[Kemas Kini] Luahan Zaid tentang Keputusannya Menarik Diri daripada Pemilihan PKR - Cetak Sahajalah Notis Rasminya
Apa situasi Zaid Ibrahim sekarang?
Saya mahu guna frasa/peribahasa "berkerat rotan", namun tidak sesuai untuk memerihalkan situasinya. Saya mahu guna frasa/peribahasa "berpatah arang" pun kurang sesuai. Hal ini demikian kerana kedua-dua frasa/peribahasa itu membawa maksud memutuskan hubungan, sedangkan mengikut pengakuan Zaid, kekecewaannya itu tidaklah sampai mendorongnya keluar parti.
Buat masa ini, saya kira Zaid merajuk. Butiran sebab beliau merajuk ada diperincikan dalam petikan laporan TMI di bawah ini.
Orang tua kalau merajuk, susah nak pujuk. Tidak seperti anak dara merajuk yang amat mudah dipujuk, cukup sekadar memberikan hadiah atau membuat lawak!
Saya petik:
[TMI] KUALA LUMPUR, 8 Nov - Sambil mendakwa sudah tidak lagi diperlukan oleh kepimpinan parti, Datuk Zaid Ibrahim tidak akan menghantar notis rasmi memaklumkan yang beliau sudah pun menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden PKR.
“Mengapa harus saya berbuat demikian? Saya sudah pun membuat pengumuman dalam blog saya. Itu sudah cukup bagus.
“Jika saya tidak menghantar notis (rasmi), apa yang mereka akan lakukan,” tanya Zaid ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
.........
Saifuddin menjelaskan, Zaid perlu menghantar notis rasmi kepada parti berhubung perkara tersebut.
Katanya, parti tiada rancangan untuk mengadakan sebarang mesyuarat untuk membincangkan keputusan Zaid menarik diri daripada bertanding ataupun dakwaannya bahawa wujud manipulasi dan kecacatan dalam proses pemilihan.
Awal pagi tadi, Zaid berkata, beliau meletakkan semua jawatan dalam PKR dan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden di sebalik siri dakwaan pemilihan parti dicemari kecacatan dan tidak telus.
Zaid berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana tiada usaha di kalangan pucuk kepimpinan parti untuk menangani pelbagai isu manipulasi dan amalan-amalan pemilihan tidak adil meskipun isu terbabit telah dibangkitkan berulang kali.
“Saya ingin mengumumkan keputusan saya menarik diri daripada sebagai salah seorang calon yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan kesemua jawatan yang dipegang dalam parti,” katanya.
Dalam komen susulan tengah hari ini, Zaid berkata, beliau tidak mahu menulis kepada parti mengenai keputusannya memandangkan aduan-aduan sebelum ini mengenai kecacatan proses pemilihan tidak diambil tindakan.
“Apabila saya menulis kepada mereka mengenai kecacatan dalam pemilihan, adakah mereka respons kepada saya?
“Saya sudah pun membuat aduan saya, tetapi mereka tidak bertindak ke atas aduan itu.
“Jadi, mengapa perlu saya membalas kepada mereka sekarang? Mereka boleh bermain mengikut apa jua cara yang mereka suka,” kata beliau yang sejak Julai lalu diberi tanggungjawab mengetuai PKR Wilayah Persekutuan.
Zaid menambah, dari awal lagi beliau sudah pun mengemukakan aduan kepada parti menggesa kepimpinan menghentikan kelemahan dan kekurangan yang dikesan dalam proses pemilihan.
“Bermula dari hari pertama, saya mengatakan kita harus menghentikan ini. Jadi, bukannya saya tidak mengatakan apa-apa langsung.
“Walaupun saya mendahului saingan, saya masih mahukan perkara ini dihentikan.
“Saya tidak mahu menang dalam saingan macam ini,” kata Zaid yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik, kedua-dua jawatan turut dilepaskannya hari ini.
Zaid mengakui keputusannya itu meletakkan para penyokong beliau dalam kekecewaan termasuk dirinya sendiri kecewa dengan apa yang berlaku.
Zaid juga menekankan bahawa mereka dalam saingan jawatan itu akan mendakwa beliau sudah “merajuk” kerana bukan lagi mendahului saingan.
Beliau berada di depan selama dua hari pertama pemilihan pusat, tetapi dipotong Azmin Ali pada hari ketiga dan seterusnya sehingga sekarang.
“Jika saya kalah kemudian, mereka akan mengatakan sesuatu. Jika saya menang (pun), mereka akan kata sesuatu.
“Kita tidak boleh menghalang orang daripada membuat spekulasi, membentuk pendapat mereka mengenai saya. Apa saya boleh buat?,” katanya.
Zaid juga berkata, beliau tidak mahu mengatakan apa-apa mengenai isu ini sambil berharap keputusannya akan diterima dan membiarkan beliau.
“Saya merasakan sudah cukup banyak diperkatakan, tiada apa-apa yang hendak dikatakan lagi,” kata beliau dalam nada ‘suram’.
“Saya tidak fikir sesiapa mahukan saya sekarang,” kata Zaid sambil menegaskan, beliau akan kekal sebagai ahli biasa PKR - komponen Pakatan Rakyat.
“Saya akan kekal (dalam parti). Itu yang boleh saya lakukan buat masa sekarang,” katanya yang mewakili PKR dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.
Zaid juga merupakan penyelaras Pakatan Rakyat.
Kemas Kini:
Yang menariknya, pagi tadi SU Agung PKR meminta Zaid memberikan notis rasmi berkaitan dengan keputusannya untuk menarik diri daripada pemilihan Timbalan Presiden PKR. Zaid dalam responsnya kepada TMI mengatakan notis rasmi yang disiarkan di blognya sudah memadai untuk menyatakan keputusannya itu secara rasmi.
Satu Malaysia sudah tahu tentang keputusan Zaid yang mahu menarik diri daripada pemilihan PKR. Umpama menerima bola tanggung, TV dan radio menyiarkan/menyuarakan berita yang sama dengan nada pemberitaan yang menguntungkan pihak sebelah sana.
Saya buka semula TMI, tiba-tiba terbaca berita: Zaid must inform polls panels, says PKR secretariat. Saya cadangkan kepada orang PKR untuk mencetak notis rasmi Zaid di blognya itu. Tamat cerita! Mereka tidak perlu saling menjawab tentang isu "notis rasmi" sedangkan 1Malaysia sudah maklum tentang keputusan Zaid itu!





Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.