Selain Tiada Pas, Mengapa Malaysia Kini "Dihalau" dari Bilik Media AGM UMCO?
Malaysia Kini (MK) melaporkan bahawa kakitangan portal berita itu:
...diminta dikeluar dari bilik media di perhimpunan agung Umno kerana tidak memiliki pas media yang dikeluarkan oleh sekretariat parti itu.
Semua lapan wartawan portal berita bebas itu diberitahu tidak dibenarkan menggunakan kemudahan bilik media oleh seorang pegawai sekretariat perhimpunan itu.
Perkara itu berlaku walaupun setiausaha agungnya Tengku Adnan Tengku Mansor - dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini pada 5 Oktober lalu - menjanjikan sedia mengeluarkan pas berkenaan.
"Sesiapa yang tidak memiliki tag, tidak dibenarkan berada dalam pusat media," kata pegawai berkenaan sambil memberitahu bahawa wartawan terbabit turut dilarang memasuki dewan tempat persidangan berlangsung.
Menurut pegawai terbabit, arahan tersebut dikeluarkan terus dari setiausaha agung.
Usaha menghubungi Tengku Adnan setakat ini belum berhasil tetapi Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memberitahu di laman Twitter, beliau akan meneliti aduan tersebut.
Pusat media berkenaan menyediakan kemudahan meja, televisyen kemudahan soket elektrik untuk kemudahan petugas media mengikuti persidangan tahunan mereka.
Sejak beberapa tahun lalu, Malaysiakini dibenarkan menggunakan tersebut tanpa gangguan walaupun dinafikan pas media.
Bagaimanapun, petugas Malaysiakini akan terus menghantar laporan persidangan tiga sayap Umno hari ini yang ditulis di sekitar ruang legar di bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Selain tidak mempunyai pas media, apakah punca laman portal berita ini "dihalau" keluar dari bilik media tersebut? Salah satunya, mungkin kerana laporan berita di bawah ini. Laporan seperti itu tidak mungkin dikupas oleh akhbar arus perdana. Laporan di bawah ini serta ribuan laporan portal berita ini jarang-jarang dikupas oleh akhbar arus perdana. Mengapa? Anda nilai sendiri kebenaran di balik laporan-laporan itu.
MK yang dilabelkan sebagai portal berita anti-Melayu, antiinstitusi raja dan segala macam label dan gelaran yang lain di blog pro-UMCO berjaya membongkar hipokrisi dan kemungkaran pemimpin BN. Banyak skandal dan salah laku pemimpin yang tidak dilaporkan di media arus perdana dilaporkan di portal tersebut. Rakyat yang dahagakan berita "sebenar" kini beralih arah kepada media alternatif termasuklah MK.
Jadi, tanpa mengulas panjang, anda boleh menilai sebab portal berita alternatif kini begitu "dibenci" oleh golongan/pihak yang menyedari tentang bahayanya laman tersebut kepada kelangsungan "hidup/kuasa" mereka. Mereka gentar rakyat memperoleh pelbagai laporan tentang salah laku yang dikaitkan dengan mereka. Mereka bimbang maklumat-maklumat yang disiarkan membangkitkan kesedaran rakyat yang sebelum ini hanya bergantung pada laporan media arus perdana.
Dua mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) didakwa turut mengambil bahagian dalam raptai penuh perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Oktober lalu.
Kumpulan yang dikenali sebagai Kesatuan Mahasiswa Mahasiswa Sedar (KEMAS) mendakwa ia dapat mengecam kedua-dua mahasiswa UKM itu di dalam foto yang disiarkan akhbar Berita Harian pada hari berikutnya.
Perasmian perhimpunan agung Umno tahun ini akan disempurnakan oleh Presiden Umnno, Datuk Seri Najib Tun Razak di PWTC esok.
KEMAS mendakwa mahasiswa terbabit adalah daripada Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Kejuruteraan UKM.
"Kehadiran mereka ini juga berkaitan rapat dengan pernglibatan pentadbiran universiti dengan parti Umno," kata jurucakap KEMAS, Fathi Hisham (dua dari kiri) yang membaca satu kenyataan hari ini.
Katanya, KEMAS juga yakin penglibatan mahasiswa UKM dalam perhimpunan agung Umno kali ini melebihi dua orang.
Fathi yang juga pelajar tahun dua Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan berkata gambar tersebut menunjukkan mahasiswa terlibat memakai baju Melayu Putih, bersongkok dan bersampin yang mempunyai logo Umno.
Kejadian itu, katanya, adalah sama sepertimana kes mahasiswa yang telah dikenakan hukuman di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) - Saudara Soh Sok Hua - yang dihukum kerana gambarnya tersiar di akhbar dengan memakai pakaian yang mempunyai logo parti politik beberapa tahun lalu.
Sementara itu, setiausaha KEMAS Syamir Zulkefli (Foto atas: yang pegang mikrofon) - dalam kenyataannya - menggesa pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti berkenaan supaya segera menyiasat perkara ini mengikut undang-undang dan prosedur seharusnya.
Beliau juga mendesak agar Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin supaya menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat penglibatan pentadbiran universiti dan mahasiswa dalam perhimpunan agung Umno itu.
Sementara dalam sidang media selepas itu, Fathi berkata pihaknya mendapat maklumat berhubung perkara tersebut melalui sumber yang dipercayainya.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan identiti dan jumlah individu sebenar yang terlibat dalam perhimpunan tersebut.
"Mungkin satu pasukan diarahkan (menyertai perhimpunan)....Saya tidak mahu menyatakan (jumlahnya) pada hari ini," katanya.
Sementara itu, Malaysiakini telah cuba menghubungi ketua penolong pendaftar kanan hal ehwal pelajar UKM, Musa Zainal Abidin Othman.
Bagaimanpun, Malaysiakini dimaklumkan oleh pejabatnya bahawa beliau sedang menghadiri bengkel di Sabah dan dijadualkan pulang esok.- Abdul Rahim Sabri
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.