MB Selangor Keluar Duit Poket Sendiri Sewa Bas untuk Pemimpin Pakatan Rakyat Berceramah
[Selangorku] SHAH ALAM 20 OGOS : Jentera pilihanraya Pakatan Rakyat hari ini diperhebatkan lagi dengan penggunaan sebuah bas dua tingkat yang mempunyai platform ceramah bergerak bagi membawa mesej gabungan itu ke seluruh negara.
Bas yang dilengkapi dengan sistem audio-visual untuk acara luar itu disewa khas oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kegunaan Pakatan menjelang pilihan raya ke-13.
Abdul Khalid yang membayar sewa untuk bas tersebut daripada poket sendirinya tanpa menggunakan dana Kerajaan Selangor, mempamerkan kenderaan itu pada kali pertama di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Selangor semalam.
“Sebelum ini pimpinan Pakatan ada membincangkan cara efektif untuk berkempen dan mungkin ini adalah salah satu daripada usaha tersebut.
“Ia disewa atas nama saya untuk jangka masa tiga hingga empat bulan khusus berkempen menjelang PRU13,” jelas Abdul Khalid dalam sidang media.
Beliau menambah, bas tersebut akan digunakan bagi membawa pimpinan Pakatan menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia berkempen.
“Selepas seminggu raya ini kita akan menukar gambar yang digunakan (di luar dinding bas) dan bersedia untuk kempen.
“Ini juga mungkin sebagai satu tanda bahawa kita Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk PRU13,” ujarnya.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang hadir di majlis rumah terbuka turut dibawa melawat bas berkenaan.
Bas dua tingkat tersebut boleh memuatkan kira-kira 15 orang selain mempunyai ruang untuk dua buah kerusi rehat, sistem audio dan televisyen.
“Ianya juga praktikal digunakan sebagai platform untuk memberi ceramah,” katanya lagi.
Katanya, bas berkenaan yang disewa untuk tempoh enam bulan dibiayai sepenuhnya beliau sendiri tanpa melibatkan satu sen pun wang rakyat dan wang kerajaan negeri.
“Semua kos melibatkan bayaran kepada pemandu dan bantuan teknikal dimasukkan dalam kos sewaan itu tanpa melibatkan seorang pun kakitangan kerajaan negeri.
“Justeru, saya menasihatkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab menghentikan fitnah dan tohmahan jahat yang menuduh bas berkenaan disewa menggunakan wang Kerajaan Selangor dan wang rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bas dua tingkat ini yang telah diubahsuai dengan dilengkapi platform untuk berceramah dan sistem bunyi akan memulakan siri jelajah ke Kelantan, Pahang, Kedah, Perak dan Perlis bermula esok sehingga 2 September diketuai Ketua Umum PKR, Seri Anwar Ibrahim.
Bagus... tapi kena berhati-hati, puak setan yang dikenali tu mempunyai kesanggupan untuk menghancurmusnahkan kelengkapan tu melalui kejadian kemalangan. Kereta kenalan saya pernah dirempuh oleh barua si setan dikenali ketika bertugas sebagai pengangkut pengundi ketika hari mengundi. Bagi si setan gondol ni asalkan dapat mensabotaj pihak lawan, matlamat adalah menghalalkan cara.
Comment by Tanpa Nama @ Khamis, Ogos 30, 2012 6:06:00 PTG