Jangan Guna Ubat Tradisional Skyline Al-Taqwa, Segera Berjumpa dengan Doktor Jika...
[Bernama] PUTRAJAYA– Orang ramai dinasihati agar tidak membeli atau menggunakan ubat tradisional dari Arab Saudi dengan nama Skyline Al Taqwa Sakit Pinggang & Lutut dan Skyline Al Taqwa Gaut Asam Urat.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kajian yang dilakukan Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) mendapati kedua-dua produk itu mengandungi dexamethasone iaitu sejenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.
“BPFK telah menerima sebanyak empat laporan kesan advers yang melibatkan produk Skyline Al Taqwa. Antaranya seorang pesakit mengalami kesan advers yang serius iaitu perubahan tingkah laku dan pakar psikiatrik mendiagnosis pesakit mengalami simptom euforia akibat pengambil produk yang mengandungi steroid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata dexamethasone adalah sejenis kortikosteroid yang poten dan ia digunakan untuk rawatan masalah pembengkakan dan radang yang serius dan ia hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau farmasi dengan preskripsi doktor.
Beliau berkata dexamethasone tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam ubat tradisional dan penggunaan dexamethasone berpanjangan tanpa pengawasan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan glaukoma.
“Pesakit juga boleh mengalami sindrom cushing yang dicirikan dengan muka membulat dan bahagian atas badan membesar tetapi lengan dan kaki seolah mengecil. Kesan advers psikiatri seperti euforia, depresi dan psikosis juga didokumenkan untuk dexamethasone,” katanya.
Dr Noor Hisham menasihati orang ramai yang sedang menggunakan produk Skyline Al Taqwa agar segera mendapatkan rawatan profesional kesihatan.
Bagi pengguna yang telah mengambil produk tersebut untuk jangka masa lama, beliau menasihati mereka supaya tidak menghentikan penggunaannya dengan secara mendadak kerana ia boleh menyebabkan masalah sindrom sarak steroid yang serius seperti kekeliruan dan penurunan tekanan darah yang membahayakan kesihatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai produk itu dinasihati supaya menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi di talian 03-78413200 atau e-mel kepada pharmacy1@moh.gov.my .
Orang ramai juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi BPFK di talian 03-78835400 atau melayari laman sesawang www.bpfk.gov.my. — 13/8/14
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.