Klik "LIKE" Untuk Terima Kemas Kini DCM di Facebook. Klik Butang "LIKE" di Bawah

▼

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets

Rakan DUNIACACAMARBA

Rakan DUNIACACAMARBA

Jadi Rakan TM

Follow tayadihmaysia on Twitter

BAGASI KIRIMAN POPULAR

Iklan & Tawaran

1. Mari sertai ChurpChurp, berinteraksi bersama-sama dengan taulan sambil menjanakan pendapatan, Percuma! Lanjut sila klik di sini.





Advertlet Hutang DCM RM1710

Advertlet Hutang DCM RM1710
Review http://duniacacamarba2.blogspot.com/ on alexa.com

Sponsored Ads

Cerita UG- Kerajaan Perpaduang

Agenda Unity Government (UG). Apa progresnya selepas ketiadaan TGNA?Video lain:1....

Posted by DUNIACACAMARBA on Saturday, October 17, 2015

Memaparkan catatan dengan label Zaharuddin. Papar semua catatan

,

Isnin, 27 Oktober 2014

"Kita bayar zakat tidak mengikut mazhab Syafie, kenapa kita tidak marah?"



[Sinar Harian] KUALA LUMPUR - "Kita bayar zakat tidak mengikut mazhab Syafie, kenapa kita tidak marah?" soal Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman. 

Menurutnya, masyarakat terus menjatuhkan pelbagai hukum kepada penganjur kempen sentuh anjing hingga tersasar seolah-olah menganggap hanya mazhab Syafie satu-satunya aliran dalam Islam. 

"Kita seolah terlepas daripada sasaran sehingga mazhab Syafie kita anggap seperti itulah satu-satunya Islam. Sedangkan bayar zakat tidak pakai mazhab Syafie. Sah pula zakat kita. 

"Pergi haji, tersentuh lelaki perempuan, mazhab Syafie kata batal wuduk (ketika haji), tiba-tiba panduan dari Tabung Haji tak batal. Boleh pula? Tak murtad pula? Tak hina Islam pula? Kenapa tak konsisten kefahaman itu? Ini satu kesalahan yang perlu kita dedahkan. 

"Mazhab Maliki kata boleh sentuh anjing. Nak peluk atau nak cium pun boleh. Air liurnya pun harus dan suci. Kita bukan nak suruh tapi nak bagi toleransi," katanya dalam temubual eksklusif bersama Sinar Harian Online pada Konvensyen Fiqh Rasulullah SAW, di sini, hari ini. 

Tegasnya, kenyataan tersebut bukan bertujuan berkempen terhadap mazhab lain namun peringatan supaya tiada yang beranggapan mazhab selain mazhab Syafie itu bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

"Nanti kita akan bermusuh dengan mazhab lain sedangkan mazhab lain itu juga Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya. 

Mengulas soal situasi peserta program sentuh anjing yang beragama Islam memeluk dan mencium anjing itu, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai satu dosa kecil. 

"Saya tak tahu apa cerita di sana tapi saya difahamkan mereka diajar cara sertu. Kalau nak dosa sekalipun, mengikut mazhab Syafie haram dan haram itu ada tahapnya. Mungkin itu dosa kecil kerana sengaja meletakkan najis di badan. 

"Kalau dia gigit-gigit anjing itu, kemudian bagi kena lidah dia pada lidah anjing, itu dikira dahsyat sikit. 

"Tapi peluk macam itu saja, apa yang besar sangat kalau dosa pun? Dosalah pada mazhab Syafie tapi pada mazhab Maliki tidak berdosa. Kalau dia nak sertu pun, dia sertu habis ceritalah," katanya. 

Jelasnya, penganjuran program tersebut mempunyai tiga masalah utama yang menyebabkan ia menjadi kontroversi. 

"Pertama masalah kawalan penganjur terhadap peserta. Mungkin mereka tidak dapat kawal peserta itu bila mahu bergambar. Mereka belum sempat ajar lagi peserta dah 'test' dulu. 

"Kedua masalah media. Sebahagian media yang ketengahkan perkara itu (peserta cium, peluk anjing). Media tak ketengahkan proses sertu itu, apa yang diajar selepas itu dan proses pembelajaran oleh Ustaz (Ustaz Mohd Iqbal Parjin) itu apa intinya," katanya. 

"Ketiga, orang-orang yang melenting tanpa usul periksa. Memberi respons tanpa bersabar. Tak tahu apa, hanya mendapat sedikit (fakta) daripada wartawan, dia sudah ulas. Sepatutnya, sabar dahulu. Pergilah cari bacaan dulu, cari apa penganjur punya cakap, kemudian barulah beri kenyataan," katanya. -26/10/14

, , ,

Ahad, 24 Oktober 2010

Apa Kata Ulama Muda (Bukan yang Celup) tentang Festival Busana Islam Rosmah?

Saya petik dua tulisan daripada 2 ulama muda, iaitu Zaharudin dan Dr Asri.

Zaharuddin:
[zaharuddin.net] 'Islamic Fashion Show' telah dianjurkan beberapa kali sebelum ini, namun penganjuran ketika itu tidak mendapat sebarang respon dari cendiakawan Islam, mungkin disebabkan fesyen-fesyen yang ditayangkan tidak begitu melampau. Ataupun ia tidak sampai ke pengetahuan golongan ini.

Namun pada tahun 2010, bertempat di sebuah negara bukan Islam, fesyen yang ditayangkan sudah jauh melampaui batasan. Berdasarkan gambar-gambar yang tersiar di media dan internet, pertunjukan fesyen yang dianjurkan adalah 'clear cut' bercanggah dengan Islam dan tidak layak diberi nama 'Islamic'. Malah ia sudah termasuk di dalam kategori mempersendakan Islam.

Kita menyedari, pihak penganjur mensasarkan keuntungan jualan lalu cuba meraih perhatian dan kelainan melalui penganjuran ini. Namun mereka sepatutnya lebih sensitif dalam menggunakan nama ‘Islam’ bagi perniagaan dan program mereka. Cuba bandingkan :-
  • Kita melihat bagaimana kewangan dan perbankan Islam di kawal oleh para ulama sedunia  agar apa yang ditawar benar-benar secocok dengan kontrak-kontrak muamalah Islam, sama ada secara mikro dan makro. Itulah yang sewajarnya dilakukan apabila mereka menggunakan nama ‘Islam’ dalam produk perniagaan dan pembiayaan kewangan mereka.
  • Kita juga dapat melihat sebarang penggunaan tanda halal juga mesti melalui suatu piawaian yang digariskan oleh JAKIM dan badan-badan yang diiktiraf di dalam dan luar negara.
  • Malah penggunaan nama ‘Buffet Ramadhan’ juga dipantau dengan baik sekali oleh pihak JAKIM.
  • Sesebuah unversiti yang ingin menawarkan apa sahaja kursus yang mempunyai label Islam, mereka akan dipastikan oleh lembaga akreditasi agar mempunyai tenaga pengajar bertauliah dan berkelayakan rasmi dalam ilmu Shari’ah. Susunan silibusnya juga mesti dipantau agar tiada yang menyeleweng.
  • Organisasi politik yang ingin meletakkan nama Islam pada parti mereka, perlu mendapat restu majlis raja-raja yang merupakan ketua agama bagi negeri-negeri.
  • Penceramah-penceramah yang ingin berceramah di khalayak awam juga turut dimestikan untuk mendapat tauliah dari jabatan agama Islam negeri.
Namun, dalam kes pertunjukkan fesyen ini, penganjur sewenangnya tanpa mendapat sebarang pengiktirafan dari pihak berkuasa agama dan para ulama, menggunakan nama Islam. Ini jelas satu tindakan yang tidak selari dengan semua item yang disebut di atas. 
 
Pihak penganjur perlu sedar menggunakan label ’Islam’ untuk fashion show mereka adalah tindakan offensive atau menyerang kesucian Islam dan menyakitkan perasaan umat Islam.

Tindakan itu sekaligus menyelewengkan ajaran Islam berkaitan displin pakaian. Ingin saya nasihatkan, kepada penganjur dan semua fashion designer beragama Islam yang terlibat sebelum ini, wajiblah kalian menghentikan penyertaan dalam pertunjukan terbabit di masa akan datang, jika ia masih tidak dikawal. Ia berdasarkan firman Allah :-

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللّهِ يُكَفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُواْ مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ 
غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ إِنَّ اللّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا

Ertinya : Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al Qur'an bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki perbincangan yang lain. Karena sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Neraka Jahanam. ( An-Nisa : 140)

Jelas, ayat di atas dan banyak lagi, melarang apa jua unsur yang dianggap membantu menaikkan lagi sesuatu maksiat. Maka, kehadiran dan penyertaan ke majlis tersebut adalah ditegah oleh Allah.

ENGKAR SENDIRIAN & PROMOSI
Saya pasti, akan ada individu yang mencemik bibir dan ‘meluat’ membaca sebarang saranan seperti ini, kononnya ia menyekat sifat keterbukaan dan ‘close minded’. Ingin ditegaskan, jika mereka tidak suka hukum hakam berkaitan aurat, menuduhnya beku, ketinggalan zaman dan kuno serta lebih suka menyanggahinya dan membuka aurat. Biarlah dosa itu kekal di peringkat peribadi mereka, untuk ditanggung secara individu di alam barzakh dan akhirat. Jangan sesekali mempromosinya agar orang lain turut menjadi sepertinya.

Apabila itu dilakukan malah di’organisasi’kan, ia telah memasukkannya ke dalam satu sifat dan dosa yang lebih berat. Dari hanya sebuah dosa biasa, berkembang kepada sifat dan ciri laku kaum munafiq, yang mana sifat kumpulan ini adalah suka merosakkan Islam melalui kata-kata dan tindakan, namun dilakukan dengan menggunapakai label Islam agar objektif mereka terselindung.

Contoh jelas sifat ini boleh dilihat di dalam firman Allah berkaitan penubuhan Masjid Dhirar. Ia adalah adalah nama yang diberikan kepada sebuah masjid yang dibina oleh puak Munafiq di zaman Nabi s.a.w. Masjid tersebut hampir-hampir dialu-alukan oleh Nabi sehinggalah Allah swt menurunkan wahyu melarang Nabi dari mendirikan solat di dalam masjid tersebut. Firman Allah swt

وَالَّذِينَ اتَّخَذُواْ مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ اللّهَ وَرَسُولَهُ مِن قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلاَّ الْحُسْنَى وَاللّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ * لاَ تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

Ertinya : Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan mesjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: ""Kami tidak menghendaki selain kebaikan."" Dan Allah menjadi saksi bahwa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya) ( At-Taubat : 107)

Allah sendiri menerangkan tujuan dan objektif masjid ini iaitu untuk menimbulkan kemudaratan, kekeliruan kepada umat Islam, dan memecahbelahkan kesatuan umat Islam dengan fitnah-fitnah dan tuduhan mereka sebagaimana yang pernah dilontarkan kepada ummu Mukmini Asiyah r.a.

Dari tindakan Rasulullah menjauhi masjid itu, ini jelas menunjukkan Nabi sendiri menunjukkan sunnah boikot dan menyekat diri dan tentunya para sahabat yang lain dari mendirikan solat di masjid berkenaan. Justeru, majlis pertunjukan fesyen ini adalah persis masjid dhirar, digunakan nama dan label Islam tetapi mengkehendaki kemaksiatan, kemudaratan kepada Islam atau hanya mementingkan ketamakan peribadi tanpa mengira jika ia boleh memudaratkan Islam.

Justeru, ingatan buat  penganjur, penaja, fashion designer dan jemputan, dari sepatutnya hanya terhad satu dosa, jangan sesekali menggandakannya kepada ribuan dan jutaan. Penganjuran fashion show yang dilabel dengan nama Islam seperti ini, sesungguhnya amat merosakkan imej sebenar Islam.

PERTUNJUKAN MELAMPAUI BATAS
Islamic Fashion Show, khususnya yang dianjurkan pada tahun bulan Ogos, 2010 yang lalu, bukan sahaja melampaui batasan penutupan aurat yang diajarkan oleh Nabi. Malah ia juga bercanggah dengan kefahaman sebahagian pendokong ajaran Islam liberal itu sendiri. Saya tidak perlu menyertakan gambarnya di sini kerana semuanya berteraburan dan boleh didapati dengan mudah di media dan internet.
Sebagaimana kita faham, sebahagian pendokong Islam liberal tidak meyakini rambut wanita sebagai aurat, justeru hampir semua mereka sama ada tidak bertudung langsung atau bertudung secara tidak sempurna.

Namun apa yang dipersembahkan di Islamic fashion show itu telah lebih jauh melampaui kefahaman kumpulan itu apabila ia bukan sahaja tidak menutup rambut dengan sempurna malah, menggunakan nama nabi Muhammad di pakaian seksi mereka, memaparkan kaki, betis, belahan buah dada, peha, bentuk tubuh, belakang tubuh dan dada secara terangan dan menamakannya sebagai Islam.

Saya telah menyemak kesohihan gambar-gambar tersebut, dan terbukti gambar-gambar yang paling menyeleweng seperti berbaju dengan nama Muhammad, kain singkat, terdedah dada dan yang dinyatakan di atas sememangnya wujud di pesta fesyen 'Islam' di Monaco itu. Ia bukan super impose atau rekaaan menggunakan teknik fotographi. Sebahagian sumber asal gambar terbabit boleh dilihat di sini. Selebihnya anda boleh mencari cari sumber gambar di internet tanpa perlu saya menyertakannya.

Menurut hemat saya tiada pandangan dari mana-mana mazhab Islam yang boleh diguna pakai untuk menghalalkan tindakan tersebut, semuanya pasti mengharamkannya, sama ada kumpulan Wahabi, Salafi, Ahli hadis, Khalafi, Ahbash, Pondok, Pesantren, Syiah, Zohiri, ahli Tasauf dan lainnya.

Saya bimbang selepas ini mereka menggunakan ayat Al-quran di seluar dalam dan bikini rekaan kreatif mereka lalu dipertontonkan kepada umum, menjadi hidangan majlis Islamic fashion show.! Oleh itu fashion show ini bukan sahaja salah di sudut pandangan ulama Islam, malah juga salah pada pandangan kumpulan wanita Islam liberal.

Saya sedari ada fashion designer muslim yang menyertai pertunjukan itu merasakan festival ini adalah medan besar untuk melariskan produk masing-masing, menguatkan jenama dan menambah keuntungan perniagaan. Namun mereka perlu sedar, apabila majlis 'gilang gemilang' itu dicemari oleh unsur penghinaan terhadap Islam, majlis sebegitu bukan menambah keuntungan dan berkat perniagaan, malah memalapkan berkat dan menjauhkan peniagaan dari ruh Islam yang sebenarnya. Nabi pernah menegur individu yang berniaga di dalam masjid dengan kata baginda :

إذا رأيتم من يبيع أو يبتاع في المسجد، فقولوا: لا أربح الله تجارت

Ertinya : Apabila kamu melihat seseorang berniaga di dalam masjid, katakan kepadanya : Semoga Allah tidak memberi keuntungan kepada perniagaanmu” ( Riwayat Al-Tirmidzi)
Adakah peniaga muslim yang menyertai pertunjukan fesyen yang menghina Islam ini, ingin kami katakan demikian kepada perniagaanmu?. Sudah tentu ia tindakan yang valid kerana pertunjukan itu lebih berat mudaratnya berbanding meniaga di dalam masjid. Kedua-duanya sama dari sudut menjauhkan manusia dari Allah di tempat yang sepatutnya berzikir. Fikirkan..

JATUH MARUAH
Tidak sedarkah mereka, penganjuran seperti ini sebenarnya menjatuhkan maruah dan kedudukan tinggi wanita. Di manakah pejuang martabat wanita?. Adakah mereka layak dijadikan bahan tontonan lelaki dengan pakaian pelik atas nama fesyen.

Sukakah mereka, penonton lelaki ibarat raja yang dihidangkan pemandangan hamba-hamba wanita dengan pelbagai pakaian, mendedahkan kecantikan masing-masing?.

Lebih pelik, dimanakah isteri-isteri kepada suami yang menghadiri pertunjukan itu. Adakah dia bahagia apabila suaminya hadir dan membandingkan tubuhnya dengan tubuh ramping para model wanita yang tiada malu itu?.

Kalau kita merasa benci dan marah apabila pelukis kartun Denmark mencaci Nabi melalui kartunnya
Ahli parlimen Belanda menghina Al-Quran melalui filem pendeknya, 'Fitna',

Tentera Amerika menghina Islam dengan filem, dokumentari dan serangan roketnya,
Salman Rushdi menghina Nabi melalui tulisannya,

Kini tindakan menganjur, menjaya dan menyertai pertunjukan fesyen ini juga adalah sama kategorinya. 

Semuanya adalah sangat ‘menyerang’ kesucian Allah, Nabi dan Islam, menyelewengkan manusia dari Islam sebenar dan secara sedar atau tidak, menghina Islam.

MENGAPA BARU SEKARANG?
Ada yang bertanya, mengapa sekarang baru bising-bising sedangkan program ini telah berlangsung tahun 2009 bertempat di sebuah hotel  di ibu kota, manakala pada bulan Ogos 2010 yang lalu pula dilangsungkan di Monte Carlo, Monaco.

Jawapnya, yang salah tetap perlu ditegur jika disedari, tidak kira sama ada lewat atau cepat. Ia perlu agar ia tidak diulangi pada masa akan datang. Khususnya apabila founder dan pengerusi Islamic Fashion Festival ini adalah seorang lelaki yang saya rasa beragama Islam dari Malaysia. (Baca sini) dan info rasmi Islamic Fashion Festival.

Melihat ia sudah hampir dijadikan upacara tahunan dan pertunjukannya pada tahun 2010 yang lalu menampilkan fesyen yang semakin melampau (berbanding sewaktu festival 24 November 2009). Umat Islam yang prihatin, perlu menyuarakan bantahan ini juga agar penganjur membatalkan road show festival ini atau paling tidak, mengugurkan nama ‘Islam’ pada festival mereka.

Menurut jadualnya ia akan dilaksanakan lagi tahun hadapan di Turki pada 10 februari 2011.

Kita berharap akan ada individu dan pimpinan prihatin yang mempunyai hubungan dengan Perdana Menteri Turki dapat berbuat sesuatu, sebelum Islam dihina sekali lagi oleh penganutnya, disorak sorai oleh musuh-musuh Islam seluruh dunia. Tidak perlu lagi nama nabi Muhammad dan Islam dibusukkan oleh musuh Islam di Denmark atau Belanda, Amerika, Israel dan lainnya. Kini hanya perlukan orang Islam sendiri....sambung di laman sesawang Zaharuddin.

Dr Asri:
[drmaza.com] Saya berada di Qatar ketika ini. Pihak media bertalu-talu menghubungi saya bertanya pendapat tentang hal ini. Maka, saya ingin menyebut secara ringkas beberapa perkara berikut;

1. Berdasarkan apa yang ditonjol, jelas bahawa mengaitkan fesyen-fesyen tersebut dengan Islam adalah satu penghinaan. Sama sekali ia tidak islamik. Penganjur amat salah jika menyangka Islamic design dan Islamic fashion hanya berkaitan dengan penonjolan tulisan yang berunsur Islamik tanpa memahami soal etika dan hukum-hakam syarak.

2. IFF boleh memberikan gambaran salah yang serius mengenai pakaian dalam Islam. Ia juga melambang kecelaruan fikiran mereka yang terlibat.

3. Islam tidak menghalang fesyen untuk wanita, tetapi mesti dengan prinsip dan etika yang tersendiri. Penganjuran fesyen pakaian itu tidak salah, tetapi konsep dan pengisiannya IFF itu salah disebabkan tidak memahami prinsip dan etika dalam hal ini.

4. Mereka yang terlibat hendaklah memohon maaf kepada umat Islam dan mengisytiharkan kepada awam bahawa yang dianjurkan itu bukanlah ‘Islamik’.

5. Bahaya untuk isteri pemimpin utama negara Islam terlibat dengan hal-hal yang seperti ini. Ia akan memberikan mesej Islam yang salah kepada dunia, apatah lagi Malaysia dianggap salah sebuah negara Islam yang penting.

6. Kepimpinan negara akan rosak jika isteri-isteri pemimpin utama ini cuba menonjolkan diri sehingga tidak teliti dan tidak lagi memikir buruk baik sesuatu tindakan. Perbuatan seperti ini akan merosakkan kepimpinan sesebuah negara yang majoritinya muslim.

7. Saya mencadangkan kepada mereka yang berminat menganjurkan pertunjukan ‘Islamic fashion’ mewujudkan penasihat syariah terlebih dahulu. Mereka boleh menjemput ilmuwan yang lebih terbuka dan fleksibel tetapi mengikut prinsip-prinsip umum syarak.

-Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Doha, Qatar

, ,

Isnin, 4 Oktober 2010

Khusus untuk Ahli UMCO: Hukum Menerima Sumber Wang yang Tidak Jelas


Selain ahli UMCO yang jahil, artikel ini juga khusus untuk pakcik dan mak cik yang termakan dakyah ahli UMCO yang mempergunakan mereka untuk tujuan politik. Saya petik:

[Zaharuddin] Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama atau hukum. Saya tidak berhasrat menyentuh isu terbabit dari sudut politik kerana ia bukan bidang saya. Cuma jika, tindakan tersebut jika dijadikan ikutan, nanti kita akan dapat melihat kebanyakan orang miskin di Malaysia memulangkan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, kerajaan pusat dan syarikat. Ini kerana sebahagian pendapatan kerajaan negeri dan pusat juga adalah dari sumber haram seperti cukai pusat judi, pelaburan haram, riba, pusat hiburan, rumah urut ‘pelacuran' dan sebagainya. Justeru bantuan mungkin sahaja diambil dari wang haram tersebut.

DARI SUDUT HUKUM


Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, tindakan mereka adalah SALAH lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.

Fakta berikut perlu difahami:

1. Wang kerajaan negeri Pulau Pinang (dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.

Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan, derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.

Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA. Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit. Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya. Selain itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.

2. Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.

Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjakannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan ‘hissi'. Ia tidak berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.

3. Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.

Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya, pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi. Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam (Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225)

PANDANGAN ULAMA MAZHAB

Ulama hanafi menyebut yang ertinya: Pemilikan kotor (haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) (Al-Ikhtiyar Li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61)

Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. (rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)

Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata yang ertinya "sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram ke atas faqir (dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka." (Al-Majmu' , 9/428)

Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain yang ertinya: "Menjawab kata-kata orang yang berkata : "Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita". Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara' yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan." (Ihya Ulumiddin, 2/212)

Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata yang
ertinya : "Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa' sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). (Fatawa Mu'asiroh, 1/606)

RINGKASAN DALIL


Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-

1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda  yang ertiya : Ini kotor, sedeqahkan ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)

Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.

2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]

3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

KESIMPULAN


* Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka (pemberi sumbangan) itu bercampur antara wang halal dan haram. atau dalam kata lainnya, harta mereka masih ada yang neutral dan halal.
* Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.
* Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini
* Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara'. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.
* Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.
* Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.

, , ,

Rabu, 25 Ogos 2010

Dr Asri & Ustaz Zaharuddin: Hukum Doa untuk Bukan Islam

Saya petik:

USTAZ ZAHARUDDIN:

[Zaharuddin.net] Ustaz, apakah hukumnya mendoakan orang bukan Islam dengan hidayah atau biar dia bersifat adil, sejahtera, sihat tubuh dan sebagainya. Bolehkah pula doa sebegitu dibuat ketika khutbah? Harap ustaz dapat mengulas secara ilmiah dan tidak terpengaruh dengan mana-mana parti politik. Selain itu, apakah pula hukum kita menjawab bersin seorang kafir dengan sebutan "blessed you". Terima kasih

JAWAPAN

InshaAllah, saya akan mengulas tanpa sebarang prejudis terhadap politik kepartian, walau saya sedar soalan saudara tadi telah disensasikan sebagai isu politik di tanahair.

Namun begitu, sebelum mengulas perlu dinyatakan, ulasan saya adalah hanya berkaitan hukum dan panduan umum tanpa merujuk kepada mana-mana kes dan isu di tanahair disebabkan saya tidak punyai sebarang info jelas berkenaannya.

Hukum berdoa kepada orang bukan Islam bergantung kepada beberapa keadaan dan isi kandungan doa. Secara ringkasnya adalah seperti berikut :-

a. HUKUM HARAM

Para ulama bersepakat bahawa mendoakan orang bukan Islam dengan KEAMPUNAN ALLAH, MENDAPAT SYURGA, DIMUDAHKAN URUSAN AKHIRATNYA DAN APA SAHAJA YANG BERKAITAN DENGAN AKHIRAT adalah DIHARAMKAN.

Imam An-Nawawi menyebut :

وأما الصلاة على الكافر، والدعاء له بالمغفرة فحرام بنص القرآن والإجماع

Ertinya : Adapun mendoakan orang kafir (bukan Islam) untuk mendapat keampunan adalah HARAM dari teks Al-Quran dan ijma' ulama ( Al-Majmu')

RINGKASAN DALIL

Terdapat beberapa dalil asas antaranya :-

* Firman Allah :-

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُواْ أَن يَسْتَغْفِرُواْ لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُواْ أُوْلِي قُرْبَى مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ

Ertinya : Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik (kafir & bukan Islam), walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu, adalah penghuni neraka Jahanam. (At-Taubat : 113)

* Hadis Nabi :

أن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عرض الإسلام على عمه أبي طالب وهو يموت، فأبى ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْهُ . فَنَزَلَتْ : ( مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ ) وَنَزَلَتْ : ( إِنَّكَ لا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ )

Ertinya : Nabi s.a.w mengajak bapa saudaranya Abu Talib kepada Islam, amun dia meninggal sebelum menyahutnya. Maka berkata nabi : "Aku berdoa keampuanan dari Allah untuknya apa-apa yang dia tidak berdoa (semasa hayatnya). Selapas doa nabi itu dibuat, turun ayat di atas dan turun juga ayat yang beerti " sesungguhnya engkau tidak mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau sukai"

Hadis di atas jelas menunjukkan larangan Allah kepada nabi dari berdoa KEAMPUNAN kepada bapa saudaranya yang TIDAK ISLAM. Imam Ib Hajar Al-Haithami Al-Syafie berkata

حرم الدعاء بأخروي لكافر، وكذا من شك في إسلامه، ولو من والديه

Ertina : haram berdoa berkenaan apa-apa urusan berkaitan akhirat untuk orang bukan Islam, demikian bagi mereka yang terdapat syak pada status Islamnya walau mereka itu ibubapanya ( Rujuk Tuhafatul Muhtaj )

b. HUKUM HARUS

Ulama juga sepakat mendoakan orang bukan Islam (kafir) agar mendapat HIDAYAH adalah HARUS DAN DIBENARKAN. Demikian juga lain-lain kebaikan bersifat dunia seperti umur panjang, kesihatan, lebih adil dan sebagainya, doa dalam hal kedunia itu HARUS selagi mana dia bukan merupakan seorang penentang utama Islam.

Imam Al-Bukhari sehingga memasukkan tajuk dalam kitabnya :

بَابُ الدُّعَاءِ لِلْمُشْرِكِينَ بِالْهُدَى لِيَتَأَلَّفَهُمْ

Ertinya : bab berdoa untuk orang kafir musyrik untuk mendapat hidayah agar dijinakkan hati mereka.

RINGKASAN DALIL

Terdapat beberapa dalil utama dalam hal ini, antaranya :-

* Hadis nabi : -

فَقَالَ : إِنَّ دَوْسًا قَدْ عَصَتْ وَأَبَتْ ، فَادْعُ اللَّهَ عَلَيْهِمْ ، فَقَالَ : اللَّهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَأْتِ بِهِمْ

Ertinya : Seorang sahabat telah datang kepada Nabi lalu berkata : Sesungguhnya seorang dari Dausan (nama kelaurga) telah derhaka dan enggan (masuk Islam), tolonglah doakan kepada Allah untuknya. Lalu Nabi berdoa : "Ya Allah berikanlah hidayah buat lelaki dari ahli keluarga Dausan itu dan bawakanlah dia kepada kami (Riwayat Al-Bukhari, no 2779 & Muslim)

Doa yang hampir sama juga pernah Nabi lafazkan untuk Ibu Abu Hurairah, ertinya : "Ya Allah berikanlah hidayah untuk Ibu Abu Hurayrah" (dari Riwayat Muslim)

Al-Hafidz Ibn Hajar menyatakan doa nabi itu merupakan satu taqriri dayang jelas berkenaan keharusannya. Ada ketikanya nabi akan mendoakan kehancuran dan laknat buat orang bukan Islam khususnya di ketika kuatnya kejahatan mereka ke atas umat Islam, di kala tenang dan aman, nabi mendoakan pula hidayah buat beberapa dari kalangan mereka. (Fath Al-Bari, 10/604).

* Hadis nabi :-

كَانَ الْيَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ : يَرْحَمُكُمْ اللَّهُ ، فَيَقُولُ : يَهْدِيكُمُ اللَّهُ ، وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

Ertinya : orang Yahudi sengaja buat-buat bersin di hadapan Nabi serta berharap Nabi akan berkata sebagai balasan : Moga Allah merahmatimu kamu, Namun Nabi hanya menyebut : Semoga Allah memberi hidayah kepadamu dan memperelokkan pemikiranmu ( Riwayat At-Tirimizi& Abu Daud ; sohih menurut Albani)

Doa Nabi untuk mereka mendapat hidayah itu jelas membawa erti keharusan mendoakan hidayah buat mereka. Berdasarkan hadis itu, maka TIDAK HARUS untuk kita menyebut "bless you" kepada orang bukan Islam apabila dia bersin kerana 'bless you' tidak membawa makna yang sama dengan "Moga Allah memberi hidayah buatmu". Justeru, Jika keadaan sesuai (kerana rakan agak rapat & telah ada minat kepada Islam), ucapan selepas mendengar bersin seorang bukan Islam itu boleh ditukar kepada "May Allah guide you" atau apa-apa yang seerti dengannya. Namun jika situasi itu tidak sesuai, eloklah berdiam diri sahaja atau boleh disebut 'get well soon' atau apa-apa ucapan lain bersifat kebaikan dunia.

Syeikh Abu Tib menyatakan tidak boleh kita mendoakan rahmat atau blessing untuk bukan Islam kerana ia lafaz rahmat khas untuk sesama Muslim sahaja. ( ‘Aunu Al-Ma'bud, 13/257)

* Hadis nabi :

Nabi pernah berdoa :

اللهم اعز الإسلام بأحب العمرين

Ertinya : Ya Allah, tinggikanlah Islam melalui salah seorang dari dua Umar ( Umar Al-Khattab atau Amru Hisham iaitu Abu Jahal)

Para ulama juga menyimpulkan keharusan berdoa untuk bukan Islam yang baik dan TIDAK BERCIRI PENENTANG ISLAM agar mendapat bertambah adil, bertambah baik, dipanjangkan umur, tambah anaknya, sihat tubuhnya dan dari jenis manfaat dunia yang tidak melibatkan akhirat serta rahmat dan keampunan.

Sebagaimana nabi pernah meminta Allah melewatkan dan menangguhkan azab ke atas penduduk Taif yang menghalaunya kerana mereka jahil dan tidak mengetahui.

KESIMPULAN

Hukum berdoa kepada orang bukan Islam bergantung kepada isi kandungan doanya, sama ada doa itu diucapkan di dalam khutbah atau di luar ia tetap sama dari sudut hukum. Ia bergantung kepada kandungan. Jika ia melibatkan doa berkaitan urusan dunia seperti tubuh sihat atau mendapat hidayah, DISEPAKATI ULAMA ATAS KEHARUSANNYA. Namun jika keampunan, rahmat dan urusan akhirat DISEPAKATI HARAM.

TIDAK DIBENARKAN JUGA berdoa untuknya dengan rahmat selepas mereka bersin, sebaliknya ubahlah ucapan menuju erti moga Allah memberi hidayah kepadanya.

Jangan dilupa juga, doa kebaikan untuk orang zalim yang pasti menurut neraca Al-Quran dan Al-hadis, sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam adalah ditegah. Dalam sebuah athar yang kukuh jalan riwayatannya, disebut :-

من دعا لظالم بالبقاء فقد أحب أن يعصى الله

Ertinya : sesiapa yang mendoakan untuk orang zalim, maka dia sessungguhnya menyukai untuk menderhakai Allah. (Al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman)

Adapun dalam kes masjid Pulau Pinang, sebelum ingin dipastikan tegolong dalam kategori mana dari pembahagian hukum di atas, apa yang paling penting adalah memastikan sama ada ia benar-benar wujud doa atau tidak, dan jika wujud adakah ia merupakan tindakan individu khatib atau merupakan arahan pihak atasan atau arahan Ketua Menteri itu sendiri. Setelah itu, barulah disemak kandungannya. Jika ia menepati yang diharuskan, TIADA sebarang masalah di sisi Islam. Namun dalam hal ini, disebabkan ia telah bercampur dengan usaha meraih milage politik, hal ini perlu dinilai lebih teliti kerana kemasukan kepentingan politik menambah lagi keraguan kata-kata mereka yang berkata, dari kedua-dua pihak.

Sekian


Dr ASRI:

[MK]...Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan Muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan Muslim yang bermusuh dengan Islam.

Permainan politik

Firman Allah, maksudnya: "Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim". (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).

Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu Muslim atau bukan Muslim.

Firman Allah: "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan" (Surah Hud: 113).

Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik.

Sebab itu 'Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama: "Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil" (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.

Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredaan sesuatu pihak semata-mata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan Muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau perincian...(penerangan Dr Asri ini panjang. Sila ke MK untuk membaca artikel penuh.)

BAGASI KIRIMAN TERKINI

BAGASI KIRIMAN

PERHATIAN

Tulisan dalam blog ini sebahagian besarnya ialah respons/pendapat/ulasan RINGKAS/SPONTAN saya terhadap pelbagai isu dan perkara yang berlaku di serata negara mahupun di luar negara.

Sebahagiannya pula disalin & ditampal (
semoga dengan izin) dari blog, laman sesawang atau laman berita dari dalam dan dari luar negara. Hak cipta berita, artikel & makalah adalah milik laman sesawang atau blog tersebut.

Seboleh-bolehnya, saya cuba mengelak untuk menyiarkan mana-mana makalah/petikan/gambar tanpa restu pemilik asalnya. Jika mana-mana petikan/tulisan/gambar yang disiarkan dalam blog ini kurang disenangi pemilik asalnya, maka maklumkanlah segera kepada saya (di ruangan komen bahan terbabit) agar petikan/tulisan/gambar tersebut dapat dikeluarkan dengan kadar segera.

Untuk makluman, sebarang petikan, makalah, gambar yang dipetik dari laman berita atau dari blog /laman sesawang atau dari sumber internet yang lain tidak semestinya menggambarkan/mewakili pandangan saya dalam sesuatu isu yang berkaitan.

PENAFIAN:
Semua artikel atau berita yang disiar dalam blog ini adalah untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am. Ketepatan maklumat artikel atau berita itu perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan atau penyebaran maklumat palsu atau fitnah.

-tayadihmaysia@yahoo.com







TERIMA KASIH