PENANTI: DUA TOKOH, DUA PENDAPAT
DATUK A KADIR JASIN DALAM KIRIMAN TERBARU DI BLOGNYA MELUAHKAN PERKARA YANG BERIKUT:
"SIR WINSTON Churchill berkata: “A pessimist sees the difficulty in every opportunity; an optimist sees the opportunity in every difficulty.”
(Seorang pesimis nampak kesukaran di dalam setiap peluang, seorang optimis nampak peluang di dalam setiap kesukaran).
The Star Online berkata: “Barisan Nasional memutuskan tidak bertanding pilihan raya kecil Pananti, Pulau Pinang, 31 Mei ini.
“Pengerusi BN, Mohd Najib Abdul Razak sebagai berkata: “Kami berasa pilihan raya kecil ini tidak diperlukan; kami tidak akan turut serta dalam mainan politik pembangkang.”
“Dia berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN.”
Mahatma Gandhi berkata: “Fear has its use but cowardice has none."
(Ketakutan ada kegunaannya tetapi penakut tidak ada sebarang guna.)
Dan apa agaknya kata 5,127 pemilih yang mengundi BN di Penanti pada pilihan raya umum tahun lalu dan 3 lebih juta ahli Umno.
Saya?
Tak mahu kata apa-apa lagi!" - http://kadirjasin.blogspot.com
NAMUN BERBEZA PULA NADA YANG DILUAHKAN OLEH DATUK RUHANIE AHMAD DALAM KIRIMAN TERBARU DI BLOGNYA YANG MEMBICARAKAN TINDAKAN BN MEMULAUKAN PILIHAN RAYA KECIL DI DUN PENANTI:
"BN tidak akan bertanding dalam PRK DUN Penanti. Ini satu keputusan yang waras, tindakan yang berani, dan strategi yang bijak. Dengan keputusan, tindakan dan strategi ini PR akan mati langkah dan hilang ghairah. Antiklimeks!
BN sebagai parti yang rasional tidak perlu terdorong dengan rentak politik kuasa oleh pihak yang sedang mengigal bak merak kayangan. BN wajar menumpu kepada soal kesejahteraan rakyat dan kelangsungan negara.
BN hanya perlu menyertai sesuatu PRK bila kerusi berkenaan kosong kerana ADUN penyandangnya meninggal dunia atau hilang kelayakan akibat sesuatu implikasi undang-undang.
Pihak yang mempermainkan mandat rakyat, walaupun demokratik, seperti di Penanti, adalah pihak yang sengaja untuk bermain politik kuasa semata-mata untuk kuasa, bukannya untuk rakyat jelata.
Memang seronok bermain politik kuasa ala-machiavelli, matlamat menghalalkan cara. Tetapi, dalam soal PRK Penanti, matlamat siapakah yang telah menghalalkan cara PR untuk bertandak dan bertindak sedemikian rupa?
Adakah PRK Penanti mahu mencapai matlamat PR untuk membuktikan kepada umum kononnya ia masih didukung dan dijulang oleh rakyat jelata di Penanti?
Adakah PRK Penanti mahu mencapai matlamat untuk membuktikan kononnya BN pengecut dan mengangkat bendera putih sebelum memasukki medan tempur?
Tidak mungkinkah PRK Penanti hanya mahu mencapai matlamat seseorang individu tertentu yang kini sedang diselubungi krisis moral? Matlamat siapakah yang sebenarnya menghalalkan cara PR memanipulasikan ADUN Penanti sehingga menyebabkan kerusi DUN itu dikosongkan untuk membolehkan PRK ini diadakan?
Pastinya pengundi di Penanti dapat menghalusi seluruh pertanyaan ini dan memberikan jawapannya secara tepat. Pastinya para penyokong BN juga dapat memahami matlamat siapakah yang sebenarnya telah menghalalkan cara dalam konteks PRK Penanti.
Oleh sebab itu, kita saksikan betapakah merak yang sedang gian untuk mengigal akan mengigal di Penanti tanpa audiens yang amat dinanti-nantikan. Sesudah itu, kita nantikan dimana pula agaknya merak itu akan mengigal dan mengigal untuk membuktikan dialah mahkluk terhebat, tercantik dan terhandal dalam siasah tanah air ini!"- http://kuda-kepang.blogspot.com/
ANTARA KEDUA-DUA PANDANGAN ITU, SAYA LEBIH BERSETUJU DENGAN PANDANGAN PAK KADIR. TINDAKAN MEMULAUKAN PILIHAN RAYA ITU BUKAN SAHAJA "MEMALUKAN" BN, MALAH MEMBERIKAN SEMANGAT MORAL KEPADA PARTI LAWAN. BIAR APA-APAPUN STRATEGI POLITIK YANG DIRANCANG, NAMUN BAGI MASYARAKAT YANG JAHIL POLITIK SEPERTI SAYA, KAMI MENGANGGAP TINDAKAN ITU SEBAGAI TINDAKAN SESEORANG YANG MENGAKU TEWAS SEBELUM BERTEMPUR. ADAKAH TINDAKAN INI MERUPAKAN SALAH SATU STRATEGI UNTUK MEMENANGI PILIHAN RAYA UMUM AKAN DATANG?
Seorang kecewa, seorang bangga...
Comment by Qushairi @ Rabu, Mei 20, 2009 2:00:00 PTG