CALON BEBAS PENANTI DIJANGKITI VIRUS RAJA SUMPAH MALAYSIA?
Tatkala penduduk dunia ketakutan menghadapi pandemik influenza A HINI (selesema babi) sehingga mencetuskan “pandemonium” di seluruh dunia, tiba-tiba kita dikejutkan pula dengan kegemparan yang berlaku di Penanti, kawasan yang bakal dipenuhi gerombolan manusia pada 31 Mei nanti. Salah seorang calon bebas di DUN Penanti dikatakan meracau-racau mengatakan bahawa dia ada bukti bahawa dia cuba disogok sebanyak RM80 000 dan ditawarkan pula jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang oleh pihak lawannya dalam pilihan raya kecil di DUN tersebut. Pelbagai persoalan timbul. Antaranya: adakah calon tersebut dijangkiti virus raja sumpah yang menular seketika semasa pilihan raya umum yang lalu? Virus ini jika dijangkiti akan menyebabkan penghidapnya meracau-racau sambil mengeluarkan kata-kata palsu yang penuh dengan imaginasi.
Biarpun virus ini tidak boleh mendatangkan kematian fizikal, namun virus ini mampu melumpuhkan kerjaya atau karier politik seseorang. Oleh sebab itu, siasatan perlu dilakukan dengan segera. Kita khuatir virus ini akan menyebabkan pandemik dalam senario politik negara. Pandemik ini boleh mencetuskan kecelaruan fikiran dalam kalangan rakyat. Kecelaruan dan kecacamarbaan ini seterusnya akan menyebabkan rakyat terpedaya oleh racauan yang mengandungi tipu muslihat orang yang dijangkiti virus tersebut.
Jika benar penyakit itu berpunca daripada virus ini, maka rawatan perlu diberikan serta-merta agar virus ini dapat dihapuskan agar tidak merebak ke serata negara, terutama ketika menjelangnya pilihan raya. Kita tidak mahu virus ini menyerang calon-calon lain ketika menghadapi pilihan raya Manek Urai yang bakal berlangsung sedikit masa lagi. Rawatan dengan menggunakan kaedah saman dan laporan polis perlu dibuat untuk mengawal penyakit ini.
Jika calon bebas ini tidak dijangkiti virus tersebut, maka racauannya itu bukanlah racauan yang berisi imaginasi dan khayalan semata-mata. Racauan itu sudah menjadi dakwaan yang perlu dibuktikan. Justeru, pihak polis dan SPR perlu bertindak untuk membuktikan kesahihan dakwaan tersebut. Hal ini penting agar pihak yang terlibat seperti yang didakwa itu dapat dihukum. Tidak kiralah sama ada dakwaan itu bernilai RM80 ribu atau 80 juta, sama ada dakwaan itu berupa Timbalan Ketua Menteri 1 atau Timbalan Perdana Menteri. Tidak kiralah pihak yang bersalah itu BN atau Pakatan Rakyat. Yang salah tetap salah dan yang salah perlu dihukum.
manalah PKR nak cr duit bg RM800000 tu kat kau minah? Nak buat pilihan raya kecil pn PR mintk sumbgan rakyat (TABUNG). ada sapa2 cayo ko kek minah ni?
Comment by MAMA KAY @ Selasa, Mei 26, 2009 10:16:00 PG