Walaupun isu Kerajaan Perpaduan sudah dimuktamadkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat tempoh hari, namun sehingga ke hari ini cakap-cakap tentang isu itu masih kedengaran. Ada yang marah, ada yang kecewa selepas pimpinan Pakatan Rakyat menolak sebulat suara idea tersebut. Cuma kemarahan dan kekecewaan itu tidaklah digambarkan secara terus terang, tetapi berlapik demi mempertahankan ego dan maruah masing-masing.
Walaubagaimanapun, saya bersetuju juga dengan beberapa pandangan pemimpin UMNO. Dalam isu Kerajaan Perpaduan ini yang melontarkan idea secara terbuka bukanlah mereka,tetapi beberapa kerat pemimpin PAS sendiri. Oleh itu, bagaimana pula timbul kenyataan “Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat MENOLAK idea penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO/Barisan Nasional yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat” sedangkan isu ini mula ditimbulkan oleh PAS secara terbuka. Lainlah jika idea tersebut dicetuskan oleh orang UMNO (kita pun tidak tahu kerana sejak awal lagi isu ini dibincangkan secara sembunyi-sembunyi),namun yang pasti, pihak yang menghebah-hebahkannya secara terbuka dibuat oleh orang PAS sendiri.
Namun, yang menarik perhatian saya hari ini ialah laporan di Mstar yang mengemukakan pendapat/analisis tiga orang tokoh akademik tentang kegagalan Kerajaan Perpaduan. Ketiga-tiga tokoh itu ialah Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Univerisiti Sains Malaysia, Dr. Ahmad Atory Hussain, Prof. Madya Dr. Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, dan bekas Timbalan Presiden Keadilan yang kini merupakan Presiden International Movement for a Just World (JUST), Dr, Chandra Muzaffar. Daripada ketiga-tiga “analisis/pendapat” tersebut, saya hanya mahu menyalin&menampal “analisis/pendapat” yang dibuat oleh Dr. Ahmad Atory Hussain:
“Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Univerisiti Sains Malaysia, Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, keputusan tersebut jelas menunjukkan perpaduan di kalangan orang Melayu tidak akan kukuh lagi.
"PAS sebuah parti politik yang bongkak. Mereka fikir dengan 23 kerusi (Parlimen) yang mereka miliki mereka boleh kalahkan Umno.
"PAS terlalu memandang rendah keupayaan mereka (Umno). PAS salah jika buat andaian sedemikian. Umno ada 78 kerusi di Parlimen jika dibandingkan dengan PAS.
"Mereka perlu ingat hakikat itu."
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, ada pemimpin PAS yang lantang menentang idea kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh Hadi kerana masing-masing bimbang akan kehilangan kuasa politik mereka.
"Kalau idea kerajaan perpaduan diteruskan sudah pasti ada pemimpin yang akan hilang kerusi yang mereka miliki sekarang.
"Adakah mereka sanggup menghadapi keadaan itu satu persoalan yang sukar dijawab?
"Mereka (PAS) hanya mahu jatuhkan kerajaan Barisan Nasional dan menguasai negara... itu hasrat PAS. Cuma mereka perlu ingat bukan mudah untuk kalahkan Umno kerana pemimpin-pemimpin Umno tak 'bodoh' semuanya."
Menurut Ahmad, jika PAS dan Umno tidak mahu meneruskan idea penubuhan kerajaan perpaduan menjelang pilihan raya umum ke-13, undi orang Melayu akan berpecah.
"Menjelang PRU ke-13 jika idea kerajaan perpaduan ini tidak diteruskan, saya fikir akan jadi satu keadaan di mana semua parti, tidak kira sama ada PAS, Umno, DAP mahupun PKR tidak akan dapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang kukuh.
"Ketika itu akan timbul masalah yang sama seperti yang terjadi di Perak,” katanya.
"Jika PAS atau Umno tidak mahu bersatu, masing-masing perlu menang dengan mendapat majoriti lebih dua pertiga kerusi Parlimen untuk meneruskan survival politik orang Melayu. Jika tidak kuasa politik Melayu akan terhakis," katanya.
Selepas yang membaca “analisis/pendapat” itu, saya tertanya-tanya: Siapakah yang bongkak? Penganalisis ini atau PAS? Adakah ini suatu “analisis” atau hanya luahan rasa kecewa? Nilaikan!
Kenyataan yang berbunyi “undi Melayu akan berpecah” sebenarnya amat-amat tidak wajar dibicarakan. Apa gunanya demokrasi jika mahu berbicara tentang perpecahan undi? Jika undi Melayu berpecah, bagaimana pula dengan undi Cina dan India. Wajarkah kaum india juga berbicara tentang perpaduan dalam kalangan mereka? Bagaimana pula dengan kaum Cina? Wajarkah mereka juga berbicara tentang perpaduan dalam kalangan mereka? Begitu juga suku-suku kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Jika begitu tidak perlulah wujud DAP, MCA, PKR, GERAKAN, MIC, UMNO, PAS, dan sebagainya. Wujudkan sahaja parti berasaskan perkauman. Bukankah kita sewajarnya berbicara tentang "Perpaduan Nasional" seperti yang diuar-uarkan oleh PM melalui konsep 1Malaysianya?
Akhirnya, situasi dalam negara ini akan terus diselubungi api-api perkauman dan bertentangan dengan hasrat rakyat yang mahu bersatu padu membangunkan negara. Perbezaan idealogi politik bukanlah asas yang menjadikan sesuatu kaum itu berpecah. Kita berbeza dari segi fahaman politik, namun realitinya kita berusaha untuk memajukan negara ini. Jika dilihat di lobi Parlimen, ahli politik pelbagai parti masih boleh duduk bersama menikmati jajan sambil bersenda gurau. Mereka masih boleh berbual tentang pelbagai perkara waima tentang kepentingan negara. Yang membezakannya ialah bagaimana cara mereka (ahli politik) mentadbirkan, memajukan, dan membangunkan negara, sama ada proses yang dilalui itu telus dan bebas daripada penyelewengan atau sebaliknya.Orang Melayu di bandar dan luar bandar masih bertegur sapa walaupun berlainan ideologi. Cuma ada segelintir ahli msyarakat yang sanggup bermasam muka kerana berlainan ideologi politik. Itu salah. Perbezaan idelogi politik tidak sewajarnya memberikan impak dalam hidup bermasyarakat.
Idea ini timbul sebenarnya bertolak daripada kebimbangan sesetengah pemimpin yang khuatir hak dan keistimewaan Bumiputera/kepentingan/kuasa politik Melayu akan terhakis jika ditakdirkan pembangkang mengambil alih Kerajaan Persekutuan. Selain kebimbangan tersebut, idea ini turut dicetuskan untuk mengembalikan sokongan masyarakat Melayu terhadap UMNO yang kian dijauhi terutamanya golongan muda yang kini lebih terdedah dengan pelbagai sumber maklumat. Malah tidak salah saya katakan bahawa idea ini disensasikan untuk menjauhkan penyokong bukan Melayu terhadap PAS yang mula mendapat tempat dalam hati dalam kalangan masyarakat bukan Islam.
Untuk merealisasikan idea ini, pelbagai isu telah ditimbulkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk mencetuskan keraguan dan kebimbangan masyarakat Melayu seperti isu hak milik tanah di Perak, isu azan di Selangor, dan sebagainya. Isu hak milik tanah dan ketuanan Melayu ini jugalah salah satu sebab kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin di Perak. Dalam isu hak milik tanah ini, Nizar ada menjelaskan dengan lanjut tentang hal tersebut (klik pautan ini). Walhal bukan sahaja Cina, malah Melayu yang menetap di Kampung Baru juga menerimanya. Jika orang Cina sekalipun, sebagai rakyat Perak dan warganegara Malaysia, mereka berhak menerimanya. Wajarkah golongan taukeh yang kaya raya sahaja berhak menerima tanah?
Hakikatnya ketakutan/kebimbangan kepentingan Bumiputera terhakis seperti yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Negara tidak wajar dijadikan alasan untuk menolak sepenuhnya gagasan Pakatan Rakyat. Pemimpin pembangkang pun pernah membuat kenyataan bahawa kerajaan yang bakal ditubuhkan itu akan mengikut peruntukan Perlembagaan Negara. Hak dan keistimewaan Bumiputera akan terus dipelihara. Begitu juga jumlah kuota wakil rakyat Melayu/Islam di Parlimen seperti yang pernah ditegaskan oleh DSAI.
Dalam hal ini sesetengah pihak gemar membuat kesimpulan tanpa memberikan peluang sesuatu perkara itu berlaku. Memang benar, "ingat sebelum kena, jima sebelum habis", benar juga "mencegah lebih baik daripada mengubati", begitu juga "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna", namun perlukah kita berpegang pada peribahasa tersebut secara membuta tuli pada saat bahasa kebangsaan kian diperlekehkan oleh pelbagai pihak, pada saat agama Islam itu tidak dijadikan panduan dalam pentadbiran dan mendasari amalan kehidupan kebanyakan masyarakat Islam di negara ini, pada ketika amalan rasuah bermaharajalela dalam pelbagai bidang, dan bla...bla..bla... Belumpun Pakatan Rakyat memerintah, pelbagai tohmahan dan buruk sangka dilemparkan. Saya pun ada sedikit prejudis terhadap Pakatan Rakyat, namun dalam hal ini, saya lebih suka mencuba dahulu daripada terus menghentam tanpa usul periksa. Beri peluang mereka memerintah dan kemudian nilaikanlah kemampuan mereka. Jika kemampuan mereka diragui, maka gunakanlah undi kita untuk menukar kerajaan tersebut.
Kesimpulannya, perlukah berbicara tentang perpecahan undi Melayu jika dalam masa yang sama kita menekankan peri pentingnya mendukung amalan demokrasi?