AJK PAS Pusat Dr Dzul Dipukul Awal Pagi Ini
Pemimpin PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dipukul sekumpulan lelaki yang tidak dikenali di depan rumahnya dekat Shah Alam awal pagi ini.
Sahabat baiknya Datuk Kamarudin Jaffar yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, Dzulkefly ketika ini sedang membuat laporan polis dan akan mendapatkan rawatan selepas ini.
Kesan kejadian itu, ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat itu mengalami pecah di bibir dan bengkak di kepalanya.
"Salah seorang daripada mereka sempat berkata 'kenapa kurang ajar' ketika mereka memukul Dr Dzul," kata Kamarudin yang juga seorang AJK PAS Pusat.
Berdasarkan maklumat diterima, Dzulkefly dipukul ketika masih berada di dalam kereta, dan sebelum itu beliau memandu keretanya masuk ke perkarangan rumahnya sebaik saja pintu pagar dibuka.
Dzulkefly ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, beliau sedang membuat laporan polis dan akan bercakap kepada media kemudian.
Dalam pesanan melalui WhatsApp kepada Kamarudin yang dihantar kepada The Malaysian Insider kemudiannya, Dzulkefly menjelaskan beliau bertakbir beberapa kali ketika diserang dengan kayu oleh orang berkenaan.
"Saya keluar dari kereta untuk melawan balik dan mereka kemudian melarikan diri. Saya nampak mereka menuju motosikal yang mereka letak kira-kira 100m di hujung jalan dari rumah," kata Dzulkefly dalam pesanan itu.
Baru-baru ini, Dzulkefly yang juga pengarah Pusat Penyelidikan PAS itu menyuarakan kebimbangan sama ada ulama dan profesional di dalam parti Islam itu masih boleh bekerja bersama dan melahirkan rasa "sudah hilang hormat" terhadap golongan ulama.
Ia susulan resolusi yang dibuat Multaqa Ulama Semalaysia II anjuran Dewan Ulama PAS pada Sabtu, 21 Februari.
"Saya ingin melahirkan rasa sedih bercampur geram yang amat sangat dengan apa yang berlaku dalam multaqa kali ini. Apakah ada lagi ruang untuk penyatuan hati-hati ini?" soalnya ketika bercakap kepada The Malaysian Insider.
Dzulkefly berkata: "Saya tidak takut dengan ancaman mereka, tetapi kalau dulu saya hormati ulama, sekarang saya sudah hilang rasa hormat itu. Dan saya berazam mengubah (kesilapan) itu."
Beliau berkata, kenyataan itu tidak berapa jelas sehingga orang menganggap beliau tidak hormat kepada semua ulama.
Katanya, bukan tidak menghormati ulama, tetapi sudah hilang hormat kepada pihak yang menggelar diri ulama tetapi memaki hamun sesama sendiri, apatah lagi jemaah Islam.
"Yang saya tidak hormat, ustaz-ustaz yang mengaku ulama tetapi memaki hamun, dan kerjanya melabel sesama ahli jemaah dan parti sendiri," katanya.
Sebelum ini, kereta pengarah pilihan raya PAS Pusat Dr Hatta Ramli dibakar di perkarangan rumahnya di Hulu Kelang.
Ia berlaku selepas beliau didakwa menjadi dalang kepada usaha menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dakwaan itu dibuat dalam satu demonstrasi dan penyerahan memorandum kepada PAS oleh sekumpulan ahli PAS yang diketuai Ketua Pemuda PAS Kuantan Fadli Ahmad di depan pejabat agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Dzulkefly yang mengulas kejadian itu menganggap ia dibuat oleh mereka yang berusaha melaga-lagakan pimpinan PAS. – The Malaysian Insider/5 Mac, 2015.
Berkaitan:
Dr Dzul Sambut Tumbukan dengan Takbir
Ahli Jawatankuasa PAS Dr Dzulkefly Ahmad "menyambut" tumbukan oleh individu yang tidak dikenali dengan laungan takbir.
Menceritakan kembali kejadian Dzulkefly dipukul, isterinya Azlin Hezri berkata, pada jam 6.30 pagi, pemimpin PAS itu dihampiri dua lelaki yang menunggang motosikal.
Ketika meletakkan kereta di kawasan rumah, Azlin berkata, salah seorang lelaki tersebut membuka pintu kereta Dzulkefly dan menumbuk di bahagian kanan muka Dzulkefly.
Selepas ditumbuk, Dzulkefly kemudian melawan kembali sambil bertakbir sekuat hati beberapa kali, kata Azlin.
"Sebenarnya semasa dia balik daripada masjid dan meletakkan kereta di perkarangan rumah, belum sempat pintu pagar ditutup, ada dua orang lelaki.
"Seorang daripadanya memakai topi keledar terus menuju ke kereta Dr (Dzulkefly) dan buka pintu kereta dan terus tumbuk muka Dr sebelah kanan.
"Kemudian Dr turun (kereta) dan lawan balik, dia takbir kuat-kuat banyak kali sehingga orang tersebut tergamam dan lepas itu dia (individu tersebut) pukul Dr dengan besi.
"Alhamdulillah, tiada jahitan yang dikenakan terhadap Dr," kata Azlin ketika dihubungi Malaysiakini.
Bibir bengkak, dahi luka
Ditanya mengenai kenyataan “kenapa kurang ajar sangat” yang ditujukan kepada pengarah Pusat Penyelidikan PAS itu, Azlin berkata, Dzulkefly tidak sempat untuk berkata apa-apa.
Menurut Azlin lagi, Dzulkefly yang hanya mengalami luka di dahi dan bengkak di bibir dan kini baru selesai memberi kenyataan kepada pihak polis yang datang ke rumah berhubung kejadian itu.
"Dia OK. Cuma bibir bengkak, luka di dahi. Dr memang jenis yang tidak akan berdiam diri. Dia memang akan melawan balik.
"Ini baru selesai Dr buat laporan polis. Polis datang ke rumah. Dr sekarang berehat di rumah dan selepas ini tidak pasti sama ada dia akan ke Putrajaya jaya untuk urusannya atau tidak," tambahnya lagi.
Pagi tadi, Dzulkefly diserang oleh individu tidak dikenali di rumahnya di Seksyen 7, Shah Alam selepas selesai solat subuh.
Berikutan kejadian serangan itu, PAS Selangor akan mengarahkan kawalan keselamatan ke atas pemimpin PAS negeri itu dipertingkatkan agar cubaan pihak yang ingin mencetuskan provokasi dapat dihalang. - Zulaikha Zulkiflli/Malaysia Kini/ 5/3/15
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.