Cermin Gelap: Enam Bulan Sudah Cukup - JPJ
Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menguatkuasakan peraturan cermin gelap bermula Jumaat ini selepas tempoh enam bulan diberi sudah mencukupi.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, pihaknya tidak akan bertolak-ansur terhadap pemandu yang gagal mengikut piawaian cermin gelap apabila operasi bermula kelak.
“Tempoh enam bulan yang diberi adalah mencukupi dan tiada lagi alasan selepas tarikh penguatkuasaan bermula Jumaat ini.
“Bermula Jumaat ini, pemilik yang gagal mematuhi peraturan ini akan disaman mengikut Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-jenis Kaca Tertentu) 1991 mengikuti piawaian penggunaan cermin gelap yang ditetapkan JPJ,” katanya dalam satu kenyataan sebelum ini.
Menurutnya, pihaknya sepatutnya memulakan penguatkuasaan bermula 1 November tahun lalu, namun memberi kelonggaran selepas mengkaji pelbagai sudut keperluan sebelum ditangguhkan kepada 1 Mei ini. - Suraya Roslan/harian Metro/29/4/15


