AMANAH Nekad Wakili PH dalam PRK
PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) mahu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P.093 Sungai Besar dan P.067 Kuala Kangsar mewakili Pakatan Harapan.
Bagi Ketua Pemuda AMANAH Nasional Sany Hamzan, parti yang baru berusian lapan bulan itu sudah benar-benar bersedia menguji kekuatan jenteranya di Malaysia Barat.
“Seluruh pimpinan Pakatan Harapan harus jujur berusaha mengangkat keutuhan gabungan ini. P.093 dan P.067 merupakan kawasan strategik bagi AMANAH sebagai parti Islam dalam Pakatan Harapan.
“Komposisi campuran penduduk dengan majoriti Melayu Islam sememangnya menjadi gelanggang ideal buat AMANAH meluaskan pengaruh Pakatan Harapan di kedua-dua Parlimen tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini
Dalam pada itu, Sany turut menjelaskan pihaknya menghormati PAS sebagai blok ketiga dan menyedari situasi bahawa parti Islam itu akan berperanan sebagai penasihat kerajaan yang memerintah.
Namun, pertembungan tersebut juga katanya bakal menguji dan menjadi kayu ukur gabungan politik mana yang lebih dipercayai rakyat.
“Bahkan rakyat umumnya telah sedia memaklumi bahawa PAS bukan sebahagian Pakatan Harapan dan jika berlaku tiga penjuru pun, anak muda boleh ‘membaca’ bahawa PAS bertindak sebagai entiti berasingan yang masuk bertanding demi kepentingan politik Blok Ketiga,” katanya.
Dia juga akui, PAS dan rakan-rakan koalisinya juga menunjukkan nekad bertanding di kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan merujuk kepada senario yang berlaku dalam PRN Sarawak baru-baru ini.
Oleh yang demikian, Sany mahu PH meletakkan calon yang tegas menolak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri selain itu juga tidak memberi ruang kepada calon-calon yang mesra Najib bertanding.
“Penting untuk Pakatan Harapan mengambil kira ketegasan prinsip untuk menolak Najib Razak dan pada masa yang sama tidak memberi ruang calon-calon yang ‘mesra’ Najib Razak bertanding secara solo,” katanya lagi yang bagaimanapun tidak menamakan calon ‘mesra Najib’ itu. -FreeMalaysiaToday/13/5/2016
Berkaitan:
AMANAH Juga Mahu Bertanding di Sg Besar
SHAH ALAM: Pemuda AMANAH Selangor mahu mewakili Pakatan Harapan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar bulan depan.
Ini kerana kata Ketua Pemudanya, Abbas Azmi parti itu mempunyai beberapa calon yang kesemuanya memiliki kelebihan tersendiri dan diyakini akan diterima rakyat di kawasan itu.
Beliau berkata, pihaknya juga telah membuat keputusan untuk mencadangkan calon daripada sayap itu bagi PRK Sungai Besar.
“Segala gerak kerja bertemu masyarakat dan pengundi telah pun dibuat bagi memperkenalkan misi dan visi parti, malah program kemasyarakatan juga akan diperbanyakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.
Turut terkorban dalam nahas itu ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad serta empat yang lain termasuk juruterbang.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan diadakan serentak pada 18 Jun nanti, manakala hari penamaan calon jatuh pada 5 Jun ini. – BERNAMA/13/5/2016
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.