Zaid Sudah Keterlaluan!
Sebelum sidang akhbar tadi, mungkin banyak orang yang menyokong atau bersimpati dengan Zaid. Orang mungkin tidak kisah jika Zahid meminta Azmin berundur. Orang mungkin tidak bersetuju dengan cara Azmin berkempen terutamanya menggunakan pengaruh YB-YB untuk menyatakan sokongan secara terbuka kerana budaya itu budaya UMCO. Walhal YB-YB itu sepatutnya tidak bersikap berpihak kerana sokongan itu menjejaskan peluang calon lain. Begitu juga beberapa tindakan lain yang tidak sewajarnya dilakukan dalam parti yang mengutamakan keadilan.
Namun apabila Zaid turut meminta Anwar berbuat demikian, saya kira Zaid dengan sengaja meminta dirinya digelar "trojan horse" oleh majoriti ahli PKR. Zaid dengan sengaja meminta orang ramai mempercayai tuduhan bahawa terdapat pakatan antara dirinya dengan Utusan-UMCO untuk mewujudkan persepsi buruk kepada PKR seterusnya menjatuhkan imej dan aura Anwar di mata rakyat. Tambah-tambah pula, Najib kini sedang mencongak tarikh untuk mengadakan PRU 13. Persepsi buruk yang dicetuskan oleh Zaid ini sudah tentu memberikan kelebihan kepada BN yang kini masih belum mempunyai kekuatan untuk menang besar dalam PRU.
Mungkin wujud kecacatan dan penyalahgunaan kuasa dalam pemilihan parti itu. Mungkin Anwar terlibat secara langsung atau tidak langsung, namun tindakan Zaid mendedahkan kepincangan itu secara keterlaluan dalam media bukanlah suatu tindakan yang bijak bagi seseorang yang mendakwa dirinya sayang akan parti yang baru disertainya setahun jagung. Walhal saluran dalaman sewajarnya digunakan untuk meluahkan ketidakpuasan hatinya. Setidak-tidaknya carilah cara lain agar BN tidak memperoleh "peluru" percuma untuk menembak PR. Tindakan Zaid kini seolah-olah meminta rakyat tanpa mengira fahaman politik menilai kelemahan dan kesilapan PKR seterusnya menghukum parti itu dalam PRU akan datang.
Memang terdapat percanggahan tentang aduan yang diumumkan oleh Saifuddin yang mendakwa hanya enam aduan yang dikemukakan secara rasmi, walapun ada yang mendakwa sebanyak 162 aduan telah dikemukakan. Begitu juga manipulasi undi, pengubahan nama calon, mempengaruhi pengundi, politik wang, dan pelbagai tuduhan lain yang perlu dipandang serius oleh pemimpin parti itu. Namun adakah mendedahkan secara agresif di media dapat menyelesaikan masalah itu, sedangkan Zaid sudah pun menarik diri daripada pertandingan?
Bagi saya, kepincangan yang wujud boleh diselesaikan dengan pelbagai cara. Kepincangan dan salah laku yang wujud juga tidak harus sesekali ditutup kerana tindakan itu menyalahi tuntutan keadilan dan sebagainya. Cubalah bermuafakat demi kebaikan bersama.
Sebentar tadi, berita di TV memanipulasikan isu ini dengan sebaik-baiknya. Berita tersebut walaupun jelas bersifat seperti menangguk di air keroh, namun sedikit banyak mewujudkan persepsi buruk masyarakat terutamanya golongan muda terhadap PR. Apabila terfikir tentang impaknya terhadap impian PR menjejakkan kaki ke Putrajaya, saya agak bersetuju dengan tulisan MSO di sini. Antaranya beliau menulis:
Apalah rasionalnya Zaid menyalahkan Anwar dan Azmin berhubung kemalangan yang diterimanya hari ini? Beliau telah melepas semua jawatan dan menarik diri dari bertanding jawatan timbalan presiden. Kononnya beliau berbuat begitu kerana tidak percaya kepada PKR, tentunya kepada Azmin dan juga Anwar Ibrahim.
Sesiapa pun tidak menafikan Anwar ada melakukan kesilapan, dan begitu juga dengan Azmin. Tetapi apakah orang boleh mempercayai kalau Zaid sekudus ahli syurga yang cuba hendak memperbetulkan PKR? Apakah Zaid tidak ada kesalahan? Sejarah penglibatanya dalam politik sudah diketahui umum. Kalau beliau umpama malaikat Subuh pasti Umno tidak memecatnya. Sejahat-jahat Umno tentulah Zaid lebih jahat dari parti berkenaan.
Sebagai ahli beliau berhak untuk membuat kritikan dan teguran. Tetapi teguran terbuka dan melampau adalah tidak betul dan bukan menggambarkan seorang yang profesional seperti mana profesyen beliau sebagai pengamal undang-undang. Sikap marahkan nayamuk membakar kelambu adalah bodoh.
Pada saya Zaid tidak berhak untuk mengeluarkan kenyataan demikian. Ia bukan satu penyelesaian. Kalau dia masih berharap untuk meperbaiki PKR caranya bukan begitu. Zaid perlu ingat dan sedar diri bahawa sewaktu rumah PKR di bina beliau berada jauh dari pembinaan itu. Bahkan beliau berada di sebelah sana. Sumbangan Zaid kepada PKR dan juga reformasi tidak sampai sekacip pinang pun.Persoalan yang harus difikirkan oleh Zaid & Co apabila meminta Anwar berundur: Mampukah pembangkang berada pada tahap ini jika tidak wujudnya fenomena Reformasi pada sekitar tahun 1998 dahulu? Hakikatnya, tanpa sokongan rakyat terhadap Anwar, pembangkang sehingga ke hari ini masih lagi berada di takuk lama. Tidak mampu menggugat penguasaan 2/3 BN di Parlimen. Mampukah pembangkang menarik ribuan rakyat untuk mendengar ceramah yang diadakan di seluruh negara tanpa Anwar? Mampukah pembangkang menjejakkan kaki ke Putrajaya tanpa Anwar? Saya yakin tanpa Anwar, mereka kurang mampu untuk berbuat demikian. Siapa yang ada karisma untuk berbuat demikian? Itu hakikatnya walaupun Anwar itu bukanlah manusia yang maksum.
Realitinya, Anwar Ibrahim adalah pemain penting dalam senario politik sekarang. Tanpa Anwar, pembangkang tidak mampu pergi jauh. Bukan saya sahaja yang berpandangan begitu, tetapi BN juga berpandangan begitu. Cuba tanya diri: Mengapakah pihak lawan cuba sedaya upaya memenjarakan Anwar dengan menggunakan tuduhan yang bukan-bukan jika Anwar bukan pemain penting yang perlu "dihapuskan"? Mereka dikatakan berusaha mengheret Anwar ke penjara sebelum berlangsungnya PRU 13. Jika Anwar bukan ancaman besar kepada BN, saya yakin tidak wujud tuduhan yang sengaja direka-reka.
Zaid yang dilihat sebagai orang yang merajuk dan kecewa, orang yang dianiaya, orang yang ingin dilihat telus dan membawa pembaharuan, kini sudah dilihat sebagai penderhaka dan tali barut UMCO walaupun beliau mungkin tidak begitu. Bagi saya, Zaid kini seolah-olah menyediakan peluru percuma kepada BN untuk meranapkan peluang PR menjejakkan kaki ke Putrajaya dan seterusnya "membakar jambatan" yang menghubungnya dengan barisan pimpinan PKR yang lain. Harapan saya, moga-moga Zaid bukanlah orang yang seperti yang disangka oleh pihak di Kem Azmin.
Berkaitan:
* Anwar, Azmin punca segala masalah PKR, kata Zaid
* Zaid salahkan Anwar dan Azmin, gesa mereka tinggalkan PKR
P/s: Apabila saya berpandangan seperti di atas, jangan pula kata saya taksub kepada Anwar jauh sekali kepada Azmin Ali. Saya hanya menyatakan realiti sebenar pembangkang, namun dalam masa yang sama berasa mual dengan ketidakadilan yang diamalkan oleh pihak-pihak tertentu dalam pemilihan PKR.


ingat awak ni cerdik, bodoh jugak. itu tulisan mso - yg sememangnya dia anti-zaid selama ini.
jadikan tulisannya sebagai rujukan habislah mcam kes UG dulu. mso tulis kerana wang... siapa ada beri wang lebi...
kamu?
salam,
saya tidak kisah anda mengatakan saya bodoh.
Saya hanya melihat logik di balik pandangannya. Saya juga melihat impak hal ini kepada PR.
Saya bukan tidak tahu langsung penulisan MSO bukan saja kepada UG malah kepada Husam suatu ketika dahulu. Namun tulisannya kali ini ada logiknya walaupun saya tidak dapat menerima sepenuhnya.
Tolong baca pandangan saya dengan teliti. Saya tidak memihak kepada sesiapa. hanya mengutaakan pandangan pada realiti semasa.