Tun Mahathir Anggap Hudud yang Mahu Dilaksanakan Tidak Adil dan Tidak Islamik
PAS timbulkan semula hudud kerana kerajaan lemah, bukan demi Islam, kata Dr Mahathir
[TMI] Tindakan PAS menimbulkan semula isu pelaksanaan hukum hudud berpunca daripada kerajaan lemah yang ditadbir oleh Datuk Seri Najib Razak, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata, halangan ke atas pelaksanaan hukum hudud semasa era pemerintahannya adalah kerana sokongan majoriti yang diberikan kepada kerajaannya.
"Mungkin mereka ingat kerajaan perlukan sokongan kerana semasa zaman saya, kami berkuasa dengan dua pertiga majoriti," kata Dr Mahathir ketika ditemui di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) pagi ini.
Dr Mahathir yang dilihat paling lantang menolak pelaksanaan undang-undang Islam kontroversi tersebut menegaskan langkah tersebut bermotifkan politik bukannya mengenai memberikan keadilan kepada rakyat.
"PAS lakukannya untuk politik, bukan mengenai Islam.
"Bila kamu buat undang-undang ini, orang akan kata parti kamu Islam dan rakyat akan sokong. Ia bukan mengenai keadilan," katanya.
Dr Mahathir ketika memegang tampuk kuasa pernah menghalang kerajaan PAS Kelantan daripada melaksanakan undang-undang Islam tersebut.
Malah, beliau menghantar surat bertarikh 15 Julai 1994 selepas Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II (Hudud).
Antara lain surat itu berbunyi: "Kerajaan pusat tidak dapat membenarkan kerajaan PAS menjalankan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan Islam, maka kerajaan pusat akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam."
Mengulas berhubung isu surat itu, Dr Mahathir berkata, perkara yang ditekankannya adalah konsep keadilan dalam Islam dan bukan semata-mata pelaksanaan undang-undang Islam.
"Dalam surat penjelasan saya kepada Nik Aziz, ia adalah berasaskan Islam, bukan seperti yang dikatakan sekular atau sebagainya, ia berasaskan Islam.
"Al-Quran menekankan keadilan, apabila kamu hukum buatlah ia dengan adil," katanya.
Dr Mahathir berkata, pelaksanaan hudud tidak adil kerana bukan Islam akan terlepas dengan hukuman lebih ringan berbanding mereka yang beragama Islam.
"Di Malaysia mereka tidak boleh buat dengan adil, jika undang-undang hudud digunakan, bukan Islam akan dikecualikan.
"Kamu potong tangan orang Islam tetapi bukan Islam penjara dua bulan. Adakah itu keadilan? Ia bukan keadilan, kalau bukan keadilan maka ia tidak Islamik," katanya.
Dr Mahathir juga bertegas dengan pendiriannya menolak pelaksanaan hukum hudud.
"Pendirian saya tidak pernah bertukar," katanya.
Isu hudud timbul kembali selepas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memaklumkan pihaknya akan membawa rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat bagi membolehkan hudud dilaksanakan di negeri itu.
Keputusan itu dibuat susulan jaminan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom yang menyatakan kerajaan pusat akan membantu mana-mana negeri yang mahu melaksanakan undang-undang Islam itu.
Beberapa hari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengunjungi Nik Aziz di rumahnya dekat Pulau Melaka dan mencadangkan agar satu jawatankuasa bersama dibentuk bagi mengkaji undang-undang itu.
Bagaimanapun, DAP yang juga rakan komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) serta parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA juga menentang keras usaha untuk melaksanakan undang-undang tersebut.
Malah, DAP sendiri juga menggesa parti Islam tersebut keluar daripada Pakatan sekiranya berhasrat untuk meneruskan juga, menegaskan undang-undang Hudud bukan salah satu persefakatan dalam gabungan pembangkang tersebut.
Namun, PAS masih bertegas dengan pendirian mereka dan mahu semua pihak memberikan mereka peluang untuk menjelaskan mengenai hasrat pelaksanaan Hudud. – Md Izwan/30 April, 2014.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.