Klik "LIKE" Untuk Terima Kemas Kini DCM di Facebook. Klik Butang "LIKE" di Bawah

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets

Rakan DUNIACACAMARBA

Rakan DUNIACACAMARBA

Jadi Rakan TM

Follow tayadihmaysia on Twitter

BAGASI KIRIMAN POPULAR

Iklan & Tawaran

1. Mari sertai ChurpChurp, berinteraksi bersama-sama dengan taulan sambil menjanakan pendapatan, Percuma! Lanjut sila klik di sini.





Advertlet Hutang DCM RM1710

Advertlet Hutang DCM RM1710
Review http://duniacacamarba2.blogspot.com/ on alexa.com

Sponsored Ads

Cerita UG- Kerajaan Perpaduang

Agenda Unity Government (UG). Apa progresnya selepas ketiadaan TGNA?Video lain:1....

Posted by DUNIACACAMARBA on Saturday, October 17, 2015

Archives

,

Isnin, 25 April 2016

Berbalah Kerusi: Kit Siang Paling Sedih




KUCHING: Beliau tersangat dukacita melihat dua komponen terkuat Pakatan Harapan berlaga dan bertembung untuk beberapa kerusi dalam pilihan raya Sarawak.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat DAP hari ini, pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang melahirkan rasa sedih apabila menyaksikan PKR tidak mahu mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui dengan DAP.

Terdahulu, anaknya Lim Guan Eng mengatakan DAP berasa telah ditipu PKR. Kini, Kit Siang berkata tidak pernah berasa sesedih ini.

“Saya tersangat sedih dengan apa yang berlaku ketika penamaan hari ini. Kita berhempas-pulas sejak lapan tahun lalu, untuk membina gerakan yang kuat yang boleh menggantikan BN di Sarawak dan Malaysia, telah mengalami halangan yang besar.

“Malang sekali pimpinan PKR tidak boleh berpegang kepada persetujuan yang telah diikrarkan oleh kedua belah pihak.”

Kegagalan rundingan antara DAP dan PKR menyaksikan dua parti rakan itu bertembung di enam kerusi iaitu Mulu, Mambong, Murum, Simanggang, Ngemah dan Batu Kitang.

Meskipun Kit Siang enggan menjawab soalan bagaimana kedua parti itu merancang untuk mengenepikan perbalahan ini dan bekerjasama dalam pilihan raya, ahli politik veteran itu berkata semua yang berlaku bukan salah DAP.


“Semalam, seorang pemimpin PKR meminta DAP kembali ke meja rundingan. Saya tahu DAP tidak pernah meninggalkan meja rundingan itu. Kita telah capai suatu persetujuan, dan persetujuan itu telah ditandatangani dan persetujuan itu sepatutnya menjadi sandaran kepada PH dalam pilihan raya Sarawak ini.

“Tumpuan adalah pada BN, bukan PKR. Di kesemua enam kerusi (yang menjadi pertikaian) itu, saya nasihatkan semua ahli DAP supaya tumpu pada BN dan jangan ganggu PKR.

“Biar rakyat tentukan siapa betul, siapa salah. Samada PH boleh kembali seperti biasa atau tidak…kita akan tangani perkara itu selepas 7 Mei,” kata Kit Siang.

Beliau mengakui bahawa pertelingkahan secara terbuka telah menjejaskan pakatan itu dan DAP perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan semula kepercayaan pengundi.

“Saya yakin orang ramai berasa kecewa kerana mereka nampak pasukan yang bersatu dan padu ini, yang boleh mempertanggungjawabkan pemerintah BN, telah mengalami halangan.

“Menafikan majoriti dua pertiga merupakan sasaran yang wajar walaupun pada ketika ini saya percaya ia tidak mudah dicapai memandangkan apa yang telah berlaku (antara kedua parti).”

Bagaimanapun, beliau berharap PH akan mampu mengetengahkan barisan yang bersatu padu. -FreeMalaysiaToday/25/4/2016


,

[Video] PKR, DAP Berebut Enam Kerusi di Sarawak






Pakatan Harapan memulakan laluan berliku pada pilihanraya Sarawak ke-11, apabila berlaku pertindihan pencalonan bagi enam kerusi.

Pada penamaan calon hari ini, pegawai pengurus pilihan raya di Sarawak mengumumkan PKR dan DAP akan bertarung antara satu sama lain di enam kawasan pilihanraya.

Kerusi terbabit adalah Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong.

DAP mengambil keputusan untuk bertanding di kerusi Batu Kitang, walaupun sebelum ini diperuntukkan kepada PKR sebagai 'membalas dendam' kerana PKR memungkiri janji.

Lima kerusi lain itu sebelum ini diperuntukkan kepada DAP.

"Mereka (kepimpinan negeri) memberikan saya watikah (surat kebenaran), dan berkata 'anda teruskan', dan saya teruskan

"Sebab mereka kata saya berhak menerimanya," kata calon PKR untuk Mulu, Paul Baya, kepada pemberita di Marudi.

Di Batu Kitang, calon DAP Abdul Aziz Isa duduk dalam kenderaannya yang diletakkan berhampiran pusat penamaan calon sehingga beliau menerima berita bahawa PKR meletakkan calon bagi Mambong. Beliau kemudian menyerahkan borang pencalonan.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mengesahkan beliau memberi kuasa kepada pengerusi PKR Sarawak Baru Bian untuk mengeluarkan surat kebenaran kepada lima calon terbabit.

Azmin bagaimanapun tidak menyatakan bila mandat itu diberikan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail secara khusus untuk memberi lampu hijau menentang DAP.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu merasa "diperdaya".

"Ia bukan hanya satu kerusi, ia lima kerusi. Jika satu kerusi, kita faham dan kita boleh cuba untuk melupakan tetapi lima kerusi. Bagaimana kita boleh terlepas pandang?" katanya kepada pemberita di Miri.

Sebanyak 80 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Sarawak menjadi rebutan, selepas BN menang dua kerusi tanpa bertanding. Di bawah adalah senarai kerusi yang ditandingi oleh PKR dan DAP.

Batu Kitang:

Lo Khere Chiang (BN)

Abdul Aziz Isa (DAP)

Voon Shiak Ni (PKR)

Othman Bojeng (Bebas)

Sulaiman Kadir (Bebas)

Mulu:

Gerawat Gala (BN)

Paul Baya (PKR)

Paul Raja (DAP)

Roland Dom (Bebas)

Murum:

Chuk Tai Ugun (BN)

Mathew Silek (DAP)

Abun Sui (PKR)

Stanley Ajang Bato (Bebas)

Simanggang:

Francis Harden Holis (BN)

Norina Umoi anak Utot (PKR)

Leon Jimat Donald (DAP)

Ngu Piew Seng (Bebas)

Mambong:

Jerip Susil (BN)

Sanjan Daik (DAP)

Willie Mongin (PKR)

Ngemah:

Alexander Anak Vincent (BN)

Richard Anak Lias (DAP)

Thomas Laja Anak Besi (PKR)

Joseph Jawa Anak Kendawang (Bebas) - Malaysia Kini/25/4/2016

Berkaitan:

Pertembungan di 6 Kerusi: PKR Tipu Kami, Kata DAP

Masalah sekali lagi melanda pakatan pembangkang, dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan kekecewaan dengan keputusan PKR untuk bertanding menentang parti itu di lima kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak.

"Jika satu kerusi, kita boleh memahami. Kita boleh cuba untuk ketepikannya tetapi (ini sekurang-kurangnya) lima kerusi, bagaimana kita boleh ketepikannya?

"Kami rasa bahawa DAP telah ditipu," katanya kepada pemberita di luar pusat penamaan calon Senadin di Miri hari ini.

Menurut Lim, tidak ada komitmen daripada PKR untuk mematuhi perjanjian Pakatan Harapan supaya mereka tidak bertanding melawan antara satu sama lain.

Beliau berkata, tindakan DAP dan PKR berebut kerusi sama akan mengelirukan rakyat.


Kedua-dua sekutu itu akan menghadapi satu sama lain di sekurang-kurangnya lima kerusi - Mulu, Mambong, Ngemah, Simanggang dan Murum.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali hari ini mengesahkan bahawa beliau memberi kuasa kepada PKR Sarawak untuk menurunkan calon parti berkenaan di lima kerusi yang menjadi perbalahan dengan DAP.

Sebagai tindak balas, DAP pula meletakkan calonnya, Abdul Aziz Isa di Batu Kitang.

"PKR langgar perjanjian, jadi kami tidak mempunyai pilihan tetapi untuk bertanding di Batu Kitang," kata Abdul Aziz.

"Kajian Merdeka Center menunjukkan DAP mendapat lebih sokongan berbanding PKR jika kita bertanding di Batu Kitang tetapi dalam semangat Pakatan Harapan, kita memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di kerusi boleh menang ini," katanya.

Calon PKR di Batu Kitang, Voon Shaik Ni enggan mengulas mengenai harapannya dalam pertandingan melawan DAP.

Katanya, hal dalaman mereka tidak perlu didedahkan di khalayak ramai.


Voon berkata ia terpulang kepada kepimpinan parti masing-masing untuk menyelesaikan hubungan yang kusut itu dan kekal yakin dengan peluangnya.

"Saya tidak fikir perkara sekecil seperti ini boleh menjejaskan keyakinan kami," katanya.

Pakatan Harapan ditubuhkan selepas Pakatan Rakyat, termasuk PAS, sebelum ini menemui kegagalan.


Kerusi Bertindih: PKR Tuding Jari Kembali pada DAP


PKR hari ini menuding kembali jari kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng susulan pertindihan kawasan dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini.

Naib presidennya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata PKR telah membuka pintu rundingan sehingga tengah malam tadi tetapi gagal mendapat maklum balas Lim.

“Dalam erti kata lain, Lim Guan Eng membuat keputusan untuk bertanding di kelima-lima kerusi yang bertindih tanpa mempertimbangkan cadangan PKR untuk berunding secara saksama dan situasi menang-menang.

“Ini bukan semangat yang sepatutnya ada pada rakan politik.

“Yang menyedihkan hati kami jumlah kerusi yang bertindih diperbesarkan dari lima ke enam kerusi, termasuk Batu Kitang,” katanya.

Shamsul berkata keputusan itu boleh disimpulkan sebagai tindak balas yang membawa kerugian, melanggar persetujuan asal serta mengurangkan peluang kemenangan calon wanita muda profesional PKR Voon Shiak Ni.

Lim sebelum ini menyatakan kekecewaan dengan keputusan PKR bertanding menentang parti itu di lima kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak dan merasakan ditipu.

Kedua-dua sekutu itu akan menghadapi satu sama lain di sekurang-kurangnya lima kerusi - Mulu, Mambong, Ngemah, Simanggang dan Murum.

Sebagai tindak balas, DAP pula meletakkan calonnya, Abdul Aziz Isa di Batu Kitang.

Dalam kenyataan petang ini, PKR mengulangi bahawa musuh utama mereka adalah BN.

“Kami harap kita semua akan dapat bersatu dalam usaha menyerang dan menumbangkan BN dengan terus meraih sokongan rakyat,” kata Shamsul.

Kami sedaya upaya berunding dengan DAP, kata PKR

Rundingan dengan DAP berhubung agihan kerusi yang bertindih pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 terbuka sehingga hari terakhir sebelum hari penamaan calon hari ini, kata Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.

"Kami juga mengemukakan cadangan untuk menyelesaikan pertikaian. Malangnya, kami tidak mendengar sebarang khabar dari DAP hingga tengah malam semalam," kata Baru dalam satu kenyataan media.

Beliau juga mendedahkan bahawa keputusan PKR untuk menamakan calon mereka dibuat secara kolektif, oleh pemimpin-pemimpin negeri dan pusat.

"Kerusi-kerusi yang kami tanding adalah tempat-tempat yang kita telah kerja keras selama bertahun-tahun.


"Pakatan Harapan melalui proses rundingan, bersetuju dengan pembahagian untuk 95 peratus daripada jumlah kerusi, dan terdapat hanya lima peratus kerusi di mana kita tidak dapat mencapai kata sepakat.

"Pencapaian seumpama ini memang luar biasa kerana rundingan tidak pernah mudah," katanya.

Sebagai sekutu dalam pakatan pembangkang, Baru berhujah, PKR telah melakukan sedaya upaya mereka.

"Pada 22 April, apabila kita sampaikan watikah pelantikan kepada calon-calon yang dibuat tiga hari sebelum hari penamaan calon, kami hanya menyampaikan watikah pelantikan kepada 35 calon.

“Ini tidak termasuk calon di kerusi yang terdapat pertindihan tuntutan kerana PKR menghormati proses rundingan berterusan," katanya.

Baru berkata musuh sebenar parti-parti pembangkang adalah BN, dan berharap mereka boleh mengketepikan perbezaan untuk memberi tumpuan kepada perjuangan lebih besar.

P/s: BODOH!!!




,

Sultan Sah Lucut Semua Darjah Kebesaran MB Terengganu



Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin melucut semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Menurut Bernama, pelucutan itu berkuat kuasa Jumaat 22 April.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu hari ini.

"Setelah berunding dengan Dewan Pangkuan Diraja Negeri Terengganu, adalah dimaklumkan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah melucutkan semua Darjah-darjah Kebesaran Negeri Terengganu yang telah dikurniakan kepada Ahmad Razif bin Abd Rahman berkuat kuasa mulai hari Jumaat, 22 April 2016.

"Pengisytiharan yang dibuat ini tiada kaitan dengan perkembangan-perkembangan lain yang berlaku di negeri Terengganu," petik kenyataan itu.

Ahmad Razif dikurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 dan Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.


Ahmad Razif yang juga ADUN Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini meminta semua pihak menghentikan spekulasi mengenai kedudukan Ahmad Razif dan berkata beliau akan mengadap Sultan Mizan berhubung isu berkenaan dalam masa terdekat.

Beliau juga berkata pentadbiran kerajaan negeri Terengganu masih berjalan seperti biasa.

Hubungan antara istana dan Ahmad Razif menimbulkan persoalan sejak Sabtu lalu selepas beliau diperkenalkan dalam dua majlis rasmi tanpa gelaran darjah kebesaran 'Datuk Seri'.

Sesetengah penganalisis menjangkakan BN Terengganu bakal berdepan dengan krisis berikutan perkembagan itu kerana ia hanya mempunyai majoriti kerusi yang tipis.


BN mempunyai 17 ADUN, manakala pembangkang memiliki 15 kerusi - 14 daripada PAS dan seorang daripada PKR.

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, awal bulan lalu memfailkan undi tidak percaya terhadap Razif, mencetuskan khabar angin mengenai satu lagi pertukaran menteri besar.

Bagaimanapun usul itu ditolak oleh Speaker Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.

Razif mengambil alih jawatan menteri besar daripada Ahmad pada Mei 2014. - Malaysia Kini/25/4/2016


, ,

Jumaat, 8 April 2016

Mr Os Meninggal Dunia


JENAZAH Mr Os atau nama sebenarnya Mohd Yusoff Abdul Hamid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Permata, Seri Gombak, petang tadi.

Allahyarham dimasukkan ke Hospital Selayang Isnin lalu akibat sesak nafas.

Anaknya, Mohd Hazwan yang ditemui berkata, ayahnya seorang yang sangat kuat melawan sakit.

"Abah memang ada kanser tonsil tahap empat. Keadaannya bertambah teruk dan kanser telah merebak ke paru-parunya. Tapi, dia tidak mahu kami bersedih.

"Katanya, kalau mahu dia sihat, jangan sesiapa pun sedih atau menangis," katanya menahan sebak.

Katanya, beberapa jam sebelum ayahnya menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham masih boleh duduk dan cuba mencabut oksigen di bahagian hidungnya.

"Sejak Rabu lagi, doktor dah panggil saya menyatakan keadaan sebenar ayah.


[ARTIKEL BERKAITAN: Mr Os meninggal dunia, al-Fatihah]

"Menurut doktor, ayah sudah tiada harapan dan minta saya panggil ahli keluarga yang lain. Sepanjang dua hari ini keadaan ayah baik. Walaupun tahu keadaan sebenar, tapi melihat semangatnya, saya ketepikan kata-kata doktor.

"Tapi, pada jam 2.30 petang tadi, ayah pergi dengan tenang," katanya.

Allahyarham meninggalkan dua balu, tujuh anak dan dua cucu. 

Allahyarham Mohd Yusoff memulakan kerjaya seninya pada awal tahun 1980-an dan filem lakonannya mendapat tempat dalam kalangan penonton.

Salah satu filem yang dilakonkan turut menggunakan namanya sendiri sebagai tajuk filem.

Filem-filem lain lakonan Allahyarham adalah seperti Boss, Kembar Siam, Adik, Awang Spanar, Cikgu Romantik dan Hero.

Selepas menyepikan diri lebih lima tahun, Allahyarham bersama sahabat baiknya Abon membentuk Osbon dan menyertai Maharaja Lawak Mega pada 2011. 

Rezeki orang lama, Osbon dinobatkan sebagai juara.

Dua tahun kemudian Mr Os berganding pula dengan Isma Alif membentuk kumpulan Osama, namun gandingan itu tidak menjadi dan mereka tersingkir pada minggu-minggu awal.

Dalam pada itu, rakan artis yang ditemui turut melahirkan rasa sedih terhadap kehilangan besar ini.

Antaranya Bob Lokman, rakan artis yang sering bersama Allahyarham dalam aktiviti berdakwah.

"Saya jumpa Allahyarham Jumaat lalu. Ketika itu kami ada majlis di Temerloh, Pahang. Keadaan beliau memang nampak tak sihat, tapi semangatnya membuatkan dia tetap bersama kami.

"Sepatutnya kami bermalam di sana, tetapi tempat tinggal tu resort dua tingkat, Allahyarham tidak larat dan kami pulang terus ke Kuala Lumpur malam itu juga," katanya.

Bob berkata, Allahyarham ada menyatakan jika dia pergi dalam masa terdekat.. Dia akan rasa lain kerana akhirnya dapat kembali kepada Islam sebenar.

"Dalam keadaan sedih, saya gembira ALLAH SWT menjemput beliau pada hari Jumaat," katanya.

Seorang lagi rakan seperjuangan Allahyarham, Farouq Hussien berkata, pada awalnya, dia tidak mempercayai berita kematian itu memandangkan sebelum ini pernah menjadi viral tentang kematian Allahyarham.

"Saya dapat tahu kira-kira jam 3.15 petang. Saya telefon sendiri untuk pengesahan, dah tahu betul... terasa kehilangan sangat. Sebelum ini Allahyarham Pak Yus, Man Dayak dan terbaru Mr Os.

"Kali terakhir kami betemu setahun lalu untuk program Raja Pantun. Waktu itu pun kesihatan beliau kurang baik. Saya kenal beliau awal 1990-an dan pernah bekerja dalam beberapa persembahan," katanya. -Sinar Harian/8/4/2016


,

Khamis, 7 April 2016

Polis Kawal Rumah Lelaki Dakwa Miliki Berlian Gergasi



SIDRAP, INDONESIA: Polis terpaksa mengawasi rumah seorang lelaki selepas dia mahu menjual berlian gergasi miliknya dengan harga Rp7 trilion (RM2.07 bilion).

Ketua Polis Sidrap, Anggi Siregar berkata, polis tidak berdiam diri selepas kisah lelaki dikenali sebagai Qarsing mahu menjual berlian berkenaan tersebar meluas.

“Kami mengawasi rumah lelaki berusia 81 tahun itu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, Anggi menasihati penduduk supaya tidak terlalu terpengaruh dakwaan Qarsing bahawa berlian yang ditemui di laut itu asli.

“Sehingga kini hanya lelaki itu yang memberi jaminan berlian itu asli, tetapi belum ada pakar yang mengesahkan dakwaannya itu.

“Jangan sampai ada yang tertipu nanti kerana saya dengar dia mahu menjual berlian itu dengan harga yang sangat luar biasa.

“Sekiranya permata itu asli, sudah pasti ia direkodkan antara berlian paling besar di dunia yang pernah ditemui,” kata Anggi. - Agensi/7/4/2016

Setahun Kucing Tunggu Tuan Pulang



BELGOROD, RUSSIA: Seekor kucing yang duduk di tempat sama sejak setahun lalu setelah ditinggalkan pemiliknya menjadi viral di media sosial.

Gambar haiwan itu yang duduk di atas penutup lubang pembentungan di satu kawasan di Belgorod, Russia, pertama kali dirakam pada 2015.

Ia dilapor datang ke tempat yang sama setiap hari sejak ditinggalkan, seolah-olah menunggu tuannya.

Kisah kucing yang ditinggalkan itu dimuat naik ke Facebook oleh pengguna bernama Ostap Zadunayskiy.

Menurut lelaki berkenaan, dia mendapat tahu pemilik kucing terbabit pernah tinggal di kawasan berhampiran sebelum berpindah selepas menjual apartmentnya.

Menurut penduduk tempatan, mereka melihat kucing itu berlari mengejar tuannya apabila ditinggalkan.

Ia tunggu di tempat yang sama sejak itu.

“Inilah contoh kekejaman manusia dan kesetiaan haiwan sebenar,” kata Zadunayskiy.

Dia turut memuji tindakan penduduk tempatan yang memberi kucing itu makan setiap hari.

Ramai pengguna memetik kata-kata dari buku The Little Prince karya Antoine de Saint-Exupery, yang mengatakan: “Anda bertanggungjawab selamanya ke atas apa yang sudah anda jinakkan.”

Bagaimanapun, ramai juga yang curiga dengan cerita itu dan berpendapat kucing itu memang ada di situ kerana ia diberi makan setiap hari. - Agensi/7/4/2016

Ketahui Tempoh 'Ideal' Untuk Memuaskan Pasangan


MUNGKIN anda tertanya-tanya, berapa lama masa ideal untuk pasangan ‘bertahan’ ketika melakukan hubungan intim dalam memastikan kedua pasangan tersebut ‘menikmati’ hubungan berkenaan?

Mungkin kebanyakan lelaki mahupun wanita, ‘jaminan’ kepuasan dalam menjalinkan hubungan seks adalah bergantung kepada sejauhmana pasangan itu mampu bertahan dan mengakhiri klimaks hubungan asmara itu.

Namun, kini anda akan dapat jawapannya.

Seorang saintis dari Universiti Quennsland, Dr Brendan Zietsch mendedahkan purata masa bagi pasangan untuk ‘menghabiskan’ hubungan asmara mereka adalah pada minit ke 5.4.

Memetik laporan portal Look UK, purata masa tersebut diperolehi selepas Dr Brendan menjalankan tinjauan terhadap 500 pasangan.

Pasangan terbabit dibekalkan dengan sebuah jam randik dan dikehendaki menekan butang sebaik sahaja menjalinkan hubungan intim dan perlu memberhentikan jam tersebut sejurus sahaja lelaki ‘menarik alat sulitnya’ atau menghentikan hubungan seks tersebut.

Kajian yang dijalankan mendapati hubungan seks antara pasangan berkenaan berlaku dari masa 33 saat hingga 44 minit, tetapi masa purata adalah pada minit ke 5. 4.

“Anda mungkin sedar ini boleh mempengaruhi suasana pasangan, dan mungkin tidak menggambarkan situasi sebenar (pasangan lain).

“Tetapi sains jarang sekali sempurna, dan ini hasil yang kami peroleh,” kata Dr Brendan dipetik laporan tersebut.- mD/7/4/2016

Pekerja Venezuela Kerja Empat Hari Bermula Minggu Ini



Pekerja di Venezuela akan mendapat cuti tambahan hujung minggu pada setiap Jumaat sehingga awal Jun ini sebagai langkah segera kerajaan menjimatkan kos elektrik, lapor agensi berita AFP.

Hujung minggu panjang itu bermula minggu ini dan dijadual berakhir pada 6 Jun ini.

Keputusan itu diumumkan oleh Presiden Venezuela Nicolas Maduro melalui satu ucapan yang disiarkan di televisyen.

“Pelan selama dua bulan ini akan membolehkan kita menempuh waktu paling sukar dan paling berisiko ini. Saya menyeru semua rakyat untuk menyokong pelan ini dengan penuh disiplin, penuh kesedaran dan kerjasama untuk menghadapi keadaan yang ekstrem ini,” kata Maduro.

Laporan media bagaimanapun tidak menyebut apakah penutupan setiap Jumaat itu turut dikenakan ke atas sekolah dan semua urusan pejabat.

Pengumuman itu bagaimanapun disambut dengan reaksi yang pelbagai termasuk dalam kalangan rakyat yang mempersoalkan apakah dengan tidak bekerja rakyat akan menjimatkan elektrik.

Pengumuman ini menyusul langkah Presiden Venezuela memberikan cuti panjang sempena Hari Paskah ketika negara itu berdepan dengan krisis bekalan tenaga.

Cuti Hari Paskah selama dua hari pada hujung bulan lepas dilanjutkan sehingga lima hari.
Venezuela berdepan dengan krisis bekalan elektrik selepas kadar air di semua 18 empangan janakuasa hidroelektrik surut teruk kerana musim kemarau. - Agensi/7/4/2016

,

Gerakan Guling MB Johor oleh Kumpulan Najib – Ahli UMNO



PETALING JAYA: Gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin didakwa sedang giat dijalankan oleh kumpulan penyokong Datuk Seri Najib Razak.

Kumpulan penyokong Presiden UMNO itu diketuai oleh seorang timbalan menteri yang akan menjadi Menteri Besar Johor yang baharu bagi menggantikan Mohamed Khaled.

Gerakan menjatuhkan Mohamed Khaled dikatakan bagi mengawal UMNO Johor supaya tidak menentang Najib.

Dakwaan itu dibuat oleh seorang ahli UMNO, Shukur Mohamad menerusi posting di Facebooknya.

“Ada satu gerakan yang sedang dibuat oleh seorang timbalan menteri untuk mencantas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Gerakan ini kononnya hendak meletak timbalan menteri ini menjadi MB Johor bagi pihak Najib menjaga dan mengekang ahli UMNO Johor,” tulisnya.

Ketika dihubungi FMT, Shukur berkata, gerakan mencantas Mohamed Khaled kerana Menteri Besar Johor itu dilihat gagal mengawal pemimpin UMNO cawangan daripada menentang kepimpinan Presiden UMNO.

Ini kerana, katanya, gerakan menentang Najib bermula di Johor dengan penubuhan Gerakan Ketua Cabang Malaysia (GKCM).

Shukur berkata, dia mempunyai bukti terhadap dakwaan itu dan sedia diheret ke mahkamah ataupun Lembaga Disiplin parti.

“Kalau saya tiada bukti, tak mungkin saya membuat pendedahan seperti ini. Saya juga sedia diheret ke mahkamah jika ada pihak tidak berpuas hati,” katanya.

Ditanya siapakan timbalan menteri yang dimaksudkan itu, Shukur berkata, belum tiba masanya untuk didedahkan kerana banyak lagi maklumat berangkai yang akan disebarkan selepas ini secara berperingkat.

Menerusi satu lagi posting di Facebook, Shukur mendakwa, tawaran RM1 juta disediakan kepada individu yang berjaya mempengaruhi 20 cawangan UMNO di Bahagian Pagoh menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, tawaran RM1 juta itu dibuat oleh timbalan menteri dari kumpulan penyokong Najib.

FMT juga menghubungi seorang ketua cawangan UMNO Pagoh yang menafikan wujudnya tawaran RM1 juta dan usaha menjatuhkan Muhyiddin sebagai Ketua Bahagian.

Sebaliknya, dia yang enggan namanya disiarkan berkata, Muhyiddin sekarang ini sedang menjatuhkan dirinya sendiri.

Dia bagaimanapun mengaku UMNO Bbahagian Pagoh berpecah kepada dua kumpulan – penyokong Muhyiddin dan kumpulan penyokong UMNO Pusat/Najib. -FreeMalaysiaToday/6/4/2016


Saman, dan Saya akan Tunjuk Bukti – Anak Speaker Johor


PETALING JAYA: Ahli UMNO, Shukur Mohamad akan menunjukkan bukti wujudnya gerakan menggulingkan Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin, hanya jika dia disaman.

Beliau sebelum ini mendakwa adanya komplot yang diketuai kumpulan penyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak untuk menggantikan Menteri Besar di Darul Takzim.

Justeru, beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan kontroversi yang tercetus supaya meletakkan jumlah saman yang ingin dikenakan.

“Kalau saya salah saman lah saya, berapa pun saya terima, kalau saya menang saya tidak akan saman balik sebaliknya saya akan pastikan benda ini (gerakan jatuhkan Mohamed Khaled) ini terpampang di dada akhbar selama seminggu.

“Jangan cabar saya suruh tunjuk bukti di media sosial, kita cabar tunjuk bukti di mahkamah, biar mahkamah jadi penentu.

“Saya akan kelurkan semua bukti seperti yang kata (wujud gerakan jatuhkan Menteri Besar), saman saya hari ini, buat laporan polis kata saya fitnah. Tetapi kalau dia (kumpulan penyokong Najib) tak nak buat laporan polis, saya tidak akan keluarkan bukti dalam waktu terdekat,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab desakan Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Manap yang mencabar Shukur supaya menunjukkan bukti kewujudan gerakan menggulingkan Khaled yang diketuai kumpulan penyokong Najib.

Shukur sebelum itu mendakwa gerakan itu diketuai oleh seorang timbalan menteri. Menurut Shukur, timbalan menteri itu dikatakan akan diangkat menjadi menteri besar baharu sekiranya misi berjaya.

Shukur, yang juga anak kepada Speaker Johor, Tan Sri Mohamad Aziz berkata, sekiranya tiada saman dibuat terhadapnya, dia akan tampil membuat pendedahan itu seminggu sebelum Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan datang. -FreeMalaysiaToday/7/4/2016



, ,

Guan Eng: Saya Sedia Debat dengan Rahman Dahlan



Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Pengarah Strategik Komunikasi BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berhubung isu Taman Manggis.

Lim juga berkata beliau bersedia untuk melakukan debat tersebut di tempat terbuka.

Malah, beliau juga berharap agar debat itu juga akan dibuat secara langsung menerusi televisyen.

"Saya rela berdepan dengan menteri walaupun dia ada maklumat, saya tak ada. Tapi saya rela berdebat berdasarkan maklumat terakhir yang saya ada dari pihak berkenaan.

"Kalau mahu (ditayangkan di televisyen), di TV3 lebih baik. TV3 tiap-tiap malam hentam saya.

"Kami semua tak ada dokumen tapi berani berdepan kerana tak ada apa-ala nak disembunyikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Selain itu, Lim juga berkata, tarikh dan lokasi untuk debat berkenaan diserahkan kepada Ketua Whip DAP Anthony Loke.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan yang mengatakan Lim tidak tahu prosedur Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), beliau hanya memberi perbandingan dengan jual beli kereta.

"Kalau anda beli kereta bayar RM30,000, adakah anda bayar tapi tak tukar hak milik kereta? Kalau tak tukar ia bukan milik anda.

"Sama juga kalau pemilik saham masih dimiliki KLIDC (Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn Bhd).

"Takkan syarikat yang dah bayar RM70.6 juta tak mahu cepat-cepat tukar nama milikan saham. Ini bukan RM70,000, ini RM70 juta. Bukan main-main punya jumlah," katanya lagi.- Malaysia Kini/7/4/2016


,

Kenyataan Penuh PAC berkaitan dengan Laporan 1MDB



Hari ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membentangkan laporan berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas laporan ini dipersetujui sebulat suara serta konsensus ketika mesyuarat penyediaan laporan pada Isnin lalu.

PAC yang dianggotai 14 anggota parlimen, sembilan ahli daripada parti BN dan lima daripada parti pembangkang, dalam menyiapkan laporan ini secara kolektif mengemukakan rumusan serta cadangan kepada kerajaan berhubung kawalan pengurusan tadbir urus syarikat 1MDB yang dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

PAC memulakan laporan prosiding Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pada 19 Mei 2015 dan mengakhiri prosiding ini pada 11 Februari 2016 dengan memanggil semua pihak yang bertanggungjawab terhadap syarikat 1MDB termasuk Kementerian Kewangan (MoF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Lembaga Pengarah 1MDB, pengurusan tertinggi 1MDB dan juruaudit 1MDB.

PAC ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Audit Negara (JAN) kerana membentangkan Laporan Pengauditan 1MDB kepada PAC pada 4 dan 7 Mac lalu.

Jawatankuasa ini bersandarkan maklumat daripada laporan yang disediakan JAN selaras dengan keputusan kabinet mengarahkan Laporan Audit 1MDB dibentangkan kepada PAC untuk menjalankan siasatan, menyiapkan serta merumuskan Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB.

PAC mengakui bahawa syarikat 1MDB mempunyai struktur modal yang lemah dan terdapat beberapa kelemahan tadbir urus yang dijelaskan dengan terperinci dalam laporan ini.

PAC juga mendapati bahawa struktur modal 1MDB terlalu bergantung kepada penggunaan hutang.

PAC juga berpuas hati dengan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pelan rasionalisasi syarikat 1MDB dan langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam tempoh singkat bagi memulihkan syarikat ini.

Atas sebab itu, PAC menyarankan supaya pihak penguatkuasa perlu mengkaji dengan teliti laporan ini dan membuat siasatan lanjut. Jika didapati wujud kesalahan, tindakan undang-undang perlu diambil.

DATUK HASAN ARIFIN Pengerusi jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) merangkap anggota parlimen Rompin.


Berkaitan:

Mahathir: Najib Tahu, Kenapa Hukum Bekas CEO 1MDB

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berasa sedih apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara meletakkan tanggungjawab berhubung kelemahan 1MDB kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Halmi.

"Saya rasa sedih pada (bekas) CEO itu, dia tidak mengasaskan 1MDB, 1MDB dimulakan perdana menteri (Datuk Seri) Najib Abdul Razak.

"(Najib) penasihatnya, apa saja yang berlaku kepada 1MDB dia mesti tahu.

"Sebenarnya tiada apa boleh dibuat tanpa persetujuannya, jadi kenapa hukum lelaki (bekas CEO) ini," kata Mahathir.

Antara kelemahan yang dipetik dalam laporan PAC mengenai 1MDB adalah pengurusan yang melanggar keputusan dan nasihat daripada lembaga pengarah, atau bertindak sebelum ahli Lembaga membuat keputusan tertentu.

Lembaga pengarahnya dalam satu kenyataan kemudian menawarkan diri untuk meletakkan jawatan.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara ini, Mahathir menjawab bahawa seluruh 1MDB perlu dibubarkan.

"Mereka tidak melakukan apa-apa yang baik sama sekali," katanya.

Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri forum tertutup mengenai gerakan 'Selamatkan Malaysia' di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya di Kuala Lumpur.


Tun M: Najib Betul, Sebenarnya RM50b bukan RM42b

Bekas perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib adalah 'betul' dan beliau salah berkenaan hutang RM42 bilion yang ditanggung 1MDB.

"Laporan itu (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) kata ia bukan hanya RM42 bilion tapi RM50 bilion. Lebih dari itu.

"Jadi saya salah kerana sebut angka lebih kecil dan saya rasa RM50 bilion juga tidak betul, boleh jadi lebih lagi," kata Mahathir kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Najib hari ini berkata laporan PAC membuktikan Dr Mahathir membuat tuduhan palsu bahawa RM42 bilion hilang dari 1MDB. - Malaysia Kini/7/4/2016


 4 0 0 4

Laporan PAC ‘Tertinggal’ Laporan Ketua Audit Negara

 April 7, 2016

PETALING JAYA: Lim Kit Siang mahu Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin menjelaskan kenapa laporan interim Ketua Audit Negara dan laporan terakhirnya bulan lalu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dimasukkan dalam laporan jawatankuasa itu.

Bercakap dalam bengkel dan taklimat mobilisasi Pilihan Raya Negeri Sarawak anjuran DAP, Kit Siang berkata, Hasan gagal dalam menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi PAC, kerana tidak menyertakan laporan Ketua Audit Negara dalam laporan PAC hari ini.

“Apabila Ketua Audit Negara menyerahkan laporannya, ia bukan harta pengerusi (Hasan), ia adalah harta Parlimen.

“Hasan perlu bangga beliau dapat membentangkan laporan itu, sebaliknya beliau ‘jatuh sakit’.

“Jadi, bukankah PAC ada timbalan pengerusi? Biar beliau adakan sidang media dan buat penjelasan,” katanya yang merujuk kepada Dr Tan Seng Giaw.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mempersoalkan hukuman ‘berat’ yang diberikan kepada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli atas “kesilapan teknikal”.

“Beliau ditahan…selepas memetik sebahagian daripada laporan akhir (Ketua Audit Negara), yang pada ketika itu di bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi).

“Tetapi, selepas 10 pagi hari ini, selepas laporan PAC dikeluarkan, apa yang Rafizi petik tidak lagi di bawah OSA.

“Jadi, mengapa tindakan sebegitu tegas diambil terhadap sesuatu yang bersifat teknikal?” soalnya.

Kit Siang turut mendakwa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar percaya beliau lebih berkuasa berbanding Parlimen dan telah campur tangan dalam urusan wakil rakyat. -FreeMalaysiaToday


Isu Tanah PERDA: Exco Negeri Buat Laporan kepada SPRM



Exco kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri itu berhubung isu penjualan tanah milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Kampung Tok Keramat, Seberang Perai Selatan pada harga di bawah pasaran.

Dr Afif Bahardin berkata beliau membuat laporan itu selepas mendapat persetujuan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri semalam.

"Saya menamakan Datuk Shabudin Yahaya selaku pengerusi PERDA dan merangkap Anggota Parlimen Tasek Gelugor sebagai individu yang bertanggungjawab dalam mengakibatkan penjualan tanah milik PERDA ini di bawah harga penilaian pasaran.

"Kami percaya berlaku unsur pecah amanah dan salah laku untuk sebuah agensi seperti PERDA yang telah dipergunakan untuk menjual aset kepentingan rakyat di bawah nilai pasaran," katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan itu.

Dalam sidang akhbar 1 April lepas, Shabudin berkata PERDA menjual tanah itu pada harga RM1.42 juta dengan meletakkan syarat kepada pemaju membangunkan lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik berharga antara RM42,000 dan RM72,000.

Ketua Menteri Lim Guan Eng sebelum ini berkata mengikut penilaian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), nilai keseluruhan tanah seluas 3.4 hektar itu adalah RM16.6 juta.

Dr Afif yang juga ADUN Seberang Jaya turut mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk campur tangan dalam isu itu kerana PERDA merupakan agensi di bawah kerajaan persekutuan, yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan turut mengemukakan laporan lain berhubung isu itu, Dr Afif berkata satu laporan sudah mencukupi.

"Saya ingat SPRM cukup profesional. Kita lihat bagaimana siasatan SPRM tentang 1MDB cukup menyeluruh... saya percaya dengan integriti SPRM untuk menyiasat perkara ini," katanya.- Bernama/7/4/2016


Jumaat, 1 April 2016

[Video] Dakwaan Jual Beli Tanah PERDA Bawah Harga Pasaran



Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng cuba memulangkan paku buah keras kepada anggota parlimen Umno Datuk Shabudin Yahaya yang menyerangnya dalam isu pembelian rumahnya sebelum ini.

Lim malah membangkitkan isu jual beli harta tanah bawah harga pasaran, yang turut menyebabkan beliau diasak teruk sebelum ini.

Lim menuntut Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) yang dipengerusikan Shabudin menjelaskan penjualan sebidang tanah awam di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang dipercayai beliau dijual bawah harga pasaran.

"Tanah 8.5 ekar ini dipecah milik kepada 18 petak yang mengandungi 256 lot dengan harga jualan RM1,427,025.60 (RM1.427 juta) sedangkan nilai (tanah tersebut) oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah RM16,636,626.00 (RM16.636 juta).

"Ini bermakna kehilangan kepada PERDA RM15,209,600.40 (RM15.209 juta) kerana menjual tanah tersebut pada harga RM1.427 juta iaitu 8.60 peratus daripada keseluruhan harga pasaran," Lim dipetik sebagai berkata di Pulau Pinang tengah hari tadi.

Ketika dihubungi, Shahbudin berkata beliau akan mengadakan sidang media bagi menjawab dakwaan Lim itu esok. - Malaysia Kini/31/3/2016


, ,

Jabatan Keadilan Amerika ke Malaysia Siasat 1MDB



Pegawai Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dilaporkan berada di negara ini untuk berjumpa dengan beberapa individu dalam siasatan mereka ke atas 1MDB, lapor Reutersyang memetik sumber-sumber yang tidak dinamakan.

Ini susulan selepas laporan Sarawak Report mendakwa Jabatan Keadilan Amerika Syarikat memohon perintah ekstradisi ke atas seorang individu yang ditahan di Abu Dhabi berkaitan dengan penyiasatan ke atas 1MDB.

Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Keadilan Amerika Syarikat untuk mendapatkan pengesahan.

Skandal 1MDB kini disiasat oleh pihak berkuasa di Switzerland, United Kingdom, Amerika Syarikat, Luxembourg, Singapura dan Hong Kong.

Adalah tidak jelas tempoh pegawai Amerika itu berada di Kuala Lumpur atau jika mereka telah meninggalkan negara ini, kata Reuters yang memetik sumber yang tidak mahu dikenal pasti kerana mereka tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Sekumpulan peguam yang mewakili Deutsche Bank juga berada di ibu negara kota bagi menyediakan laporan untuk dikemukakan kepada Jabatan Keadilan Amerika, kata salah satu sumber kepada agensi berita itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB - sebuah firma pelaburan milik penuh kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 2009.

Sebelum ini, laporan media antarabangsa mendedahkan AS$1 bilion telah didepositkan ke dalam akaun bank Najib manakala sekurang-kurangnya AS$15 juta dibelanjakan untuk membeli barangan mewah dan percutian.

Deustche Bank pada 2014 telah meminjamkan 1MDB sebanyak AS$975 juta. Pinjaman itu telah dilunaskan pada tahun lalu. -Malaysia Kini/1/4/2016


BAGASI KIRIMAN TERKINI

BAGASI KIRIMAN

PERHATIAN

Tulisan dalam blog ini sebahagian besarnya ialah respons/pendapat/ulasan RINGKAS/SPONTAN saya terhadap pelbagai isu dan perkara yang berlaku di serata negara mahupun di luar negara.

Sebahagiannya pula disalin & ditampal (
semoga dengan izin) dari blog, laman sesawang atau laman berita dari dalam dan dari luar negara. Hak cipta berita, artikel & makalah adalah milik laman sesawang atau blog tersebut.

Seboleh-bolehnya, saya cuba mengelak untuk menyiarkan mana-mana makalah/petikan/gambar tanpa restu pemilik asalnya. Jika mana-mana petikan/tulisan/gambar yang disiarkan dalam blog ini kurang disenangi pemilik asalnya, maka maklumkanlah segera kepada saya (di ruangan komen bahan terbabit) agar petikan/tulisan/gambar tersebut dapat dikeluarkan dengan kadar segera.

Untuk makluman, sebarang petikan, makalah, gambar yang dipetik dari laman berita atau dari blog /laman sesawang atau dari sumber internet yang lain tidak semestinya menggambarkan/mewakili pandangan saya dalam sesuatu isu yang berkaitan.

PENAFIAN:
Semua artikel atau berita yang disiar dalam blog ini adalah untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am. Ketepatan maklumat artikel atau berita itu perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan atau penyebaran maklumat palsu atau fitnah.

-tayadihmaysia@yahoo.com







TERIMA KASIH