pas Pusat minggu depan dan keahlian mereka juga akan terlucut selepas menyertai parti baharu.

"Setakat ini kita telah menerima keahlian seramai 180 orang dan dijangka akan lebih ramai lagi penyertaan.

"Kita menjangkakan seramai 500 keahlian Harapan Baru sehingga hujung tahun ini,"katanya pada sidang media diadakan di sini, semalam‎.

Hadir sama, Pengerusi Harapan Baru Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar dan Timbalan, Muhamad Taufek Abdul Ghani.

Menurutnya, tindakan itu diambil kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pas sekarang yang membiarkan 'mungkar fitnah' berleluasa semasa pemilihan di dalam Muktamar Ke-61 lalu. -Sinar Harian/28/8/15

,

Rabu, 26 Ogos 2015

GHB Cipta Gelombang dengan Peletakan Jawatan dalam PAS - Penganalisis



Gerakan Harapan Baru (GHB) setakat ini berjaya menghasilkan gelombang dalam sokongan yang diterima mereka melalui peletakan jawatan beramai-ramai ahli PAS kawasan yang berlangsung di seluruh negara, menurut penganalisis.


Namun begitu, Profesor Datuk Dr Redzuan Othman (gambar, kanan) mengingatkan, ia tidak akan bertahan lama dan mereka perlu memberikan fokus khusus kepada usaha meneruskan penampilan mereka dalam pentas politik Malaysia.

"Mereka berjaya hasilkan gelombang, tetapi tidak boleh dengan cara itu saja. Mereka perlu fokus dalam aktiviti mereka selepas ini dengan memperkenalkan apa yang mereka perjuangkan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Pakar sejarah dari Universiti Malaya (UM) itu mengakui, tindakan peletakan jawatan dalam PAS secara berperingkat ini menyebabkan parti itu panik dan terpaksa membuat pelbagai program bagi menanganinya.

"Saya akui PAS memang panik dengannya. Sebab itu kita lihat banyak tindak balas daripada PAS," kata Redzuan, pensyarah sejarah UM yang juga bekas pengarah Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya UM (UMcedel).

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan kumpulan ini umpama "budak-budak merajuk" dan akan kembali kepada PAS selepas habis rajuk mereka.

Beliau mendakwa, keluarnya mereka adalah satu pembersihan kepada parti Islam itu dan gembira dengan apa yang berlaku.

Namun, tindakan PAS dalam menghadapi isu ini membayangkan sebaliknya.

Mereka kini mula memberikan reaksi agak berlebihan dengan membuat pelbagai program khusus untuk menghadapi perkembangan dalam GHB mutakhir ini.

Dalam mesyuaratnya pertengahan bulan lalu, Badan Perhubungan Negeri Selangor memutuskan menggerakkan kempen pendaftaran ahli baharu bagi membuktikan ramai yang mahu menjadi ahli PAS walaupun penyokong kumpulan serpihan itu keluar.

Mesyuarat itu memutuskan, setiap kawasan PAS di negeri itu dikehendaki mengumpul 500 ahli baharu dengan meminta setiap cawangan mendapatkan sekurang-kurangnya 15 dan setiap ahli jawatankuasa (AJK) kawasan mendapatkan 5 ahli baharu bagi mencukupkan bilangan.

Majlis pengisytiharan dan penyerahan borang ahli baharu itu akan dibuat setiap kawasan sempena Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (Pihak 13.0) pada 13 September ini, 2 hari sebelum pelancaran parti baharu yang bakal dinamakan Amanah.

Mesyuarat itu memutuskan, Pihak 13.0 akan diadakan di Banting, Selangor bagi memberikan gambaran PAS tidak terjejas dengan tindakan GHB.

Mutakhir ini, penggerak dan penyokong GHB mula meletakkan jawatan namun mengekalkan keahlian mereka dalam PAS menjelang pembentukan parti baharu mereka.

Ia bermula dengan PAS kawasan Kota Raja 19 Ogos lalu, dikuti Shah Alam pada malamnya dan Kelana Jaya 23 Ogos lalu, di Selangor.

Pada 23 Ogos juga, 91 AJK PAS kawasan dan cawangan di Gelang Patah, Johor meletakkan jawatan masing-masing.

Pada 24 Ogos pula, 6 AJK PAS Batu Gajah diketuai Naib Yang Dipertua Omar Bakar, meletakkan jawatan.

Ia dilakukan secara baik dalam mesyuarat bulanan PAS kawasan Batu Gajah dengan kesemua mereka menyerahkan surat peletakan jawatan secara rasmi kepada Yang Dipertua PAS Kawasan, Dr Nuri Al-Amin.

Mereka akan kekal sebagai ahli PAS sehinggalah keahlian gugur secara automatik selepas menyertai parti baharu yang dijangka diumumkan 31 Ogos ini dan dijadual dilancarkan secara rasmi pada 16 September, bersempena Hari Malaysia. – The Malaysian Insider/26 Ogos, 2015.


BAGASI KIRIMAN TERKINI

BAGASI KIRIMAN

PERHATIAN

Tulisan dalam blog ini sebahagian besarnya ialah respons/pendapat/ulasan RINGKAS/SPONTAN saya terhadap pelbagai isu dan perkara yang berlaku di serata negara mahupun di luar negara.

Sebahagiannya pula disalin & ditampal (
semoga dengan izin) dari blog, laman sesawang atau laman berita dari dalam dan dari luar negara. Hak cipta berita, artikel & makalah adalah milik laman sesawang atau blog tersebut.

Seboleh-bolehnya, saya cuba mengelak untuk menyiarkan mana-mana makalah/petikan/gambar tanpa restu pemilik asalnya. Jika mana-mana petikan/tulisan/gambar yang disiarkan dalam blog ini kurang disenangi pemilik asalnya, maka maklumkanlah segera kepada saya (di ruangan komen bahan terbabit) agar petikan/tulisan/gambar tersebut dapat dikeluarkan dengan kadar segera.

Untuk makluman, sebarang petikan, makalah, gambar yang dipetik dari laman berita atau dari blog /laman sesawang atau dari sumber internet yang lain tidak semestinya menggambarkan/mewakili pandangan saya dalam sesuatu isu yang berkaitan.

PENAFIAN:
Semua artikel atau berita yang disiar dalam blog ini adalah untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am. Ketepatan maklumat artikel atau berita itu perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan atau penyebaran maklumat palsu atau fitnah.

-tayadihmaysia@yahoo.com







TERIMA KASIH