Pesawat AirAsia Hilang di Perairan Indonesia
[Malaysia Kini] Pesawat AirAsia daripada Surabaya, Indonesia ke Singapura dilaporkan hilang perhubungan dengan pusat kawalan udara.
Perkara itu dilaporkan oleh Reuters, yang memetik sebuah saluran berita Indonesia.
Agensi itu juga melaporkan pihak berkuasa pengangkutan Indonesia sebagai berkata, pesawat yang hilang itu membawa 155 orang.
Sementara itu, AirAsia dalam kenyataannya di Facebook mengesahkan kejadian itu dan meluahkan kekesalannya terhadap insiden menimpa pesawat QZ8501 itu.
Menurut AirAsia, pesawat jenis Airbus A320-200 dengan nombor pendaftaran PK-AXC itu hilang perhubungan dengan pusat kawalan trafik pada jam 7.24 pagi ini.
“Operasi mencari dan menyelamat sedang sedang dijalankan dan AirAsia bekerjasama penuh membantu perhidmatan menyelamat,” menurut kenyataan itu.
AirAsia juga menubuhkan pusat panggilan kecemasan untuk anggota keluarga dan rakan-rakan penumpang di talian +622129850801.
Kemas kini berhubung perkara itu akan dimuat naik ke laman web www.airasia.com.
Syarikat penerbangan itu juga sudah menukar logonya di Facebook kepada hitam putih.
Strait Times Singapura di Twitter, melaporkan menteri pengangkutan Indonesia sebagai berkata, penumpang dalam pesawat itu daripada lima negara, iaitu masing -masing seorang warganegara Singapura, British dan Malaysia, Korea (3) dan Indonesia (149).
CNN Indonesia melaporkan, penumpang terdiri daripada 130 orang dewasa, 24 anak dan seorang bayi .-28/12/14
Berkaitan:
Pesawat AirAsia dari Surabaya ke Singapura dilapor hilang
[Astro Awani] KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat penerbangan AirAsia dari Surabaya ke Singapura hilang komunikasi dengan menara kawalan pada Ahad.
Pesawat QZ8501 itu terputus hubungan dengan menara kawalan Jakarta pada 7.24 pagi waktu tempatan, menurut kenyataan syarikat penerbangan tersebut.
“AirAsia Indonesia mengesahkan penerbangan QZ8501 dari Surabaya ke Singapura telah terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 0724 pagi ini.
“Pada ketika ini, kami tidak dapat memberikan butiran lanjut berhubung status penumpang dan kru pesawat.”
Flightradar24 dalam tweetnya melaporkan pesawat tersebut hilang komunikasi dengan menara kawalan di Laut Jawa di antara Pulau Kalimantan dan Pulau Jawa.
Dalam perkembangan sama, Direktor Angkutan Udara Kementerian Perhubungan Indonesia, Djoko Murjatmojo mengesahkan pesawat tersebut hilang dalam pemantauan radar.
"Ketika ini saya berada di menara kawalan untuk menunggu laporan yang masuk."
Pihak kementerian, menurutnya, akan memberikan keterangan rasmi berhubung kehilangan pesawat AirAsia tersebut.
Penerbangan QZ8501 itu menggunakan pesawat Airbus 320 dengan nombor pendaftaran PK-AXC.
Pesawat membawa 155 penumpang dan tujuh anak kapal itu berlepas dari Surabaya pada jam 5.20 pagi dan sepatutnya mendarat di Singapura pada jam 8.30 pagi waktu tempatan.
Sejurus sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan, pesawat itu dilaporkan meminta laluan berbeza.
Stesen TV Indonesia Kompas TV melaporkan pesawat tersebut membawa 149 rakyat Indonesia, tiga rakyat Korea, dan masing-masing seorang rakyat Singapura, British dan Malaysia.
Daripada jumlah itu, 138 ialah dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi.
AirAsia telah menyediakan Pusat Panggilan Kecemasan di nombor +622129850801 untuk keluarga dan rakan kru serta penumpang pesawat tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes melalui tweetnya memberitahu satu kenyataan terbaharu akan dikeluarkan tidak lama lagi.
“Kami akan keluarkan satu lagi kenyataan nanti. Terima kasih atas ingatan dan doa. Kita harus tabah.”
Fakta Kejadian kehilangan AirAsia QZ8501
[Bernama] Yang berikut fakta berkaitan kejadian kehilangan pesawat AirAsia QZ8501 pada Ahad (28 Dis 2014):
Nama penerbangan : Penerbangan AirAsia Indonesia QZ8501
Jenis Pesawat : Pesawat Airbus 320-200
Nombor Pendaftaran : PK-AXC
Jadual penerbangan : Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya, Indonesia
Destinasi Penerbangan : Lapangan Terbang Changi, Singapura
Jumlah penumpang : 162 orang (155 penumpang, dua juruterbang dan lima kru kabin)
Warganegara penumpang : 156 Indonesia, tiga Korea Selatan,
Singapura(1), Malaysia (1) dan Perancis (1)
Waktu perlepasan : 5.35 pagi (waktu Indonesia)
Waktu dijadual tiba : 8.30 pagi (waktu Singapura)
Masa terputus hubungan : 7.24 pagi (waktu Indonesia)
(dengan pusat kawalan trafik udara Jakarta)
Kedudukan terakhir : lebih 200 batu nautika di tenggara sempadan
Kawasan Maklumat Penerbangan (FIR) Indonesia
Ketinggian penerbangan terakhir : 32,000 kaki.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.