Lim Guan Eng Jawab Isu Rumah Banglo
GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng menjumput Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya untuk bersemuka bagi merungkai kebenaran dan fakta berhubung pembelian banglo di Jalan Pinhorn di sini.
Beliau berkata, tuduhan rasuah oleh Shabudin di Dewan Rakyat kelmarin adalah tidak berasas kerana mengaitkan pembelian itu dengan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis yang dijual pada tahun 2012 kepada pemaju swasta untuk pembinaan hospital swasta dan hotel.
Menurutnya, tiada apa yang akan disembunyikannya mengenai pembelian banglo bernilai RM2.8 juta dan mahu mendengar sendiri apa sebab yang mendorong Shabudin membuat tuduhan sedemikian.
"Selepas tujuh tahun menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, saya membeli sebuah rumah banglo dua tingkat di Jalan Pinhorn berusia lebih 30 tahun. Saya beli dengan harga RM2.8 juta pada 28 Julai 2015, bukan dari pemaju swasta tetapi dari individu persendirian.
"Saya mengambil pinjaman bank RM2.1 juta dan baki RM700,000 dibayar secara tunai berdasarkan apa yang saya terima sebagai ketua menteri dan wakil rakyat," katanya pada sidang media di sini.
Guan Eng berkata,Shabudin membuat tuduhan bahawa nilai rumah yang dibeli sepatutnya lebih tinggi.
Beliau menjelaskan pembelian itu adalah transaksi “bebas dan rela hati” (arms-length) antaranya dan penjual berasaskan dasar kesanggupan secara rela hati pembeli dan penjual (willing buyer-willing seller).
"Penjual adalah individu persendirian melalui sub-jualan dan bukan pemaju perumahan.
"Selagi tidak ada paksaan atau pengaruh yang tidak wajar, kontrak penjualan rumah ini umpama seperti perkahwinan – ia terpulang kepada kedua-dua pihak secara rela hati untuk memutuskan harga yang sesuai atau teman yang sesuai," katanya.
Sebelum ini,sebuah portal melaporkan melaporkan Shabudin mengaitkan pembelian rumah itu dengan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis yang dijual pada tahun 2012 kepada pemaju swasta untuk membina hospital swasta.
Shabudin dilaporan berkata,tanah Taman Manggis sepatutnya untuk projek perumahan kos rendah.
Guan Eng berkata, adalah tidak benar untuk mengaitkan pembelian rumah pada tahun lalu dengan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis yang dijual pada tahun 2012 melalui tender terbuka yang kompetitif.
Beliau berkata, tidak salah untuk menjual tanah kepada pembida yang paling tinggi dan pemaju swasta yang memenangi bidaan itu secara tender terbuka yang kompetitif.
"Penjual rumah saya tidak terlibat dengan syarikat yang memenangi bidaan tanah itu dan bukan pemegang saham atau ahli lembaga pengarahnya. Tambahan pula Jawatankuasa Tender Kerajaan Negeri tidak dipengerusikan oleh saya tetapi Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
"Kerajaan negeri tidak mengetahui bahawa tanah Taman Manggis diperuntukkan untuk perumahan kos rendah. Bagi mengalakkan pelancongan perubatan, kerajaan negeri memutuskan untuk menawarkan tanah itu untuk pembinaan hospital pakar," katanya.
Beliau berkata, dakwaan rasuah tanpa asas, kebenaran atau fakta adalah serangan peribadi untuk menamatkan kariernya tambahan pula Ahli Parlimen Tasek Gelugor membangkitkannya dalam Dewan Rakyat dan menikmati kekebalan parlimen dari tindakan undang-undang.
"Shabudin harus mencari fakta yang benar untuk membuktikan saya terlibat dengan rasuah.
"Atas sebab itu, saya menjemputnya untuk bersemuka secara satu-sama-satu berdasarkan fakta dan angka, pada jam 11 pagi Ahad 20 Mac 2016 di hadapan media massa di pejabat saya di Komtar. Rakyat Malaysia boleh menilai sendiri siapa yang bercakap benar, siapa yang bersih dan siapa yang membuat serangan liar, tidak bertanggungjawab dan serangan peribadi yang tidak berasas," katanya.- Sinar Harian/18/3/16
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.