Dr Vida Tarik Balik Dua Produk Qu Puteh
Foto; SH |
KOTA BHARU - Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mengesahkan menarik balik produk kecantikannya, Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block di pasaran Malaysia dan Brunei berkuatkuasa serta merta.
Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida berkata, kedua-dua produk berkenaan ditarik balik sebaik tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, kita tarik balik kedua-dua produk ini,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Qu Puteh Whitening Pro 9 tidak lagi dibenarkan dijual]
Datuk Seri Vida berkata, pihaknya sudah menghentikan seketika pengeluaran dan penjualannya di Malaysia dan Brunei berkuatkuasa hari ini (semalam).
“Kita akan menghantar sampel produk itu ke KKM untuk diadakan ujian buat kali kedua bagi mengesahkan keselamatannya terhadap pengguna,” katanya.
Usahawan terkemuka itu turut menegaskan produk dihasilkan tidak mendatangkan bahaya atau kesan sampingan lain kerana ia tidak mengandungi campuran bahan kimia. - Sinar Harian/22/1/16
Qu Puteh Whitening Pro 9 Tidak Lagi Dibenarkan Dijual
Qu Puteh Whitening Pro 9
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mengarahkan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 keluaran syarikat Vida Beauty dihentikan jualannya serta-merta kerana mengandungi racun berjadual merkuri pada paras tinggi.
Pada masa sama, syarikat itu diberi tempoh 72 jam untuk menarik balik stok mereka di pasaran.
Berikutan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 kerana merkuri boleh memudaratkan kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata produk itu telah diuji dan dikesan mengandungi merkuri yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.
"Oleh itu, produk kosmetik Qu Puteh Whitening Pro 9 tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.
"Merkuri boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf, selain memberi kesan kepada perkembangan otak kanak-kanak atau bayi dalam kandungan," katanya.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan telah membuat ujian ke atas produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block dan hasilnya menunjukkan satu produk - Qu Puteh Whitening Pro 9 - mengandungi merkuri pada paras yang tinggi.
Beliau berkata notifikasi produk Qu Puteh Whitening Pro 9 telah dibatalkan dan arahan sudah diberikan kepada syarikat berkenaan.
"Sesiapa yang mempunyai stok produk itu dinasihat menghentikan penjualan, pengedaran dan penggunaannnya dengan serta-merta," katanya.
Dr Noor Hisham memberi amaran pemilikan produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM25,000 atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Tempoh penjara dan denda bertambah untuk kesalahan berikutnya.
Selain itu, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. - Bernama/22/1/16
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.