Klik "LIKE" Untuk Terima Kemas Kini DCM di Facebook. Klik Butang "LIKE" di Bawah

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets

Rakan DUNIACACAMARBA

Rakan DUNIACACAMARBA

Jadi Rakan TM

Follow tayadihmaysia on Twitter

BAGASI KIRIMAN POPULAR

Iklan & Tawaran

1. Mari sertai ChurpChurp, berinteraksi bersama-sama dengan taulan sambil menjanakan pendapatan, Percuma! Lanjut sila klik di sini.





Advertlet Hutang DCM RM1710

Advertlet Hutang DCM RM1710
Review http://duniacacamarba2.blogspot.com/ on alexa.com

Sponsored Ads

Cerita UG- Kerajaan Perpaduang

Agenda Unity Government (UG). Apa progresnya selepas ketiadaan TGNA?Video lain:1....

Posted by DUNIACACAMARBA on Saturday, October 17, 2015

Memaparkan catatan dengan label makanan tercemar. Papar semua catatan

Khamis, 16 Oktober 2014

Dalam Kopi Ada Bangkai Tikus



[Mstar] SEORANG lelaki tidak menyangka akan menemui bangkai anak tikus di dalam cawan kopi selepas habis menghirup air tersebut yang dibeli dari sebuah restoran makanan segera.

Ron Morais dari Frederiction, Kanada, berkata, anak tikus itu hanya ditemui selepas dia selesai minum kopi tersebut.

"Ketika mula minum, saya menggunakan penutup cawan, tetapi ketika buka penutup itu untuk menghirupnya sehingga habis, saya menemui anak tikus," katanya kepada BBC.

Ron Morais menunjukkan anak tikus di dalam cawan kopinya.

Ron mendakwa, dia kecewa dengan perkhidmatan restoran makanan segera yang terdapat di seluruh dunia itu kerana menyajikan minuman tersebut.

Sementara itu, ibu pejabat rangkaian restoran makanan segera itu telah memulakan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.

"Kita akan meneruskan siasatan sehingga mengetahui kebenaran dakwaan tersebut, selain mengambil sampel bukti," jelasnya. -16/10/14



, ,

Isnin, 30 Jun 2014

Unisel Cipta Alat Kesan Babi dalam 1 Minit


Kesan Babi dalam 1 Minit

[Sinar Harian] SETIAP kali ke pasar, perkara utama yang selalu kita fikirkan ialah mahu membeli barangan yang baik sebagai santapan keluarga. Dan sebagai orang Islam, makanan itu seharusnyalah halal.

Namun dalam keadaan di sebuah negara yang lebih 70 peratus produk makanan dikeluarkan oleh pengusaha bukan Islam, tidak dapat tidak, pasti timbul keraguan dari segi status halalnya. Akan tetapi, kita memang tidak ada pilihan. Biarpun sangsi, perut perlu juga diisi.

Dalam keadaan ini, apa yang paling kita boleh harapkan ialah adanya logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Namun timbul pula isu-isu berkaitan logo halal Jakim.

Sudahlah jenuh dengan cerita logo halal palsu, kontroversi demi kontroversi turut mencarikkan keyakinan. Lalu ke mana lagi mahu disandarkan pergantungan?

Langkah Universiti Selangor (Unisel) membangunkan produk kit halal yang berfungsi untuk mengenal pasti bahan tidak halal dan berupaya memberikan keputusan dalam tempoh sesingkat seminit diharap akan membawa kelegaan dan menyelesaikan masalah umat Islam di negara ini, dan mungkin juga di seluruh dunia suatu hari nanti.

Ikuti kupasan lanjut berkaitan alat canggih ini daripada Naib Canselor Unisel, PROF DR ANUAR AHMAD yang disediakan wartawan Sinar Harian, Robiatuladawiyah Abd Rashad, Noor Ainulyakin Mohamad Ishak & Siti Nursyahidah Abu Bakar.

Anda sedang membeli-belah di pasar raya dan terpandang satu produk makanan yang begitu anda inginkan. Namun, mungkin akibat terpengaruh dengan penyebaran maklumat dalam media sosial kononnya produk berkenaan mengandungi unsur haram, anda dibelenggu rasa was-was.

Mengikut nasihat agamawan, apabila timbul rasa was-was, anda perlu jauhi makanan itu.

Akan tetapi dengan adanya teknologi halal kit, situasi anda tidak perlu sampai ke tahap itu.

Ini kerana teknologi yang sedang dibangunkan Universiti Selangor (Unisel) mampu memberikan anda jawapan halal atau tidak sesuatu makanan hanya dalam tempoh seminit.

Sangat cepat dan sangat mudah, bukan?

Dengan adanya teknologi ini, anda juga tidak perlu membawa senarai panjang logo halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk disemak setiap kali mahu membeli sesuatu produk yang mungkin logo-logo itu juga belum sahih keasliannya disebabkan peniruan pada zaman serba canggih ini sangat licik.

Sama ada terdapat logo halal Jakim ataupun tidak, anda boleh periksa sendiri untuk memastikan sesuatu produk itu mengandungi unsur babi ataupun tidak. Malah produk yang tidak ada logo halal sekalipun anda boleh kunyah dan telan tanpa was-was jika mendapati ia bebas daripada unsur haiwan itu.

"Inilah gunanya kit halal yang sedang kita usahakan," kata Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad ketika ditemui di kampus universiti itu di Shah Alam.

Mengenai projek kit halal itu, Anuar menjelaskan bahawa Unisel diberi peruntukan RM1.3 juta untuk membangunkan alat itu dalam tempoh 18 bulan dan dijangka siap pada Disember 2015.

"Alat ini bukan untuk makanan saja tetapi juga kosmetik dan ubat-ubatan," katanya.

Kesan zat babi serendah 0.001 peratus

Kit halal bukan perkara baharu. Sebelum ini, di negara kita sahaja sudah ada beberapa pihak terutama universiti yang cuba memajukan kit halal.

Namun setakat ini, teknologi yang akan dibangunkan Unisel dikenal pasti sebagai yang termaju.

"Kit halal yang ada sebelum ini berfungsi untuk mengesan kandungan DNA babi saja. Ini berbeza dengan apa yang kita akan keluarkan yang mana kit halal Unisel menggunakan teknologi pengesan nano bagi mengetahui kandungan zat babi sekecil 0.001 peratus," kata Anuar.

Sebagai contoh, kandungan perisa dalam makanan atau gelatin yang digunakan pada kapsul, zatnya memang terlalu rendah. Apabila alat pengesan konvensional yang kemampuannya untuk mengesan hanya sekadar lingkungan 20 peratus, ia tidakakan dapat memberi bacaan tepat mengenai kandungan sebenar bahan terlarang dalam produk itu.

Itulah kelebihan kit halal Unisel yang mampu mengesan zat serendah 0.001 peratus iaitu zat paling rendah yang kebiasaannya terkandung dalam makanan, kosmetik atau ubatan dalam pasaran

Bagaimana menggunakannya?

Mudah, sangat mudah! Hanya masukkan sampel ke dalam pengesan, kemudian goncang hingga larut dalam masa 10 saat. Seterusnya uji bahan yang sudah larut itu dengan alat pengesan elektronik pada kit.

Secara automatik, kit akan mengeluarkan cahaya floresen yang akan menentukan kandungan zat babi dalam tempoh seminit!

Siapa yang akan gunakan kit itu?

Kumpulan utama sasaran menggunakan kit halal Unisel ialah penguat kuasa. Selepas itu, baharulah ia diperluaskan kepada orang ramai. Namun alat berkenaan mungkin dikeluarkan dalam versi berbeza antara penguat kuasa dan pengguna.

Berkesankah?

Walaupun kecil bentuknya, kata Anuar, kit halal itu tidak perlu diragui kerana pihaknya melaksanakan mandat Kerajaan Selangor untuk membangunkan teknologi itu dengan penuh amanah dan tanggung jawab.

"Walaupun kecil ia dapat menjimatkan kos berbanding ujian makmal. Oleh itu, jangan ragu-ragu menggunakan alat ini, kerana hasil ujiannya diyakini tepat, setanding dengan hasil ujian makmal yang menelan belanja ribuan ringgit,” katanya penuh yakin.


Cabaran mendapatkan komponen

Namun dalam setiap penciptaan, pasti halangan dan cabaran tidak dapat dielakkan. Ia diakui sendiri oleh Anuar yang mana katanya, proses mendapatkan komponen elektronik kit mungkin agak sukar kerana kini ia lebih kecil dan teknologinya berbeza.

"Teori tentang kit ini, memang tidak ada masalah kerana telah selesai, hanya menunggu bajet diumumkan kerajaan negeri untuk membeli komponen elektronik dan pengesan yang dijangka diperoleh Julai ini.

“Saya pernah menghasilkan alat yang hampir serupa sebelum ini. Namun, kebanyakan komponen digunakan ketika itu sudah tidak ada dalam pasaran. Jadi, kita perlu mendapatkan komponen baru yang lebih canggih. Kita juga akan menggunakan teknologi dan kepakaran dari Amerika Syarikat bagi memastikan alat ini mengikut piawaian sebelum dipasarkan,” katanya.

Hilangkan rasa waswas

Sebagai pengguna apabila ada alat yang boleh mengesan status halal dengan kadar segera, pastinya sesiapa juga mahu memilikinya bagi mengelak perasaan was-was yang membelenggu diri sebelum ini.

“Walaupun ada logo halal Jakim, ia masih dilihat kurang memberi keyakinan kepada pengguna berikutan banyaknya lambakan logo halal palsu di pasaran. Jadi, jika tidak mahu timbul rasa ragu-ragu, penggunaan kit halal seperti yang dinyatakan sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah itu,” katanya.

Oleh itu, harapannya, sekiranya kit ini siap kelak, ia bukan saja akan dipasarkan di Selangor dan negeri lain, malah di seluruh dunia agar kelebihannya dapat digunakan sebaiknya oleh umat Islam di mana-mana sahaja.

Bagi Unisel, penghasilan kit itu lebih kepada niat fardu kifayah kepada pengguna Muslim, bukan untuk mengaut keuntungan dan secara tidak langsung, ia juga boleh menjadi nilai tambah kepada kredibiliti Unisel. -ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD, NOOR AINULYAKIN MOHAMAD ISHAK & SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR/30/6/14

, , ,

Ahad, 15 Jun 2014

[PANAS] Hanya Blogger Jamah Cadbury, Pegawai Jakim Enggan

Foto: The Rakyat Post
[AA] KUALA LUMPUR: “Kami tidak takut dikecam. Malah sanggup berdepan dengan mana-mana individu sekalipun.” Itulah pengakuan berani yang disuarakan Presiden Aktivis Siber Malaysia (ASM), Md Faisal Ahmad yang mempertahankan imej JAKIM susulan isu coklat Cadbury yang didakwa sebelum ini ada DNA babi.

Katanya pengguna harus mempercayai sepenuhnya keputusan status halal yang dikeluarkan JAKIM selaku pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil halal.

“Sebagai pengguna Islam, kami percaya dan yakin dengan keputusan tersebut kerana JAKIM tidak akan mengkhianati amanah dan kepercayaan yang diberikan khususnya kepada umat Islam.”

Tambahnya lagi kaedah ujian dan pensijilan halal oleh JAKIM mencukupi untuk mengesahkan status produk tersebut.

Ketika ditanya mengapa JAKIM tidak turut menjamah coklat Cadbury itu, tegas Md. Faisal pihak JAKIM tidak berhak untuk dipaksa berbuat demikian.

Dalam pada itu pihak Astro AWANI yang cuba untuk mendapatkan reaksi daripada wakil pegawai JAKIM berkenaan isu jamah Cadbury, gagal untuk mendapatkan beliau.

Dalam pada itu, penggiat media sosial menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar tampil memberi kenyataan mengapa keputusan ujian DNA babi ke atas dua produk coklat Cadbury iaitu Cadbury Dairy Milk Roast Almond dan Hazelnut dibiarkan utuk tempoh tiga bulan.

Menurut Md Faisal lagi, isu ini terjadi selepas KKM pada mulanya mengesahkan ada DNA babi pada awal Februari, namun membiarkan perkara ini sehingga 5 Mei.

“Kita juga mahu tahu mengapa KKM tidak menjalankan ujian kedua bagi mengesahkan penemuan awal, dalam penemuan kontroversi seperti ini adalah tidak wajar pihak Kementerian tidak membuat sebarang tindakan ujian lanjut dan berdiam diri sahaja.”

Katanya, tindakan itu bukan sahaja mengaibkan Malaysia sebagai peneraju hab halal yang menyumbang hampir tiga trillion ringgit setahun kepada negara, malah kepada seluruh kakitangan syarikat pengeluar jenama coklat terbesar dunia Cadbury.

Mereka ditemui pada Forum Sijil Halal Malaysia dan Kontroversi Cadbury: Satu Perspektif yang dihadiri penggiat media sosial yang lain.

Pada 23 Mei, produk coklat Cadbury iaitu Kacang Hazel 175 gram (kelompok 200813M01H I2 tarikh luput 13 Nov 2014) dan Buah Badam 175 gram (kelompok 221013N01R I1 tarikh luput 15 Januari 2015) telah dikesan mempunyai Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi atau porsin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beberapa hari selepas itu, JAKIM membuat pengumuman bahawa dakwaan KKM sebelum ini mengenai penemuan DNA babi di dalam dua produk Cadbury itu adalah tidak benar dan mengesahkan kedua-dua produk itu sebagai halal. - Melissa Sahari/15/6/14


P/s: Mengapa blogger mesra UMNO beria-ria mahu makan Cadbury secara terbuka di depan media? Adakah kerana pemegang saham Cadbury termasuk Felda dan Boustead?

Kalau mahu makan Cadbury, makanlah Cadbury yang dijual sebelum Februari 2014.

Ada berani?

Laporan lain di sini.


,

Selasa, 10 Jun 2014

'Bihun Istimewa' Cap Masjid Tiada Sijil Halal



[Bernama] KUALA LUMPUR:'Bihun Istimewa' cap masjid keluaran sebuah kilang di sini tidak mempunyai sijil halal yang sah, demikian menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini. 

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata produk bihun itu mengguna pakai logo halal sendiri pada pembungkusan dan ia bertentangan dengan Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. 

Kenyataan itu dikeluarkan di laman web Jakim berikutan penyebaran beberapa keping gambar pemprosesan bihun istimewa yang kotor dan jijik di laman sosial, hari ini. 

Mengenai kicap 'ABC Saus Manis' yang didakwa menggunakan botol arak, Hakimah memaklumkan produk tersebut adalah tiruan dan tidak menggunakan logo halal Jakim.

"Produk tersebut dikilangkan semula di kilang yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan telah diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berdasarkan aduan orang awam," katanya. 

Hakimah berkata produk 'ABC Saus Manis' yang asli dikilangkan di Indonesia dan mempunyai pengesahan halal daripada badan pensijilan halal Majelis Ulama Indonesia (MUI) yang diiktiraf Jakim. -10/6/14


,

Rabu, 21 November 2012

Bahan Penyebab KANSER dalam Enam Produk Mi Segera

Jenama Shim Ramyun

[HM] KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan enam produk mi segera jenama Shin Ramyun yang dikeluarkan Kumpulan Nongshim mengandungi bahan penyebab barah iaitu Benzopyrene.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Perubatan KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian sudah mengambil empat sampel produk itu untuk diuji parameter Benzopyrene dan keputusan menunjukkan bahan itu dikesan dalam tiga daripada empat serbuk sup.

“Benzopyrene biasanya ditemui dalam asap rokok, makanan yang dibakar, dipanggang atau disalai dan bahan ini juga hasil sampingan dalam pelbagai industri pemprosesan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Katanya, buat masa sekarang, belum ada negara yang menetapkan had bagi Benzopyrene dalam serbuk sup, namun Kesatuan Eropah sudah melakukan demikian untuk bahan terbabit dalam produk makanan tertentu.

“Berdasarkan penilaian yang dijalankan pihak kementerian menunjukkan tiada risiko kesihatan akibat Benzopyrene menerusi pengambilan mi segera Shin Ramyun selain produk berkenaan bukan makanan asasi negara ini,” katanya.

Beliau berkata, kementerian sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai mengenai isu keselamatan dan kualiti makanan dengan menghantar maklumat menerusi telefon di talian 03-88833558 atau e-mel di fsq-division@moh.gov.my atau pesanan ringkas ke 012-6915473.


,

Rabu, 20 Jun 2012

Awas, Minyak Masak Kitar semula!


[SH] KEPALA BATAS - Pengguna dan pengusaha kedai makan di sekitar daerah ini, rasa tertipu apabila membeli minyak masak yang dipercayai dikitar semula.

Seorang pemilik restoran, Datuk Dr Husaini Yaakob berkata, selama ini mereka yakin bahawa bahan penting masakan itu tulen.

Namun, menurutnya, mereka mula khuatir dan bimbang setelah mendapati minyak masak itu bertukar warna hitam dan cair selepas hanya sekali digunakan.

“Saya percaya minyak masak ini sebenarnya telah digunakan sebelum dikitar dan diedar semula kepada pengguna berikutan kandungan kepekatannya tidak menyamai minyak masak berjenama lain.

“Kita sarankan agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) segera berbuat sesuatu bagi mengawal penipuan ini,” katanya.

Husaini, yang juga aktivis masyarakat berkata, penipuan sebegini harus dibendung kerana kesannya lebih banyak dirasai oleh pengguna.

“Pihak terlibat dalam kegiatan jahat ini hanya pentingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesannya kepada pengguna.

“Malah, minyak yang dikitar semula ini juga tentunya boleh diragui dari segi halalnya kerana dipercayai turut dikutip dari restoran bukan Islam untuk diproses sebelum diedar di pasaran semula,” katanya yang turut mempunyai pengetahuan dalam bidang industri melibatkan kandungan minyak kelapa sawit.

Sementara itu, seorang pegawai KPDNKK SPU yang dihubungi berkata, penipuan minyak masak yang dikitar semula itu melibatkan minyak yang belum dimasak dan telah digunakan.

“Kebiasaannya kita akan membuat pemantauan bersama Jabatan Kesihatan selepas menerima maklumat orang awam, namun disebabkan maklumat itu tidak tepat, sehingga kini pihak kita belum lagi dapat menahan pelakunya.

“Pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, di mana orang perseorangan boleh didenda RM100,000 dan dua tahun penjara, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda RM250,000,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sentiasa bersedia melakukan siasatan apabila mendapat maklumat demi menjaga kebajikan pengguna dan tidak memandang remeh penipuan itu selama ini.


, ,

Selasa, 5 Jun 2012

Hampir 50% Tepung Mengandungi Campuran Benzoil Peroksida?


Hanya untungkan syarikat 

[HM] KUALA LUMPUR: Penambahan ‘benzoil peroksida’ dalam tepung gandum hanya menguntungkan syarikat pengeluar kerana campuran bahan kimia berkenaan mampu mempercepatkan proses kematangan tepung kurang matang daripada tempoh sebenarnya.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, senario itu menyebabkan hampir 50 peratus tepung yang berada di pasaran tempatan ketika ini mengandungi bahan campuran berkenaan.

“Tidak ada faedahnya bahan berkenaan diletakkan di dalam tepung gandum sedangkan harga dan kualitinya tetap sama jika bahan berkenaan tidak digunakan sekalipun kerana penggunaannya lebih menguntungkan syarikat tertentu.

“Antara sebab syarikat lebih gemar menggunakan bahan berkenaan kerana ia mampu mempercepatkan proses ‘penuaan’ tepung gandum sekali gus membolehkan tepung dihasilkan dapat dipasarkan kepada pengguna bagi meraih keuntungan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengenai penggunaan ‘benzoil peroksida’ dalam tepung gandum tidak memudaratkan kesihatan pengguna jika kadar bahan itu menepati piawaian antarabangsa iaitu 60 miligram per kilogram (mg/kg).

Menurutnya, bagi negara ini penggunaan bahan itu dalam tepung gandum hanya dibenarkan pada kadar tidak melebihi 50 mg/kg mengikut Perkara 42, Peraturan Makanan 1985.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Rosnah menerima memorandum tujuh muka surat daripada PPIM mengenai bantahan penggunaan racun dalam makanan dan desakan kerajaan mengharamkan penjualan serta penggunaan tepung mengandungi bahan peluntur.

Nadzim berkata, penggunaan bahan yang mampu mempercepatkan proses kematangan tepung mendatangkan keuntungan lebih kepada sektor industri, meskipun pada jangka panjang pengguna mengalami kerugian dari aspek kesihatan.

“Senarionya, ‘benzoil peroksida’ sudah 50 tahun digunakan dalam pasaran negara ini dan tidak ada sebab ia perlu digunakan. Kalau ada sebab bahan berkenaan digunakan tidak mengapa,” katanya.


 P/s: AWAS!



, ,

Ahad, 22 April 2012

Senarai Produk Makanan yang Dikhuatiri Mengandungi Akrilamida Bahan Penyebab Kanser


 Agensi Standard Makanan di Britain mendapati beberapa produk makanan yang dijual di sana mengandungi akrilamida (acrylamide) sejenis bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser. Kajian mendapati bahan kimia itu dikesan dalam produk makanan harian termasuk produk Nestle, Nescafe Golden Blend. Sehubungan dengan penemuan itu, pihak terbabit telah memberikan peringatan kepada pengeluar makanan yang terlibat.

Cerita lanjut fasal pencemaran akrilamida ini boleh anda baca lanjut di sini.
'
Situasi yang agak berbeza daripada negara kita. Sebelum ini, produk makanan yang tercemar dengan bahan kimia yang berbahaya tidak diumumkan kepada masyarakat. Walaupun kini sudah ada inisiatif pihak berkuasa menguar-uarkan produk yang telah disahkan mengandungi bahan terlarang, namun sesetengah produk makanan yang tercemar masih disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Contoh paling lazim ialah produk mi kuning yang sering dikaitkan dengan penggunaan asid borik. Setiap kali serbuan dibuat, masyarakat tidak diberi maklumat tentang pengeluar dan jenama produk tersebut. Yang lebih menyakitkan hati apabila pengusaha yang sama dicekup melakukan kesalahan yang sama berulang kali. Dengan nilai denda yang mampu dibayar, bayangkan penderitaan pengguna yang menghidap kanser gara-gara makan produk tersebut.

Pihak berkuasa perlu mendedahkan maklumat produk dan pengeluar makanan yang disahkan mengandungi bahan kimia yang berbahaya kepada umum. Selain "mendidik" mereka dengan cara begitu, pihak berkuasa juga perlu mengenakan tindakan yang tegas terhadap pengeluar makanan yang tidak bertanggungjawab. -DCM


P/s: Hentikan pengambilan makanan yang diproses kerana banyak kajian mendapati makanan dalam bentuk itu mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan diri.


Rabu, 28 Mac 2012

[AWAS] Susu Cair Ada Logam Hitam


[SH] CHANGLUN - Terkejut. Itulah perasaan seorang ­pemilik salun kecantikan di sini, apabila mendapati susu cair dalam tin yang digunakan isterinya untuk membancuh air yang dibeli lebih sebulan lalu di sebuah pasar raya mengandungi tompokan hitam dipercayai serbuk logam.

Goh Shau Chen, 30, berkata, selepas diperiksa, dia ­menemui tompokan hitam berkenaan di bahagian bawah selepas susu cair itu dituangkan ke dalam bekas lain.

Menurutnya, perkara itu hanya disedari mereka selepas isterinya, Erni Farida, 27, ­terhidu bau sesuatu selepas meminum air yang dibancuh dengan menggunakan susu berkenaan Sabtu lalu.

Shau Chen, dia kemudian membuka keseluruhan tin susu cair itu bagi melihat apa yang terdapat di dalam tin berkenaan.

“Kami terkejut apabila mendapati ada tompokan ­hitam seakan-akan serbuk ­logam di bahagian bawah permukaan susu itu,” katanya ­ketika ditemui di rumah ­mereka di Pekan Changlun Dua di sini.

Shau Chen berkata, ­mereka juga cuba menghubungi talian khidmat pengguna syarikat pengeluar susu berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut namun ­talian itu tidak dijawab.

“Kami kesal dengan apa yang berlaku dan seharusnya ia tidak terjadi memandangkan tarikh luput susu berkenaan juga masih berbaki hampir lima bulan lagi,” katanya.

Shau Chen pada masa sama meminta pengguna lain supaya lebih berhati-hati dan sebaik-baiknya memastikan susu cair dalam tin seperti itu betul-betul selamat sebelum digunakan.

“Kita tahu banyak kedai minuman yang menggunakan susu cair dalam tin, jadi ­lebih baik peniaga memeriksa susu yang ingin digunakan ­sebelum menyediakan minuman kepada pelanggan ­mereka,” katanya.



 P/s: Seperti biasa, maklumat terperinci produk tidak disiarkan atas alasan perundangan dan sebagainya.Tanpa maklumat tersebut, berita ini tidak memberikan manfaat yang sebenar-benarnya kepada pengguna. Pengeluar produk juga tidak akan mengambil inisiatif yang proaktif untuk memastikan produk mereka selamat untuk pengguna. Jika hal ini dilaporkan kepada pihak yang berkenaan, percayalah, tindakan yang dikenakan tidak menggerunkan pengeluar makanan. Contohnya, mi kuning yang cukup popular dengan penggunaan asid borik masih banyak di pasaran, walaupun pengeluarnya sudah banyak kali kantoi dan dikenakan tindakan.






,

Isnin, 12 Mac 2012

Lolipop Berbahaya

[Kosmo] KUALA LUMPUR - Kerajaan mengenakan larangan bagi kemasukan sejenis gula-gula lolipop kerana dipercayai mengandungi bahan kimia berbahaya, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam.

Beliau berkata, pihak kementerian telah pun meningkatkan kawalan di pintu masuk negara untuk menghalang kemasukan lolipop pendafluor itu.

"Bahan itu kini diletakkan pada tahap 5 iaitu pengimportannya diletakkan di bawah syarat kebenaran sebelum diletakkan pada tahap 6 iaitu gula-gula berkenaan langsung tidak dibenarkan dibawa masuk," katanya selepas merasmikan Karnival Kesihatan Jom Sihat di Kolej Tunku Abdul Rahman di sini semalam.

Beliau percaya lolipop itu dibawa masuk dari luar negara kerana serbuan pihak penguat kuasa di alamat pengeluar yang tertera pada pembungkus gula-gula tersebut didapati palsu.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini menggesa kerajaan mengharamkan penjualan gula-gula lolipop pendafluor kerana didakwa mengandungi bahan kimia berbahaya.

Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, bahan kimia yang terkandung pada batang pendafluor itu sangat berbahaya tetapi ia menjadi kegilaan kanak-kanak.

,

Ahad, 11 Mac 2012

Coca Cola dan Pepsi Guna Ramuan yang Dikaitkan dengan Kanser?


[HM] CALIFORNIA: Pengeluar minuman terkenal Coca-Cola dan Pepsi akan menukar ramuan minuman berkarbonat mereka untuk mengelak daripada meletakkan label amaran barah yang diwajibkan di sisi undang-undang, di setiap botol minuman itu.

Perubahan itu dibuat selepas California meletakkan bahan kimia 4-methylimidazole, yang digunakan dalam pewarna karamel dalam kedua-dua jenis minuman itu dalam senarai karsinogen.

Kedua-dua Persatuan Minuman Amerika dan Pentadbiran Ubatan dan Makanan AS berkata, tiada bukti bahan kimia itu menimbulkan risiko kesihatan kepada manusia. - BBC 


P/s: Sebelum ini, tersebar keratan akhbar yang mendakwa minuman Coca Cola mengandungi kandungan alkohol sehingga 8%. Sehingga kini, tiada kenyataan balas tentang laporan itu.




Ahad, 4 Mac 2012

[Video] Dakwaan ULAT dalam Karipap Jenama TERKENAL




Video asal dan maklumat lanjut di sini


P/s: Uweeekkkk!!!!


,

Selasa, 3 Januari 2012

Awas, Kordial Ros Bertukar Warna Jingga!


Saya petik:

[SH] SEREMBAN - Seorang kakitangan awam terkejut apabila mendapati kordial berperisa ros yang dibelinya di sebuah pasar raya besar sekitar bandar ini berubah daripada warna asalnya, kelmarin.

Salim Sulaiman, 33, dari Taman Satria di Senawang, berkata, kordial dengan isi padu dua liter dan berharga RM4.80 itu dibelinya pada 22 Oktober lalu di pasar raya besar terbabit.

“Pada penutup botol, ada dicatatkan tarikh pengilangan pada 7 Oktober 2011 manakala tarikh luput pada 6 Oktober 2013.

“Warna kordial yang tiba-tiba berubah ini amat mengejutkan dan saya sekeluarga tidak berani untuk menggunakannya walaupun masih belum mencapai tarikh luput lagi,” katanya di pejabat Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, selain pe­rubahan warna, kordial yang dibungkus dan diedarkan oleh sebuah syarikat beralamat di Kuala Lumpur itu mengeluarkan bau yang pelik.

Katanya, kordial berperisa ros itu telah digunakan separuh sejak ia dibeli namun setakat ini, belum ada kesan sampingan terhadapnya dan ahli keluarga yang lain.

“Bagaimanapun, kami tidak lagi menggunakannya sebaik sahaja menyedari warna kordial berubah semalam, untuk mengelakkan kemungki­nan berlaku kemudaratan terhadap kesihatan kami,

“Selepas pengalaman kurang menyenangkan ini, saya agak berat hati untuk membeli kordial jenama berkenaan pada masa akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, Salim berkata, pihak berkuasa berkaitan diminta segera menyiasat kualiti dan tahap keselamatan kordial berkenaan bagi me­mas­tikan kejadian serupa tidak berulang.

“Saya pernah membeli kordial berjenama lain sebelum ini tetapi tidak pernah mengalami kejadian sebegini,” katanya.


P/s: Berita ini tidak banyak membantu pengguna kerana jenama produk tidak disiarkan.

,

Khamis, 1 Disember 2011

[Kemas Kini] RAMLY BURGER Nafi Produk Ada DNA Babi


Di bawah ini ialah beberapa paparan surat yang DIKATAKAN milik Jabatan Kesihatan Negeri Kedah KONONnya mengesahkan salah satu produk Ramly mengandungi DNA babi. Kita tidak mengetahui kesahihannya. Oleh itu, pihak yang berkenaan sewajarnya menjawab isu ini agar tidak menjejas perniagaan pihak terbabit dan menimbulkan was-was dalam kalangan pengguna.




 


Sumber ada tertera pada gambar.


Kemas Kini:

Salam,

Perkara di atas adalah dirujuk.

Kami menafikan sama sekali dakwaan tersebut. Tidak pernah dalam amalan pengilangan kami berlaku perkara sebegini. Proses pembuatan kami diselia rapi oleh JAKIM, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan lain-lain jabatan yang berkaitan sebagai mengekalkan prestasi pembekal produk halal.

Kami telah membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menabur fitnah ini. Oleh kerana perkara ini dalam siasatan polis dan tindakan undang-undang oleh peguam, maka kami tidak boleh memberi komen atau keterangan lanjut.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Siti Hayu Binti Dato' Haji Ramly
Pengurus Kanan

,

Jumaat, 26 Ogos 2011

Ingat Kes Budak Mati Selepas Berbuka Puasa? Puncanya Telah Dikenal Pasti


Saya petik:
[Bernama] PUTRAJAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Laporan awal mendapati kiub ais merupakan punca keracunan makanan yang menyebabkan seorang pelajar berusia 11 tahun meninggal dunia selepas menikmati juadah berbuka puasa yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Klang awal bulan ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ujian dilakukan ke atas sampel sisa muntah dan najis untuk mengenal pasti punca keracunan makanan yang menyebabkan pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai di Klang meninggal dunia dan lapan ahli keluarganya yang lain mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.

"Berdasarkan laporan awal, kiub ais merupakan punca keracunan makanan. Kita masih menjalani siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca dan sumber sebenar yang menyebabkan mangsa dan ahli keluarga lain mengalami keracunan makanan," katanya kepada pemberita di Hospital Putrajaya di sini Khamis.

Pada 9 Ogos, Nurdini Mohamad Ali, 11, meninggal dunia setelah muntah dan cirit-birit selepas menikmati juadah berbuka puasa manakala ahli keluarganya dimasukkan ke hospital selepas mengalami simptom yang sama.

Semua mereka didapati makan juadah otak-otak dan air batu campur (ABC) dibeli daripada bazar Ramadan sama.

Liow menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom keracunan makanan.

"Jangan tangguh untuk mendapatkan rawatan sekiranya mengalami keracunan makanan. Kita mempunyai pakar dan kalau mendapatkan rawatan awal, kita boleh selamatkan," katanya.


,

Jumaat, 19 Ogos 2011

Awas, SOS Ada DNA BABI!!!


Saya petik:
[HM] IPOH: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), bertindak menghantar notis pemberitahuan kepada Persatuan Hotel Malaysia dan syarikat makanan segera berhubung penemuan Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi di dalam sos jenama HP Souce dan Tabasco, sejak bulan lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff, yang dihubungi wartawan Harian Metro berkata, pihaknya sudah menghantar notis peringatan memaklumkan kepada pengamal industri makanan yang menggunakan sos jenama berkenaan baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, aspek penguatkuasaan belum dijalankan berikutan pihaknya sedang melakukan beberapa siasatan terakhir sebelum menguatkuasakan larangan penggunaan dua jenis sos jenama terkenal itu.
“Kami belum memuktamadkan penguat kuasaan larangan itu, namun surat makluman mengenai penemuan DNA babi itu sudah diedar kepada pihak terbabit termasuk rangkaian hotel dan restoran makanan segera.

“Kami sedang menunggu arahan pihak atasan Jakim mengenai tindakan selanjutnya bakal diambil terutama dalam menguat kuasakan larangan itu,” katanya. Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan sidang media khas sebaik segala siasatan berhubung larangan penggunaan sos jenama berkenaan selesai kelak.

Difahamkan, Jakim sudah mengambil sampel produk berkenaan untuk dihantar sebanyak dua kali ke Jabatan Kimia Malaysia sebelum ia disahkan terdapat DNA babi di dalamnya.
Persoalan timbul apabila pemilik jenama HP Sauce and Tabasco, HJ Heinz and Mclhenny Company, menyangkal dakwaan kedua-dua jenama itu tidak disahkan halal.

Dalam kenyataannya, syarikat itu berkata, kedua-dua jenama itu mematuhi sepenuhnya garis panduan kawal selia oleh badan pensijilan masing-masing.

HP Sauce disahkan halal oleh HAC (Halal Audit Company), iaitu pihak berkuasa pensijilan Islam di Belanda, di mana terletaknya kilang itu.

Manakala, Tabasco disahkan halal oleh INFANCA (Majlis Nutrisi dan Makanan Islam Amerika) yang juga pihak berkuasa Islam di Amerika Syarikat dan mendapat akreditasi Jakim bagi mengesahkan produk itu bagi pihaknya.

P/s: Kalau tidak silap, sos ini disediakan sebagai penambah perasa di premis yang menjual pizza. Melayu mana yang tidak makan BABI? Siapa mahu jawab?




Khamis, 11 Ogos 2011

Susulan Budak Meninggal Dunia Selepas Berbuka Puasa


Saya petik:

[HM] KLANG: Pemeriksaan terhadap sampel najis dan muntah berhubung kes keracunan makanan dipercayai turut menyebabkan seorang mangsa daripada sebuah keluarga meninggal dunia di Meru, pada Isnin lalu, disebabkan kuman lain bukannya kolera atau taun.

Sampel berkenaan membabitkan dua keluarga terdiri daripada 11 individu dan lapan daripadanya masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini.

Semua mereka didapati makan juadah otak-otak dan air batu campur (ABC) dibeli daripada bazar Ramadan sama.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata, ujian dilakukan mendapati negatif kolera.

“Bagaimanapun, kita tidak melakukan bedah siasat terhadap mangsa yang meninggal dunia iaitu Nurdini Mohamad Ali berusia 11 tahun. 

 P/s: Hati-hati!

Rabu, 10 Ogos 2011

Hati-hati Beli Juadah di Pasar Ramadan, Budak Maut Selepas Berbuka Puasa


Saya petik:
Enam turut alami muntah, cirit birit

[BH] MERU: Seorang murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai dekat sini, meninggal dunia pagi kelmarin, selepas mengalami muntah dan cirit birit kira-kira setengah jam selepas menikmati juadah berbuka puasa yang dibelikan bapanya di sebuah bazar Ramadan berdekatan rumahnya di Taman Seri Mewah di sini, petang Ahad lalu.

Selain Nurdini Mohamad Ali, 11, hampir seluruh ahli keluarganya turut mengalami simptom sama sehingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, selepas memakan juadah sama.

Mereka ialah ibunya, Noraliti Ramli, 37, yang kini hamil lima bulan, dan empat abangnya, Mohammad Syafiq, 14; Mohammad Irfan, 13; Mohammad Fitri, lapan dan Mohammad Hazimi, tiga tahun serta pembantu rumah dikenali sebagai Pati. 

Mohammad Irfan dan Mohammad Fitri turut disyaki dijangkiti penyakit taun, manakala Mohammad Hazimi menghidap demam denggi.

Bapa mangsa, Mohamad Ali Khir, 37, yang ditemui di HTAR, berkata jam 6.10 pagi kelmarin, beliau ke bilik air dan terdengar bunyi dengusan seperti lembu disembelih dari bilik air.

“Sebaik membuka pintu bilik air, saya terkejut melihat Nurdini dalam keadaan terlentang dengan mata terbeliak dan mulutnya berbuih,” katanya.

Mohamad Ali yang tidak dapat menahan sebak, berkata Nurdini meminta air batu campur (ABC) dan otak-otak sejak awal Ramadan lagi, tetapi hanya Ahad lalu beliau berkesempatan membeli juadah berkenaan.
 
“Kira-kira setengah jam selepas berbuka dengan juadah itu, perut saya mula berasa tidak selesa dan kira-kira sejam kemudian kami sekeluarga dan pembantu rumah mula muntah serta cirit-birit sehingga tidak larat untuk bangun ke bilik air.

“Sebaik melihat keadaan Nurdini yang semakin teruk, saya membawanya ke HTAR tetapi sebaik tiba di hospital, doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Ahli keluarganya yang lain dibawa ke hospital sama dengan bantuan jiran.

Mohamad Ali berkata, biarpun beliau turut mengalami simptom sama, beliau menggagahkan diri dan tidak mahu dirawat di hospital kerana tiada siapa untuk menguruskan jenazah anaknya.

Jenazah Nurdini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru, selepas Zuhur, petang kelmarin.

Ditanya sama ada beliau mahu mengambil tindakan terhadap peniaga yang menjual makanan yang disyaki tercemar, Mohammad Ali berkata beliau tidak mahu menyalahkan sesiapa, tetapi menasihati peniaga bazar Ramadan mengambil iktibar dan berhati-hati ketika mengendalikan makanan yang dijual supaya kejadian menimpa keluarganya tidak berulang.


P/s: Sila ambil perhatian!




, ,

Sabtu, 6 Ogos 2011

Susulan Penemuan DNA BABI dalam Mentega "Golden Churn Creamy Butter", MIS Dapati Kedai Kek dan Roti Gunanya Secara MELUAS!!!


Saya petik:
[BH] KUCHING: Masyarakat Islam sekali lagi dikejutkan apabila ratusan kedai roti dan kek di seluruh Sarawak disyaki turut menggunakan mentega jenama Golden Churn Creamy Butter yang telah disahkan mengandungi DNA babi oleh Majlis Islam Sarawak (MIS).

Apa yang membimbangkan, kira-kira 40,000 kilogram mentega berkenaan berada di pasaran di negeri ini dengan bekalan masih boleh didapati di kebanyakan pasar raya dan kedai runcit yang menjualnya secara terbuka. 

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, Wan Ahmad Huzir Wan Sulaiman, berkata penggunaan mentega Golden Churn Creamy Butter bukan saja di kalangan pengusaha kek lapis sebaliknya turut digunakan dalam industri pembuatan roti dan kek. 

Katanya, banyak pengusaha kedai roti dan kek termasuk yang bukan beragama Islam dikesan menggunakan jenama mentega itu selepas mendapat pengiktirafan halal dari Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

“Golden Churn Creamy Butter telah digunakan secara meluas di Sarawak sebelum ini dan ia tidak terhad digunakan pengusaha kek lapis saja kerana ia turut membabitkan kedai roti serta kek yang banyak di seluruh negeri.

"Selesai pemeriksaan semua premis pengusaha kek lapis, kami akan meneruskannya ke atas kedai roti dan kek bagi memastikan mereka mematuhi sijil halal dikeluarkan JAIS,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Selasa lalu, MIS memutuskan mentega jenama Golden Churn Creamy Butter adalah haram selepas ujian makmal di Jabatan Kimia Malaysia mendapati wujud DNA babi di dalam sampel yang diambil dari pengedar di sini.
Wan Ahmad Huzir, berkata pihaknya telah mengeluarkan arahan ke atas semua pasar raya yang menjual mentega berkenaan agar mengalihkannya ke seksyen tidak halal selain meminta pengedar menampal logo halal pada bahagian bungkusannya.

“Kita tidak boleh mengarahkan mentega ini dimusnahkan kerana ada pelanggan bukan Islam masih menggunakannya.

“Mengenai dakwaan mengatakan wujudnya penghantaran Golden Churn Creamy Butter yang halal dari Australia, pihak kami menetapkan keseluruhan produk berkenaan adalah haram dan tidak ada sebarang penghantaran yang halal,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS), Rabiah Amit, meminta tindakan tegas turut dikenakan ke atas mana-mana pihak didapati pernah dan menggunakan mentega itu.

“Janganlah hanya ‘menyerang' pengusaha kek lapis kerana Golden Churn Creamy Butter turut digunakan banyak pihak termasuk hotel terkemuka dan kedai roti bagi menghasilkan kek atau biskut yang dijual kepada orang ramai.

“Mereka juga harus mengambil langkah sama termasuk menghentikan penggunaan mentega berkenaan dan menyamak peralatan dan perkakasan kerana pelanggan mereka merangkumi umat Islam juga,” katanya.  



P/s:  Apabila terkenang akan hasrat Malaysia ingin menjadi hub halal serantau, saya tegaskan, baik lupakan sahaja niat itu selagi isu halal dan haram di negara ini masih belum selesai. Banyak sangat isu halal/haram dan BABI sejak belakangan ini.

Sekitar tahun 90-an dahulu, ada tersebar cerita sebuah kilang diserbu oleh penguat kuasa agama dan didapati kilang itu menggunakan unsur BABI dalam produknya. Kononnya, dalam e-mel itu ada dinyatakan bahawa si pemilik kilang itu ada menyebut: "MELAYU MANA TAK MAKAN BABI?"

Saya tidak tahu kebenaran e-mel itu. Namun, jika dilihat pada situasi hari ini, kata-kata itu ada benarnya. Bayangkan mentega yang didapati haram telah digunakan dalam sektor pembuatan makanan halal sejak empat dekad lalu (40 tahun). Selama empat dekad, berapa banyak orang Islam telah makan kek lapis Sarawak atau roti dan kek yang dijual di sekitar Sabah dan Sarawak? Selain Sarawak, adakah mentega ini juga digunakan secara meluas di Semenanjung?

Pada saya, kerajaan tidak serius menangani isu ini. Bersepah hotel dan kafe serta kopitiam menyajikan makanan yang diragui status halalnya. Apa tindakan kerajaan? Sepatutnya, pihak kerajaan perlu memastikan semua pengusaha hotel, kafe, kopitiam meletakkan tanda "TIDAK HALAL" di premis mereka jika gagal mendapatkan sijil halal. Jika gagal berbuat demikian, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap mereka. Begitu juga halnya dengan pelbagai makanan yang dijual di pasaran, tetapi status halalnya amat meragukan. Tiada tindakan diambil untuk memaksa pengeluar meletakkan label "TIDAK HALAL" secara jelas pada bungkusan produk. 

Saya tegaskan sekali lagi, selain label HALAL, kerajaan perlu mewujudkan peraturan yang memerlukan pengusaha/pengilang/pengedar produk meletakkkan label "TIDAK HALAL". Label ini bukan sahaja untuk bungkusan produk makanan, tetapi membabitkan produk lain. Maksudnya, tiada produk yang dijual mempunyai status yang meragukan di pasaran jika langkah ini diambil.

Apa yang berlaku hari ini, kerajaan hanya meminta budi bicara orang ramai untuk memilih produk/premis yang halal. Tanpa label "TIDAK HALAL" dan penguatkuasaan agak sukar orang ramai untuk memilih produk atau premis halal. Antara sebabnya, ada premis/pengeluar MENIPU pengguna seolah-olah produk dan premis mereka halal. Ada  juga pengusaha yang menipu pengguna dengan meletakkan logo HALAL tiruan/palsu pada premis atau produk masing-masing.

Suatu hal, apabila pengilang/pengeluar/pengedar/peniaga didapati menjual produk tidak halal, tiada undang-undang tegas dikenakan. Berapa banyak saman yang dikenakan terhadap mereka? Adakah nilai ribuan itu berbaloi dengan jutaan orang Islam yang makan makanan/menggunakan produk tidak halal kerana sikap tidak bertanggungjawab mereka serta kelemahan penguatkuasaan? Sedangkan isu halal dan haram ini besar implikasinya kepada umat Islam!


P/s: "Melayu mana tidak makan BABI?" Apa kata anda?  Berbalik kepada isu mentega ini, saya tanya sekali lagi, pengusaha mana yang sanggup menanggung kerugian demi memastikan pelanggannya tidak makan sumber haram?



,

Khamis, 4 Ogos 2011

Pengusaha AKAN Buang Kek Lapis Tercemar dengan Unsur BABI. Anda Percaya?

Sekadar hiasan.

Saya petik:
Kek lapis guna mentega Golden Churn dimusnah  
Pengusaha perlu samak peralatan sebelum buat kek baru 

[BH] KUCHING: Pengusaha kek lapis Sarawak yang menggunakan mentega jenama Golden Churn Creamy Butter yang disahkan mengandungi DNA babi, disaran memusnahkan stok mereka dan menyamak semua peralatan dan kelengkapan memasak sebelum menghasilkan semula kek berkenaan untuk dipasarkan.

Ia perlu dilakukan kerana ramai pengusaha menyediakan stok bernilai sehingga jutaan ringgit sejak tiga bulan lalu untuk menampung permintaan sambutan Aidilfitri, pada akhir bulan ini.

Mereka perlu berbuat demikian bagi mengelak menanggung dosa selepas mengetahui produk yang dihasilkan tidak halal dimakan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman, berkata berdasarkan hukum Islam, menyamak adalah wajib kepada lebih 400 pengusaha kek lapis di Sarawak kerana mentega jenama berkenaan antara yang popular serta paling banyak digunakan bagi menghasilkan kek lapis yang tahan lama serta mampu disimpan sehingga enam bulan.

Daud berkata, proses menyamak mengambil masa kurang satu jam bergantung kepada saiz peralatan dan tidak menyebabkan kerosakan mesin pengusaha.

“Kita dimaklumkan memang ada pengusaha menyediakan stok bernilai jutaan ringgit sejak tiga atau empat bulan lalu, namun apa boleh buat. Ini adalah hukum dan mereka bersalah jika terus menjual kek lapis mengandungi DNA babi.

“Bagi pengusaha yang mempunyai banyak simpanan mentega jenama itu, mereka boleh merujuk Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan bagi maklumat lanjut dan pada masa sama menukar mentega kepada jenama yang disahkan halal,” katanya.

Daud berkata, sebelum ini pihaknya meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tampil dengan kenyataan rasmi pengharaman mentega jenama itu selepas Majlis Islam Sarawak (MIS) berbuat demikian pada 28 Julai lalu.

Katanya, keputusan makmal oleh MIS tidak perlu dipertikaikan kerana ia dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Sarawak menggunakan sampel mentega yang diperoleh secara meluas di pasaran tempatan.


Persatuan akui ramai batal tempahan

KUCHING: Presiden Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS), Rabiah Amit memberi jaminan orang ramai tidak perlu bimbang status halal kek lapis Sarawak kerana semua 70 ahlinya sudah menghentikan penggunaan mentega jenama Golden Churn Creamy Butter dan bertukar kepada jenama lain.

Rabiah bagaimanapun mengakui ramai pelanggan menghentikan tempahan sementara selepas isu itu dihebahkan menerusi media.

“Kami ingin menjelaskan bahawa kek lapis di Sarawak halal kerana tidak menggunakan produk itu sejak setahun lalu. Pengguna yang ragu-ragu boleh meneliti sijil halal kami yang dikeluar JAIS,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sementara itu, isu itu dijangka tidak memberikan impak besar kepada industri kek lapis Sarawak kerana tempahan yang diterima pengusaha terus meningkat menjelang Aidilfitri. Namun, ada pengusaha terpaksa membatalkan tempahan luar negara kerana bimbang ia menjejaskan jualan selepas terpaksa menanggung kos pengedaran yang tinggi.

Pemilik Kedai Kek Di Wannie, Zoraidah Leen, berkata beliau kerugian sekurang-kurangnya RM30,000 selepas membatalkan penghantaran kek lapis ke Brunei dan Singapura walaupun sudah menerima banyak permintaan daripada pelanggan tetap di negara berkenaan.

Katanya, sejak 2007 pihaknya mengedar kek lapis di dua negara jiran itu selain pelanggan di Semenanjung serta tempatan yang setakat ini tidak terjejas.

“Saya terpaksa menerangkan kepada pelanggan di luar negara dan jalan terbaik adalah menangguhkan penghantaran.

“Kerugian boleh ditampung dengan permintaan dalam negara yang stabil kerana saya memang sudah lama tidak menggunakan mentega itu,” katanya.

Sementara itu, pengedar kek lapis Sarawak di Semenanjung, Azman Hezri, berkata isu mentega tidak menjejaskan tempahan penggemar di Semenanjung.

Malah, beliau terpaksa menghentikan tempahan sebelum Ramadan kerana bimbang tidak dapat menghantar bekalan akibat tempahan terlalu banyak.

Setakat ini beliau mengedarkan 1,500 kilogram kek lapis di sekitar Kuala Lumpur dan Semenanjung.

“Isu Golden Churn nampaknya tidak menjejaskan minat orang ramai di Semenanjung. Walaupun ada yang kata macam-macam mengenai mentega itu, masih ramai membuat tempahan sehingga saya bimbang tidak mampu menghantarnya sebelum raya,” katanya.

P/s: Saya tidak mahu mengulas panjang. Cuma saya sangsi dengan kesungguhan sesetengah pengusaha (bukan Islam) membuang kek yang telah tercemar dengan unsur babi. Jumlah kek yang akan dimusnahkan mungkin banyak jumlahnya. Malah berita di atas memerihal bahawa pengusaha telah menyediakan stok bernilai sehingga jutaan ringgit sejak tiga bulan lalu untuk menampung permintaan sambutan Aidilfitri. Bukan sahaja kek yang akan dibuang, malah mentega yang dibeli secara borong itu juga perlu dibuang. Sanggupkah mereka menanggung kerugian?

Seperkara lagi, mentega itu paling popular dan paling banyak digunakan dalam kalangan pengusaha kerana dapat menghasilkan kek lapis yang tahan lama serta mampu disimpan sehingga enam bulan. Dengan kelebihan yang sedemikian, adakah pengusaha dengan mudah akan membuang atau menggantikannya dengan jenama lain?

Ringkasnya, bagi penggemar kek lapis Sarawak, mungkin melupakan keinginan untuk membeli dan makan kek ini buat sementara waktu adalah jalan yang terbaik. Biarpun begitu, terpulang kepada anda. Tepuk dada tanya selera.




BAGASI KIRIMAN TERKINI

BAGASI KIRIMAN

PERHATIAN

Tulisan dalam blog ini sebahagian besarnya ialah respons/pendapat/ulasan RINGKAS/SPONTAN saya terhadap pelbagai isu dan perkara yang berlaku di serata negara mahupun di luar negara.

Sebahagiannya pula disalin & ditampal (
semoga dengan izin) dari blog, laman sesawang atau laman berita dari dalam dan dari luar negara. Hak cipta berita, artikel & makalah adalah milik laman sesawang atau blog tersebut.

Seboleh-bolehnya, saya cuba mengelak untuk menyiarkan mana-mana makalah/petikan/gambar tanpa restu pemilik asalnya. Jika mana-mana petikan/tulisan/gambar yang disiarkan dalam blog ini kurang disenangi pemilik asalnya, maka maklumkanlah segera kepada saya (di ruangan komen bahan terbabit) agar petikan/tulisan/gambar tersebut dapat dikeluarkan dengan kadar segera.

Untuk makluman, sebarang petikan, makalah, gambar yang dipetik dari laman berita atau dari blog /laman sesawang atau dari sumber internet yang lain tidak semestinya menggambarkan/mewakili pandangan saya dalam sesuatu isu yang berkaitan.

PENAFIAN:
Semua artikel atau berita yang disiar dalam blog ini adalah untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am. Ketepatan maklumat artikel atau berita itu perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan atau penyebaran maklumat palsu atau fitnah.

-tayadihmaysia@yahoo.com







TERIMA KASIH