PAS Permatang Pauh Putus Hubungan dengan Salleh Man
PAS Kawasan Permatang Pauh semalam mengumumkan keputusan memutus hubungan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Permatang Pasir Datuk Mohd Salleh Man.
Yang dipertuanya, Omar Hassan berkata PAS kawasan itu membuat keputusan tersebut pada mesyuaratnya pada Isnin lepas.
"Keputusan ini dibuat berikutan kenyataan Salleh dengan jelas menyatakan sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui DAP dan bertentangan dengan pendirian PAS pusat," katanya kepada pemberita di Dewan Yusof ar-Rawa di Permatang Pauh, semalam.
Katanya, pendirian PAS pusat tidak mengiktiraf kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang.
Dalam kenyataan pada 2 November, Salleh mengumumkan pendirian menyokong kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang yang dipimpin Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Omar yang juga timbalan yang dipertua 2 PAS Pulau Pinang berkata, keputusan itu yang mendapat persetujuan PAS negeri, akan dimaklumkan kepada PAS pusat. – Bernama, 16 November, 2015.

