Malang Wanita Lahir Anak Kedua di China
[HM] Beijing: Seorang pekerja gudang di China Liu Fei didenda 330,000 yuan (RM174,777) atau 14 kali gaji tahunannya kerana melahirkan anak kedua.
Mahkamah juga mungkin menghalang kerajaan daripada memberikan hak asasi kepada anak Liu termasuk persekolahan dan faedah penjagaan kesihatan jika wanita terbabit gagal membayar denda berkenaan. Keadaan terdesak itu mendorong Liu, 41, menawarkan buah pinggangnya untuk dijual sebagai langkah mengumpul wang. Bagaimanapun Liu gagal.
Anak lelaki Liu kemudian merayu supaya ada mana-mana pihak yang sanggup membeli buah pinggangnya. Dilema dihadapi keluarga terbabit menyebabkan polis disaman atas alasan pihak berkuasa menafikan hak budak berkenaan didaftarkan atas faktor dasar anak tunggal diamalkan China. Kes itu akan dibicarakan di mahkamah Beijing hari ini.
Dokumen mahkamah menyatakan Liu tidak mampu membayar denda dikenakan ke atasnya.
Pada 2011, pegawai perancangan keluarga di Beijing memberitahu Liu yang dia tidak boleh mendapatkan “hukou” - istilah merujuk kepada hak mendaftarkan anaknya - jika tidak membayar denda berkenaan.
“Saya tidak tahu saya akan didenda sebanyak itu. Jika saya tahu, tidak mungkin saya melahirkan anak kedua,” katanya. Kes Liu mengetengahkan situasi membebankan polisi perancangan keluarga di China. Dianggarkan kira-kira 13 juta kanak-kanak di China tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Sementara itu, ketua Biro Statistik Kebangsaan, Ma Jiantang berkata, pihak berkuasa menafikan hak pendaftaran kebanyakan kanak-kanak seumpamanya pada 2011 kerana keluarga mereka tidak mampu membayar denda polisi perancangan keluarga. - Reuters - 6/12/13

.jpg)