Ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, saya terlihat poster ceramah Hasan Ali berhampiran dengan simpang masuk ke Saujana Utama, Sg Buloh. Kalau tidak silap, tajuknya berkaitan dengan isu akidah dan kuasa ketiga. Tampaknya, "agama" masih menjadi modal Hasan Ali untuk kepentingan politik dan mempengaruhi orang ke ceramahnya.
Selesai solat Maghrib, saya sekeluarga ke KFC berhampiran dengan tapak ceramah. Kami bercadang untuk memesan beberapa hidangan termasuk ayam spicy, kegemaran anak-anak. Pada ketika itu, orang agak banyak, maklumlah awal bulan, rata-rata pelanggan menerima gaji masing-masing semalam. Barisan pelanggan yang mahu memesan hidangan juga agak panjang. Semua kaunter dibuka untuk menerima pesanan.
Ketika tiba giliran kami, pekerja kaunter memberitahu ayam spicy sudah habis. Pelanggan yang memesan hidangan itu perlu menunggu 11 minit. Bayangkan anda beratur hampir 15 minit, ketika sampai giliran untuk membuat pesanan, anda diberitahu hidangan yang diingini sudah habis dan anda perlu menunggu dalam tempoh tertentu. Bayangkanlah pula kalau anda beratur selama sejam, sampai sahaja di kaunter pekerja dengan selamba memberitahu ayam sudah habis. Tentulah anda akan "mengamuk" kerana pekerja sepatutnya memberitahu anda terlebih awal dan tidak membiarkan anda beratur lama dan membuang masa, mengharapkan sesuatu yang tidak ada.
Samalah juga dengan keadaan yang kami alami malam tadi. Bukan pertama kali dan sudah pasti bukan yang terakhir. Situasi seumpama ini tidak akan berlaku jika premis makanan segera itu diurus dengan betul. Sepatutnya, pekerja di premis itu membuat tindakan awal untuk mengelakkan pelanggan terpaksa menunggu sesuatu hidangan atau merungut dengan perkhidmatan yang diberikan. Misalnya, jika mereka mendapati ayam spicy sudah hampir habis dan pelanggan pada waktu itu banyak, sepatutnya mereka bertindak menggoreng ayam itu lebih awal, bukannya menunggu ayam itu hampir habis baru menggoreng ayam yang baru.
Selesai makan hidangan yang dipesan, ayam yang dipesan masih belum sampai. Rasanya lebih 20 minit, namun ayam yang dikatakan akan siap digoreng selepas 11 minit masih belum sampai. Beberapa minit kemudian, itu pun selepas orang rumah saya mengadu kepada pekerja, barulah ayam yang dipesan sampai ke meja. Aduhai! Seolah-olah kekecohan yang berlaku di sebuah premis makanan segera itu tidak memberikan kesan kepada pekerja-pekerja di premis yang lain.
Sebaik saja bergerak meninggalkan KFC, kami menuju ke tapak ceramah. Sampai di sana, kelihatan beberapa orang sedang duduk menunggu di kerusi yang disediakan. Saya tiba di situ pukul 9.15 malam. Ceramah seperti yang dinyatakan pada kain rentang sepatutnya bermula pukul 9 malam. Yang memalukan, walaupun sudah 15 minit berlalu, orang masih tidak berminat memenuhi tapak ceramnah. Pada waktu itu, hanya video ceramah Hasan Ali ditayangkan kepada pengunjung. Penceramah jemputan termasuk Hasan Ali langsung tidak kelihatan.
Tepat jam 9.20, jumlah penonton tidak banyak beza. Rasanya, tidak sampai 15 orang setia menunggu Hasan Ali di tapak ceramah. Tidak jauh dari tapak ceramah yang lengkap dengan khemah dan kerusi, ada kelompok pemerhati, rasanya tujuan mereka ke sana samalah seperti saya, iaitu mahu meninjau sejauh mana sokongan masyarakat setempat kepada Hasan Ali.
Untuk pengetahuan anda, di kawasan Saujana ini, dianggarkan lebih 20 ribu orang yang majoriti besarnya orang Melayu menetap di sini. Kalau berdasarkan anggaran pemaju, terdapat lebih 30 ribu orang yang tinggal di sekitar kawasan perumahan di sini. Hal ini jelas tergambar setiap kali ceramah PR dilangsungkan di kawasan ini. Tidak kurang 4-5 ribu penduduk setempat datang memeriahkan suasana sambil mendengar kupasan isu terkini daripada pemimpin PR. Saya sempat beberapa kali mengikuti ceramah tokoh-tokoh PR di kawasan itu. Suasananya memang jauh berbeza daripada ceramah yang dianjurkan oleh UMNO atau Hasan Ali. Selesai sahaja solat Isyak, tapak ceramah sudah dipenuhi kenderaan dan orang ramai. Lalu lintas juga sesak dengan kenderaan.
Namun, suasana malam ini, sama sahaja seperti keadaan hari-hari yang lain. Orang ramai berkunjung ke restoran dan gerai makan untuk menjamu selera. Ada juga penduduk setempat yang sibuk membeli belah barangan dapur. Ada penduduk yang meluangkan masa berjemaah di masjid dan mendengar tazkirah daripada imam. Majoriti besarnya seolah-olah tidak menghiraukan kedatangan Hasan Ali yang berdasarkan ceramah yang ditayangkan di layar masih cuba mengelirukan orang ramai tentang isu pemecatannya, isu Anwar Ibrahim dan fitnah-fitnah yang dilemparkan kepada PKR dan DAP.
Lebih kurang jam 9.40 malam, saya beransur pulang. Ceramah masih belum dimulakan. Jumlah orang di tapak ceramah pun masih tidak berubah. Yang menimbulkan tanda tanya ialah pihak di belakang penganjuran ceramah Hasan Ali di situ. Berdasarkan kemudahan khemah, kerusi, sistem audio, dan perkasas rakaman yang disediakan, rasa-rasanya bukan JATI yang menjadi penganjur ceramah itu. Berdasarkan kepentingan penganjuran ceramah itu, rasa-rasanya anda tentu dapat mengagak dalang yang menyokong jerayawara Hasan Ali.
Selepas 40 minit ceramah sepatutnya dimulakan, inilah antara penduduk yang setia menunggu Hasan Ali di tapak ceramah. Tolong kira! Tidak tahulah pula jika muncul Hasan Ali di tapak ceramah, suasana akan berubah dengan kehadiran 10 ribu penduduk taman perumahan itu -DCM
 |
| Sumber Gambar: DuniaCacaMarba |
P/s: Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan bahawa Hasan Ali mendakwa PKR dan DAP akan menghapuskan panggilan azan jika memerintah Malaysia. Selepas melemparkan fitnah yang sejahat itu, amat malang jika ada orang Melayu yang mempercayai kata-kata parasit PAS ini.