PRK: DAP Tidak Akan Sokong PAS - Guan Eng
DAP akan hanya menyokong calon Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata oleh kerana PAS bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan, maka ia bukan sekutunya dan oleh itu ia tidak akan menyokong parti itu.
Bagaimanapun, menurut beliau, perbincangan akan diadakan dengan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor, yang juga Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu mengenai pilihan raya kecil itu.
"Kami akan sokong sekutu kami dan satu perbincangan akan diadakan tidak lama lagi dengan pemimpin parti masing-masing," katanya kepada pemberita pada persidangan dewan undangan negeri di sini hari ini.
Lim, bagaimanapun enggan mengulas tentang jemputan Azmin kepada PAS supaya kembali menyertai gabungan itu berikutan kekalahan teruk pembangkang kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak 7 Mei lepas.- Bernama/13/5/2016
Berkaitan:
DAP Sokong Calon Pakatan Harapan
Berkaitan:
DAP Sokong Calon Pakatan Harapan
GEORGE TOWN, 13 MEI: DAP akan menyokong mana-mana calon yang disetujui pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding dalam pilihanraya kecil (PKR) kawasan Parlimen Sungai Besar di Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar di Perak yang akan diadakan serentak 18 Jun depan.
Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, perbincangan untuk memutuskan siapa yang bakal menjadi calon di kawasan berkenaan akan terus diadakan bersama pimpinan PH.
“Sudah tentu kita akan sokong calon yang diputuskan oleh Pakatan Harapan. DAP akan sokong calon yang diputuskan Pakatan Harapan.
“Kita akan terus adakan perbincangan bukan sahaja dengan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah dan Presiden Amanah Mohamad Sabu, tetapi yang penting sekali ialah dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali,” katanya kepada pemberita selepas sesi pagi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Dua kerusi Parlimen itu kosong setelah Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad, meninggal dunia dalam tragedi malang nahas helikopter di kawasan Sebuyau, Sarawak Khamis minggu lalu yang turut melibatkan empat lagi individu.
Parlimen Sungai Besar memiliki 42,655 pengundi berdaftar manakala bagi Parlimen Kuala Kangsar, terdapat seramai 32,949 pemilih berdaftar.
Dalam pilihanraya umum ke-13 lalu, calon Barisan Nasional (BN) telah menewaskan calon PAS dengan majoriti tipis 399 undi bagi Parlimen Sungai Besar. Bagi Parlimen Kuala Kangsar pula, calon PAS dan Bebas ditewaskan BN dengan majoriti 1,082 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya dalam mesyuarat khasnya hari ini telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu pada 5 Jun, dan hari pengundian 18 Jun, manakala tarikh pengundian awal pula ialah pada 14 Jun. – Roketkini.com
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.