[Kemas Kini] Bagaimana Mengecam Kicap Kipas Udang Tiruan?
GAMBAR menunjukkan kicap Cap Kipas Udang tiruan (kiri)
yang mempunyai penutup plastik berlubang (dalam bulatan) berbanding kicap asli.
Saya petik:
[BH] SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan mengesan kicap tiruan jenama Cap Kipas Udang yang dijual secara berleluasa di pasaran, terutama di kedai runcit di negeri ini.
Difahamkan, kicap tiruan itu yang kelihatan hampir sama dengan produk asli turut dikesan dijual di kedai runcit di Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Pahang sejak tiga bulan lalu.
Timbalan Pengarah PPDNKK negeri, Mohd Nor Musa, berkata pihaknya menerima laporan pengeluar sebenar kicap berkenaan, Zara Foodstuff Industries Sdn Bhd (ZFISB) yang berpangkalan di Johor Bahru dan membuat serbuan di sebuah kedai borong di Jalan Tuanku Antah di sini, jam 1 petang semalam.
“Kita merampas 3,360 botol kicap terbabit yang dianggarkan bernilai RM9,100 dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(b) Akta Perihal Dagangan 1972," katanya selepas serbuan itu di sini, semalam.
Mohd Nor berkata, pihaknya percaya pemborong membeli kicap itu dengan harga lebih murah dan menjualnya kepada peruncit dengan harga sama seperti kicap asli untuk mendapatkan keuntungan lebih.
Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat lanjut penjualan kicap tiruan itu termasuk mengesan pembekalnya serta kilang tempat ia dihasilkan untuk tindakan lanjut.
Mohd Nor berkata, pihaknya juga akan menjalankan ujian kimia bagi mengetahui kandungan kicap tiruan itu termasuk sama ada ia berbahaya untuk kesihatan.
Sementara itu, Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran ZFISB, Hasnah Abdul Rahman, berkata pihaknya tidak menjamin keselamatan orang ramai yang menggunakan kicap tiruan.
“Kicap asli kita dijamin halal dan selamat kerana menjalani pemeriksaan kualiti yang ketat, manakala kicap tiruan itu pula tidak diketahui kaedah penghasilannya dan kesannya kepada kesihatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Hasnah berkata, walaupun mengesan penjualan kicap tiruan itu sejak tiga bulan lalu, rampasan di Seremban semalam adalah yang pertama dan pihaknya kini bekerjasama dengan kementerian berkenaan untuk membuat lebih banyak serbuan.
Katanya, cara mudah untuk mengenal pasti kicap tiruan adalah penutup lubang bagi penutup plastiknya berlubang, manakala penutup bagi kicap asli itu sebaliknya.
P/s: Saya sekeluarga menggunakan kicap jenama ini sejak sekian lama. Sebenarnya, usaha pihak yang mengejar keuntungan atas angin mengeluarkan barang tiruan bukan sahaja melibatkan barangan seperti pakaian dan alat ganti kenderaan, malah makanan, produk kesihatan, aksesori komputer, rokok, dan sebagainya turut dipasarkan secara meluas di pasaran. Pendek kata, barangan yang mendatangkan keuntungan/mendapat sambutan di pasaran terdedah kepada kemungkinan untuk ditiru oleh pihak yang tidak bertanggungjawab!
Pihak pengeluar akan kerugian, tetapi kita mungkin mengalami kesan yang lebih serius, misalnya menghidap kanser dan pelbagai masalah kesihatan yang lain. Jadi, berhati-hati apabila membeli sesuatu barangan terutamanya di kedai-kedai runcit atau di kedai barangan murah. Barangan yang dijual di situ mungkin tiruan!

Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.