Pendakwah Bebas Buat Laporan ‘Qazaf’ Shafee kepada JAIS
Wan Ji Wan Hussin (kiri) bersama Ahmad Auzaie Arshad (kanan) bercakap kepada media selepas membuat laporan di Jabatan Agama Islam Selangor hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 23 Februari, 2015.
Peguam Umno Tan Sri Shafee Abdullah jelas melanggar jenayah syariah (Qazaf) apabila menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat tanpa membawa 4 orang saksi, kata pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin yang membuat laporan di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini.
Pendakwah bebas yang mencetuskan kontroversi apabila ditahan Jais pada Jumaat lalu berkata, peguam Umno itu melakukan kesalahan dengan membuat kenyataan terbuka menuduh Anwar dalam program “Jelajah liwat" anjuran Pemuda Umno pada 17 Februari lalu, di Kelana Jaya.
"Ia jelas merupakan kesalahan jenayah syariah di bawah Seksyen 36 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995," katanya kepada pemberita di hadapan Bangunan Jais, Shah Alam selepas membuat laporan tersebut.
Wan Ji yang hadir di Jais kira-kira jam 3 petang ditemani peguamnya Rifahmi Abdul Musikin, dan rakannya Ahmad Auzaie Arshad yang turut bersama membuat laporan.
Wan Ji merujuk kepada kenyataan (Qazaf) Shafee iaitu, "Anwar ini jenis tidak mahu pakai kondom, saya tidak faham kenapa dia tak nak pakai kondom langsung, pancutkan air mani dia dalam dubur Saiful."
Beliau berkata terpanggil untuk membuat laporan kerana tanggungjawabnya sebagai orang awam yang mahu Jais mengambil tindakan tegas terhadap peguam Umno tersebut.
Acara Jelajah Liwat Pemuda Umno menampilkan Shafee untuk menjelaskan keputusan bersalah ketua pembangkang itu.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, program jelajah seluruh negara itu diadakan sekarang memandangkan proses kehakiman kes tersebut kini selesai.
Katanya lagi, selama ini Umno sering dituduh melakukan konspirasi politik terhadap Anwar sejak pendakwaan 2008, bagaimanapun parti itu hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu dianggap menghina mahkamah.
Mengulas lanjut, Wan Ji menggesa Jais segera mengambil tindakan terhadap Shafee dan tidak mengamalkan dasar berat sebelah.
"Kalau mereka boleh menahan saya, dan mendakwa saya memberi ceramah tanpa tauliah tanpa sebarang bukti, saya juga berharap mereka boleh melakukan perkara sama terhadap Shafee," katanya.
Pada masa sama Wan Ji turut mengulas penahanannya pada Jumaat lalu kerana memberi ceramah tanpa tauliah.
Katanya Jais menetapkan Julai ini sebagai tarikh perbicaraan terhadap 4 pertuduhannya antaranya cenderung mempunyai fahaman Wahabi, kenyataan mengenai kempen "I want to touch a dog".
"Saya tidak mengaku bersalah atas ke 4 pertuduhan tersebut dan pegawai Jais yang mengambil keterangan saya juga berkata saya tidak melakukan kesalahan," katanya sambil mengharap pertuduhannya digugurkan segera tanpa adanya perbicaraan.
Bekas ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Selangor itu ditahan selepas memberi ceramah di sebuah masjid di Seksyen 17 Shah Alam, Selangor.
Wan Ji sebelum ini pernah didakwa menerbitkan penerbitan menghasut bagi menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui laman sosial Facebook. – Diyana Ibrahim/The Malaysian Insider/23 Februari, 2015.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.