[Kemas Kini] Bajet Pilihan Raya, Bajet Rosmah, & Bajet "Beri&Ambil"
Bajet Rosmah
Cuba fikir-fikirkan, agak-agaknya siapa yang memberikan idea kepada PM agar barangan seperti beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut, pakaian malam, seluar dan seluar dalam, serta wangi-wangian dimansuhkan/mengurangkan duti importnya? Lagi menarik apabila Permata menerima RM111 juta berbanding dengan bantuan untuk SAR rendah dan menengah yang hanya menerima RM95 juta. Jumlah itu terlalu kecil bagi sebuah kerajaan yang setiap masa mencanangkan kepada umum bahawa merekalah pejuang tulen untuk memartabatkan bangsa dan agama!
Siapa pula yang mempengaruhi Najib agar memansuhkan/mengurangkan duti import "bola golf"? Sebelum ini, Najib juga dilihat begitu pemurah terhadap sukan golf.
Walhal rakyat marhaen berharap kerajaan akan mencari jalan untuk menurunkan harga minyak, gula, tepung, susu, dan barang keperluan yang lain, bukannya barangan aksesori seperti yang dinyatakan di atas. Barang-barang keperluan inilah yang mempengaruhi harga barangan lain di pasaran. Misalnya, kenaikan harga diesel dan petrol secara mendadak pada zaman Pak Lah dahulu telah menyebabkan kenaikan harga barangan yang tidak munasabah. Bayangkan, harga berus pencuci tandas pun naik angkara kenaikan harga minyak, belum lagi bercerita tentang harga makanan yang begitu membebankan rakyat biasa.
Bajet Pilihan Raya
Najib mengumumkan kerajaan tidak akan menaikkan kadar tol lebuh raya Utara Selatan (Plus) (Siapa akan menanggung kosnya? KWSP?) bagi tempoh lima tahun, pemberian bantuan kewangan khas kepada penjawat awam (bolehkah mereka "cair" dengan jumlah "bantuan" sebanyak itu?) serta penetapan gaji minimum untuk jawatan tertentu dianggap bertujuan untuk memenangi hati rakyat.
Selain itu, Skim Rumah Pertamaku, cuti bersalin (tiru Kelantan?), dan pemansuhan cukai telefon bimbit dilihat untuk menarik perhatian golongan muda. Manakala kenaikan elaun Pengerusi JKKK, tok batin, imam, dan guru Kafa antara RM750-RM800 pula memperlihatkan usaha Najib untuk mengekalkan sokongan masyarakat kampung kepada BN.
Bajet Ambil&Beri
Kerajaan Najib memberikan bermacam-macam kepada rakyat. Elaun jawatan tertentu dinaikkan, cukai tertentu dimansuhkan atau dikurangkan. Namun mereka harus ingat bahawa setiap yang dipotong/dimansuhkan itu perlu diambil semula dari sumber yang lain. Khabarnya, cukai pendapatan dinaikkan sebanyak 1 peratus (menjadi 6 peratus), manakala sebelum bajet ini dibentangkan cukai rokok telah dinaikkan dengan tingginya sehingga meresahkan syarikat pengedar dan pembuat rokok.
Malah, jika tidak silap, cukai perkhidmatan untuk perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar pun akan diwujudkan. Hal ini bermakna pengguna yang menggunakan perkhidmatan tv berbayar terpaksa membayar lebih jika cukai ini dilaksanakan nanti. Bukankah itu suatu beban kepada rakyat, namun dalam masa yang sama, kerajaan melindungi kroni?
Sesetengah pembaca pasti mempersoalkan bahawa kerajaan terpaksa berbuat demikian untuk mencari dana agar bantuan dan kemudahan dapat disediakan untuk rakyat. Bagi saya, jika ekonomi negara diurus dengan baik tanpa ketirisan, pembaziran, dan rasuah, kerajaan tidak perlu menaikkan itu dan ini untuk memberikan lebih banyak manfaat kepada rakyat.
Cakap-cakap juga kedengaran bahawa perbelanjaan besar dalam bajet ini mencetuskan kebimbangan kerana ketiadaan mekanisme untuk mengawal hutang/defisit negara. Ada juga cakap-cakap yang mempersoalkan perbelanjaan pengoperasian yang meningkat dengan ketara tetapi perbelanjaan pembangunan menurun, dan macam-macam lagi.
Namun salah satu perkara penting yang perlu kita persoalkan ialah keperluan kerajaan membina menara setinggi 100 tingkat di Kuala Lumpur, walhal kos untuk membina bangunan itu wajar digunakan untuk membina beribu-ribu buah rumah kos rendah untuk manfaat rakyat yang tidak berumah/miskin atau digunakan untuk memansuhkan pinjaman PTPTN atau JPA. Ironi, Najib mengatakan bahawa kerajaan tidak mampu memberikan bonus kepada kakitangan awam, namun dalam masa yang sama mengumumkan rancangan membina menara tersebut.
Selebihnya, saya petik:
[MK] Pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Razak Najib terganggu seketika dengan nama isterinya ditimbulkan oleh pihak pembangkang ketika beliau mengumumkan langkah menjadikan Malaysia destinasi utama membeli-belah di rantau Asia.
Ia bermula apabila Najib mencadangkan supaya duti import ke atas kira-kira 300 barangan pelancongan dan rakyat tempatan dimansuhkan.
“Barangan ini merangkumi kegunaan harian seperti beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut...” kata Najib sambil kedengaran gelak ketawa dari ahli parlimen.
Beberapa ahli parlimen kemudiannya melaungkan “Rosmah!” disambut gelak ketawa rakan-rakan mereka.
Najib senyum sinis dan memperlahankan bacaan teks ucapannya sambil menyambung: “Pakaian malam, seluar dan seluar dalam serta wangi-wangian, termasuklah kelambu.”
Dan sekali lagi lebih ramai yang ketawa.
Namun, sindiran paling tajam dilemparkan ketika Najib mengumumkan peruntukan RM111 juta untuk program PERMATA yang dinaungi oleh Rosmah.
Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dengan kuat menjerit “Rosmah! Rosmah!”, sambil sekali lagi disambut Najib dengan senyuman sinis.
Berkaitan:Peruntukan itu meliputi projek pembinaan fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, bagi membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) serta membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap.
Peruntukan itu turut meliputi program Permata yang lain seperti PERTAMA Pintar, Seni, Insan dan Remaja.
Pembangkang, khususnya PAS berang kerana walaupun Rosmah tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi, namum program PERTAMA yang diuruskannya didakwa seakan mendapat bajet 'istImewa'.Ini berbanding peruntukkan RM95 juta sebagai bantuan per-kapita untuk sekolah agama rakyat (SAR) rendah dan menengah.
Pembentangan bajet ini juga mendapat sambutan serta bidasan di twitter."Pengurangan cukai untuk beg, penyembur rambut, minyak wangi... hadiah Krismas awal Najib untuk Rosmah? Tulis MP Serdang Teo Nie Ching.
"Ini macam Bajet RM (Rosmah Mansor)," jawab MP Bukit Bendera Liew Chin Tong.
* Pembangkang bertegas bajet 2011 bajet pilihan raya
[Bernama] KUALA LUMPUR, 15 Okt – Sungguhpun dinafikan oleh pemimpin kerajaan, namun pihak pembangkang tetap berpendirian bahawa Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini adalah bajet pilihan raya.
Mereka mendakwa pelbagai insentif yang diumumkan termasuk tidak menaikkan kadar tol lebuh raya Utara Selatan (Plus) bagi tempoh lima tahun, pemberian bantuan kewangan khas kepada penjawat awam serta penetapan gaji minimum bertujuan memenangi hati rakyat.
Anggota Parlimen Bachok yang juga Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa mendakwa apa yang dibentangkan itu secara jelas menjurus ke arah pilihan raya.
“Pembentangan bajet ini jelas bahawa ia untuk pilihan raya umum ke-13 akan datang. Jangkaan kami sebelum ini, meletakkan (pilihan raya) daripada bulan enam ke atas, tetapi dari apa yang dibentangkan ini, bagi saya mungkin lebih awal daripada bulan enam,” katanya kepada pemberita....
Kemas Kini (18/10):
* Belanjawan 2011 Gagal Tangani Masalah Defisit
[SK] KUALA LUMPUR 15 Okt - Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya menjurus kepada Pilihan Raya Umum dalam tempoh masa yang terdekat dan bukan sebenarnya untuk kesejahteraan rakyat.
Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata apa yang mengejutkan di dalam pembentangan Belanjawan 2011, Najib dilihat gagal menangani isu yang paling besar iaitu masalah defisit perbelanjaan kerajaan.
"Selalunya belanjawan itu adalah bagaimana menangani masalah ekonomi, menjana pertumbuhan serta menarik pelaburan.
"Masalah paling besar adalah masalah rasuah, penyelewengan dan pembaziran juga tidak disebut.
Apa yang disebut Najib kata beliau hanyalah projek mega yang berpuluh bilion ringgit yang memberikan manfaat kepada kroni dan keluarga manakala rakyat pula diberikan cuma ratusan ringgit.
"Najib tidak memberikan penyelesaian yang jelas, melemparkan beberapa projek-projek yang besar dan sedikit kemudahan kepada rakyat yang dianggap cukup.
"Tetapi, isu pokok mengenai isu ekonomi negara tidak ditangani," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh ketika dikerumuni media di lobi Parlimen selepas ucapan belanjawan Perdana Menteri.
Ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati atau tidak dengan bajet tersebut, Anwar berkata beliau akan menjawab soalan itu di Dewan Rakyat Isnin depan.


Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.