Klik "LIKE" Untuk Terima Kemas Kini DCM di Facebook. Klik Butang "LIKE" di Bawah

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets

Rakan DUNIACACAMARBA

Rakan DUNIACACAMARBA

Jadi Rakan TM

Follow tayadihmaysia on Twitter

BAGASI KIRIMAN POPULAR

Iklan & Tawaran

1. Mari sertai ChurpChurp, berinteraksi bersama-sama dengan taulan sambil menjanakan pendapatan, Percuma! Lanjut sila klik di sini.





Advertlet Hutang DCM RM1710

Advertlet Hutang DCM RM1710
Review http://duniacacamarba2.blogspot.com/ on alexa.com

Sponsored Ads

Cerita UG- Kerajaan Perpaduang

Agenda Unity Government (UG). Apa progresnya selepas ketiadaan TGNA?Video lain:1....

Posted by DUNIACACAMARBA on Saturday, October 17, 2015

Archives

,

Isnin, 29 Februari 2016

Bunuh Pegawai Bank: Mahkamah Kekalkan Hukuman Mati




Seorang bekas pengawal keselamatan warga Indonesia gagal dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan hari ini untuk mengenepikan sabitan dan hukuman mati bagi kesalahan membunuh pegawai AmBank cawangan Subang Jaya Norazita Abu Talib, lebih 2 tahun lepas.

Panel 5 hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara menolak rayuan La Ode Ardi Rasila terhadap sabitan dan hukuman mati bagi kesalahan membunuh itu.

Panel hakim turut menolak rayuan warga Indonesia berumur 39 tahun itu terhadap sabitan dan hukuman mati bagi satu lagi pertuduhan mengikut Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melakukan rompakan dan sengaja melepaskan tembakan dengan senapang patah.

La Ode, yang memakai pakaian penjara warna putih-merah kelihatan tenang semasa mahkamah menyampaikan keputusan itu.

Hakim Raus berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan meneliti pembelaan La Ode dan Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai sebarang alasan untuk membuat keputusan sebaliknya.

"Pihak pembelaan tidak berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan. Sabitannya adalah kukuh," kata Hakim Raus yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan 3 Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Ma'arop, Tan Sri Hasan Lah dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Peguam Gooi Soon Seng yang mewakili La Ode, sebelum itu berhujah anak guamnya bukan melepaskan tembakan itu secara sengaja tetapi mengacukan senapang itu untuk menarik perhatian Norazita dan rakan setugasnya untuk memberitahu mereka yang dia akan merompak bank itu.

"Dua wanita itu sedang meletakkan wang ke dalam bilik kebal. Dia berada dalam keadaan resah. Dia sangat gelisah. Anak guam saya kata dia hanya acukan senapang itu dan tidak tahu apa yang berlaku selepas itu.

Gooi berkata La Ode memang berniat untuk merompak tetapi tidak berniat untuk menyebabkan kematian Norazita.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman berhujah mustahil untuk La Ode melepaskan tembakan tanpa niat.

Beliau berkata ini kerana sebelum dia memetik picu, dia perlu meletakkan pin keselamatan dalam kedudukan "tembak".

Pada 14 Ogos 2014, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati selepas mendapati La Ode bersalah terhadap 2 pertuduhan itu.

Dia melakukan kedua-dua kesalahan itu di dalam bangunan AmBank cawangan Subang Jaya di Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya, antara 6 petang dan 6.30 petang pada 23 Oktober 2013.

Dia gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 30 Julai tahun lepas.

La Ode mempunyai satu lagi pilihan iaitu merayu kepada Lembaga Pengampunan terhadap hukuman mati dihadapinya. – Bernama, 29 Februari, 2016. 

, ,

Mahathir: Umno Perlu Digulingkan, Tetapi ...



Umno perlu digulingkan daripada kuasa jika terus menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Parti itu perlu digulingkan.

"Tetapi pembangkang tidak mempunyai majoriti," kata Mahathir ketika ditanya sama ada Umno perlu disingkirkan.

Mahathir juga menolak sebarang harapan mengenai usul undi tidak percaya terhadap Najib kerana katanya, ahli parlimen Umno tidak mempunyai keberanian untuk berbuat demikian.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini ketika mengumumkan bahawa dirinya akan keluar Umno.

Sebelum majlis itu, Mahathir berjumpa dengan beberapa pemimpin pembangkang termasuk, Datuk Mujahid Yusof Rawa, Dr Hatta Ramli, dan Hanipa Maidin dari AMANAH dan naib presiden PKR Tian Chua.

Beliau berkata mereka berbincang dan bersetuju bahawa Najib perlu disingkirkan.

Ditanya apa langkah seterusnya, Mahathir mencadangkan sebuah gerakan utama bersama parti pembangkang untuk menyelaraskan usaha memerangi Najib.

"Ia belum lagi ditubuhkan. Saya berharap sebuah gerakan utama dapat menunjukkan komitmen mereka dengan menandatangani deklarasi bersama.

"Kita bersetuju untuk satu perkara, iaitu menyingkirkan Najib," katanya.

Namun, menurut Mahathir, dirinya tidak akan mengetuai kumpulan teras itu.

"Saya akan jadi seorang daripada (ahli) mereka bukannya ketua,” kata Mahathir.

Mahathir hari ini mengumumkan keluar Umno atas alasan parti itu sudah lari daripada landasan perjuangan sebenar.- Malaysia Kini/29/2/16

,

Tun Mahathir, Tun Siti Hasmah Keluar Umno dalam Protes



Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengisytiharkan keluar Umno buat kali kedua sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata membuat keputusan itu kerana Umno bukan lagi Umno dan hanya menjadi parti untuk mempertahankan Najib sebagai presidennya.

“Saya tidak boleh jadi anggota untuk parti sebegini,” katanya dalam sidang media di di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, beliau akan berada di luar Umno selagi Najib memimpin parti itu.

Mahathir berkata tindakan itu terpaksa diambil kerana sayangkan negara ini.

Beliau pada 19 Mei 2008 pernah melakukan tindakan sama sebagai tanda protes kepada pentadbiran perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Mahathir menyertai Umno semula pada 2009 selepas Abdullah berundur.

Reuters melaporkan beliau sebagai berkata tidak akan membentuk sebuah parti baru mahupun menyertai mana-mana parti.

Selain Mahathir, turut meninggalkan Umno hari ini adalah isterinya,Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan bekas pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Mahathir antara pemimpin yang lantang mengkritik pentadbiran Najib, terutamanya dalam isu syarikat pelaburan negara 1MDB yang sarat hutang.

Baru-baru ini anak beliau Datuk Seri Muhkriz juga digugurkan sebagai menteri besar Kedah, tindakan yang dilihat sebagai reaksi balas kem pro-Najib.

Kedudukan Najib kini dilihat semakin mencengkam dalam Umno dan kerajaan, terutamanya selepas peguam negara membersihkannya daripada sebarang salah laku dalam kes derma RM2.6 bilion ke dalam akaunnya dan SRC International.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dilihat hampir senada dengan Mahathir, juga telah digantung daripada jawatannya minggu lalu.-Malaysia Kini/29/2/16


Berkaitan:

Mahathir Harap Muhyiddin Juga Keluar Umno

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengikuti jejak langkahnya dan meninggalkan parti itu.

"Saya harap begitu," kata Mahathir ketika ditanya sama ada Muhyiddin patut meninggalkan Umno sebagai bantahan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Mahathir, beliau akan berada di luar Umno selagi Najib memimpin parti itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.

Selain Mahathir, turut meninggalkan Umno hari ini adalah isterinya,Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan bekas pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Jumaat lalu, Majlis Tertinggi Umno menggantung Muhyiddin sebagai timbalan presiden kerana terus lantang menentang presiden parti Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, tujuh blan lalu, Najib memecatnya sebagai timbalan perdana menteri kerana mempertikaikan cara isu 1MDB ditangani.

Bercakap pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu jika tindakannya akan mendorong orang lain untuk keluar parti, tetapi tidak akan menghalang mereka daripada berbuat demikian.

Sejurus selepas sidang akhbarnya, bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan turut mengumumkan bahawa beliau akan keluar Umno.

Sementara itu, Gerakan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) memberitahu pemberita bahawa mereka akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini untuk membuat keputusan sama ada untuk kekal bersama parti.

GKCM mendakwa mempunyai lebih 400 ahli di seluruh negara. - Malaysia Kini/29/2/16


,

Ahad, 28 Februari 2016

Nik Omar Bakal Ganti Nik Aziz- Husam



Anak bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Abdul Aziz merupakan antara tokoh yang boleh dijadikan sebagai menteri besar Kelantan selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) nanti, kata bekas naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

"Bagi saya Nik Omar adalah calon kita untuk menjadi menteri besar Kelantan selepas PRU14 nanti," kata Husam di hadapan kira-kira 1,000 orang yang memenuhi dewan di sebuah hotel dekat Kulai, Johor malam tadi.

Ketika melancarkan program "Selamatkan Malaysia" di Johor itu, Husam berkata, mengenali watak Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau yakin Nik Omar merupakan pengganti yang boleh memberikan harapan kepada rakyat Malaysia.

"Dalam tesis masternya, Nik Omar telah membuat kajian mengenai khalifah Islam terkenal dengan zuhud dan hebatnya, Omar Abdul Aziz.

"Penyelianya berkata, awak sudah mengkaji Omar dan sekarang saya yakin awak akan menjadi Omar Abdul Aziz kerana nama awak juga Omar Abdul Aziz," cerita Husam yang sangat rapat dengan Nik Aziz ketika hayatnya.

Omar Abdul Aziz merupakan antara khalifah Islam paling terkenal sehingga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pernah menjadikannya sebagai contoh pemerintahan Islam yang adil dan bijaksana.

Menurut Husam, Nik Omar seorang yang zuhud dan pendiam, tidak sebagaimana sikap seorang lagi adiknya yang banyak cakap.

"Nik Omar ni pendiam dan zuhud sebagaimana watak ayahnya, tidak sebagaimana anak Tok Guru Nik Aziz yang seorang lagi," kata Husam yang dipercayai dirujuk kepada Nik Abduh Nik Aziz, ahli Parlimen Pasir Mas yang juga ketua Pemuda PAS.

Husam menyatakan perkara ini ketika menjawab persoalan dari seorang peserta Cina yang ingin tahu siapa yang boleh menggantikan Nik Aziz selepas pemimpin PAS itu meninggal dunia.

"Ketika Nik Aziz masih ada, kita tidak bimbang untuk sokong PAS.

"Sekarang selepas dia tidak ada, siapa yang boleh gantikan dia untuk pastikan kami tidak bimbang untuk memberikan undi kepada PAS," kata peserta bernama Han dalam program itu.

Program itu penuh dengan peserta ketika negeri itu sedang kecoh ekoran pergantungan pemimpin Umno dari Johor, Tan Sri Muhyidin Yassin daripada jawatan timbalan presiden Umno.

Umno Bahagian Pagoh yang diketuai Muhyiddin mengambil keputusan untuk menolak keputusan Majlis Tertinggi itu.

Sebelum ini Nik Omar diumumkan menyertai Amanah dalam satu majlis di Petaling Jaya namun dinafikan kemudiannya. – The Malaysian Insider/28 Februari, 2016.


, , ,

'Saya anti Umno, bukan anti orang Umno'



MARANG – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa beliau tidak akan menyertai sebarang himpunan anti-Najib termasuk yang dijadualkan berlangsung pada 27 Mac depan.

“Saya anti Umno….tetapi tidak (anti) orang Umno, orang Umno tidak, orang Umno kita (Pas) hendak berbaik. Ada pun parti Umno sudah banyak (buat) kesilapan. (Oleh itu) saya tidak mahu terlibat dalam himpunan (anti-Najib) itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian mengulas himpunan anti-Najib dijadualkan berlangsung 27 Mac ini selepas melepaskan peserta acara Langkah Harap sempena program Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.3 di Padang Mengkuang, semalam.

Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyuarakan hasrat untuk menganjurkan satu perhimpunan bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melepaskan jawatannya.

Bagaimanapun, Zaid berkata, acara yang dijadualkan pada 27 Mac itu bukan merupakan bantahan awam tetapi sebenarnya adalah satu acara yang diadakan secara ‘tertutup’ dan atas ‘jemputan sahaja’ kepada kira-kira 1,000 orang.

“Saya lihat ramai masih bercakap mengenai perhimpunan pada 27 Mac, ia sebenarnya satu perjumpaan pemimpin dalam suasana tertutup.

“Saya tidak pernah kata ia akan menjadi protes jalanan atau perhimpunan awam. Saya bukannya seperti Bersih,” tulis Zaid dalam tweetnya sebelum ini. - Sinar Harian/28/2/16


P/s: 'Saya anti Umno, bukan anti orang Umno' 

Pening!!!

Dalam isu 1MDB, komennya cukup melegakan Najib. Dia juga berkecuali dalam isu bajet yang menekan rakyat. Dia juga tidak hadir dalam sesi yang melibatkan komitmen pembangkang untuk menekan Najib.

Kali ini, pendiriannya juga cukup melegakan Najib. Tidak memusuhi Amno tetapi musuhi orang Amanah, DAP.

Walhal mudarat yang dihadapi oleh rakyat akibat keputusan dan tindakan orang Amno cukup jelas. Bak kata Rafizi di lamannya:

"- GST diperkenalkan
- biasiswa dihentikan
- pinjaman PTPTN dikurangkan hingga anak-anak orang susah kesempitan hidup
- subsidi minyak dihapuskan sama sekali
- subsidi lain dihapuskan/dikurangkan sehingga tambang pengangkutan awam, tol dan lain-lain naik mendadak
- Dana Tabung Haji digunakan untuk tujuan yang berisiko tinggi seperti 1MDB
- Dana pencen rakyat diberikan kepada 1MDB tetapi tidak ada kepastian bagaimana dana itu akan dibayar balik oleh 1MDB
- Hutang 1MDB mencecah RM42 bilion tetapi tidak menampakkan hasil
- Harta negara seperti tanah-tanah dan stesen janakuasa elektrik bertukar tangan kepada syarikat asing dari Republik China
- kemewahan yang tidak sepadan seperti pembelian jet baru dan rombongan ke luar negara yang ditanggung rakyat"

Seperti biasa, walaun mengangguk saja. Walaaaa!!!

, ,

Khamis, 18 Februari 2016

Selepas Kekasih, 'Babun' Didakwa Rogol Kerani Pula


BALIK PULAU - Semalam dia didakwa merogol kekasihnya seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima, hari ini pengawal keselamatan yang sebelum ini berdepan pertuduhan membunuh pelajar itu pada Oktober lepas, didakwa pula di Mahkamah Sesyen Balik Pulau atas pertuduhan merogol seorang kerani.

Tarmizi Yaakob, 21, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol gadis berusia 21 tahun itu dengan cara mengacukan pisau serta mengugut untuk membunuh mangsa.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Teluk Kumbar dekat sini antara pukul 4.30 hingga 5.30 pagi pada 8 Okt tahun lepas mengikut Seksyen 376 (2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Dalam prosiding hari ini, Tarmizi yang juga dikenali dengan panggilan 'Babun', dilihat memberi reaksi berbeza apabila bersuara ketika Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz mengajukan soalan kepadanya berbanding semalam dengan hanya tunduk mendiamkan diri.

Dalam prosiding hari ini juga, Timbalan Pendakwa Raya J.G. Kaameini tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan rogol adalah serius dan memohon tarikh sebutan bagi serahan dokumen.

Sementara itu Tarmizi ketika menjawab soalan hakim berkenaan pelantikan peguam berkata dia belum melantik peguam dan hidupnya pula sebatang kara.

"Saya tidak ada ibu dan bapa dah. Mereka sudah meninggal dunia yang hanya ada kakak sahaja," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen dan melantik peguam.

Semalam, Tarmizi didakwa merogol pelajar perempuan Tingkatan Lima yang juga kekasihnya manakala pada 6 Nov tahun lepas, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh kekasihnya itu di Teluk Kumbar di sini. - Bernama/17/2/16

Berkaitan:

Pengawal Keselamatan Didakwa Rogol Pelajar Tingkatan Lima

BALIK PULAU - Pengawal keselamatan yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima Oktober lepas, hari ini sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas pertuduhan merogol gadis tersebut. 

Tarmizi Yaakob, 20, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap remaja berkenaan yang merupakan kekasihnya pada pukul 7.30 pagi di Teluk Kumbar di sini pada 25 Oktober tahun lalu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. 

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan oleh Tarmizi yang hanya tunduk mendiamkan diri ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Azzuin Moati. 

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan kes itu. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya J.G. Kaameini.

Sementara itu, di mahkamah yang sama Nur Azzuin turut menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan kes bunuh yang dihadapi oleh Tarmizi. 

Mahkamah menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Mahadi memohon tarikh sebutan baharu untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi. 

Dalam prosiding itu, Shafiq turut memaklumkan mahkamah bahawa laporan bedah siasat mangsa telah siap. 

Pada 6 November lepas, Tarmizi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh gadis itu di tempat sama antara pukul 7.30 pagi dan 7.30 malam, 25 Oktober tahun lepas. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - Bernama/16/2/16


,

Malaysia-Bangladesh Meterai MoU Bawa Masuk 1.5 Juta Pekerja



DHAKA: Bangladesh dan Malaysia hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun.

Menurut laporan berita The Daily Star, perjanjian itu ditandatangani di sini di antara Menteri Sumber Manusia Malaysia Datuk Seri Richard Riot dan Menteri Pekerjaan Luar Negara dan Kebajikan Ekspatriat Bangladesh Nurul Islam pukul 10 pagi tadi (pukul 12 tengah hari waktu Malaysia).

Berdasarkan perjanjian itu, mekanisme penghantaran pekerja akan dibuat berdasarkan sistem G2G Plus. 

Menurut laporan berita itu lagi, perjanjian baharu itu menyaksikan buruh warga Bangladesh akan direkrut ke dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.

Levi bagi pekerja Bangladesh ditetapkan pada kadar RM1,946 (Tk37,000).

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada akhir lawatannya ke California dilaporkan berkata akan membincangkan cadangan kontroversi membawa masuk 1.5 juta pekerja dari Bangladesh itu bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Najib, kerajaan akan memastikan apa jua tindakan diambil bagi mengisi keperluan ekonomi.

Pada masa sama, kerajaan akan mengurangkan kebimbangan terhadap kemungkinan timbulnya masalah sosial susulan kemasukan pekerja asing dalam jumlah yang besar. - Awani/18/2/16


, ,

Derma RM2.6 Bilion Najib Bukan dari Arab Saudi - WSJ



Kredibiliti Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali kini dikompromi apabila The Wall Street Journal (WSJ) menyangkal kenyataan Datuk Seri Najib Razak bebas daripada sebarang salah laku dalam penemuan derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Pengarang kewangan WSJ Ken Brown dalam wawancara bersama ABC News Australia berkata, wang itu bukan daripada keluarga Diraja Arab Saudi sebaliknya datang daripada pelbagai syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Laporan kami selama berbulan-bulan menunjukkan wang itu bukan dari Arab Saudi tetapi dari syarikat dan akaun bank yang mempunyai hubungan dengan 1MDB.

"Dan seperti anda sedia maklum, laporan kami belum pernah dipertikaikan lagi dan kami ada banyak bukti sokongan," katanya dalam wawancara pada 12 Februari lalu.

WSJ adalah penerbitan yang pertama sekali menyiarkan berita tentang kehadiran wang tersebut dalam akaun Najib.

Najib pada mulanya mengarahkan peguamnya menghantar surat tuntutan kepada WSJ namun surat tersebut akhirnya dihantar sebagai surat mengesahkan laporan berkenaan semata-mata.

Sehingga kini, pemimpin tertinggi negara itu belum mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap WSJ.

Kini beberapa pihak berkuasa luar negara sedang menyiasat urus niaga 1MDB walaupun Najib belum dinamakan lagi dalam mana-mana siasatan.

Brown turut mengulas cadangan Apandi untuk mengetatkan hukuman terhadap mereka yang membocorkan maklumat kerajaan.

"Ia tak mengejutkan selepas usaha kerajaan mendakwa wang itu datang dari Arab Saudi. 

"Realitinya, tiada sesiapa pun percaya dan mereka dibidas kerana perkara itu. Sekarang ini, mereka kata semua orang tidak lagi boleh membincangkannya," katanya.

Brown turut membayangkan lebih banyak maklumat akan diketahui umum apabila pihak berkuasa luar negara melanjutkan siasatan mereka.

"Aksi sebenar akan berlangsung dalam beberapa bulan akan datang menerusi siasatan luar negara dan jika mereka menemui perkara serius, ia amat sukar buat kerajaan Malaysia untuk tidak mengendahkannya," katanya. –The Malaysian Insider/18 Februari, 2016.


,

Isnin, 1 Februari 2016

Hudud: Mohd Amar, Takiyuddin Perlu Bertanggungjawab


KOTA BHARU - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menyarankan dua individu penting dalam perlaksanaan hukum hudud di Kelantan bertanggungjawab kerana hingga kini gagal membawa usul pindaan Akta 355 ke Parlimen.

Husam berkata, dua individu terbabit, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, kedua-dua mereka perlu bertanggungjawab dengan melepaskan jawatan masing-masing sekiranya gagal memberi penjelasan.

“Saya mahu tiga individu itu dengan dikecualikan Presiden supaya bertanggungjawab dan harus memikul bebanan ini. Takiyuddin kalau tidak boleh jelaskan perkara ini boleh berhenti, letak jawatan kerana dia kena bertanggungjawab. Datuk Nik Amar kalau dia terbabit dia mesti letak jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff pada Forum Akta 355 dan Hudud di Malaysia di Tunjong Banquet di sini, malam kelmarin.

Selain Husam turut menjadi panel forum itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara ( Amanah) Kelantan, Che Ibrahim Mohamed, Ketua Exco Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wan Ji Wan Yusoff dan pakar undang-undang yang juga ahli DAP, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Mohd Amar merupakan Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah manakala Takiyuddin merupakan Ketua Sekretariat Tetap Hudud Negeri.

Terdahulu Husam yang juga Adun Salor mendakwa matlamat melaksanakan hukum hudud di Kelantan hanya mainan politik Pas dan Umno.

Menjelaskan dakwaan itu, Husam berkata, pada 18 Mac tahun lalu terdapat seorang wakil kerajaan Pusat datang ke pejabat kerajaan negeri untuk memaklumkan usul berkenaan boleh dibawa ke Parlimen dan meminta Presiden Pas ketika itu membawa usul itu dengan serta-merta.

“Yang datang 18 Mac adalah wakil sorang menteri bawa cadangan serta merta, perkara itu tidak dimaklumkan kepada Pas Pusat dan dua individu tersebut terbabit dengan perbincangan itu adalah mungkin Datuk Mohd Amar dan Datuk Takiyuddin.

“Saya sempat berjumpa presiden di rumahnya dan beliau (Abdul Hadi) memberi keyakinan bahawa Kerajaan Pusat mengatakan usul tersebut boleh dibentangkan di Parlimen pada April (2015).

“Bagaimana agenda sebesar itu hanya dibincangkannya dengan tiga orang sahaja dan akhirnya hari ini kita tidak dengar apa-apa. Sudah jelas yang menentukan perkara ini bukan Pas Pusat sebaliknya tiga individu berkenaan,” katanya.

Dalam sidang medianya, Husam berkata, dengan menggunakan modal hudud, Umno berjaya memecahkan Pakatan Rakyat sekali gus merencatkan usaha pembangkang untuk menawan Putrajaya.

Malah, beliau tidak menolak negeri dimiliki pembangkang seperti Kelantan boleh terlepas setelah pergolakan dalaman yang menyaksikan Pas terpaksa bersendirian. - Sinar Harian


Berkaitan:

KETUA PEMUDA PAS KELANTAN GAGAL FAHAM ISU

Komen balas saya pada kenyataan Saudara Fadli Shaari hari ni:

1. Pemuda Pas Kelantan gagal fahami isu.

2. Di bawah konsep accountability yang juga satu dari teras Membangun Bersama Islam, seseorang pemimpin perlu memikul kesan kegagalan tindakannya, apa lagi bila tindakan itu diambil secara bersendirian dan tidak dirujuk pada organisasi.

3. Sefaham saya, menerusi roadmap pelaksanaan undang-undang syariah oleh Jawatan Kuasa Teknikal Bersama Negeri dan Pusat, tidak ada cadangan bill persendirian 355 diputuskan.

3. Ini bermakna apabila ada individu yang mempengaruhi Presiden Pas untuk membawa usul persendirian itu dan langsung tidak dirujuk pada parti terlebih dahulu, mereka perlu bertanggung jawab atas kegagalan bill itu dibentangkan seperti dijanjikan sampai hari ini.

4. Bahkan, membawa usul secara pra matang telah melenyapkan atau merosakkan roadmap asal.

Ia lebih membawa kegagalan berbanding kejayaan.

5. Tindakan tergesa-gesa itu lebih bersifat riya' dan agenda peribadi.

6. Sudah hampir setahun berlalu sejak usul persendirian itu difailkan tetapi ternyata hingga kini, ia gagal dibentangkan.

Ini menunjukkan, tidaklah rugi jika tindakan itu ditangguhkan pada masa itu dan dibincangkan secara lebih masak dan diputuskan secara kolektif.

7. Ketua Pemuda Pas Kelantan seolah anak kecil yang belum lepas susuan dan berteriak takut-takut botol susuannya tidak bersambung.

Anda gagal menarik minat anak muda yang kritis dan juga gagal mempamirkan sikap pemuda Islam yang menilai sesuatu berdasarkan neraca kebenaran dan bukannya asobiyyah kelompok.

9. Saya hairan, jika Ketua Pemuda Pas berani, kenapa beliau tidak hadhir mewakili Kerajaan Negeri dalam forum itu.

Husam Musa
21 Rabiul Akhir 1437/31 Januari 2016

+++++++++++++++++++++++++

Pemuda Pas mahu Husam letak jawatan

WARTAWAN SINAR HARIAN
31 JANUARI 2016

KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan membuat serangan balas dengan menggesa bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa meletak jawatan sebagai Adun Salor dan Yang Dipertua Pas Kubang Kerian.

Kenyataan dibuat setelah Husam membuat gesaan supaya dua pemimpin, Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bertanggungjawab termasuk mempertimbangkan meletak jawatan dalam parti setelah gagal membawa usul pindaan Akta 355 di Parlimen.

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Fadli Shaari berkata, Husam perlu meletak dua jawatan itu kerana tidak lagi membantu untuk mengukuh kerajaan dan parti.

"Hakikatnya desakan beliau agar Datuk Mohd Amar dan Datuk Takiyuddin meletak jawatan hanya untuk menarik perhatian orang ramai sahaja," katanya.

Fadli yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat berkata, Husam sendiri sudah menyedari beliau bukan lagi relevan dalam arus politik semasa.

Kekhilafan Sekitar Pelaksanaan 'Hudud' Melalui Usul Bil Persendirian Akta 355

1. Membawa usul meminda Akta 355 menerusi Bil Persendirian adalah tindakan di luar keputusan Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah Persekutuan (Bersama Pusat Dan Negeri).

Kenapa tindakan di luar keputusan Jawatankuasa Teknikal Bersama itu dibuat?

Adakah Saudara Mohd Amar dan Saudara Taki tahu dan faham apa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa berkenaan?

Jika anda tahu, mengapa anda berdua tidak menasihati Presiden supaya tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ketetapan Jawatankuasa berkenaan?

Anda lebih hebat dari mereka?

Anda tidak merujuk lebih dahulu kepada anggota Jawatankuasa berkenaan?

Kenapa?

2. Usul dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat tanpa dirundingi mahu pun dimaklumkan kepada mana-mana peringkat Pas Pusat, melainkan Presiden yang juga MP Marang yang telah dinasihatkan sebagai pembawa usul.

Oleh kerana itu, tindakan sedemikian tidak dapat diberikan pandangan kedua.

Bagaimana kegagalannya, jika berlaku, hendak dikongsikan dengan parti atau orang lain pada hal ia dibuat secara pintu belakang?

Sehinggakan draf usul itu sendiri mempunyai kesalahan berkait samada kuasa yang hendak dipinda terletak di bawah Senarai Pertama atau Senarai Kedua Jadual Kesembilan Perlembagaan Malaysia!

Salah se orang Penolong SUA Pas di waktu itu telah memainkan peranan merangka draf itu, mendapatkan tandangan Presiden dan menyerahkan usul itu ke Parlimen.

Pakar undang-undang juga tidak dirujuk.

3. Kesegeraan itu berlaku kerana dua orang pemimpin Kelantan telah didatangi oleh wakil salah se orang Menteri Pusat yang memberi jaminan usul itu akan diizinkan untuk dibentangkan dalam sidang Parlimen yang sedang berjalan di waktu itu, Mac/ April 2015.

Kedatangan wakil Menteri membawa pesan Menteri untuk bertindak sedemikian ialah sewaktu sidang Dun Kelantan untuk pembentangan Enakmen Jenayah Syariah II(1993) 2015 sedang berjalan pada tarikh 17 hingga 19 Mac.

Sebaik pindaan dibawa iaitu pada 18 Mac, draf usul itu terus ditandatangani!

5. Bahkan, Bil Persendirian berkenaan terus dibawa tanpa menunggu Enakmen yang baru diluluskan itu digazetkan terlebih dahulu.

Satu kegopohan luar biasa tetapi setakat ini, berakhir dengan ketidaksampaian.

5. Sefaham saya, Jawatankuasa Teknikal Bersama Pusat Dan Negeri menetapkan pindaan Akta 355 hendaklah dibawa oleh Menteri atas nama Kerajaan Pusat selepas mendapat perkenan Raja-Raja terlebih dahulu.

Tujuan pindaan diputuskan dibentangkan oleh Menteri atau atas nama Kerajaan Pusat kerana beberapa pertimbangan, yang saya tidak akan panjangkan di sini atas dasar kemaslahatan jangka panjang.

Pertimbangan dan pandangan yang hampir sama telah timbul semasa mesyuarat Pas Pusat.

Termasuk, cukup bilangan MP yang menyokong, perkenan Raja-Raja dan laluan yang paling tepat, berhemah, bukan untuk political mileage dll.

Adakah individu-individu terlibat tidak merasa bersalah kerana mengabaikan pandangan jamaah mereka sendiri?

Selain membelakangkan keputusan Jawatankuasa Teknikal Bersama.

Jika pandangan mereka lebih tepat, kenapa sampai kini usaha itu nampaknya tidak kesampaian?

6. Bagaimana Presiden pada waktu itu begitu yakin usul yang dibawanya akan diizinkan untuk dibentangkan?

Melainkan ada pihak yang memberikan keyakinan itu kepada beliau.

Keyakinan itu sudah pasti dalam bentuk pihak berautoriti dari Kerajaan Pusat.

Soalnya:

A. Siapa pemimpin Pas yang memberikan info tidak tepat dan memberikan keyakinan yang tidak benar itu kepada Presiden?

B. Dari mana pemimpin Pas berkenaan mendapatkan jaminan itu?

C. Apa bentuk jaminan itu? Bertulis, lisan atau apa?

D. Ketepatan atau kekhilafan pemimpin atau pemimpin-pemimpin itu menilai jaminan yang diberi

E. Apakah wujud tipu daya politik dalam jaminan itu?

F. Jika ia tipu daya politik, siapa perlu bertanggung jawab kerana terperangkap dengan tipu daya itu?

7. Usul Bil Persendirian meminda Akta 355 tidak boleh bersandar atas 'tugas kita berusaha membentangkan sahaja. Berjaya atau gagal dibawa bukan tanggungjawab kita' kerana senario dan keadaan adalah berbeza dari Bil Persendirian mengenai isu yang sama yang pernah dibawa oleh MP Marang tidak lama dulu.

Premis kini, adanya laluan oleh Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Umno berikutan wujudnya Jawatankuasa Teknikal Bersama dan semangat yang ianya akan berjaya yang telah ditunjukkan oleh ucapan sekian ramai pimpinan Pas Pusat.

'Nak beli rempah kena pergi kedai rempah......', katanya.

8. Implikasi dari membawa Bil Persendirian Akta 355 adalah besar;

A. Mesyuarat Jawatankuasa Bersama terus terhenti sejak usul MP Marang dimasukkan.

Kenapa?

Mesyuarat terakhir Jawatankuasa berkenaan adalah pada 12 - 14 Februari 2015, iaitu kira-kira sebulan sebelum Sidang Dun Kelantan pada bulan Mac tahun itu.

Sejak itu, Jawatankuasa berkenaan tidak lagi bersidang.

Pada hemat saya adalah kerana kekecewaan sesetengah pihak atas kegopohan Pas yang mungkin didorong oleh pertimbangan politik yang singkat.

Sesuatu yang malang.

B. Pas dilihat begitu mudah dipermainkan.

C. Tindakan Pas dilihat tidak matang.

9. Meletakkan jawatan sebagai cagaran atas gagal berjalannya Enakmen Jenayah Syariah yang diwar-warkan sebagai Hudud bukan ciptaan saya.

Ia adalah janji Saudara MB Kelantan sendiri.

Saya tidak menggesa beliau menunaikan janjinya atas dasar ada orang lain yang lebih ke depan mengambil peranan sehingga apa yang direncanakan gagal pada waktu ini.

Namun, jika orang itu enggan meletakkan jawatan dan enggan pula mengambil tanggungjawab atas kegagalan yang ditempah atas salah perhitungan mereka sendiri, saya tidak dapat berbuat apa-apa.

10. Ada pun isu-isu lain yang dibangkitkan oleh Saudara Mohd Amar Dan Saudara Taki, saya letakkan respon saya dalam helai yang lain untuk lebih mudah isu ini dinilai dengan pertimbangan yang lebih 'cool'.

Husam Musa
22 Rabiul Akhir 1437/
1 Februari 2016

BAGASI KIRIMAN TERKINI

BAGASI KIRIMAN

PERHATIAN

Tulisan dalam blog ini sebahagian besarnya ialah respons/pendapat/ulasan RINGKAS/SPONTAN saya terhadap pelbagai isu dan perkara yang berlaku di serata negara mahupun di luar negara.

Sebahagiannya pula disalin & ditampal (
semoga dengan izin) dari blog, laman sesawang atau laman berita dari dalam dan dari luar negara. Hak cipta berita, artikel & makalah adalah milik laman sesawang atau blog tersebut.

Seboleh-bolehnya, saya cuba mengelak untuk menyiarkan mana-mana makalah/petikan/gambar tanpa restu pemilik asalnya. Jika mana-mana petikan/tulisan/gambar yang disiarkan dalam blog ini kurang disenangi pemilik asalnya, maka maklumkanlah segera kepada saya (di ruangan komen bahan terbabit) agar petikan/tulisan/gambar tersebut dapat dikeluarkan dengan kadar segera.

Untuk makluman, sebarang petikan, makalah, gambar yang dipetik dari laman berita atau dari blog /laman sesawang atau dari sumber internet yang lain tidak semestinya menggambarkan/mewakili pandangan saya dalam sesuatu isu yang berkaitan.

PENAFIAN:
Semua artikel atau berita yang disiar dalam blog ini adalah untuk tujuan pendedahan dan pengetahuan am. Ketepatan maklumat artikel atau berita itu perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan atau penyebaran maklumat palsu atau fitnah.

-tayadihmaysia@yahoo.com







TERIMA KASIH