[Wajib Baca] Hudud: Beza UMNO dengan Karpal Singh
Karpal Ahli Politik Hebat – TG Nik Aziz
[HD] KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS dan kerajaan Kelantan melahirkan rasa sedih dan terharu di atas kematian anggota parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh akibat kemalangan jalan raya awal pagi tadi.
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mendiang seorang ahli politik yang hebat memperjuangkan keadilan untuk rakyat.
Katanya, Karpal seorang pemimpin yang dihormati orang ramai kerana kepakarannya dalam bidang perundangan.
“Mendiang memahami perundangan negara dan perlembagaan sebab itulah beliau bermati-matian mengatakan Malaysia sebuah negara sekular.
“Sebaliknya Umno yang mengaku Islam pula menghantar surat kepada saya melarang melaksanakan hudud di Kelantan selepas diluluskan pada 1993.
“Surat amaran itu meminta jangan laksana hudud di Kelantan dan kalau buat juga akan diambil tindakan,” katanya ketika ditemui di Institut Pemikiran Tok Guru hari ini.
Karpal terbabit dalam kemalangan di Kilometer 306.1 Lebuh Raya Utara Selatan laluan utara dekat Kampar awal pagi tadi.
Kemalangan itu turut meragut nyawa pembantu peribadinya, Michael Cornelius Selvam Vellu, manakala anaknya Ram Karpal dan pemandu kereta dilaporkan cedera.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut melahirkan rasa sedih di atas kemalangan tragis menimpa pemimpin kanan DAP itu.
“Saya berharap anggota keluarganya bersabar. Mati sesuatu yang wajib bagi setiap manusia. Yang menghidupkan juga Allah,” ujarnya.
Sementara itu Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob turut merakam ucapan takziah di atas kepada keluarga mendiang.
Katanya, kematian tokoh tersebut suatu kehilangan besar kepada negara kerana kepakaran dalam bidang perundangan. - Rizal Tahir/17/4/14
Berkaitan:
Karpal Singh: Perginya Tokoh Politik yang Berprinsip
Saya rakamkan takziah kepada keluarga Yang Berhormat Karpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang telah meninggal dunia akibat kemalangan awal pagi ini. Saya sifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan kepada dunia politik tanah air kerana beliau amat dikenali sebagai seorang yang berprinsip dan sukar digugat pendiriannya. Beliau juga merupakan pendokong kuat kepada Perlembagaan Malaysia dan amat tegas dengan pendirian bahawa Malaysia merupakan negara sekular. Sudah tentu prinsip ini amat berbeza dengan prinsip perjuangan PAS dan beliau ternyata menghormati perbezaan ini.
Saya masih ingat sewaktu ke rumah beliau awal tahun lepas di mana saya diberikan sambutan yang sangat hangat dari beliau. Bahkan beliau menghantar saya pulang rapat ke pintu kenderaan sekalipun situasi beliau yang terpaksa bergerak dengan kerusi roda. Saya kira, di sebalik perbezaan pandangan antara kami, sambutan yang diberikan oleh beliau kepada saya sangat-sangat mencerminkan kelembutan beliau dan penerimaannya terhadap hubungan PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat.
Saya kenal Karpal Singh sebagai seorang yang mendokong kuat Perlembagaan Malaysia dan saya yakin beliau akan terus dikenali begitu di dalam sejarah politik tanah air. Di negara ini, jika semua pihak menghormati prinsip yang terkandung di dalam Perlembagaan, Kelantan pastinya tidak akan ditindas dengan pelbagai jenis penindasan. Hak Kelantan termaktub di dalam perlembagaan, tertulis di atas perjanjian, namun ada pihak yang sewenang-wenangnya membelakangi Perlembagaan dan perjanjian bertulis.
Dalam kehangatan dunia politik pada hari ini yang menyaksikan hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk memfailkan bil persendirian di Parlimen bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan, saya sedikit terkilan kerana individu seperti Karpal Singh tidak sempat untuk diberikan pemahaman tentang hudud. Saya amat yakin, individu seperti beliau jika diberikan kefahaman yang sebenarnya tentang undang-undang ini, tidak akan mempunyai sebarang sebab untuk menolak undang-undang hudud.
Di Kelantan, sewaktu kita meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) pada tahun 1993, ada yang menghantar surat kepada saya menghalang enakmen ini dikuatkuasakan dan pihak yang menghantar surat ini namanya bukan Karpal Singh. Saya benar-benar berharap, agar pihak yang bertanggungjawab menghantar surat ini sempat memahami keindahan undang-undang Allah SWT sebelum tibanya masa untuk pergi yang tidak akan kembali.
Sekali lagi saya rakamkan takziah kepada keluarga Karpal Singh dan juga DAP atas kehilangan pemimpin utama mereka.
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Bertarikh: 17 Jamadil Akhir 1435H bersamaan 17 April 2014M
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.