DEBAT: ZAMBRY lwn NIZAR
Agenda Daily sekali lagi mengaturkan debat antara dua tokoh politik di negara kita. Sebelum ini, portal berita internet ini pernah mengadakan debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Shabbery Cheek tentang isu harga minyak. Siri kedua debat yang dianjurkan oleh portal berita internet ini menemukan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Menteri sekarang, Lim Guan Eng. Debat tersebut membicarakan isu tanah di Pulau Pinang.
Menurut Agenda Daily, tujuan debat ini dianjurkan adalah untuk membolehkan kedua-dua pihak memberikan penjelasan berhubung dengan kemelut politik di Perak secara objektif dan tidak diselubungi dengan sentimen serta emosi politik. Malah menurut portal berita internet itu, format debat yang bakal diadakan itu sama dengan siri debat yang lalu, iaitu kedua-dua pihak mendapat peluang yang sama bagi mengemukakan hujah masing-masing bagi membolehkan rakyat membuat kesimpulan tentang isu yang berlaku di negeri tersebut.
Khabarnya, kedua-dua tokoh politik itu sudah menyatakan persetujuan untuk menyertai debat tersebut. Cuma Datuk Seri Nizar meminta debat tersebut diadakan pada akhir bulan Jun kerana beliau kini sibuk dengan persiapan Muktamar PAS yang akan diadakan pada awal Jun nanti. Untuk memastikan debat ini dapat disaksikan oleh rakyat Malaysia, Agenda Daily khabarnya sedang mengadakan perbincangan dengan stesen televisyen untuk menyiarkan debat itu secara langsung melalui kaca televisyen.
Hari ini portal berita internet itu melaporkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim bersedia mempertimbangkan debat tersebut untuk disiarkan secara langsung di kaca televisyen sekiranya perdebatan itu tidak meledakkan isu perkauman. Beliau juga turut dilaporkan akan memperhalusi elemen-elemen pro dan kontra serta topik perbincangan yang dicadangkan oleh pihak penganjur.
bagus jugak tu... kita tengok sape yang berbuih dulu..
Comment by husnurijal @ Selasa, Mei 26, 2009 4:25:00 PTG