Hutang Rakan Motif SB Dibunuh
ANGGOTA keluarga mengusung keranda mendiang Thivakar untuk dikebumikan, semalam. |
[HM] Kuala Lumpur: Hutang dengan rakan sekerja dipercayai motif pembunuhan seorang lans koperal polis Cawangan Khas (SB) Bukit Aman yang ditembak di kepala dan mayatnya ditemui di laluan Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan, di sini, petang kelmarin.
Sehubungan itu, bagi membantu siasatan, seorang anggota polis cawangan sama, ditahan sebagai suspek utama kes pembunuhan itu.
Anggota berpangkat koperal berusia 32 tahun itu ditahan tujuh jam selepas mayat Lans Koperal T Thivakar, 37, ditemui orang awam pada jam 4.30 petang kelmarin dengan dua kesan tembakan di kepala di kawasan berbukit dan sunyi di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, suspek berasal dari Kota Bharu, Kelantan, ditahan pada jam 11.30 malam kelmarin, sebaik tiba di Balai Polis Jalan Travers, di sini, sejurus dibawa pegawai atasan dan beberapa rakan setugasnya.
“Hasil siasatan awal, polis merampas sepucuk pistol dan beberapa dokumen sebelum melakukan pemeriksaan di rumahnya di Kuarters Kediaman Polis Diraja Malaysia (PDRM), Keramat Wangsa, awal pagi tadi (semalam).
“Susulan itu, polis mengambil pakaian suspek, termasuk baju, seluar dan kasut untuk profil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membantu siasatan,” katanya yang ditemui pada Majlis Penyerahan Papan Kenyataan Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Wangsa Melawati, di sini, semalam.
Mohmad berkata, suspek ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kami berusaha mengumpul bukti dan memanggil beberapa individu yang berkemungkinan dapat membantu menyegerakan siasatan kes ini, bagaimanapun apa yang dapat saya nyatakan kes pembunuhan ini tidak mempunyai kaitan dengan masalah kerja,” katanya.
Sumber memberitahu, ada kemungkinan kes pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan masalah pinjaman wang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mangsa dan suspek. -6/2/14
Berita awal di sini.
Kemas Kini:
Koperal cawangan khas Bukit Aman didakwa bunuh rakan setugas
[Bernama] KUALA LUMPUR: Seorang koperal dari Cawangan khas Bukit Aman hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini bagi pertuduhan membunuh rakan setugasnya, awal bulan lalu.
Kpl Wan Masrul Faiezie Wan Mustapha, 33, kelihatan tenang dan mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Wan Masrul Faiezie didakwa membunuh Lans Kpl T.Thivakar, 37, di tepi Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan, di sini antara kira-kira 4.11 petang hingga 4.50 petang, 4 Feb lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Peguam Sheelan Arjunan hadir sebagai peguam pemerhati keluarga mangsa.
Mahkamah menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula kes itu, sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditemui mati dengan dua kesan tembakan di muka dan mata kanan, dipercayai ditembak dari jarak dekat.
Mayatnya ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira 4.30 petang, yang kemudian memaklumkannya di Balai Polis Travers di sini. -14/2/14
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.