[Kemas Kini] Awas, Kuman Kebal Antibiotik Kian Merebak!
Saya petik:
[Kosmo] LONDON - Kuman super yang kebal terhadap apa jua antibiotik dan dikatakan mempunyai potensi besar untuk merebak kini ditemui di kalangan pesakit di beberapa hospital di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.
Sehingga kini, sebanyak 37 kes sudah dilaporkan dengan kebanyakan pesakitnya didapati pernah mendapatkan rawatan atau menjalani pembedahan di luar Britain sebelum dijangkiti kuman berkenaan.
Di dalam jurnal Lancet Infectious Diseases, para saintis memberi amaran bahawa kuman super tersebut yang merupakan enzim dipanggil New Delhi-Metallo-1 boleh merebak ke seluruh dunia kerana masih belum ada penawar dicipta untuk menanganinya.
Pesakit muda dan tua terdedah kepada kuman super itu.
Ia ditemui baru-baru ini di kalangan pesakit yang mendapatkan rawatan seperti pembedahan plastik, kanser dan pemindahan organ di Asia.
Kuman yang terdiri daripada keluarga Enterobacteriaceae itu bercantum dengan bakteria E.coli, C.diff dan salmonella dan ia boleh menyerang saluran pernafasan.
Enzim terbabit dikatakan boleh berpindah dengan mudah di antara bakteria.
Para pakar bimbang ia akan mula bergabung dengan penyakit-penyakit berbahaya dan membuatkannya kebal terhadap antibiotik.
Seorang pakar, Profesor David Livermore dari Agensi Perlindungan Kesihatan yang merupakan penulis bersama satu penyelidikan dengan Profesor Timothy Walsh dari Universiti Cardiff memberitahu, masalah NDM-1 dijangka menjadi lebih buruk.
"Potensi ia merebak serta menjadi penyakit di seluruh dunia adalah jelas dan menakutkan," katanya lagi. Sepasukan pakar berjaya menemui enzim tersebut di Britain, India, Pakistan dan Bangladesh.
Lebih membimbangkan kini hanya ada dua jenis antibiotik yang boleh menentang NDM-1 tetapi ia juga mungkin tidak mampu bertahan lama. - Agensi
Kemas Kini (15/8):
* Kuman Super Merebak di 5 Negara Maju
ILUSTRASI komputer menunjukkan bentuk kuman super New Delhi Metallo-beta-lactamase-1 apabila dilihat secara dekat menggunakan lensa teropong mikroskop.
[Kosmo] NEW DELHI - Lima buah negara maju semalam mengesahkan penemuan kuman super terbaru berasal dari India yang kebal segala jenis antibiotik, manakala seorang lelaki di Belgium dilaporkan menjadi mangsa maut pertama pada Jun lalu.
Amerika Syarikat, Kanada dan Belanda melaporkan beberapa pesakit disahkan membawa kuman New Delhi Metallo-beta-lactamase-1 (NDM-1) tetapi tidak menyatakan jumlah sebenarnya selepas Australia kelmarin mengumumkan tiga kes awal.
Namun, India masih bertegas mempertikaikan laporan terkini jurnal perubatan terkenal di dunia, The Lancet yang berpusat di Cardiff, Wales ketika Britain pada Rabu lalu mendedahkan 37 rakyatnya telah pun dijangkiti kuman berbahaya itu.
Sebaliknya pihak berkuasa India menyifatkan jurnal tersebut sebagai cubaan mensabotaj sektor pelancongan kesihatan negara Asia itu yang menjadi tumpuan ramai warga Barat dengan mendakwa semua hospital di India masih lagi selamat.
NDM-1 yang dikatakan kalis terhadap semua jenis ubat termasuk antibiotik terbaru paling kuat, Carbapenems, mula dikesan menjangkiti seorang lelaki Sweden tahun lalu selepas dia menerima rawatan di sebuah hospital di India.
Setakat ini, 70 kes NDM-1 dilaporkan di Chennai dan Haryana manakala 73 kes lagi disahkan wujud di Pakistan dan Bangladesh yang menyebabkan pesakit mengalami radang paru-paru, jangkitan di ginjal dan saluran darah. - Agensi


Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.