Klik "LIKE" Untuk Terima Kemas Kini DCM di Facebook. Klik Butang "LIKE" di Bawah

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets

Rakan DUNIACACAMARBA

Rakan DUNIACACAMARBA

Jadi Rakan TM

Follow tayadihmaysia on Twitter

BAGASI KIRIMAN POPULAR

Iklan & Tawaran

1. Mari sertai ChurpChurp, berinteraksi bersama-sama dengan taulan sambil menjanakan pendapatan, Percuma! Lanjut sila klik di sini.





Advertlet Hutang DCM RM1710

Advertlet Hutang DCM RM1710
Review http://duniacacamarba2.blogspot.com/ on alexa.com

Sponsored Ads

Cerita UG- Kerajaan Perpaduang

Agenda Unity Government (UG). Apa progresnya selepas ketiadaan TGNA?Video lain:1....

Posted by DUNIACACAMARBA on Saturday, October 17, 2015

Memaparkan catatan dengan label Dr. Mahathir. Papar semua catatan

,

Selasa, 28 Jun 2016

Rasuah Tetap Rasuah



Oleh Tun Dr Mahathir Mohamad

Rasuah ialah jenayah yang dipandang keji dan kotor oleh semua masyarakat manusia. Ia dianggap lebih kotor daripada mencuri. Sebabnya ialah kerana sementara mencuri dilakukan terhadap orang yang berada, tetapi rasuah menyasar orang miskin dan daif.

Nasib mereka yang miskin ini menjadi lebih buruk kerana terpaksa menyuap rasuah. Masyarakat dan negara yang miskin tidak dapat dimajukan kerana rasuah meningkat kos dan melewatkan keputusan dan pelaksanaan.

Ada pihak yang cuba menghalalkan rasuah dengan mendakwa jika wang yang diterima diguna bukan untuk tujuan sogokan dibuat, maka ia tidak menjadi rasuah. Ia tidak menjadi jenayah sebaliknya ia menjadi halal. Oleh itu terimalah sogokan rasuah kerana ia tidak menjadi jenayah dan ia halal jika tidak laksana tujuan rasuah diberi.

Walaupun wang sogokan tidak diguna untuk tujuannya, tetapi wang atau pemberian rasuah masih menjadi jenayah dan ia tidak boleh dihalalkan. Pegawai tinggi yang menerima RM100 juta rasuah akan dikenakan tindakan sama ada dia tunai atau tidak tunai tujuan rasuah yang diberi kepadanya.

Ada yang berkata rasuah tidak termasuk dalam jenayah hudud. Ia tidak akan dihukum di dunia. Ia hanya akan dihukum di akhirat.

Pendapat ini seolah-olah memperkecilkan hukum akhirat dan menggalakkan amalan rasuah kerana tidak akan dihukum di dunia.

Pendapat seperti inilah yang merosakkan moral masyarakat manusia dan menghalang proses ke arah bertamadun. Masyarakat ini tidak akan dipercayai kerana moralnya rendah.

Dalam PRK baru-baru ini parti pemerintah menghulur duit, beras dan barangan elektrik sebagai cara sogokan untuk mendapat undi.

Penerima pula disuruh bersumpah ‘Wallahi, Wabillahi, Watallahi’, supaya mengundi parti yang sogok mereka. Jika mereka tidak undi seperti sumpahan mereka, maka segala pemberian itu adalah haram dimakan atau diguna mereka.

Ramai yang terima yang sumpah mereka apabila ditunaikan maka penerimaan mereka menjadi halal.

Sebenarnya pemberian kepada mereka adalah haram kerana ia sogokan rasuah. Rasuah tetap rasuah dan tidak halal bagi pemberi dan penerima. Tidak melaksana tujuan rasuah tidak akan menghalalkan rasuah. Balasan di dunia mungkin tidak berlaku kerana yang menghulur rasuah adalah juga mereka yang dipertanggungjawab mengawal rasuah. Pihak mereka ini lebih berdosa kerana sengaja tidak melaksanakan tanggungjawab mereka mencegah rasuah, sebaliknya merekalah yang melakukan rasuah.

Ada juga mereka yang berpendapat jika duit rasuah yang diterima diguna untuk kebajikan atau ibadat, maka mereka terlepas daripada membuat kesalahan bahkan mendapat pahala. Pendapat ini datang daripada orang yang ingin menyedapkan hati mereka.

Sebenarnya wang hasil pencurian atau rasuah tetap haram. Kebajikan atau ibadat yang dibuat tidak akan halalkan wang yang haram.

Ramailah yang sedia terima wang untuk buat ibadat haji dan umrah tanpa bertanya dari mana datang wang yang diterima. Kita tidak dipaksa oleh agama untuk buat kerja haji jika kita tidak mampu. Kita tidak dipaksa curi dan samun atau melakukan jenayah rasuah supaya dapat menunaikan ibadat haji.

Tetapi ada pendapat bahawa ibadat ini, walaupun daripada punca kewangan yang tidak halal, maka mereka sudah penuhi rukun kelima ini dan yang menghadiahkan belanja haji, terlepas dosa rasuah.

Agama Islam memberi kelonggaran tentulah kerana tidak hendak membebankan umat Islam sehingga mereka terpaksa berjenayah untuk membiayai pelaksanaan ibadat ini.

Tidak ada dalam Al-Quran atau hadis sahih yang menyuruh orang Islam mengamalkan rasuah atau menyamun atau mencuri supaya dapat buat kebajikan dan ibadat.

Yang menyebabkan adanya orang yang cuba menghalalkan rasuah, matlamat mereka ialah kerana kepentingan duniawi seperti umpamanya politik. Dalam masyarakat yang menghalalkan rasuah, yang berkuasa dan kaya boleh menindas yang miskin. Ini kerana segala urusan pentadbiran akan menanggung kos rasuah. Keselamatan rakyat juga akan terabai kerana sebahagian daripada dana pemerintah akan diselewengkan. Pihak berkuasa akan menipu rakyat sepanjang masa.

Inilah sebabnya mereka yang berhajat menyalahgunakan kuasa kerajaan sanggup menghulur rasuah daripada duit yang didapati secara halal atau tidak halal atau mempergunakan duit kerajaan dengan cara yang salah. Bagi mereka ini rasuah yang dihulurkan dalam pilihan raya adalah satu pelaburan yang akan hasilkan pendapatan tinggi dan kuasa berterusan untuk menerima rasuah lagi.

Ingatlah, wahai pemberi dan penerima rasuah, walaupun terlepas hukum di dunia tetapi di akhirat sogokan rasuah tidak akan menyelamatkan mereka daripada api neraka.

Tun Dr Mahathir Mohamad ialah bekas perdana menteri Malaysia dan tulisan ini diambil daripada blognya chedet.cc.

,

Tun M: Saya Tidak Lagi Bermusuh dengan Anwar



PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tidak lagi bermusuh dengan bekas anak didik dan seteru ketatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini sedang menjalani hukuman lima tahun penjara.

“Saya tidak lagi bermusuh dengan Anwar. Itu semua di masa lalu,” kata bekas perdana menteri itu dalam satu temubual dengan Mehdi Hassan, pengacara program UpFront di Al Jazeera.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai Anwar, dan menambah tidak punyai kuasa untuk membebaskan mereka yang sedang dipenjarakan.

Pernah dinamakan sebagai pengganti perdana menteri paling lama di Malaysia, Anwar – pada ketika itu timbalan perdana menteri – dipecat pada 1998 atas dakwaan rasuah dan seks luar tabii.

Ramai penyokong Anwar hari ini meletakkan tanggungjawab ke atas bahu Dr Mahathir di atas pemenjaraan ketua umum PKR itu.

Bekas wakil rakyat Permatang Pauh itu sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantunya.

“Dia sekarang ditahan bukan kerana saya, tetapi kerana Najib,” kata Mahathir, merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Meskipun negarawan ini mendakwa tidak lagi bermusuh dengan Anwar, pemimpin PKR itu masih berwaspada dengan bekas gurunya.

Pada Mei lalu, Anwar mengutuskan surat amaran kepada kepimpinan partinya supaya berwaspada dengan muslihat Dr Mahathir susulan pelancaran Deklarasi Rakyat, yang menuntut perletakan jawatan Najib dan perlaksanaan reformasi institusi di negara ini. -FreeMalaysiaToday/23/6/2016


, ,

Ahad, 12 Jun 2016

[Video] Tun Mahathir Isytihar Sokong Calon HARAPAN




Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan sokongannya kepada Parti Amanah Negara dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur.

Ia selepas Azhar menandatangani Deklarasi Rakyat hari ini untuk menyokong gesaan pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sambil menegaskan bahawa beliau bukan lagi ahli mana-mana parti, Dr Mahathir berkata beliau berada di situ sebagai seorang warganegara yang prihatin.

Kerana sebab itu, tambahnya, beliau datang untuk menyokong ahli AMANAH yang menandatangani Deklarasi Rakyat untuk menyingkirkan Najib.

Beliau menegaskan demikian dalam ucaptamanya di forum anjura DAP mengenai 1MDB dan skandal RM2.6 bilion di Sekincan. - Malaysia Kini/11/6/2016

,

[Video] Tun M: Saya Jelaskan Perihal Najib, Tetapi Hadi Hanya Nampak 'Dedak'


Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan bahawa beliau telah menemui Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menerangkan dakwaan salah laku Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

"Saya jelaskan secara peribadi kepada Hadi mengenai salah laku Najib tetapi apa yang dia nampak ialah dedak," kata Mahathir kepada kira-kira 300 hadirin dalam majlis anjuran Pakatan Harapan di Kuala Kangsar, hari ini.

Ketika diminta menjelaskan apa yang dimaksudkan beliau itu semasa sidang media sejurus selepas majlis berkenaan, Mahathir berkata, beliau tidak pasti sama ada Hadi makan dedak atau belum.

"Tetapi untuk mengatakan dia tidak tahu mengenai salah laku Najib adalah mustahil kerana saya telah berikan penjelasan panjang lebar mengenai perkara itu," katanya.

Antaranya ialah pembentukan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan dakwaan penyalah gunaan dana firma pelaburan milik negara itu, kata Mahathir lagi.

"Ia adalah perkara yang saya telah menjelaskan kepada Hadi dan beliau mengakui bahawa terdapat beberapa kebenaran di dalamnya apabila bertemu dengan saya.

"Tetapi akhirnya, kerana dia kini bersendirian dan PAS tidak lagi mempunyai sekutu , sebab itu dia sedang berjuang di sisi Najib," katanya.

Perjuangan semasa PAS, katanya, adalah semata-mata untuk membantu Najib. - Malaysia Kini/12/6/2016


Respons Haji Hadi.

, ,

Sabtu, 21 Mei 2016

Tun Mahathir Bimbang PAS Beri BN Menang Tanpa Bertanding



Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru pertandingan satu lawan satu antara “calon rakyat” dengan BN dalam dua pilihan raya kecil bulan depan.

Bekas perdana menteri 22 tahun itu menyeru orang ramai memberi kemenangan besar kepada lawan BN, seperti PAS.

Beliau bagaimanapun mempunyai kebimbangan terhadap 'pengkhianatan' PAS menarik diri dan memberikan kemenangan percuma kepada BN.

“PAS mungkin juga pura-pura menamakan calon tetapi apabila rakyat tidak meletak calon, PAS akan menarik diri supaya BN menang tanpa bertanding.

“Kita tidak akan hairan jika ini dilakukan oleh PAS.

“(Presiden PAS Datuk Seri) Hadi (Awang) nampaknya sudah terima cash is king Najib walaupun dunia anggap Najib sebagai pemimpin yang kuat rasuah," dakwanya.

“Itu pilihan Hadi dan itu memanglah haknya. Sebab itulah PAS berpecah."

Baca tulisan penuh Tun Mahathir: Menang pun PAS cuma jadi hamba BN.

, ,

Selasa, 17 Mei 2016

11 Inti Pati Amanat 'Puitis Tetapi Pedas' Anwar



Jarang ahli politik menulis surat panjang lebar dengan penggunaan bahasa indah berhias puisi-puisi penyair terkenal seluruh dunia.

Tetapi di sebalik pemilihan kata-kata, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengejutkan banyak pihak dengan surat lapan halaman daripada penjara yang lantang mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad dan Deklarasi Rakyat.

Anwar menyentuh pelbagai isu, daripada masalah keteguhan perjuangan dalam PKR kepada kelicikan dalam politik Malaysia.

Selain Mahathir, Tun Daim Zainuddin yang dilihat 'orang kanan' perdana menteri keempat itu serta Tengku Razaleigh Hamzah tidak terlepas daripada kritikan Anwar.

Bagaimanapun, surat panjang itu mungkin sedikit sukar difahami gaya penulisan itu. Berikut inti pati amanat Anwar itu yang disusun semula oleh Malaysiakini:


(1) Terdapat pemimpin PKR bersekongkol dengan Mahathir dan Tun Daim melalui Deklarasi Rakyat. Strategi itu menggugat perjuangan PKR dan pemimpinnya harus menghindari permainan elit penguasa untuk mengekalkan sistem usang. Mahathir dan Daim agresif mempertahankan sistem kroni kapitalisme.

(2) Tengku Razaleigh Hamzah licik mempergunakan akuan bersumpah (SD) anggota parlimen yang tidak menyokong kepimpinan Najib, walaupun menafikannya. Tengku Razaleigh atau Ku Li meletakkan diri sebagai calon kompromi di tengah-tengah pertembungan Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

(3) Anwar menetapkan jarak daripada awal dengan “kelompok Deklarasi Rakyat”. Agenda perubahan harus selaras dengan gagasan reformasi.

(4) Deklarasi Rakyat menafikan kepentingan moral untuk “reformasi terhadap demokrasi yang beramanah”. Pelancarannya seolah-olah ditetapkan tanpa boleh dirunding. Malah, pandangan PKR dimasukkan di saat-saat akhir dan sekadar mencantikkan deklarasi. “Dokumen Tun M” itu cacat dan tidak selari dengan pandangan reformasi.


(5) Deklarasi Rakyat hanya menumpukan kepada pengunduran Najib dan jauh terpesong daripada asas perjuangan PKR untuk kebebasan dan keadilan, kedaulatan undang-undang dan melawan salah guna kuasa serta rasuah.

(6) Mahathir pemimpin zalim dan paling korup sebagai mantan menteri kewangan. Bagaimanapun terdapat pemimpin PKR terpegun dan merendah diri dengannya seolah-olah masih tersekat dengan budaya feudal.

(7) Mahathir tidak pernah menghargai sifat berlapang dada padanya, bahkan menunjukkan sifat terkutuk meneruskan serangan peribadi. Lebih sedih lagi, penghinaan itu tidak dibela oleh rakan-rakannya yang lebih mementingkan usaha sama dengan Mahathir. Anwar dan Azizah merasakan keperluan membantah sebagai prinsip mempertahankan maruah.

(8) Kumpulan elit penguasa hanya berusaha menyelamatkan Umno. Memetik penyair Inggeris William Shakespeare, Anwar berkata “ular yang dulu mematuk kini memakai mahkota”.

(9) Anwar mengutuk sikap tidak peka yang mendesak presiden, dan khususnya Nurul Izzah (anaknya) membuat kunjungan hormat terhadap Mahathir. Hasrat mengambil hati Mahathir dengan menuntut pengorbanan keluarganya, terutamanya selepas cemuhan bekas perdana menteri itu, sangat tidak berhati perut.


(10) Dakwaan Najib menghantar Zahid bertemunya di Hospital Kuala Lumpur ketika beliau dimasukkan ke wad baru-baru ini adalah fitnah untuk melahirkan kesangsian dan perbalahan.

(11) Anwar berasa sugul. Derita di penjara tidak sekusut perkembangan terkini PKR apabila idealisme perjuangan mula terhakis, teruji dengan kilauan kuasa dan dana. Memetik penyair terkenal Indonesia Tawfiq Ismail, Anwar mengetengahkan sajak yang mengingatkan wujudnya golongan pengkhianat, penjilat dan pahlawan jadi-jadian dalam perjuangan. - Malaysia Kini/17/5/2016


Surat Penuh DSAI:

Saudara-saudara, presiden, timbalan dan rakan-rakan pimpinan yang dikasihi.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Permasalahan yang akan saya utarakan perlu dilacak dan diteliti dengan tenang. Intipati gagasan tidak tersasar dari dasar perjuangan dan konsisten dengan nada lakaran sebelumnya. Kekhuatiran saya adalah jika saudara-saudara sekadar mendengar dengan hormat tetapi gagal membenahinya.

Dalam sejarah perjuangan kita, terdapat episod getir yang menuntut bongkahan pemikiran dan penyuluhan. Permasalahan kini terkait dengan Deklarasi Rakyat yang turut mengheret pimpinan dan wadah kita untuk bersekongkol dengan Tun M dan Daim.

Pandangan saya mungkin bercanggah dengan pendirian majoriti pimpinan. Saya gusar kerana mengandaikan strategi tersebut agak terlanjur dan menggugat sendi nadi dan tunggak perjuangan. Kita perlu menghindari dari bahaya terjebak dengan permainan elit penguasa dan muslihat licik mereka untuk mengekalkan sistem usang. Kendati begitu, ramai rakan-rakan merasakan bahawa strategi baru tersebut ampuh dan terbaik.

Ia dikatakan berjaya memberikan lonjakan baru dengan penggemblengan semua kekuatan yang mungkin untuk menumbangkan Datuk Seri Najib selaku perdana menteri dan selanjutnya menjana perubahan. Mereka yakin untuk mengawal keadaan dan mengelak dari berlakunya sebarang penyimpangan. Pertembungan idea di kalangan kita mengusutkan memang perlu dirungkai tanpa mengundang perbalahan atau persengketaan peribadi.

Saya amalkan pendirian yang sama tatkala menyingkap inisiatif penandatangan akuan bersumpah bersama Tengku Razaleigh yang kini terkubur. Saya dan pimpinan telah memberikan persetujuan meskipun saya pohon kewaspadaan untuk kembali menegakkan dasar dan khittah perjuangan.

Kita juga tidak wajar mengungkit kebijaksanaan pimpinan menyertai dan menandatangani Deklarasi Rakyat (DR). Dalam beberapa warkah sebelumnya, saya terus menggesa pimpinan agar waspada dengan politik elit penguasa dan keperluan mempertahan dasar perjuangan. Persoalan sekarang adalah menentukan hala tuju seterusnya.

Saya lebih cenderung memilih tidak dilihat berpadu dengan kelompok DR, yakni dengan mula menetapkan jarak. Di sebaliknya kita perlu memperhebat dan memesatkan kempen menjana perubahan, menjadi pembela rakyat yang tertekan akibat kecelaruan dan salah urus ekonomi negara; selaras dengan dasar dan gagasan yang kita gendong selama ini. Kelompok DR, termasuk Tun M mungkin saja menyertai program tersebut tetapi perlu ketara agenda perubahan dan bukan DR. Izinkan saya jelaskan selanjutnya:

Saya pernah mempersoalkan dengan penuh kesangsian – ketika perbualan ringkas di mahkamah berkenaan mengapa kesungguhan kempen untuk mengangkat deklarasi yang menafikan kepentingan moral untuk reformasi terhadap demokrasi yang beramanah democratic accountability? Terima kasih kerana maklum balas segera dan nota-nota penjelasan.

Pelancaran DR adalah seolah-olah seperti telah ditetapkan tanpa boleh dirunding atau fait accompli. Hanya setelah desakan daripada pimpinan NGO pada saat-saat akhir, sebahagian daripada pandangan kita dimasukkan, hanya sekadar mencantikkan deklarasi. Secara dasarnya, ia kekal sebagai dokumen Tun M, cacat dan tidak selari dengan pandangan dari sudut reformasi.

Ia hanya menumpukan kepada pengunduran Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri susulan skandal 1MDB. Ini adalah jelas jauh terpesong daripada raison d’etre atau asas perjuangan kita; untuk kebebasan dan keadilan, kedaulatan undang-undang, melawan salah guna kuasa dan rasuah, dan keadilan untuk semua!

Pimpinan dilihat seperti terpesona dan berpuas hati dengan jaminan bahawa segala tuntutan akan ditangani setelah pengunduran Najib. Ini mengingatkan kembali kepada komplot ‘penguasa elit’ yang saya terangkan sebelum ini. Ia adalah secara jelas menguntungkan yang kaya dan yang berkuasa manakala rakyat akan terus dipinggirkan. Kita hanya baru sahaja terlibat dengan ‘akuan bersumpah – kemelut SD'. Jaminan yang sama diberikan secara tertutup.

Dan dalam keterujaan atau keterdesakan untuk mengubah tampuk kepimpinan negara, kita berikan komitmen. Sekarang ia menjadi bahan sindiran dan memalukan, khususnya apabila Ku Li sendiri menafikan keterlibatan beliau dan menganggap rancangan tersebut sebagai tidak masuk akal. Beliau licik mempergunakan SD ini untuk meletakkan diri beliau sebagai calon kompromi apabila berlaku pertembungan atau kebuntuan antara Zahid dan Hisham. Saya bingung bagaimana ada di kalangan kita dalam Pakatan Harapan yang terus meletakkan harapan agar ‘perubahan’ boleh berlaku melalui tipu muslihat.

Dan kini, meneruskan gerakan tersebut, yang dipimpin oleh mereka daripada kelompok penguasa atau pemerintah, kita bersungguh-sungguh memberi sokongan kepada usaha baru ini, digambarkan seolah-olah sebagai strategi inklusif – rakyat. Hanya satu penjelasan yang boleh diterima iaitu tindakan terdesak. Kita terdesak untuk angka sokongan – yang sebenarnya adalah demi kepentingan dalam politik tanpa sekelumit rasa bersalah.

Kita kena berlaku jujur. Kita terlibat dalam kedua-dua inisiatif dan bersetuju agar Johari Abdul mewakili kita dalam inisiatif SD manakala Azmin Ali, Tian dan Rafizi menyertai dalam inisiatif DR. Tetapi saya sentiasa mengelak daripada menggunakan terma menyokong dan komitmen. Ia meresahkan untuk melihat pimpinan kita menjadi sebahagian daripada pasukan dengan seorang pemimpin yang zalim dan paling korup sebagai mantan menteri kewangan!

Seorang peguam kanan memaklumkan kepada saya beliau memerhatikan bagaimana pemimpin-pemimpin ini terpegun dan merendah diri dalam kehadiran bekas autokrat dalam program terbuka seolah-olah masih tersekat dengan budaya feudal. Walaupun dengan kepetahan Azmin, Ambiga dan Mat Sabu yang lantang dan meyakinkan, pengolahan agenda reformasi hanya menjadi isu sampingan.

Jangan terpedaya dengan menganggap kenyataan-kenyataan mengutuk kezaliman yang melampau ketika waktu pemerintah Tun M akan mampu mengajak beliau untuk melakukan perubahan yang sistematik. Beliau terkenal dengan kecekalan, begitu tertumpu dengan agenda beliau yang sukar digugat. Ketakutan yang sentiasa menghantui diktator dan autokrat adalah pendedahan jenayah-jenayah yang dilakukan dan berbilion-bilion wang yang dicuri.

Sifat ihsan dan berlapang dada terhadap Tun M tidak pernah dihargai. Bukan sahaja tidak menyesal, beliau menunjukkan sifat terkutuk dalam diri beliau dengan meneruskan serangan peribadi. Penghinaan ini sedihnya tidak dibela oleh rakan-rakan yang saya letakkan kepercayaan. Saya beranggapan kalian lebih mementingkan untuk mempertahankan usaha sama dan kepentingan dengan Tun M.

Malangnya, ini hanya akan meyakinkan beliau untuk tidak rasa bersalah terhadap kerosakan dan pembaziran yang berlaku ketika zaman beliau. Gayanya seperti telah beralih dari menafikan kepada menghapuskan kesalahan lampau! Azizah dan saya merasakan keperluan untuk membantah sebagai prinsip kami dan mempertahankan maruah. Kenyataan kami merujuk kepada pemerintahan autokratik, keperluan untuk wacana menyeluruh bukan seperti pendekatan diktator beliau.

Pandangan kami, deklarasi telah gagal untuk membawa kebajikan rakyat kebanyakan, terutamanya kesengsaraan ekonomi dan reformasi institusi. Kepada mereka yang taksub dengan Deklarasi, pasti tidak mengalukan kritikan sebegini. Saya minta berbeza pendapat dan mengutarakan penjelasan dalam perkara tersebut.

Seterusnya pimpinan NGO telah membuat pendirian yang tegas kepada Tun M; walaupun secara peribadi berbanding dengan Tun M yang sentiasa memberi pandangan secara terbuka. Selepas itu penjelasan dibuat bagi perkara yang tidak mempunyai apa-apa perubahan; iaitu majoriti ahli Parlimen akan menentukan calon perdana menteri yang baru.

Dalam surat saya sebelum ini kepada Biro Politik, saya menzahirkan keraguan – yang mana deklarasi dan pendekatan baru ini bertentangan dengan perubahan jitu atau reformasi. Saya menyeru pimpinan untuk tidak memandang rendah komplot mereka. Jangan terlalu yakin dengan menganggap kalian mampu mematahkan percaturan mereka. Jangan peringatan ini dipandang remeh.

‘The best lack of all conviction,
whilst the worse
Are full of passionate intensity’ [William Butlers Yeats]

‘Yang baik tidak yakin dengan kebaikan,
Manakala yang buruk
Tegar dengan tumpuan sepenuh jiwa mempertahankan keburukan [WB Yeats, penyair dari Ireland]

Berhati-hati dengan Machiavellians yang akhirnya menyerahkan kuasa kepada kroninya.

Kita mengangkat diri kita sebagai mempunyai jiwa yang besar, didorong semata-mata demi kepentingan negara. Apa yang hilang daripada benak pemikiran kita adalah keadaan sebenar yang tatakelola dalam kerajaan telah dimusnahkan dan apa yang membimbangkan adalah tiadanya rasa menyesal dan tiada kesungguhan menyokong reformasi.

Kedua-dua Tun M dan Daim merupakan dalang dan begitu agresif mempertahankan kroni kapitalisme. Melalui proses yang tempang dan korup penjana bebas elektrik IPP dianugerahkan, projek lebuh raya diswastakan, barangan keperluan dimonopoli oleh kroni-kroni. Ianya amat jelas mempergunakan dan membebankan rakyat. Kerakusan ini tidak terhenti dengan pemerintahan mereka dan kesan kerosakannya masih dirasai sehingga kini.

Saudara mungkin dapat rasakan pendirian saya yang semakin tegas setelah pendekatan berjiwa besar dan berdamai yang mana pada awalnya seperti kebanyakan di kalangan saudara, saya agak naif menjangkakan Tun M akan lebih terbuka kepada perubahan. Beberapa siri perbincangan dengan pimpinan PH dan NGO tidak berjaya merubah atau menghalang ketaksuban dan dendam peribadi terhadap Najib tetapi bukan terhadap sistem yang bobrok dan rosak.

Ia seperti tidak masuk akal selepas bekerjasama dengan PH, NGO dan rakan-rakan kepercayaan saya, beliau masih terus menghina dan menyerang saya! Perangai seperti itu menghalang dari kemungkinan untuk pertemuan dengan ahli keluarga saya. Ada sahabat menyebut dengan takzimnya untuk tidak mengharapkan seorang yang telah berusia 92 tahun untuk akhirnya berubah. Ini hanya mengukuhkan keyakinan saya bahawa kumpulan elit penguasa hanya akan berusaha menyelamatkan Umno dan memastikan kebangkitan sistem usang.

‘The serpent that did sting…
Now wears the crown.’ [Shakespeare]

‘Berhati-hati jangan dipatuk dua kali…
Ular itu kini memakai mahkota’ [Shakespeare]

Rakyat kebanyakan kekal, sebagai suara yang penuh kesedaran, harapan rakyat untuk pendirian yang berprinsip. Kita tidak boleh dianggap sebagai menghalang atau melengahkan agenda reformasi; atau tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib rakyat.

Kita menuntut kebebasan, keadilan ekonomi, mengurangkan jurang kekayaan, melawan rasuah dan rampasan korporat. Percayalah dalam kebijaksanaan suara rakyat kebanyakan; dan berpandukan kepada aktivis, reformis dan memperkukuhkan akar umbi parti.

Izinkan saya mengulas kepada persoalan-persoalan lain. Maaf – tetapi saya tidak dapat mengelak daripada merasa terkejut dengan pandangan cetek yang melihat dengan kejatuhan Najib cukup untuk membawa perubahan ke arah demokrasi yang beramanah atau democratic accountability.

Saya telah menegaskan pendirian yang bertentangan dan tiada bukti yang boleh dikemukakan sebaliknya. Saya juga telah diminta untuk menunjukkan pendekatan jelas dan tidak mengelirukan terhadap deklarasi; dan saya berbuat demikian dengan tepat.

Tetapi saya mengutuk sikap yang tidak peka mendesak presiden, dan khususnya Nurul Izzah untuk membuat kunjungan hormat terhadap Tun M atau menyertai program beliau. Kamu mungkin nak mengambil hati beliau, tetapi menuntut pengorbanan daripada keluarga saya, terutamanya selepas cemuhan beliau baru-baru ini adalah sangat tidak berhati perut!

Dan tolong jangan melayan yang mengaku sebagai ‘sumber sahih, dipercayai’ yang mana Najib telah menghantar utusan untuk bertemu dengan saya dan telah berlaku satu pertemuan dengan Zahid di HKL minggu lepas.

Ini adalah fitnah dan disebarkan dengan niat untuk melahirkan kesangsian dan perbalahan. Kepercayaan adalah seperti semakin terhakis. Saya dengan yakin boleh mengandaikan kalaulah pertemuan itu benar-benar berlaku, kredibiliti saya masih kekal tidak terjejas. Dan sebaliknya, saya akan berterus-terang dengan rakan-rakan jika benarlah bahawa berlaku tawaran atau dakwaan terhadap mereka. Ia adalah memalukan untuk menunjukkan sikap sebegini; tetapi kita perlu membina semula kepercayaan dan mempunyai sifat kasih sayang.

Akhirul kalam – saya kini diselubungi rasa sugul. Saya tidak berhasrat membebankan saudara-saudara dengan derita kesepian mendekam di penjara. Ujian sedemikian betapa pun sukar buat saya, Azizah dan keluarga tetapi tidak serumit dan kusut menangani perkembangan parti mutakhir ini. Sejak bergulirnya Reformasi 1998, saya merasakan idealisme perjuangan mula terhakis, teruji dengan kilauan kuasa dan dana. Kekuatan saya sekadarnya, jika diakui adalah dengan meniupkan dan menyemarakkan kesedaran k earah perubahan – islah mas ta ta’ (perubahan sedaya upaya). Maka kita bergelut selama hampir dua dasawarsa menghadapi kekejaman dan keperitan hidup. Kita pecahkan tembok ketakutan; perkauman; kesempitan takrif agama kepada rahmatan lil ‘alamin.

Namun kegusaran saya adalah justeru perkembangan kini meletakkan kita di persimpangan jalan. Soal cita-cita murni, idealisme bukan lagi persoalan asasi tetapi pencak politik untuk berkuasa. Atau di sebaliknya, apakah saya dirundung malang kerana sukar menerima kenyataan? Memadai saya rumuskan keterbatasan dan kelemahan saya yang tidak upaya menggalas persefahaman baru DR.

Saya tidak berhalangan jika rapat umum dan sesi ceramah kita diteruskan dengan menekankan agenda Keadilan; menolak kerakusan kuasa dan pemerasan rakyat. Kelompok lain mungkin saja hadir menerangkan DR; tetapi jangan berganjak dari pendekatan kita. Pastinya tokoh lama tersebut yang tidak mendukung gagasan rakyat tidak wajar ditonjolkan kerana ia akan mengelirukan rakyat; mengaburkan agenda reformasi malah mengkhianati amanah islah.

Dalam wacana mengenai mauduk tersebut, itu saja batas yang saya mampu perakui. Jika majoriti memilih untuk mendukung persefahaman DR sepenuhnya; saya akur tetapi akan menyepi dan hanya mengulangi hasrat mendamba perubahan seutuhnya.

Kehampaan saya berikutnya justeru kelemahan lantas kegagalan menghimpun saf kepimpinan yang padu. Keupayaan dan peranan sebagai pengikat pimpinan dan kelompok juga kian terhakis. Maka kedengaran keluhan berunsur tuduhan bahawa saya turut memihak dan terkait dengan beberapa krisis sebelumnya. Saya cuba lakukan sebaiknya tetapi kudrat terbatas. Perseteruan sudah melampaui batas etika hingga kelihatan lebih lunak berurusan dengan musuh politik ketimbang teman seperjuangan.

Pelbagai ikhtiar, pujuk rayu dari saya tidak lagi mengesankan. Pandangan dan ulasan dari rakan-rakan sebegitu penuh dengan prasangka, dan sekilas mata dapat menyelamai kelompok yang diwakili. Persoalan nilai, akhlak, bahaya fitnah wajib dihindari. Maka keupayaan saya terbantut disini.

Saya pohon setulusnya agar warkah ini tidak diputar dan ditafsir mengikut selera kabilah. Warkah ini berupa wasiat dan amanah perjuangan untuk semua sahabat dalam saf kepimpinan. Telaah dan manfaatkanlah sebaiknya. Maaf dipohon seandainya dianggap terlanjur dan menyinggung.

Dalam kesepian dan murung, saya banyak menyemak puisi termasuk The Best Poems of the English Language: from Chancer through Proust karya Harold Bloom. Sebelumnya saya asyik dengan Pablo Neruda; Anna Akhmatova (Tsarina of Poetry); WS Rendra dan A Samad Said.

Rakan saya penyair Tawfiq Ismail pernah melakar di zaman remajanya – puisi yang saya hafal; dan pernah saya deklamasikan di Bandung sekitar 2005. Judulnya: "Memang Selalu Demikian, Hadi" (1966) di era gerakan mahasiswa menentang PKI dan Sukarno. Pohon izin menggantikan Hadi dengan "Saudaraku": "Memang selalu demikian saudaraku".

Setiap perjuangan selalu melahirkan
Sejumlah pengkhianat dan para penjilat
Jangan kau gusar, saudaraku.

Setiap perjuangan selalu menghadapkan kita
Pada kaum yang bimbang menghadapi gelombang
Jangan kau kecewa, saudaraku.

Setiap perjuangan yang akan menang
Selalu mendatangkan pahlawan jadi-jadian
Dan para jagoan kesiangan.

Memang demikianlah halnya, saudaraku.
Kepada Allah SWT dipohon keberkatan dan restu.
Semoga perjuangan diberkati. Amin

Anwar Ibrahim

, ,

Rabu, 23 Mac 2016

Anwar: Saya Tiada Dendam Peribadi dengan Mahathir, Najib


Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau tidak menyimpan ‘dendam peribadi’ terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mahupun dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya sudah maafkan semua orang lama dahulu.

"Pertarungan saya bukan bersifat peribadi; ia adalah mengenai pembaharuan institusi Saya tidak mempunyai dendam peribadi dengan Mahathir mahupun Najib," kata Anwar kepada Channel News Asia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam ketika beliau muncul sebagai peguam sendiri dalam kes saman fitnah .

Februari lalu, Anwar telah disabitkan dengan apa yang didakwanya sebagai rekaan tuduhan meliwat dan dihumban ke penjara Sungai Buloh untuk menjalani hukuman lima tahun.

Pada tahun 1998, ketika itu memegang jawatan timbalan perdana menteri, Anwar dipecat dan dipenjarakan selepas ‘bergeseran’ dengan Dr Mahathir yang adalah perdana menteri ketika itu.

Walau bagaimanapun, pada awal bulan ini, Anwar menyatakan sokongannya terhadap Dr Mahathir dan menggesa parti-parti pembangkang dan badan bukan kerajaan untuk bersama menjayakan Deklarasi Rakyat yang dipelopori oleh seteru politiknya.

Beberapa pemimpin utama, dari kedua-dua belah politik dan juga masyarakat awam memeterai deklarasi itu atas kapasiti peribadi masing-masing yang antara lain menuntut penyingkiran Najib sebagai perdana menteri dan pembaharuan institusi.

Najib terpalit dengan skandal kewangan sejak tahun lalu apabila syarikat pelaburan negara, 1MDB yang diilhamkannya sarat dengan hutang sedangkan dana M2.6 bilion didapati berada dalam akaun bank peribadinya.

Beliau secara konsisten menafikan sebarang salah laku dan mendakwa wang berkenaan adalah sumbangan politik.

Awal tahun ini, Peguam Negara mengumumkan bahawa beliau tidak akan meneruskan tuduhan terhadap Najib selepas mengkaji kertas siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung siasatan ke atas perkara itu. -Malaysia Kini/23/3/16


, , ,

Tun M Heret Najib ke Mahkamah, Tuntut Ganti Rugi RM2.6 Bilion


Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain hari ini memfailkan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi kemungkiran kewajipan fidusiari dan salah-laku tort misfeasance dalam jawatan awam.

Saman itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Selain Mahathir, plaintif lain adalah bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin dan bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Najib adalah defendan tunggal dalam tuntutan itu.

Ketiga-tiga plaintif adalah sebahagian daripada gerakan Deklarasi Rakyat untuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Najib melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam dan tort kemungkiran fidusiari dengan menyalah-gunakan kedudukannya.

Menurut mereka, Najib sebagai perdana menteri, pengerusi BN, presiden Umno dengan niat jahat dan mala fide menghalang, mencampuri, menindas dan menyalah pintas pelbagai siasatan dan inkuiri berhubung skandal 1MDB berserta kemasukan dana dalam anggaran USD700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun peribadi banknya.

Mereka juga memohon perisytiharan yang sama di mana Najib menyalah-gunakan kedudukan beliau untuk mengambil tindakan terhadap Anina dan Khairuddin.

Mereka juga menuntut RM2.6 bilion sebagai ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM42 juta.


Mereka memohon mahkamah perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Najib mengambil tanggungjawab terhadap salah-laku tort misfeasance dalam jawatan awam dan atau kemungkiran fidusiari dalam jawatan awam yang dilakukan olehnya. - Malaysia Kini/23/3/16


,

Ahad, 6 Mac 2016

[Video] Saya Tidak Pernah Benci Mahathir - Kit Siang



Pemimpin DAP, Lim Kit Siang mempunyai satu perkara untuk diperkatakan tentang Tun Dr Mahathir Mohamad yang dahulu lawan tetapi kini menjadi sekutunya- bahawa beliau tidak pernah membenci bekas perdana menteri itu.

"Saya tidak pernah benci Mahathir, saya tidak pernah benci sesiapa. Oleh kerana dalam politik, kamu tak boleh bersikap peribadi," kata Lim pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Lim berkata demikian walaupun hakikatnya beliau menghabiskan 17 bulan di kem tahanan Kamunting selepas ditahan di bawah ISA ketika Operasi Lalang pada 1987, semasa Mahathir menjadi perdana menteri.

Menjelaskan lebih lanjut, Lim berkata, beliau sebenarnya bertemu Mahathir selepas beliau dibebaskan untuk bertanya mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang ketika itu Ketua Pemuda Umno tidak ditangkap.

"Saya berkata kepadanya, 'Saya tidak datang bertanya kepada kamu mengapa kamu tangkap saya. Saya datang untuk bertanya mengapa kamu tak tangkap Najib. Jadi tiada apa-apa peribadi [...]. " katanya.

Najib, dalam perhimpunan pada bulan Oktober 1987, membuat ucapan yang terkenal di mana beliau menyatakan bahawa beliau mahu 'rendam keris dengan darah Cina'.

Najib telah menafikan membuat kenyataan itu.

Ops Lalang dilancarkan pada 27 Oktober tahun yang sama oleh Mahathir untuk meredakan 'ketegangan kaum'.

Tetapi hampir 19 tahun kemudian, Lim dan Mahathir adalah antara tokoh terkenal yang menandatangani Deklarasi Rakyat untuk menuntut perletakan jawatan Najib sebagai perdana menteri.

Terdahulu dalam ucapannya pada forum anjuran Wanita DAP Wilayah Persekutuan, Lim berkata beliau dan anaknya iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng adalah antara yang pertama ditahan dan yang terakhir dikeluarkan semasa Ops Lalang.

"Tetapi demi kepentingan negara, kita tidak perlu menjadi terlalu peribadi [...] ia adalah mengenai kepentingan rakyat dan negara," kata beliau sambil menegaskan bahawa semua perasaan peribadi dan perbezaan perlu diketepikan. -Malaysia Kini/6/3/16

, ,

Isnin, 29 Februari 2016

Mahathir: Umno Perlu Digulingkan, Tetapi ...



Umno perlu digulingkan daripada kuasa jika terus menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Parti itu perlu digulingkan.

"Tetapi pembangkang tidak mempunyai majoriti," kata Mahathir ketika ditanya sama ada Umno perlu disingkirkan.

Mahathir juga menolak sebarang harapan mengenai usul undi tidak percaya terhadap Najib kerana katanya, ahli parlimen Umno tidak mempunyai keberanian untuk berbuat demikian.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini ketika mengumumkan bahawa dirinya akan keluar Umno.

Sebelum majlis itu, Mahathir berjumpa dengan beberapa pemimpin pembangkang termasuk, Datuk Mujahid Yusof Rawa, Dr Hatta Ramli, dan Hanipa Maidin dari AMANAH dan naib presiden PKR Tian Chua.

Beliau berkata mereka berbincang dan bersetuju bahawa Najib perlu disingkirkan.

Ditanya apa langkah seterusnya, Mahathir mencadangkan sebuah gerakan utama bersama parti pembangkang untuk menyelaraskan usaha memerangi Najib.

"Ia belum lagi ditubuhkan. Saya berharap sebuah gerakan utama dapat menunjukkan komitmen mereka dengan menandatangani deklarasi bersama.

"Kita bersetuju untuk satu perkara, iaitu menyingkirkan Najib," katanya.

Namun, menurut Mahathir, dirinya tidak akan mengetuai kumpulan teras itu.

"Saya akan jadi seorang daripada (ahli) mereka bukannya ketua,” kata Mahathir.

Mahathir hari ini mengumumkan keluar Umno atas alasan parti itu sudah lari daripada landasan perjuangan sebenar.- Malaysia Kini/29/2/16

,

Tun Mahathir, Tun Siti Hasmah Keluar Umno dalam Protes



Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengisytiharkan keluar Umno buat kali kedua sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata membuat keputusan itu kerana Umno bukan lagi Umno dan hanya menjadi parti untuk mempertahankan Najib sebagai presidennya.

“Saya tidak boleh jadi anggota untuk parti sebegini,” katanya dalam sidang media di di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, beliau akan berada di luar Umno selagi Najib memimpin parti itu.

Mahathir berkata tindakan itu terpaksa diambil kerana sayangkan negara ini.

Beliau pada 19 Mei 2008 pernah melakukan tindakan sama sebagai tanda protes kepada pentadbiran perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Mahathir menyertai Umno semula pada 2009 selepas Abdullah berundur.

Reuters melaporkan beliau sebagai berkata tidak akan membentuk sebuah parti baru mahupun menyertai mana-mana parti.

Selain Mahathir, turut meninggalkan Umno hari ini adalah isterinya,Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan bekas pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Mahathir antara pemimpin yang lantang mengkritik pentadbiran Najib, terutamanya dalam isu syarikat pelaburan negara 1MDB yang sarat hutang.

Baru-baru ini anak beliau Datuk Seri Muhkriz juga digugurkan sebagai menteri besar Kedah, tindakan yang dilihat sebagai reaksi balas kem pro-Najib.

Kedudukan Najib kini dilihat semakin mencengkam dalam Umno dan kerajaan, terutamanya selepas peguam negara membersihkannya daripada sebarang salah laku dalam kes derma RM2.6 bilion ke dalam akaunnya dan SRC International.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dilihat hampir senada dengan Mahathir, juga telah digantung daripada jawatannya minggu lalu.-Malaysia Kini/29/2/16


Berkaitan:

Mahathir Harap Muhyiddin Juga Keluar Umno

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengikuti jejak langkahnya dan meninggalkan parti itu.

"Saya harap begitu," kata Mahathir ketika ditanya sama ada Muhyiddin patut meninggalkan Umno sebagai bantahan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Mahathir, beliau akan berada di luar Umno selagi Najib memimpin parti itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.

Selain Mahathir, turut meninggalkan Umno hari ini adalah isterinya,Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan bekas pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Jumaat lalu, Majlis Tertinggi Umno menggantung Muhyiddin sebagai timbalan presiden kerana terus lantang menentang presiden parti Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, tujuh blan lalu, Najib memecatnya sebagai timbalan perdana menteri kerana mempertikaikan cara isu 1MDB ditangani.

Bercakap pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu jika tindakannya akan mendorong orang lain untuk keluar parti, tetapi tidak akan menghalang mereka daripada berbuat demikian.

Sejurus selepas sidang akhbarnya, bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan turut mengumumkan bahawa beliau akan keluar Umno.

Sementara itu, Gerakan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) memberitahu pemberita bahawa mereka akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini untuk membuat keputusan sama ada untuk kekal bersama parti.

GKCM mendakwa mempunyai lebih 400 ahli di seluruh negara. - Malaysia Kini/29/2/16


,

Sabtu, 2 Januari 2016

Malaysia Muflis Jika Undur dari TPPA - Tun Mahathir



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan menjadi azab kerana negara akan selama-lamanya terbelenggu olehnya.

Ini adalah kerana walaupun Malaysia boleh keluar dari perjanjian itu, tetapi negara akan menjadi bankrap, katanya.

Beliau berkata ini adalah kerana TPPA membolehkan syarikat-syarikat asing untuk menyaman kerajaan bagi kehilangan keuntungan pada masa depan, jika Malaysia berhenti menjadi ahli bagi perjanjian perdagangan itu.

"Keputusan itu akan melibatkan banyak syarikat rugi dan dikatakan bernilai beratus-ratus bilion.

"Mahkamah tidak akan memihak kita dan kita lagi boleh bergantung simpati dan prihatin terhadap apa yang akan berlaku kepada ekonomi dan kewangan kita.

"Tidak ada cara kita boleh memberi tekanan atau merasuah mahkamah. Kita hanya perlu membayar berbilion-bilion," tulis Mahathir dalam blognya hari ini.


Beliau berkata pada masa lalu, Malaysia berjaya menjadi negara perdagangan ke-17 terbesar di dunia, tanpa perlu terheret dengan perjanjian perdagangan terhad.

Tetapi katanya, adalah sia-sia untuk bercakap buruk mengenai TPPA kerana kerajaan tidak akan mengambil kira sebarang nasihat.

"Kerajaan akan melakukan apa yang mahu mereka lakukan. Jangan tanya mengapa. Anda tahu apa jawapan yang akan diterima apabila anda bertanya kepada kerajaan,” kata Mahathir.

TPPA adalah perjanjian perdagangan bebas multinasional dengan Amerika Syarikat sebagai pendukung utama.

Selain Malaysia, antara negara lain yang terlibat dalam rundingan rahsia itu termasuk Australia, New Zealand, Vietnam, Mexico, dan Kanada.

Parlimen akan membahaskan sama ada atau tidak menandatangani perjanjian itu pada sesi sidang khas Dewan Rakyat pada 26 Jan dan 27. - Malaysia Kini/31/12/15



, , , , ,

Selasa, 8 Disember 2015

[Video] Cerita Pertemuan Muhyiddin dan Tun Mahathir dengan Penyokong di Kelab Sultan Sulaiman


Dr M: Arab gila pun tak akan derma RM2.6 bilion

Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan penjelasan bahawa RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak adalah derma daripada Timur Tengah.

Secara sinis beliau berkata, jika “tok Arab” itu gila sekali pun, pasti beliau tidak akan menderma sejumlah wang yang amat banyak itu.

“Saya akan hadir ke mesyuarat agung Umno bagi mendengar (mengenai kewangan parti), yang mana bendahari mesti ikut peraturan jelaskan kewangan Umno, ada atau tidak RM2.6 bilion?

“Kalau tidak ada, di mana (duit itu)? (Kalau) duit itu dari tok Arab, saya ingat tok Arab itu gila,” katanya.

Malah, katanya, pengalaman beliau sendiri meminta derma, seperti untuk penubuhan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sebelum ini amat sukar.

“Tahu dari negara mana (yang bagi)? Kosong, katanya sambil disambut gelak ketawa peserta dalam acara di Kuala Lumpur bersama Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi.

Sementara itu, Mahathir juga berkata pernah meminta derma bagi menyiapkan dewan Pusat Islam namun tidak ada negara yang sudi memberikan sumbangan.

“Saya tulis surat, semasa itu saya belum jadi perdana menteri, tulis surat minta derma untuk kita sudahkan dewan saya cuma dapat jawapan dari Libya, lain-lain negara tidak jawab.

“Saya tidak dapat satu sen, (yang saya minta) ini untuk Islam.

“Tiba-tiba Datuk Seri Najib dapat RM2.6bilion,” sindirnya.


Dr M: Najib patut ditangkap bawah Sosma

Bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dipenjarakan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2015 (SOSMA).

Mahathir mengaitkan Najib dengan pemenjaraan bekas pemimpin bahagian Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang selepas membuat laporan polis dalam isu 1MDB.

“Saya ingat Najib perlu disiasat polis dan ditahan bawah Sosma lebih lama daripada Khairuddin.

“Kalau orang seperti Khairuddin, kena soal sebab buat laporan polis, saya ingat Najib kena soal dalam Sosma kerana tidak demokrasi.

“Najib kongkong mesyuarat agung dan tidak benarkan orang bercakap,” katanya kepada 1,000 hadirin di Kelab Sultan Sulaiman malam ini.

Mahathir turut berkata, Najib tidak layak menjadi perdana menteri kerana menggunakan kekerasan terhadap mereka yang mengkritik presiden Umno itu.

“Najib tidak layak jadi PM, dia akan guna kekerasan untuk tangkis desakan kepadanya, dia guna kekerasan untuk bagi amaran kepada kita.

“Kalau awak bercakap kami akan ambil tindakan.

“Itu negara demokratik ala Najib, kalau dia terus kekal, negara ini akan hancur, yang jadi mangsa bukan sahaja Melayu, Cina, India turut jadi mangsa,”

Mahathir turut mengingatkan hadirin yang hadir untuk mempersoalkan isu berkatan 1MDB dan derma RM2.6 bilion tanpa gentar.

“Jangan terima Datuk Seri Najib dalam apa cara sekalipun, persoalkan 1MDB, RM2.6 bilion tanpa gentar.

“No risk no gain, kalau balik nak senyap sahaja nanti akan jadi pengemis dalam negara kita,” katanya.

'Yang jadi barah, nanah dalam Umno mesti ditolak'

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini tampil melontarkan kritikan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib dan isu-isu berbangkit dalam negara, terutamanya dalam kes 1MDB.

Dalam ucapannya di hadapan ramai penyokong di Kampung Baru, Kuala Lumpur, Muhyiddin menegaskan bahawa pihak yang bermasalah dalam Umno harus ditolak.

“Siapa yang menjadi barah dan nanah dalam Umno mesti ditolak,” katanya sambil disambut sorakan orang ramai yang kelihatan amat bersemangat.

“Untuk selamatkan negara, (masalah ini) harus dibuang.”

Beliau berkata demikian apabila bercakap soal perubahan yang perlu dibuat oleh Umno supaya tidak ditolak oleh rakyat.

“Saya suka merayu untuk jalani pembedahan yang menyakitkan ini daripada menderita koma dan mati perlahan-lahan,” katanya bekas timbalan perdana menteri itu dengan berkias.

Muhyddin pada peringkat awal ucapannya dilihat agak berhati-hati.

Ketika mengulas tentang gesaan ke arah pengunduran Najib, beliau berkata mendapat banyak pesanan di laman sosial yang memintanya menyampaikan perkara itu.

Malah, katanya, gesaan itu yang kedua terbanyak diterimanya selepas kebimbangan berkaitan kenaikan kos sara hidup.

Muhyiddin juga ada awal ucapannya berkata Najib harus berehat sementara sementara dakwaan-dakwaan berkaitannya, termasuk isu 1MDB, diselesaikan.

“Rehat sementara. Bukan berhenti. Rehat saja, sementara. Jangan timbul persepsi PM campur tangan. Ambil cuti sampai kes selesai.

“Kemudian kalau tidak terlibat, kita doa tidak terlibat, baliklah (bertugas) semula,” katanya.

Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal turut hadir dalam acara bertemu penyokong itu di Kuala Lumpur malam ini.

Perhimpunan itu diadakan setelah Muhyiddin tidak lagi diberi peluang berucap kepada perwakilan dalam perasmian sayap ketika-tiga parti itu seperti kelaziman sebelum ini. -Malaysia Kini/8/12/15

, , ,

Sabtu, 5 Disember 2015

Tun Mahathir: Najib Rampas Kuasa Agong, Raja



Tindakan Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan merampas kuasa Yang Dipertuan Agong, dakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Akta itu juga, kata Dr Mahathir, MKN juga akan memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selain mengurangkan kuasa raja-raja.

“Kuasa Agong sekarang telah dipindahkan kepada beliau (Najib).

"Dengan kuasa itu, dia boleh mengisytiharkan darurat dengan mendakwa terdapat ancaman keselamatan. Siapa saja yang didakwa cuba sabotaj negara boleh ditangkap," katanya di majlis Bicara Santai Bersama Dr Mahathir di Senawang hari ini.

Proses pembentangan dan undian rang undang-undang itu didakwa dilakukan secara tergesa-gesa pada hari terakhir sidang parlimen kali ini.

Ia mendapat bantahan keras daripada wakil rakyat pembangkang hingga memaksa perbahasan berlarutan hampir enam jam, sebelum diluluskan melalui undi belah bahagi.

Ketika undian dijalankan rang undang-undang itu mendapat 107 undi menyokong manakala 77 undi menolak.

Dilulus undian majoriti

Antara hujah ketika perbahasan pembangkang adalah bahawa rang undang-undang itu menghakis kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong.

Rang undang-undang itu antara lain, memberi perdana menteri - atas kedudukannya sebagai Pengerusi MKN - kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai "zon keselamatan" dengan hanya kelulusan daripada anggota majlis berkenaan.

Apabila pengisytiharan dibuat, pasukan keselamatan dibenarkan membuat tangkapan, mengawal pergerakan, menahan atau memindah suspek, menyita dan menggeledah, merampas atau memusnahkan harta serta mengetepikan inkues dikemukakan pihak berkaitan.

Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas rang undang-undang yang diluluskan secara undi majoriti Dewan Rakyat pada 3 Disember lalu.

Mengulas lanjut, bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat di negara ini berkata sekiranya rang undang-undang tersebut diluluskan ia boleh digunakan untuk menangkap sesiapa saja yang dianggap kerajaan sebagai "mengancam keselamatan negara".

Bagaimanapun, pemimpin veteran Umno itu berkara pentadbiran Najib lupa sekiranya pembangkang berjaya mengambil alih Putrajaya nanti, kerajaan sekarang pula akan berdepan tindakan sama.

"Tetapi mereka lupa bahawa jika mereka kalah dalam pilihan raya umum dan yang jadi kerajaan parti lawan, pembangkang akan tangkap mereka semua," kata Mahathir sambil disambut tepukan gemuruh daripada hadirin.-Malaysia Kini/5/12/15

, , , ,

Isnin, 12 Oktober 2015

"Kita Lapor Jenayah, Tapi Kita Ditangkap" - Tun M




PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penahanan bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang adalah satu penyalahgunaan kuasa dan tindakan terdesak untuk mendiamkan pengkritik.

Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia bernasib malang apabila pihak berkuasa memberi ‘mesej’ bahawa tindakan akan diambil terhadap mereka yang melaporkan sesuatu kesalahan. mengenai pemimpin tertinggi negara.

"Mereka guna perkataan ‘sabotaj’ dari sudut pandangan mereka sendiri. Mereka ketepikan suara dan protes rakyat, kerajaan tidak berfungsi seperti sepatutnya.

"Ini perkara biasa... kita lihat jenayah kita lapor, tapi sebaliknya pihak berkuasa tangkap kita. Undang-undang untuk kebaikan rakyat bukan untuk untuk kerajaan sahaja…Khairuddin terpaksa buat laporan di luar negara kerana Peguam Negara tak ambil tindakan. Lapor saja, bukan dia pergi pasang bom atau guna senjata,” katanya pada sidang media khas di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, Isnin.

Sidang media yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu turut dihadiri Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, veteran Umno Tan Sri Sanusi Junid dan bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Ong Tee Keat.

Kesemua mereka hadir bagi menyatakan sokongan dan persamaan pendapat bahawa penahanan Khairuddin dan Matthias adalah satu penyalahgunaan undang-undang dan bagi memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya mereka dibebaskan. -Mstar/12/10/15

Berkaitan:

Veteran BN sertai perjuangan Dr Mahathir dalam kemelut 1MDB

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddn Yassin selepas sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, pagi ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 12 Oktober, 2015.

Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) menyertai Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini untuk bersuara menentang penahanan 2 individu yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu dalam kempen terhadap syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Antara yang hadir pada sidang media hari ini ialah Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, bekas setiausaha agung Umno Tan Sri Sanusi Junid dan bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat.

Dr Mahathir sedang mengadakan sidang akhbar pada masa ini di Yayasan Kepimpinan Perdana berhubung nasib bekas setiausahanya, peguam Matthias Chang dan bekas pemimpin cawangan Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Kedua-dua individu itu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan cubaan mensabotaj ekonomi, kewangan dan sistem perbankan Malaysia. – The Malaysian Insider/12 Oktober, 2015.

, , ,

Ahad, 20 September 2015

Najib Mungkin Boleh Ditangkap di Luar Negara, - Tun Mahathir



Datuk Seri Najib Razak berkemungkinan ditangkap polis antarabangsa atau Interpol jika negara asing menyiasat perdana menteri atas tuduhan pengubahan wang haram, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, sekiranya negara seperti Switzerland, Britain dan Amerika contohnya, mendapati Najib bersalah melakukan pengubahan wang haram, mereka berhak menyaman beliau atau meminta Interpol menangkapnya sekiranya perdana menteri pergi ke luar negara.

"Jadi, dia kena duduk sini (dalam negara), tak boleh keluar. Macamana dia tarik pasport orang, tak bagi keluar, dia pun tak boleh keluar juga.

"Itu mungkin (berlaku). Bukan akan berlaku, tapi mungkin, dalam keadaan dunia sekarang," kata negarawan itu dalam satu video yang dimuatnaik blog "Din Turtle".

Perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata demikian pada satu pertemuan dengan Kumpulan Melayu Berani Bersatu di sebuah restoran di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Dr Mahathir berkata, undang-undang dunia kini berbeza daripada dahulu di mana sekiranya sesuatu jenayah dilakukan di negara ini, hanya undang-undang tempatan yang berkuatkuasa.

"Tetapi, kalau jenayah itu ada kaitan sedikit dengan luar negeri, negara lain itu mempunyai kuasa (menyiasat dan mendakwa)," katanya.

Dr Mahathir memetik kes Presiden Sudan Omar al-Bashir yang kini dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk dibicarakan atas beberapa tuduhan, termasuk pembunuhan beramai-ramai di Darfur.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, waran ICC ke atas Omar mesti dilaksanakan oleh negara yang menandatangani Statut Rom.

"Dia (Omar) sudah didapati bersalah dan akan ditangkap kalau dia pergi ke mana-mana negara yang bersetuju dia bersalah," kata Dr Mahathir.

Beliau yang bertukar daripada penyokong kuat Najib kepada pengkritik paling tegar perdana menteri itu, sejak kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sumbangan dana politik RM2.6 bilion, merasakan Najib tidak akan meletak jawatan tetapi hanya berkemungkinan melalui pendakwaan di luar Malaysia.

Seorang lagi pengkritik Najib, bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan, dilaporkan pergi ke beberapa negara di Eropah dan Asia sebelum ini, mendesak siasatan dijalankan berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan 1MDB, dana pelaburan negara sarat hutang itu.

Najib juga merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Khairuddin turut menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa Switzerland pada 20 Ogos dan menggesa pihak berkuasa itu menyiasat aktiviti 1MDB yang melibatkan bank Switzerland dan bank antarabangsa.

Beliau menegaskan yang beliau hanya bertindak demi kepentingan negara.

Khairuddin dijadual bertemu ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat pada Isnin tetapi ketika hendak mengambil penerbangan pada Jumaat, mendapati ada sekatan dikenakan atasnya daripada meninggalkan negara.

Beliau kemudiannya ditahan polis pada hari yang sama atas dakwaan cuba menggulingkan kerajaan dan polis mendapatkan perintah tahanan reman 6 hari terhadapnya. – The Malaysian Insider/20 September, 2015.

, , ,

Khamis, 10 September 2015

Tun Mahathir: RM2.6 Bilion Wang Haram



Tun Mahathir Mohamad mendakwa tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuktikan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya didapati secara haram.

“Tindakan Najib menghalang siasatan ke atas wang 2.6 bilion ringgit yang ada dalam akaun peribadinya, membuktikan wang ini didapati secara haram.

“Jika didapati secara halal, Najib tidak perlu takut siasatan diteruskan,” kata Mahathir.

Menulis dalam blognya hari ini, Mahathir membangkitkan isu pembubaran pasukan petugas khas yang menyiasat isu berkaitan perkara itu.

“Sekarang wang ini telah dipindah entah ke mana. Apabila siasatan dibuat oleh badan kerajaan yang bertanggungjawab Najib bubar badan-badan ini,” katanya.

Pasukan itu meliputi empat badan penting, iaitu Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Jabatan Peguam Negara.

Mahathir berkata majoriti rakyat kini “benci” dan menolak Najib sebagai perdana menteri kerana tidak dapat menerima penjelasan bahawa dana yang dimasukkan ke akaunnya itu derma orang Arab. - Malaysia Kini/10/9/15


, , ,

Rabu, 26 Ogos 2015

Ulas Dana RM2.6 Bilion, Tun M Bangkitkan Isu 'Cuci Duit'



Walaupun bank harus mempertahankan kerahsian perbankan, institusi kewangan itu juga patut melaporkan kemungkinan berlaku aktiviti pengubahan wang haram, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bank-bank Malaysia, Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat tidak patut menyimpan rahsia perniagaan mereka dengan wang yang disyaki dicuri,” kata Mahathir ketika mengulas isu derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir berkata, apabila wang curi dimasukkan ke dalam bank, tujuannya tentulah untuk menghalalkannya melalui pengubahan wang haram.

Menyentuh isu akaun perdana menteri di Ambank yang ditutup, Mahathir berkata, apabila sesebuah akaun ditutup tidak bermaksud ia diambil secara tunai.

Malah, katanya, ia boleh dipindahkan ke pelbagai bank lain.

“Tetapi kita belum dengar sebarang bank laporkan wang ini bersama mereka. Dua akaun dilapor dibekukan di Singapura. Adakah ini semuanya.

“Sudah tentu pemegang akaunnya patut disiasat,” tulisnya dalam blog. - Malaysia Kini/26/8/15

BAGASI KIRIMAN TERKINI

BAGASI KIRIMAN

PERHATIAN

Tulisan dalam blog ini sebahagian besarnya ialah respons/pendapat/ulasan RINGKAS/SPONTAN saya terhadap pelbagai isu dan perkara yang berlaku di serata negara mahupun di luar negara.

Sebahagiannya pula disalin & ditampal (
semoga dengan izin) dari blog, laman sesawang atau laman berita dari dalam dan dari luar negara. Hak cipta berita, artikel & makalah adalah milik laman sesawang atau blog tersebut.

Seboleh-bolehnya, saya cuba mengelak untuk menyiarkan mana-mana makalah/petikan/gambar tanpa restu pemilik asalnya. Jika mana-mana petikan/tulisan/gambar yang disiarkan dalam blog ini kurang disenangi pemilik asalnya, maka maklumkanlah segera kepada saya (di ruangan komen bahan terbabit) agar petikan/tulisan/gambar tersebut dapat dikeluarkan dengan kadar segera.

Untuk makluman, sebarang petikan, makalah, gambar yang dipetik dari laman berita atau dari blog /laman sesawang atau dari sumber internet yang lain tidak semestinya menggambarkan/mewakili pandangan saya dalam sesuatu isu yang berkaitan.

PENAFIAN:
Semua artikel atau berita yang disiar dalam blog ini adalah untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am. Ketepatan maklumat artikel atau berita itu perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan atau penyebaran maklumat palsu atau fitnah.

-tayadihmaysia@yahoo.com







TERIMA KASIH