[PANAS] Saksi Dakwa Polis dan Orang Awam Belasah Hingga Mati Sugumar, Polis Dakwa Sugumar Mati Akibat Serangan Jantung
[KD] Pengarah Guaman KEADILAN, Latheefa Koya berkata, saksi melihat Sugumar Cheliah, 40 dikejar empat anggota polis menaiki dua kereta peronda sebelum kejadian pembunuhan kira-kira jam 6 petang, semalam.
Selepas diberhentikan, mangsa dibelasah sekumpulan individu berhampiran rumahnya di Taman Seri Nanding, Hulu Langat dalam keadaan tangan bergari dan ditekan dengan pengusung.
“Mangsa yang bergari turut dipukul beramai-ramai oleh orang sekeliling tanpa halangan polis. Polis memijak tengkuk mangsa dan menyapu muka mangsa dengan serbuk kunyit,” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan, Sugumar yang tiada rekod jenayah, turut dicampakkan ke bahu jalan dalam keadaan bogel, selepas kematiannya.
“Profesionalisme polis juga amat diragui kerana pasukan forensik hanya datang selepas jam 11 malam untuk mengambil mayat,” katanya.
Menurut Latheefa, mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, namun keluarganya tidak dibenar masuk ke bilik mayat untuk membuat pengecaman selepas dimaklumkan lewat malam semalam.
“Keluarga mangsa datang awal pagi hari ini ke hospital namun selepas pukul 2 petang barulah keluarga mangsa dan peguam dibenarkan masuk,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mendesak polis yang terlibat dalam pembunuhan itu ditangkap dan digantung tugas kerana insiden itu di bawah tanggungjawab polis.
“Saya desak polis segera menangkap dan mendakwa semua yang terbabit dalam pembunuhan ini. Insiden ini berlaku ditempat awam dan ramai saksi melihat kejadian itu,” ujarnya kepada Keadilan Daily.
Timbalan Pengerusi Biro Hak Asasi dan Guaman KEADILAN, S. Jayathas berkata kehilangan nyawa akibat kecuaian polis bukan isu baru kerana rekod menunjukkan banyak orang awam mati di tangan polis.
“Polis gagal bertindak waras dengan mengenepikan undang-undang ketika berhadapan suspek. Ini akibat kegagalan polis melaksanakan Suruhanjaya Bebas Terhadap Salah Laku dan Aduan Polis (IPCMC),” ujarnya.
Berita Berkaitan:
Polis: Lelaki mati mengejut dalam kejadian amuk
[Bernama] Polis telah mengklafikasikan kematian seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental dan merosakkan harta benda awam dekat Kajang semalam, sebagai mati mengejut.Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata dalam ejadian bermula jam 6.30 petang itu, C Sugumaran, 39, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hulu Langat menggunakan palang besi untuk merosakkan harta benda awam.
Menurutnya, lelaki itu mula mengamuk dari Taman Sri Nanding di sini sebelum menuju ke Taman Desa Raya dan Taman Lagenda Suria.
Abdul Rashid berkata polis mengekori suspek sejauh dua kilometer sebelum dia tiba-tiba terjatuh di bahu jalan.
"Ketika itu, polis dan orang awam menangkap lelaki itu yang bertindak agresif dan beliau didapati tidak sedarkan diri ketika berada dalam kenderaan polis," katanya dalam sidang media di Kajang malam ini.
Menurut Abdul Rashid, samasa dalam perjalanan ke Hospital Serdang, beliau disahkan meninggal dunia.
"Hasil bedah siasat menunjukkan beliau mengalami saluran jantung tersumbat dan tiada sebarang kecederaan lain," katanya.
Abdul Rashid menegaskan kematiannya tiada kena mengena dengan tindakan polis ketika menahannya.
Peguam: Polis kawal rapi bedah siasat Sugumar
[MK] Sekumpulan polis mengawal ketat kawasan rumah mayat Hospital Serdang hari ini ketika bedah siasat dijalankan ke atas seorang lelaki yang ditemui mati dalam keadaan bergari pada malam semalam.
Peguam PKR Latheefa Koya berkata, kira-kira 20 orang termasuk empat anggota polis bersenjatakan M-16 mengawal kawasan tersebut yang dipenuhi anggota keluarga si mati.
Katanya, anggota keluarga berkenaan menunggu untuk mengecam mayat Sugumar Chelliah, 40, semenjak diberitahu mengenai kematian lelaki tersebut, lewat malam semalam.
Latheefa mendakwa, saksi melihat sekumpulan individu memukul Sugumar sehingga membawa kepada kematian lelaki tersebut dalam kejadian pada kira-kira jam 6.30 petang semalam.
Sementara itu, satu laporan laman berita The Malaysian Insider yang memetik kenyataan saksi menyebut sekurang-kurangnya empat anggota polis terlibat mengejar Sugumaran dan seterusnya menahan dan menggari lelaki tersebut dalam kejadian itu.
Laporan itu menyebut, seramai 20 orang yang lain kemudiannya didakwa menyertai anggota polis berkenaan dan memukul Sugumaran.
Mengulas dakwaan berkenaan, Latheefa berkata beliau menuntut agar anggota polis yang didakwa terlibat dalam kejadian itu tindakan tegas.
Turut hadir bersama keluarga mangsa hari ini ialah naib presiden PKR N Surendran dan MP Kapar M Manikavasagam.
Surendran berkata, Manikavasagam yang turut masuk ke bilik bayat untuk mengecam mayat Sugumar mendapati tangan si mati masih bergari.Sementara itu, ketua polis daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau akan mengadakan sidang media pada malam ini.
Beliau dijangka akan menjelaskan rentetan kejadian yang berlaku pada malam semalam, sehingga membawa kepada kematian Sugumar di kawasan taman perumahan di Hulu Langat itu.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.