Saya petik:
[BH] KUCHING: Masyarakat Islam sekali lagi dikejutkan apabila ratusan kedai roti dan kek di seluruh Sarawak disyaki turut menggunakan mentega jenama Golden Churn Creamy Butter yang telah disahkan mengandungi DNA babi oleh Majlis Islam Sarawak (MIS).
Apa yang membimbangkan, kira-kira 40,000 kilogram mentega berkenaan berada di pasaran di negeri ini dengan bekalan masih boleh didapati di kebanyakan pasar raya dan kedai runcit yang menjualnya secara terbuka.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, Wan Ahmad Huzir Wan Sulaiman, berkata penggunaan mentega Golden Churn Creamy Butter bukan saja di kalangan pengusaha kek lapis sebaliknya turut digunakan dalam industri pembuatan roti dan kek.
Katanya, banyak pengusaha kedai roti dan kek termasuk yang bukan beragama Islam dikesan menggunakan jenama mentega itu selepas mendapat pengiktirafan halal dari Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
“Golden Churn Creamy Butter telah digunakan secara meluas di Sarawak sebelum ini dan ia tidak terhad digunakan pengusaha kek lapis saja kerana ia turut membabitkan kedai roti serta kek yang banyak di seluruh negeri.
"Selesai pemeriksaan semua premis pengusaha kek lapis, kami akan meneruskannya ke atas kedai roti dan kek bagi memastikan mereka mematuhi sijil halal dikeluarkan JAIS,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.
Selasa lalu, MIS memutuskan mentega jenama Golden Churn Creamy Butter adalah haram selepas ujian makmal di Jabatan Kimia Malaysia mendapati wujud DNA babi di dalam sampel yang diambil dari pengedar di sini.
Wan Ahmad Huzir, berkata pihaknya telah mengeluarkan arahan ke atas semua pasar raya yang menjual mentega berkenaan agar mengalihkannya ke seksyen tidak halal selain meminta pengedar menampal logo halal pada bahagian bungkusannya.
“Kita tidak boleh mengarahkan mentega ini dimusnahkan kerana ada pelanggan bukan Islam masih menggunakannya.
“Mengenai dakwaan mengatakan wujudnya penghantaran Golden Churn Creamy Butter yang halal dari Australia, pihak kami menetapkan keseluruhan produk berkenaan adalah haram dan tidak ada sebarang penghantaran yang halal,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS), Rabiah Amit, meminta tindakan tegas turut dikenakan ke atas mana-mana pihak didapati pernah dan menggunakan mentega itu.
“Janganlah hanya ‘menyerang' pengusaha kek lapis kerana Golden Churn Creamy Butter turut digunakan banyak pihak termasuk hotel terkemuka dan kedai roti bagi menghasilkan kek atau biskut yang dijual kepada orang ramai.
“Mereka juga harus mengambil langkah sama termasuk menghentikan penggunaan mentega berkenaan dan menyamak peralatan dan perkakasan kerana pelanggan mereka merangkumi umat Islam juga,” katanya.
P/s: Apabila terkenang akan hasrat Malaysia ingin menjadi hub halal serantau, saya tegaskan, baik lupakan sahaja niat itu selagi isu halal dan haram di negara ini masih belum selesai. Banyak sangat isu halal/haram dan BABI sejak belakangan ini.
Sekitar tahun 90-an dahulu, ada tersebar cerita sebuah kilang diserbu oleh penguat kuasa agama dan didapati kilang itu menggunakan unsur BABI dalam produknya. Kononnya, dalam e-mel itu ada dinyatakan bahawa si pemilik kilang itu ada menyebut: "MELAYU MANA TAK MAKAN BABI?"
Saya tidak tahu kebenaran e-mel itu. Namun, jika dilihat pada situasi hari ini, kata-kata itu ada benarnya. Bayangkan mentega yang didapati haram telah digunakan dalam sektor pembuatan makanan halal sejak empat dekad lalu (40 tahun). Selama empat dekad, berapa banyak orang Islam telah makan kek lapis Sarawak atau roti dan kek yang dijual di sekitar Sabah dan Sarawak? Selain Sarawak, adakah mentega ini juga digunakan secara meluas di Semenanjung?
Pada saya, kerajaan tidak serius menangani isu ini. Bersepah hotel dan kafe serta kopitiam menyajikan makanan yang diragui status halalnya. Apa tindakan kerajaan? Sepatutnya, pihak kerajaan perlu memastikan semua pengusaha hotel, kafe, kopitiam meletakkan tanda "TIDAK HALAL" di premis mereka jika gagal mendapatkan sijil halal. Jika gagal berbuat demikian, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap mereka. Begitu juga halnya dengan pelbagai makanan yang dijual di pasaran, tetapi status halalnya amat meragukan. Tiada tindakan diambil untuk memaksa pengeluar meletakkan label "TIDAK HALAL" secara jelas pada bungkusan produk.
Saya tegaskan sekali lagi, selain label HALAL, kerajaan perlu mewujudkan peraturan yang memerlukan pengusaha/pengilang/pengedar produk meletakkkan label "TIDAK HALAL". Label ini bukan sahaja untuk bungkusan produk makanan, tetapi membabitkan produk lain. Maksudnya, tiada produk yang dijual mempunyai status yang meragukan di pasaran jika langkah ini diambil.
Apa yang berlaku hari ini, kerajaan hanya meminta budi bicara orang ramai untuk memilih produk/premis yang halal. Tanpa label "TIDAK HALAL" dan penguatkuasaan agak sukar orang ramai untuk memilih produk atau premis halal. Antara sebabnya, ada premis/pengeluar MENIPU pengguna seolah-olah produk dan premis mereka halal. Ada juga pengusaha yang menipu pengguna dengan meletakkan logo HALAL tiruan/palsu pada premis atau produk masing-masing.
Suatu hal, apabila pengilang/pengeluar/pengedar/peniaga didapati menjual produk tidak halal, tiada undang-undang tegas dikenakan. Berapa banyak saman yang dikenakan terhadap mereka? Adakah nilai ribuan itu berbaloi dengan jutaan orang Islam yang makan makanan/menggunakan produk tidak halal kerana sikap tidak bertanggungjawab mereka serta kelemahan penguatkuasaan? Sedangkan isu halal dan haram ini besar implikasinya kepada umat Islam!
P/s: "Melayu mana tidak makan BABI?" Apa kata anda? Berbalik kepada isu mentega ini, saya tanya sekali lagi, pengusaha mana yang sanggup menanggung kerugian demi memastikan pelanggannya tidak makan sumber haram?
adohaiii !!!
khabarnya iphone5 dah nak kluar...
kita masih duk sibuk dgn isu halal/haram dan DNA BABI sana sini sejak 40 thn dulu.. !!
.... nnt akan kluar isu pintu grill..
pagar rumah punyai DNA BABI tahan karat la pulak !!!
.. lagi sewel dibuatnya !!