PM RAKYAT: JANGAN HANYA SEKADAR RETORIK
"Najib mahu dikenali sebagai Perdana Menteri rakyat
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau mahu dikenali sebagai "Perdana Menteri Rakyat" yang mesra dengan rakyat dan dapat memahami kehendak rakyat.
"Saya sentiasa bersama-sama dengan rakyat dan akan terus bersama-sama dengan rakyat," kata Perdana Menteri sambil menegaskan tidak sepatutnya wujud anggapan bahawa beliau merupakan anak golongan bangsawan.
"Kita mesti lihat kepada hala tuju negara, kita mesti faham, mesti merasai denyutan nadi rakyat, nadi negara, kuasa rakyat, kita mesti merasainya," katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Majlis yang bertema "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Presiden Cuepacs, Omar Osman..." mSTAR Online
Penulis tidak mahu bersangka buruk. Sememangnya seorang Perdana Menteri perlu berhati dan berjiwa rakyat. Jawatan eksekutif nombor satu ini bukanlah platform untuk bermegah-megah atau digunakan untuk menjadi jutawan segera. Bukan saja Datuk Seri Najib malah sesiapapun perlu mengutamakan sikap tersebut. Rakyat memilih mereka bukan sebagai "ketua" untuk menindas atau mempergunakan mereka, tetapi sebagai "hamba" untuk berkhidmat dan mendampingi mereka ketika susah dan senang. Sebagaimana rendah diri dan mesranya seseorang pemimpin yang berkunjung dari satu rumah ke rumah yang lain pada waktu pilihan raya, maka rakyat turut mengharapkan sikap yang sama apabila pemimpin itu telah terpilih untuk menerajui negara.
Namun, kerap kali kita melihat dua perwatakan yang berbeza seseorang pemimpin ketika waktu menjelang pilihan raya dan selepas pilihan raya. Jika sebelum pilihan raya, kemesraan dan keprihatinan pemimpin itu terlalu luar biasa sifatnya. Manakan tidak, cawan yang sudah berdaki dan berkarat berisi kopi "o" yang dihidangkan oleh orang kampung sanggup dihirup sehingga habis. Rumah yang sudah uzur pun sanggup dikunjungi untuk menabur janji dan harapan. Namun, apabila selesai pilihan raya, usahkan sebulan sekali, setahun sekali pun sukar untuk menjenguk kawasan yang diwakilinya. Bukan semua pemimpin yang begitu, tetapi banyak yang begitu.
Mereka bersikap begitu kerana orang kampung mudah termakan propaganda televisyen dan surat khabar. Tidak juga mahu menyalahkan orang kampung kerana itulah sahaja sumber maklumat yang mereka ada. Walaupun begitu, orang kampung seperti Mak cik Yah dan Pak Cik Leman di kampung penulis dan di serata pelosok negara turut berasa tertipu dan marah, namun perasaan itu menjadi sejuk apabila mendengar janji-janji manis apabila menjelang pilihan raya. Malah propaganda media juga mengikis sedikit demi sedikit perasaan marah bermusim yang terpendam dalam hati rakyat kampung. Hati mereka juga mudah tersentuh oleh sedikit pemberian hadiah daripada orang yang menggelarkan dirinya sebagai pemimpin mereka. Namun, strategi itu tidak lagi berkesan untuk menawan hati orang muda seperti penulis. Sejak adanya pelbagai media alternatif dan medium untuk menyalurkan maklumat,penolakan rakyat terutamanya generasi pelapis terhadap pemimpin yang indah kata dari sikap ini semakin ketara. Malah penyaluran maklumat yang semakin berkesan ini turut mengubah paradigma masyarakat kampung. Hasilnya, dapat dilihat dalam pilihan raya umum yang lalu.
Tuntasnya, sebagai rakyat kita mengharapkan kenyataan yang dibuat itu datang dari hati yang ikhlas. Kerana niat yang ikhlas akan memastikan apa-apa yang diperkatakan itu akan dibuat sampai bila-bila. Jika kenyataan itu hanya untuk menyedapkan hati rakyat atau hanya sekadar satu daripada strategi untuk memenangi hati rakyat dalam pilihan raya umum akan datang, maka penulis yakin kenyataan itu hanya bermusim sifatnya sebagaimana projek-projek bermusim apabila menjelang sesuatu pilihan raya. Projek mi segera yang rancak dilaksanakan demi menagih undi rakyat. Malangnya, ada juga projek mi segera ini yang papan tanda projeknya silih berganti apabila menjelang sesuatu pilihan raya.
Jika benar mahu menjadi PM Rakyat, langkah pertama untuk berbuat demikian ialah memikirkan semula langkah untuk menaikkan harga petrol menjelang September nanti. Sebagai pemimpin rakyat, beliau tentu tahu betapa sengsaranya rakyat dalam menghadapi kemelut krisis ekonomi dunia. Bukanlah masa terbaik untuk menaikkan harga segala macam barangan termasuklah petrol yang menjadi 1/3 perbelanjaan bulanan majoriti rakyat. Seterusnya, PM seharusnya mencari jalan untuk membubarkan DUN di Perak supaya rakyat dapat memilih pemimpin yang dikehendaki mereka,menghapuskan ISA kerana akta itu jelas menindas rakyat, dan seterusnya...seterusnya...Jika tidak, kenyataan itu hanya dianggap sekadar retorik sahaja.
Bro,
Comment by Naim @ Sabtu, Mei 16, 2009 3:52:00 PTGbahagian perenggan akhir tu yang sedap dibaca...tapi aku rasa...indah khabar dari rupa jela