Majlis Raja-raja Tidak Terlibat Pindaan Hudud Kelantan - Takiyuddin
Pindaan Enakmen Jenayah Syariah II (1993) 2015 di Kelantan tidak melibatkan Majlis Raja-Raja, kata Ketua Sekretariat Tetap Hudud Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan.
Katanya, pindaan yang membabitkan undang-undang Islam itu hanya tertakluk di bawah bidang kuasa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V selaku Ketua Agama negeri.
"Saya rasa enakmen ini tidak ada kena mengena dengan Majlis Raja-raja. Majlis Raja-raja membincangkan mengenai urusan agama yang berkaitan dengan seluruh negara," kata ahli Parlimen Kota Baru itu ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
"Urusan agama negeri di bawah Sultan, dan pendirian Sultan Kelantan jelas semasa perasmian Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, baginda menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan," katanya.
Takiyuddin berkata, enakmen berkenaan diluluskan pada 1993 dan sudah mendapat perkenan diraja.
"Dari segi sejarah, Enakmen Kanun Jenayah Syariah itu sudah mendapat perkenan diraja.
"Jadi, isu agama berkaitan enakmen hudud di Kelantan ini tidak ada kena mengena dengan Majlis Raja-Raja," katanya.
The Malaysian Insider awal hari ini memetik sumber melaporkan, Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, undang-undang persekutuan yang perlu dipinda kerajaan PAS Kelantan bagi membolehkan pelaksanaan hudud.
Cadangan pindaan itu ditolak pada mesyuarat mereka 11 Mac lalu, yang dikatakan dihadiri semua Raja-raja Melayu atau wakil mereka.
Takiyuddin bagaimanapun menafikan perkara itu memandangkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob juga mengesahkan tiada sebarang dokumen yang dikemukakan kepada majlis tersebut bagi mendapatkan perkenaan Raja-raja Melayu.
"Benda ini tidak benar, dan saya difahamkan oleh menteri besar Kelantan tidak ada pun kertas itu.
"Jadi, siapa yang kata itu, minta beliau sahkan perkara tersebut. Sama ada kertas itu ada, kemudian ditolak, atau sebagainya," katanya.
DUN Kelantan sebulat suara meluluskan enakmen tersebut pada 19 Mac selepas dibentangkan pada 18 Mac dan dibahaskan 4 ahli DUN (Adun) yang menyokong.
Menurut sumber itu, penolakan Majlis Raja-raja itu bermakna wakil kerajaan pusat tidak boleh lagi membawa usul meminda akta itu di Parlimen, sebagaimana rancangan asal Jawatankuasa Teknikal Hudud (JTH) yang dibentuk antara Putrajaya dan kerajaan Kelantan.
Menurut "roadmap" JTH, selepas DUN Kelantan meluluskan pindaan enakmen itu, Majlis Raja-raja pula akan bersidang membincangkannya.
Jika majlis itu meluluskannya, JTH akan membawanya ke Kabinet sebelum seorang menteri membentangkan usul di Dewan Rakyat bagi meminda Akta 355.
Tetapi tanpa lampu hijau Majlis Raja-raja, kerajaan persekutuan kini dikatakan tidak boleh membentangkan rang undang-undang di Parlimen bagi meminda akta itu.
Sumber itu berkata, ekoran keputusan Majlis Raja-raja itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kemudian mengambil langkah membentangkan sendiri usul meminda akta itu melalui satu rang undang-undang persendirian, dan bukannya dibentangkan oleh menteri. – The Malaysian Insider/25 Mac, 2015.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.