Saksi Ceritakan Keadaan Ngeri Anggota Polis yang Dibunuh di Kampung Simunul
[Bernama] KOTA KINABALU: Enam anggota polis yang terbunuh dalam serangan hendap di Semporna pada 2 Mac tahun lepas ditemui dalam keadaan mengerikan, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.
Pegawai Penyiasat Insp Jamirin Kintai, antara anggota pasukan yang bertanggungjawab mengeluarkan mayat anggota polis berkenaan dari Kampung Simunul, Semporna pada 6.45 petang pada 3 Mac tahun lepas, berkata dua daripada mangsa telah dipenggal dan dicacatkan.
"Sarjan Baharin Hamid dicacatkan dengan otak dan mata kanan hilang daripada tengkorak dan terdapat kelaran pada mukanya.
"Leher Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran pula telah dipenggal dan terdapat luka pada badan, kulit dan dagingnya. Mukanya telah dikoyakkan dan hanya kelihatan tulang muka," katanya.
Jamirin juga memberitahu mahkamah bahawa leher Lans Koperal Salam Togiran "hampir putus dengan kepalanya hanya melekat pada tubuhnya oleh beberapa inci kulit pada lehernya.
"Kesan kelaran terdapat pada kepala dan badan Sarjan Abdul Aziz Sakiran dan Superintenden Ibrahim Lebar, manakala ASP Michael Padel mengalami kecederaan pada bahu dan dada, katanya.
Semasa pemeriksaan balas, Jamirin berkata beliau mendapati insiden melibatkan enam anggota polis itu ada kaitan dengan pencerobohan oleh kumpulan lelaki bersenjata Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pada Februari tahun lepas.
Sementara itu, Pegawai Cawangan Khas Bukit Aman ASP Mohamad Hasnal Jamil memberitahu mahkamah bahawa tiga daripada tertuduh telah dinamakan dalam pintasan komunikasi dilakukan di Bukit Aman dari 14-17 Feb tahun lepas berhubung pencerobohan di Lahad Datu.
Beliau mengenal pasti tertuduh berkenaan sebagai Salib Akhmad Emali, Julham Rashid dan Al Wazir Osman alias Abdul.
Katanya lapan nombor telefon bimbit telah dipintas, dengan tiga nombor iaitu 019-5398122 digunakan Salib Akhmad; 012-8384472 digunakan Julham dan 014-6774272 digunakan individu dikenali sebagai 'Imam Tua' dan kemudiannya dikenal pasti sebagai Al Wazir, adalah paling aktif berkomunikasi dengan satu lagi nombor 014-2847213, digunakan oleh seseorang dikenali Raja Muda Agbimuddin.
"Bagaimana anda tahu nama-nama individu ini?" soal Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Wahab Mohamed.
Mohamad Hasnal: "Kami telah memantau komunikasi pengguna nombor berkenaan dan nama mereka disebut."
Pegawai Cawangan Khas itu memberitahu mahkamah beliau telah diarahkan oleh Allahyarham Ibrahim untuk terbang ke Lahad Datu pada 18 Feb tahun lepas untuk menjalankan tugas pengawasan terhadap tiga individu itu selama seminggu bermula 19 Feb.
Katanya pada 25 Feb tahun lepas, beliau memberi taklimat kepada pegawai polis ASP Noraidin Awang Maidin, di Balai Polis Tungku di Lahad Datu untuk menahan Salib Akhmad di Ladang Kelapa Sawit Abadi Emas di Tungku.
Pada 1 Mac tahun lepas, katanya beliau memberikan maklumat berkaitan di Balai Polis Semporna untuk menahan Julham di Kampung Pangkalan Badai, Kunak dan Al Wazir di Semporna.
Salib Akhmad, Julham dan Al Wazir menghadapi pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan menjadi anggota kumpulan pengganas yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda, jika sabit kesalahan.
Salib Akhmad juga menghadapi pertuduhan merekrut anggota untuk kumpulan pengganas.
Mereka merupakan antara 30 tertuduh, terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan bagi pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota kumpulan pengganas.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas. Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok. -- 19/8/14
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.