Klik "LIKE" Untuk Terima Kemas Kini DCM di Facebook. Klik Butang "LIKE" di Bawah

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets

Rakan DUNIACACAMARBA

Rakan DUNIACACAMARBA

Jadi Rakan TM

Follow tayadihmaysia on Twitter

BAGASI KIRIMAN POPULAR

Iklan & Tawaran

1. Mari sertai ChurpChurp, berinteraksi bersama-sama dengan taulan sambil menjanakan pendapatan, Percuma! Lanjut sila klik di sini.





Advertlet Hutang DCM RM1710

Advertlet Hutang DCM RM1710
Review http://duniacacamarba2.blogspot.com/ on alexa.com

Sponsored Ads

Cerita UG- Kerajaan Perpaduang

Agenda Unity Government (UG). Apa progresnya selepas ketiadaan TGNA?Video lain:1....

Posted by DUNIACACAMARBA on Saturday, October 17, 2015

Memaparkan catatan dengan label masalah mental. Papar semua catatan

,

Sabtu, 30 Mei 2015

[Video] Jatuh dari Menara Masjid Kampung Baru, Nyaris Hanya Patah Kaki




KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai cuba membunuh diri dengan terjun daripada Masjid Kampung Baru, di sini, bernasib baik apabila dia hanya patah kaki kanan.

Dalam kejadian kira-kira 6.50 petang itu, mangsa berusia 23 tahun dilihat memanjat menara masjid Kampung Baru.


Lelaki terbabit di percayai mempunyai masalah mental itu kemudian bertindak terjun dari menara terbabit sebelum jatuh ke atas bumbung di kawasan berdekatan.

Difahamkan orang ramai yang berada di kawasan terbabit cuba memujuk tetapi tidak diendahkan.

Mangsa kemudian di hantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.- Harian Metro/29/5/15

,

Wanita Tanggal Baju di Jalan Petaling Diarah Masuk Hospital Bahagia



KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan bekas model sambilan yang dituduh menanggalkan bajunya di khalayak ramai baru-baru ini, menjalani penilaian kesihatan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak.

Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor mengeluarkan perintah itu terhadap Persana Avril Sollunda, 33, mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah dan sekiranya tertuduh gagal berbuat demikian hari ini, mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap dan membatalkan jaminannya.

"Saya akan menelefon pihak hospital, jika tidak ada sebarang pendaftaran masuk hari ini, saya akan mengeluarkan waran tangkap dan batalkan jaminan," kata Majistret itu.

Persana Avril memohon mahkamah memberinya masa dua hari untuk mengemas pakaian sebelum pergi ke Hospital Bahagia, bagaimanapun mahkamah mengarahkannya pergi ke hospital itu hari ini juga.

Nur'Aminahtul Mardiah mengeluarkan perintah itu selepas menolak permohonan peguam yang mewakili tertuduh, Muhammad Nor Izzat Nordin untuk tidak membicarakan kes anak guamnya di mahkamah terbuka.

Muhammad Nor Izzat berhujah anak guamnya berada dalam keadaan tidak sihat selepas pulang daripada mendapatkan rawatan di Pusat Psikiatri Hospital Sungai Buloh, setelah diikat jamin pada 5 Mei lalu.

Nur'Aminahtul Mardiah menolak permohonan peguam dengan alasan tidak ada sebarang laporan dikeluarkan pihak Hospital Sungai Buloh mengatakan tertuduh dalam keadaan tidak sihat untuk menghadiri perbicaraan dan dibicarakan di mahkamah terbuka.

Beliau juga menolak permohonan peguam itu supaya anak guamnya mendapat rawatan di hospital di Sabah kerana anggota keluarganya tinggal di sana.

Persana Avril yang memakai baju cardigan labuh berwarna coklat keemasan sedondon dengan seluar ketat dan bersanggul mengangguk faham terhadap perintah yang dikeluarkan mahkamah.

Dia yang turut bersolek rapi dan mengikat selendang di sanggulnya menarik perhatian orang ramai di dalam mahkamah menyebabkan majistret membuat teguran kepada peguam.

"Tolong nasihatkan OKT (Orang Kena Tuduh) supaya jangan berpakaian macam 'rock star', tolong pakai elok-elok sikit," katanya.

Persana Avril dituduh menanggalkan baju di khalayak ramai apabila gagal membayar selepas makan di sebuah kedai nasi ayam di Jalan Petaling di sini pada 23 April lepas. Gambarnya tanpa baju dan coli menjadi viral di laman sosial.

Terdahulu ketika kesnya disebut pada 9.30 pagi, wanita itu tidak hadir sebaliknya hanya menghantar peguam dan penjamin yang merupakan adik lelakinya.

Peguamnya memberi alasan tertuduh tidak boleh hadir ke mahkamah kerana berada dalam keadaan tidak sihat bagaimanapun mahkamah menangguhkan kes itu sehingga pukul 12 tengah hari dan memerintahkannya hadir kerana tiada sebarang sijil cuti sakit dikemuka.

Mahkamah menetapkan 2 Julai untuk mengetahui laporan perubatan kesihatan tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin.- Bernama/29/5/15


,

Khamis, 12 Februari 2015

Jalan Bogel


[Bernama] Polis menahan seorang wanita warga Indonesia, dipercayai kurang siuman, yang berjalan dalam keadaan bogel di ibu kota, Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Zainuddin Ahmad berkata wanita berusia lingkungan 20-an itu kemudian diserahkan kepada Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan mental.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari Jumaat lepas, wanita itu berjalan dari Masjid Negara ke Kampung Attap sambil menanggalkan pakaiannya satu persatu.

"Kami mendapat maklumat berkenaan daripada polis trafik yang bertugas ketika kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan ke atas wanita berkenaan, polis mendapatinya mengalami tekanan perasaan sehingga menyebabkan dia bertindak sedemikian.

Baru-baru ini sebuah video berdurasi 12 saat menjadi viral di laman sosial WhatsApp yang memaparkan seorang wanita bogel berjalan di tengah-tengah jalan raya di ibu kota. – Bernama, 11 Februari, 2015.

, , ,

Jumaat, 8 November 2013

Amuk di Stesen LRT: Pemandu Van Dihadapkan ke Mahkamah



[AA] KUALA LUMPUR: Seorang pemandu van dihadapkan ke Mahkamah Majistret Khamis terhadap pertuduhan membunuh dua lelaki dalam kejadian amuk di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Melati di sini, dua minggu lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Zamri Yusof, 26, didakwa membunuh penjual peralatan tulis, Lee Kah Ghee, 44 di hadapan stesen LRT Taman Melati, Persiaran Pertahanan, Wangsa Maju di sini, antara kira-kira pukul 11 pagi sehingga 12 tengah hari, 24 Okt lalu.

Muhammad Zamri juga didakwa membunuh seorang pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR), Kwan Chun Thai, 25, di tepi tiang LRT bernombor P 24/55, Kampung Wira Jaya Luar, Jalan Tumbuhan, Wangsa Maju di sini, pada waktu dan tarikh yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang kelihatan tenang mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Majistret turut memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan mental.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Dis ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa ASP Zulkifli Osman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, media melaporkan kedua-dua mangsa meninggal dunia selepas ditikam menggunakan pisau Rambo oleh tertuduh yang dipercayai penuntut ekstrem ajaran sesat. -8/11/13


, , ,

Jumaat, 25 Oktober 2013

Identiti Pemuda Mengamuk Diketahui, Ibu Suspek Terkejut



[UM] SEGAMAT 24 Okt. - Ibu kepada suspek yang menikam mati dua daripada empat orang awam di Kuala Lumpur hari ini tidak menyangka anaknya sanggup bertindak sedemikian memandangkan dia tidak pernah menghadapi sebarang masalah mental.

Hamidah Abd. Rahman, 56, turut menafikan anaknya itu, Zamri Yusuf, 26, yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik terlibat dengan ajaran sesat.

"Saya masih terkejut dimaklumkan dengan kejadian ini kerana dia seorang anak yang baik selain mengambil berat pelajaran adik-adiknya.

"Malah ketika pulang menyambut Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, dia tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda menghadapi sebarang masalah sebaliknya gembira beraya bersama kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Felda Pemanis 1 di sini hari ini.

Menurut Hamidah, anaknya itu yang bekerja sebagai pemandu van syarikat rokok dan menetap di Cheras, Kuala Lumpur sejak lima tahun lalu juga sering memberikan duit belanja sebanyak RM250 setiap kali pulang ke kampung.

Beliau mengakui anaknya itu pernah putus cinta beberapa tahun lalu namun menolak ia menjadi punca kejadian tersebut.

"Saya belum mendapat cerita sebenar kejadian dan hanya dimaklumkan salah seorang anak saya sewaktu pulang dari kebun tadi. Saya dan suami akan ke Kuala Lumpur, " katanya. - 25/10/13

Berkaitan:

Amuk Di Stesen LRT: “Aku Hanya Menjalankan Tugas...”

[Mstar] KUALA LUMPUR: Pengedar rokok yang mengamuk dan menikam orang ramai di dua buah stesen LRT di Gombak dan Taman Melati sehingga membawa kepada dua kematian telah mengeluarkan kata-kata; “Aku hanya menjalankan tugas...” sebelum menikam salah seorang mangsanya iaitu pembantu kedai runcit di stesen berkenaan.

Peristiwa ini diceritakan sendiri oleh mangsa tikamannya, Sulianti Johari, 31, yang terselamat daripada insiden tersebut.

Katanya, selepas menusuk abdomennya dengan sebilah pisau rambo, suspek dengan tenang dan bersahaja kemudian berjalan menuju ke van yang dipandunya semula sambil tersenyum dan melambai tangan lalu memandu pergi dari Stesen LRT Gombak - tempat pertama dia mengamuk.

Menurut Sulianti, dia memang mengenali pemuda berusia 26 tahun itu kerana pemuda itu adalah pengedar barangan regular di kedai dia bekerja.

"Kami tidak pernah bertengkar atau berselisih pendapat dengannya. Selalunya dia ramah dengan saya malah saya anggap dia bagaikan seorang adik,” katanya selepas berjaya menjalani pembedahan untuk menutup semula luka akibat tikaman di bahagian abdomennya itu.

Tetapi sebelum itu, para saksi yang lain menyedari yang suspek kelihatan seperti seorang yang dirasuk.

Pemilik kedai runcit di stesen berkenaan, Lau Siew Ling, 49, berkata, suspek adalah seorang yang mereka kenali dan merupakan seorang pembekal rokok di kedainya.

Bagaimanapun Lau yang turut ditikam oleh suspek menyedari yang suspek tidak kelihatan seperti biasa malah seperti telah dirasuk oleh sesuatu.

"Selepas dia berhentikan vannya di hadapan kedai saya dia terus keluar sambil memegang sebilah pisau. Dia tidak berkata apa-apa kepada saya tapi dia terus berjalan ke arah saya dan menghunuskan pisau itu ke sebelah kiri pinggang saya,” kata wanita itu kepada para pemberita ketika ditemui di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Suami Lau yang enggan namanya disebut menyifatkan peristiwa yang menimpa isteri dan pekerjanya itu sebagai satu kejadian malang.

"Tapi nasib baik mereka selamat...,” tambahnya lagi.

Menurut Lau, sebaik sahaja suspek menikam isterinya, suspek kemudiannya dengan selamba berjalan kembali ke arah pekerjanya Sulianti pula lalu menikam wanita itu. Kedua-dua mereka kini berada dalam keadaan stabil dan selamat.

Sementara itu seorang pemandu bas yang enggan dikenali berkata, dia telah menyaksikan kejadian itu di hadapan matanya dan nampak seorang lelaki yang kelihatan seperti “tidak betul” berjalan menuju ke vannya selepas menikam mangsa-mangsanya itu.

“Saya berlari ke arah mereka (mangsa) yang ketika itu sedang berdarah teruk dan salah seorang daripada mereka telah menunjuk ke arah van putih itu,” katanya.

Dia kemudiannya telah menjerit ke arah pengawal keselamatan berhampiran stesen tersebut dan memintanya menembak ke arah van putih berkenaan tetapi pengawal itu tergamam dan tidak dapat melakukan apa-apa.

Katanya, jika mereka berjaya menahan van tersebut daripada beredar dari situ mereka mungkin telah berjaya menyelamatkan dua nyawa yang lain daripada melayang.

(Suspek kemudiannya memandu ke arah Stesen LRT Taman Melati pula dan dalam perjalanan ke situ telah menikam dua lagi mangsa - seorang lelaki tua dan seorang lagi pelajar kolej - yang membawa kepada kematian mereka).

Sementara itu seorang rakan serumah suspek seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku dan telah dilakukan oleh suspek.

“Sukar untuk percaya akan apa yang dah berlaku kerana dia adalah seorang yang baik. Dia tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sebelum ini,” ujar rakan serumah suspek yang telah enam tahun tinggal serumah dengannya di Selayang.

Dia telah bergegas pergi ke HKL untuk memastikan apakah benar rakan serumahnya itu yang terlibat dengan kejadian amuk dan bunuh tersebut selepas membaca berita mengenai kejadian itu dalam laman sosial Facebook.

“Saya tidak pernah melihat dia menghadiri atau terlibat dalam mana-mana kumpulan silat atau dakwah sebelum ini,” katanya lagi. - 25/10/13




, , ,

Ahad, 15 September 2013

Lelaki Separuh Bogel Mengganas Cari ANAK DARA


Gambar seorang lelaki tanpa seluar dipercayai suspek diedarkan kepada orang ramai di sekitar Bukit Payung dan Alor Limbat melalui pelbagai media baru termasuk gambarnya ditampal di tiang lampu isyarat di Marang.

[SH] MARANG - "Sebaik sahaja tersedar daripada tidur, saya lihat ada lelaki separuh bogel memakai topeng ‘Zorro’ berada atas badan. Saya cuba menjerit namun mulut saya penuh dengan cecair seperti minyak dan ditutup,” kata mangsa, seorang pelajar berumur 17 tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, pelajar terbabit mendakwa lelaki separuh bogel itu telah memasukkan cecair seperti minyak dipercayai telah dicampur bahan lain ke dalam mulutnya agar dia tidak sedarkan diri. 

Bagaimanapun lelaki yang tidak memakai seluar itu tidak sempat berbuat apa-apa apabila bapa pelajar terbabit juga tersedar daripada tidur lalu memeriksa bilik anak perempuannya sebelum menyergah lelaki itu yang kemudiannya melarikan diri.

Menurut mangsa, lelaki terbabit hanya sempat mengambil telefon bimbit miliknya dan bersyukur kerana tidak diapa-apakan.

Namun mangsa yang tinggal di Kampung Tok Renek itu masih trauma dan tidak dapat melupakan kejadian menimpanya. 

“Nasib baik lelaki itu tidak sempat bertindak ganas dan saya bersyukur kerana kejadian disedari bapa, namun saya tidak akan dapat melupakan kejadian itu sampai bila-bila, malah masih berasa takut seolah-olah dia akan datang semula.

“Keluarga juga risau kejadian berulang dan mereka sudah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payung di Marang dan kami berharap lelaki itu akan dapat diberkas dengan segera” katanya ketika menghubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan dan menurutnya, kes berkenaan masih dalam siasatan serta disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, difahamkan lelaki separuh bogel dipercayai mengalami masalah mental itu juga digelar sebagai ‘orang minyak’ oleh penduduk kampung kerana sering berkeliaran di sekitar Bukit Payung dan Padang Midin, Kuala Terengganu.

Malah, kelibat lelaki tanpa seluar itu berjaya dirakam penduduk di kawasan berkenaan dan diedarkan kepada umum melalui laman facebook, whatsApp dan media baru lain termasuk gambarnya ditampal di tiang lampu isyarat di kawasan Bukit Payung, di sini.

Kejadian itu juga menyebabkan JKKK Padang Midin dan Belia Bestari (BBest) Kampung Padang Midin, Kuala Terengganu menubuhkan satu pasukan rondaan di kawasan kampung berkenaan.

Menurut Pengerusi JKKK Padang Midin, Razali Shahul Hamid, rondaan di kawasan kampung bermula pada jam 12 malam hingga 6 pagi setiap hari dan disertai ahli jawatankuasa belia BBest serta penduduk kampung tersebut.

“Rondaan ini telah dijalankan sejak dua tahun lalu dan kita adakan dengan lebih giat selepas beberapa siri kejadian membabitkan lelaki dipercayai kurang siuman yang digelar sebagai orang minyak itu dikatakan mula berkeliaran termasuk di Tok Renek.

“Tok Renek masih di bawah pentadbiran JKKK Padang Midin. Kampung ini terletak di sempadan kawasan polis Kuala Terengganu dan Marang, jadi kami akan memberikan kerjasama penuh dalam membantu dua pihak berkuasa itu memberkas lelaki terbabit,” katanya. -15/9/13


Kemas Kini:

'Orang minyak' ditahan berkeliaran
Lelaki separuh bogel ini sudah ditahan. Baca di sini.

, ,

Ahad, 1 September 2013

Tinggal Anak OKU di dalam Gua


[SH] BEIJING - CHINA . Seorang warga tua bertindak merantai kaki dan meninggal anak lelakinya yang buta serta mengalami kecacatan mental di dalam gua selepas kehilangan tempat tinggal wilayah Henan, China.

Cheng Xiantao, 26, yang ditemui dalam keadaan kotor dan tidak berpakaian diikat menggunakan rantai besi dalam sebuah gua di pinggir kampung Chengling.

Bapa mangsa, Cheng Yuanchao, 70, mengaku bertindak sedemikian dengan alasan telah kehilangan rumah dan terpaksa tinggal bersama anak perempuannya.

"Saya sudah tiada rumah dan tidak tahu di mana harus menempatkannya. Tetapi saya melawatnya tiga kali sehari dengan membawa makanan dan minuman agar dia tidak lapar atau kehausan.

"Saya merantainya untuk mengelak dia lari atau mencederakan dirinya sendiri," kata Cheng Yuanchao dipetik dari laporan MailOnline.

Bagaimanapun, rakaman gambar keadaan Cheng Xiantao mendapat kritikan pelayar internet yang melabelkan tindakan Cheng Yuanchao sebagai seperti membela babi atau lembu. -1/9/13


P/s: Anda sanggup meninggalkan anak sendiri di gua atau di reban ayam?


, ,

Sabtu, 13 Julai 2013

Gigit Puting Payu Dara Ibu, Bayi Ditikam 90 Kali


[SH] GARA-gara menggigit puting ibunya ketika menghisap susu, seorang bayi di China yang baru berusia lapan bulan ditikam sebanyak 90 kali menggunakan gunting.

Xiao Bao ditemui bapa saudaranya dalam keadaan berlumuran darah lalu bayi malang itu dikejarkan ke hospital.

Dipetik dari Dailymail, nyawa Xiao Bao terselamat dan doktor yang merawatnya terpaksa menjahit hampir sebahagian besar wajahnya dengan 100 jahitan.

Si ibu kemudiannya mengakui telah mencucuk bayinya itu.

Jiran-jiran yang mengetahui perkara tersebut meminta kepada pihak berkuasa tempatan agar mengambil Xia Bao dari penjagaan ibu kandungnya itu.

Namun pihak berkuasa tidak dapat mencampuri kes tersebut kerana bayi itu sudah memiliki dua orang bapa saudara.

Mereka juga mengatakan tidak menemukan sebarang tanda yang menunjukkan ibu kandung Xiao Bao mengalami ganguan jiwa.


P/s: Tidak sempat menterjemah berita ini yang disiarkan dalam DM semalam.




, , , ,

Ahad, 9 Jun 2013

Wanita MAKAN Makan Otak Bayi Sendiri



[HM] San Antonio: Polis bandar raya ini berkata, seorang wanita dituduh memenggal kepala bayi lelakinya berusia tiga minggu menggunakan sebilah pisau dan dua pedang, selain turut memakan beberapa bahagian tubuh anaknya itu.

Ketua Polis San Antonio, William McManus memberitahu wartawan bahawa serangan Otty Sanchez terhadap anak lelakinya, Scott Wesley Buchholtz-Sanchez “terlalu kejam” untuk didedahkan sepenuhnya.

Tetapi katanya, Otty turut memakan sebahagian otak bayi itu dan menggigit tiga daripada jari kaki mangsa sebelum menikam dirinya sendiri sebanyak dua kali. Polis berkata, Otty, 33, memberitahu pihak berkuasa yang dihubungi ke kediamannya awal Ahad lalu dia membunuh bayi lelakinya atas permintaan syaitan. Otty didakwa dengan pembunuhan kelas pertama dan ditahan dengan ikat jamin AS$1 juta (RM3.09 juta). Dia sedang pulih daripada kecederaannya di hospital. - AP

,

Khamis, 30 Mei 2013

Lelaki Dikurung di dalam Sangkar Kerana Masalah Mental



[HM] Beijing: Seorang ibu meluahkan perasaan sedihnya selepas terpaksa mengurung anaknya yang menghidap sakit mental di dalam sangkar buatan sendiri sejak lebih 10 tahun lalu.

Wang Muxiang, 74, mengurung anaknya, Wu Yuanhong selepas dia membunuh seorang budak lelaki berusia 13 tahun di kampungnya di China pada 2001.

Wu dibebaskan dari penjara setahun kemudian selepas pihak berkuasa memutuskan dia tidak bersalah kerana tidak siuman. Bagaimanapun Wang bimbang Wu akan membunuh lagi. Kerana itu dia mengurungnya dalam sebuah bilik kosong di kediaman mereka.

Gambar menyayat hati menunjukkan Wu, 42, duduk di atas selimut dalam sangkar kecil dengan kakinya diikat dengan rantai besar dan hanya berkemeja-T dan seluar dalam.

Dia diberi makan tiga kali sehari oleh ibunya. Untuk buang air, dia diberi mangkuk.

Selepas dibebaskan dari penjara, Wu dirantai tetapi melarikan diri berulang kali dan menakutkan jiran apabila berkeliaran di Kampung Lijiachong, berhampiran Ruichang di tenggara China.


WU dikurung dalam sangkar buatan ibunya.

Ibunya meminta tukang besi tempatan membuat sangkar tetapi mereka enggan kerana bimbang Wu menyerang mereka jika dia melarikan diri.

Akhirnya, Wang terpaksa membuatnya sendiri.

“Anak saya mungkin tidak siuman hingga membunuh orang. Tetapi dia tetap anak saya. Untuk menggunakan tangan saya sendiri bagi menempatkannya dalam sangkar adalah keputusan yang amat sukar, seperti ditikam dengan pisau.

“Setiap kali menghantar makanan, saya akan duduk di kandang itu dan menangis. Kini air mata saya sudah kering.” Ramai pesakit mental di China tidak diberikan rawatan sewajarnya kerana kekurangan sumber dan pakar berkelayakan, khususnya di luar bandar. - Agensi



Rabu, 6 Jun 2012

Wanita Pandu Laju Sambil Acu Pisau di Leher

[Kosmo] GEORGE TOWN - Tindakan seorang wanita memandu kereta dengan laju sambil sebelah tangannya mengacukan pisau ke leher sendiri mencemaskan orang awam dan pemandu kenderaan lain di Jalan Delima 7, Island Glades di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.45 malam, polis yang menerima maklumat mengenai gelagat wanita itu terpaksa mengejar kereta Toyota Vios dipandu suspek itu sejauh kira-kira 100 meter sebelum kenderaan tersebut berjaya dipintas polis.

Sepanjang dikejar, wanita itu menjerit-menjerit dan tidak menghiraukan arahan polis supaya berhenti.

Sebaik suspek memberhentikan kereta, wanita berusia 27 tahun itu enggan membuka pintu kenderaan malah terus menjerit-jerit dan meronta-ronta sambil memukul keretanya.

Bagaimanapun, ketika itu dia tidak lagi mengacukan pisau ke lehernya.

Polis mengambil masa kira-kira 20 minit memujuk wanita itu sebelum dia keluar dari kereta yang dikunci dari dalam.


Berkaitan:
 
Wanita cuba bunuh diri mengamuk

[HM] GEORGETOWN: Bagaikan dirasuk, seorang wanita yang diselamatkan anggota polis selepas cuba membunuh diri mengamuk ketika dibawa ke Balai Polis Jelutong, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, wanita berusia 27 tahun terbabit pada mulanya ditemui berkurung dalam kereta dan dilihat cuba mengelar lehernya dengan pisau ketika berada di Jalan Delima 7, Island Glades.

Bagaimanapun, orang awam yang melihat tindakan wanita itu menghubungi polis sebelum pihak berkuasa terpaksa memujuk wanita terbabit hampir dua jam kerana enggan membuka pintu.

Menurut sumber, cubaan memujuk untuk membuka pintu gagal, namun dia kemudian menyerahkan pisau lipat yang digunakannya melalui cermin kereta.

“Selepas menyerahkan pisau, dia kemudian memberitahu mahu meneruskan niat terjun di Jambatan Pulau Pinang sebelum memecut keretanya.

“Bagaimanapun, selepas hampir tiga kilometer, anggota polis berjaya menghalang kenderaannya, namun ketika itu dia masih enggan membuka pintu,” katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian bapa wanita terbabit tiba dan terus memujuk anaknya itu hampir setengah jam sebelum wanita itu menyerah diri dan dibawa ke balai polis.

“Wanita terbabit kemudian dibawa ke balai polis, namun sejurus sampai dia mengamuk secara tiba-tiba dan diserang histeria kerana tidak berpuas hati selepas dibawa ke balai.

“Secara tiba-tiba, wanita terbabit menjerit dan berguling di atas lantai dan akhirnya terpaksa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, wanita terbabit kemungkinan berada di bawah pengaruh dadah selain baru beberapa hari dibuang kerja.

“Difahamkan, wanita terbabit sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, namun berpisah dengan suaminya sejak setahun lalu,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan juga kejadian terbabit.


,

Selasa, 13 Mac 2012

Lelaki Cuba Terjun dari Bangunan IPD Kota Setar

TURUTAN gambar menunjukkan seorang lelaki yang naik ke bumbung tingkat empat IPD Kota Setar di Alor Setar, Kedah kelmarin cuba terjun sambil membawa tong gas pendingin hawa kosong sebelum anggota polis dan bomba cuba memujuknya (gambar tengah). Gambar kanan menunjukkan Adzaman (kiri) sedang memujuk kelindan lori tersebut.

[Kosmo] ALOR SETAR – Seorang lelaki yang mengalami tekanan perasaan menggemparkan orang ramai apabila dia cuba terjun dari tingkat empat bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini sebelum dapat diselamatkan setelah dipujuk selama tiga jam kelmarin.

Kejadian pukul 5 petang itu berlaku apabila lelaki berusia 26 tahun tersebut naik ke tingkat atas melalui tangga bangunan sebelum dia dilihat duduk di bucu bumbung.

Warga IPD dan orang ramai yang ternampak perbuatan lelaki itu terkejut menyebabkan suasana di balai polis tersebut bertukar kecoh.

Difahamkan, kelindan lori yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak tersebut datang dari Kluang, Johor ke negeri ini untuk menjalani kehidupan baharu dengan mencari pekerjaan lain. Jarak di antara dua tempat itu kira-kira 704 kilometer.



,

Selasa, 28 Februari 2012

Peminat Misteri 'Diana Danielle' Ditahan

LELAKI yang menjadi peminat misteri dengan mengirim barang-barang aneh kepada seorang gadis ditahan di Balai Polis Wangsa Maju, Kuala Lumpur semalam.

[Kosmo] KUALA LUMPUR – Teka-teki siapa peminat misteri yang menghantar kiriman aneh berupa seluar dalam lelaki dan tiga ekor ayam kepada seorang gadis di Wangsa Maju di sini baru-baru ini terjawab apabila polis menahan seorang lelaki semalam.

Suspek berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Sri Rampai, Wangsa Maju di sini pada pukul 1.30 petang.

Lelaki yang telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak rupa-rupanya jiran mangsa yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat Teknologi Maklumat di ibu negara. Malah mangsa turut mengenali peminat misteri itu.

Suspek yang berasal dari Perak itu dipercayai bertindak demikian kerana menyangkakan mangsa yang berusia 20-an itu ialah pelakon terkenal, Diana Danielle Beeson atau lebih dikenali sebagai Diana Danielle, 20.

Suspek mendakwa dia tidak pernah bersemuka dengan pelakon kacukan terbabit tetapi kerap berhubung dengan pelakon itu di laman sosial Twitter sejak beberapa tahun lalu iaitu sebelum wanita itu menceburi bidang seni.

Suspek juga mendakwa sepanjang berkomunikasi di Twitter, Diana Danielle sering membalas komennya menyebabkan dia teruja untuk mengenali wanita itu dengan lebih rapat.

Jelas suspek itu lagi, dia amat meminati pelakon itu kerana bukan sahaja memiliki wajah yang cantik malah menyifatkan Diana Danielle sebagai seorang wanita bijak.

Suspek itu memberitahu, dia mengirim bungkusan berisi gambar, nota cinta dan tiga ekor ayam yang dipelihara sendiri kepada mangsa sebagai tanda persahabatan kepada wanita itu atau hadiah daripada peminat tanpa muslihat lain.

Selain Diana Danielle, suspek turut menyertakan nota cinta kepada penyampai berita TV3, Pang Chinn Fei yang turut dikirimkan di rumah mangsa. Chinn Fei juga merupakan seorang wanita diminati suspek.


Cerita berkaitan di sini.




,

Isnin, 27 Februari 2012

Gadis Mirip Diana Danielle Diganggu Peminat Misteri

Saya petik:

BUKTI...anggota polis memegang tiga ayam yang dimasukkan dalam bungkusan kain.
BUKTI...anggota polis memegang tiga ayam yang dimasukkan dalam bungkusan kain.

INI DIA...dua foto peminat misteri yang sering mengganggu Wani.
INI DIA...dua foto peminat misteri yang sering mengganggu Wani.

[HM] KUALA LUMPUR: Memiliki wajah jelita persis artis terkenal Diana Danielle memberi tekanan emosi kepada seorang gadis apabila diganggu peminat misteri yang mengirimkan pelbagai barangan, termasuk seluar dalam dan ayam hidup ke rumahnya.

Suspek mula mengganggu gadis yang mahu dikenali sebagai Wani, 21, itu sejak dua minggu lalu dengan menghantar pelbagai barangan seperti cincin dan rantai leher dengan meletakkannya di dalam peti surat di rumahnya di Setapak Jaya, di sini.

Mangsa yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat teknologi maklumat berkata, peminat misteri itu kerap menghantar objek pelik ke rumahnya, terutama ketika dia keluar bekerja.

Katanya, gangguan pertama apabila dia mula menerima sekeping nota tertulis nama pelakon Diana Danielle.

“Gangguan kedua berlaku Selasa lalu apabila saya menerima sampul surat berisi seluar dalam terpakai lelaki yang dimasukkan di dalam peti surat rumah,” katanya yang membuat laporan polis pertama di Balai Polis Wangsa Maju, di sini, malam kelmarin.

Berkaitan:

 
INILAH tiga ekor ayam yang dimasukkan dalam beg dan digantung di pintu pagar rumah mangsa di Wangsa Maju, Kuala Lumpur kelmarin.


[Kosmo] KUALA LUMPUR - Hidup seorang setiausaha sebuah syarikat Teknologi Maklumat di sini menjadi tidak keruan apabila dalam tempoh dua minggu lalu, gadis itu menerima empat kiriman aneh termasuk sebuah beg berisi tiga ekor ayam hidup yang dihantar ke rumahnya di Jalan Rejang 8, Wangsa Maju dekat sini.

Mangsa berusia 20-an yang enggan dikenali berkata, penerimaan aneh itu bermula dengan kiriman sepucuk surat yang berbentuk hati tertera ayat, 'Diana Danielle - peminat misteri.'

Surat yang diterima pada dua minggu lalu dipercayai dihantar oleh pengirim sendiri kerana tidak ada setem diletakkan pada sampul surat tersebut.

"Saya ketika itu tidak curiga apa-apa kerana memikirkan sama ada surat itu sebagai gurauan pihak tertentu yang mungkin tersalah alamat," kata gadis itu ketika ditemui di Balai Polis Wangsa Maju di sini malam kelmarin.

Namun, cerita mangsa, fikirannya mula terganggu selepas menerima bungkusan kedua yang turut disertakan dengan sehelai seluar dalam dan sepucuk nota bertulis ayat-ayat cinta juga ditujukan kepada Diana pada 21 Februari.

"Saya yang terkejut terus membuang seluar dalam yang dipercayai sudah dipakai tersebut ke dalam longkang tidak jauh dari rumah saya," kata gadis itu yang kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju di sini kelmarin.

Terbaharu pada pukul 11.30 pagi kelmarin, gadis itu yang memeriksa peti surat di rumahnya terus dikejutkan dengan penerimaan satu lagi sampul surat dan sebuah bekas cermin mata dalam peti surat di rumahnya itu.

"Surat itu bertulis 'I Love You' dan ditujukan kepada penyampai berita TV3, Pang Chinn Fei manakala dalam bekas cermin mata itu pula mengandungi sebentuk cincin, gelang dan dua keping gambar dipercayai gambar seorang lelaki Melayu," kata gadis itu yang bertambah terganggu dengan kiriman itu.








, ,

Isnin, 23 Januari 2012

[Kemas Kini] Lelaki BOGEL Ditembak, Budak Jadi Mangsa Tebusan SELAMAT

Mangsa.

Saya petik:

[SH] KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Kampung Baru di sini, yang dijadikan tebusan oleh lelaki bogel lebih lima jam dengan memasuki rumahnya, berjaya diselamatkan kira-kira jam 4.09 petang tadi.

Mangsa dapat diselamatkan setelah polis melepaskan tembakan mengenai lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, polis terpaksa melepaskan empat das tembakan, yang mengenai rusuk kiri lelaki berkenaan untuk menyelamatkan mangsa.

"Kami terpaksa mengambil tindakan itu kerana lelaki itu bertindak agresif, mangsa selamat dan dihantar ke HKL (Hospital Kuala Lumpur) untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, polis berhadapan dengan sitiuasi sukar apabila lelaki itu berada dengan mangsa di dalam bilik serta bersenjatakan pisau.

"Lelaki berusia 34 tahun itu tidak menuntut wang tetapi mahu dadah dan jaminan dia selamat. Pakar psikiatri turut membantu dalam kejadian ini, lelaki itu tiada rekod masalah mental," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi tadi, suspek masuk ke dalam rumah mangsa lalu bertindak mengambil sebilah pisau dari bahagian dapur lalu meletakkannya di leher mangsa dan mengugut ahli keluarganya supaya tidak melawan. Rumah mangsa yang terletak di Jalan Raja Mahmud mempunyai tiga bilik.

Dia kemudian membawa kanak-kanak itu masuk ke dalam bilik utama.

Sehingga jam 3 petang tadi, pasukan keselamatan mendapatkan bantuan beberapa pakar dari HKL untuk memujuk lelaki berkenaan.

Kanak-kanak perempuan itu dijadikan tebusan oleh lelaki berkenaan yang menyerbu masuk ke rumahnya ketika dia bersama sekeluarganya sedang menonton televisyen.

Pasukan keselamatan turut membawa teman wanita lelaki berkenaan ke lokasi kejadian untuk memujuk dan membebaskan mangsa.

Menurut bapa mangsa, Syafrudin, 47, yang juga seorang OKU, ketika kejadian dia berada dalam bilik dan lima ahli keluarga lain berada di ruang tamu.

Katanya, dia terkejut apabila suspek tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menarik salah seorang anaknya.

"Isteri, seorang lagi anak dan anak buah saya sempat berlari keluar.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaan saya dan suspek ketika itu sudah mengacukan pisau di leher anak saya serta mengugut akan mencederakan anak saya jika kami datang dekat," katanya.

Dia bagaimanapun dibawa keluar oleh anggota polis dan suspek ketika itu sudah membawa mangsa ke dalam bilik.

Menurut polis, lelaki itu dipercayai bukan penduduk di sini, tetapi berasal dari Sabah serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan samun dan pernah ditangkap sebelum ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3A Akta Culik 1961. 




, ,

Sabtu, 13 Ogos 2011

Pemuda Mengamuk Bunuh Bapa, Tikam Ibu


Saya petik:

DI SINI...Mohd Nor menunjukkan tempat kaki mangsa dibuang suspek.
DI SINI...Mohd Nor menunjukkan tempat kaki mangsa dibuang suspek.
[HM] KUALA NERANG: Hanya kerana seekor kucing, seorang warga emas maut manakala isterinya cedera akibat ditetak di kepala oleh anak mereka yang mengalami masalah mental.

Kejadian amuk itu berlaku di Kampung Pasir Putih, Mukim Tualak di sini ketika keluarga berkenaan sedang bersiap-siap untuk berbuka puasa kira-kira jam 7.15 malam kelmarin.

Saman Sirun, 60, yang cedera teruk di kepala dan tangan serta putus pergelangan kaki kanan mati dalam perjalanan ke hospital manakala isterinya, Hasnah Abdul Majid, 51, menerima lima jahitan di belakang kepala dan kini dirawat di Hospital Kuala Nerang.

Menantu mangsa, Mohd Nazrin Zainon, 32, berkata, suspek yang juga abang iparnya berusia 33 tahun baru pulang dari Jitra selepas membeli pakaian untuk persiapan Aidilfitri sebelum balik ke rumah dalam keadaan tergesa-gesa dengan menaiki Proton Iswara.

“Selepas balik dia terus mengejar kucing yang berkeliaran dalam rumah dan pada masa sama ternampak dia memarahi anak-anaknya kerana membuat bising.


Berkaitan:

Campak Kaki Mangsa ke Luar
[HM] KUALA NERANG: Hanya selepas seorang jiran memukul tangannya dengan sebatang kayu, barulah lelaki yang menetak bapanya berhenti daripada terus menyerang mangsa dalam kejadian amuk di Kampung Pasir Putih, Mukim Tualak, di sini, kelmarin.

Mohd Khairul Shamsudin, 28, berkata ketika kejadian dia tidur di rumahnya yang terletak kira kira 100 meter dari lokasi kejadian sementara menunggu waktu berbuka puasa sebelum terdengar suara orang menjerit dan bergaduh.


Mohd Khairul berkata, dia bergegas ke rumah jirannya sebelum terkejut apabila melihat mangsa dalam keadaan terbaring berlumuran darah di lantai rumah berkenaan dengan kedua-dua tangan terkulai dan kaki terputus.

“Suspek yang duduk setentang dengan bapanya kemudian mengangkat parang cuba melibas leher mangsa terbaring di lantai rumah.


“Tetapi, saya sempat memukul tangan suspek dengan sebatang kayu yang dicapai di kawasan berhampiran menyebabkannya mengerang kesakitan dan membatalkan niat terus menetak bapanya lalu berundur ke belakang sambil parang digenggam kemas,” katanya...

Polis Buru Suspek
[HM] KUALA NERANG: Polis masih melancarkan gerakan memburu seorang lelaki menetak bapa kandungnya hingga mati selain mencederakan ibunya dengan sebilah parang dalam kejadian amuk di Kampung Pasir Putih, Mukim Tualak, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ku Yaacob Ku Hamad berkata, suspek dipercayai mengalami masalah mental berang apabila tindakannya memarahi anak saudaranya membuat bising ketika menunggu waktu berbuka puasa ditegur adik ipar berusia 32 tahun dan bapanya berusia 65 tahun.

Menurutnya, berang dengan teguran itu, suspek pergi mengambil parang di dapur rumah sebelum menetak kepala, tangan kanan dan kiri serta kaki kanan mangsa daripada paras buku lali sehingga putus.
“Suspek menyerang ibunya dengan menetak belakang kepala wanita berusia 51 tahun itu sehingga cedera sepanjang 10 sentimeter sebelum melarikan diri.

“Bapa suspek yang parah dibawa ke Hospital Sultanah Bahaiyah (HSB) untuk rawatan, bagaimanapun meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kira-kira jam 8.30 malam.

“Ibunya pula dirawat di Hospital Kuala Nerang akibat cedera di belakang kepala dengan menerima lima jahitan dan sudah dibenarkan keluar, tengah hari tadi (semalam),” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, polis menjumpai kaki mangsa di bahagian luar dapur rumahnya dipercayai dibuang oleh lelaki terbabit .

“Usaha mengesan suspek masih lagi dijalankan dan kita percaya dia masih lagi berada di kawasan kampung itu dengan bersembunyi di dalam semak berhampiran. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


P/s: Sadis dan tragis. Moralnya, jika ada ahli keluarga yang mengalami masalah mental, buatlah sesuatu!

BAGASI KIRIMAN TERKINI

BAGASI KIRIMAN

PERHATIAN

Tulisan dalam blog ini sebahagian besarnya ialah respons/pendapat/ulasan RINGKAS/SPONTAN saya terhadap pelbagai isu dan perkara yang berlaku di serata negara mahupun di luar negara.

Sebahagiannya pula disalin & ditampal (
semoga dengan izin) dari blog, laman sesawang atau laman berita dari dalam dan dari luar negara. Hak cipta berita, artikel & makalah adalah milik laman sesawang atau blog tersebut.

Seboleh-bolehnya, saya cuba mengelak untuk menyiarkan mana-mana makalah/petikan/gambar tanpa restu pemilik asalnya. Jika mana-mana petikan/tulisan/gambar yang disiarkan dalam blog ini kurang disenangi pemilik asalnya, maka maklumkanlah segera kepada saya (di ruangan komen bahan terbabit) agar petikan/tulisan/gambar tersebut dapat dikeluarkan dengan kadar segera.

Untuk makluman, sebarang petikan, makalah, gambar yang dipetik dari laman berita atau dari blog /laman sesawang atau dari sumber internet yang lain tidak semestinya menggambarkan/mewakili pandangan saya dalam sesuatu isu yang berkaitan.

PENAFIAN:
Semua artikel atau berita yang disiar dalam blog ini adalah untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am. Ketepatan maklumat artikel atau berita itu perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan atau penyebaran maklumat palsu atau fitnah.

-tayadihmaysia@yahoo.com







TERIMA KASIH