PUTAR JANGAN TIDAK PUTAR!
Tiba-tiba heboh dalam berita di tv malam tadi tentang kunun-kununnya penentang tegar Kerajaan Perpaduan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dikatakan sudah mahu berbaik-baik dengan UMNO. Begitu juga respons pemimpin UMNO yang diterbitkan dalam akhbar dalam talian yang saya pautkan di bawah ini. Walhal berita terdahulu seperti yang dipetik menyatakan:
Nik Aziz: Kerajaan pusat bukan musuh, tetapi hanya lawan
KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedia menghulurkan tangan untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri di bawah PAS dengan kerajaan pusat dalam usaha menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam.
Menurut beliau, sebelum ini kerajaan negeri tidak pernah pun menganggap kerajaan pusat sebagai musuh, tetapi hanya sebagai lawan dalam mempertahankan perjuangan ideologi politik masing-masing.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik usaha kerajaan pusat yang akan mengadakan usahasama untuk menganjurkan Kelantan Fiesta 2009 di Kuala Lumpur tidak lama lagi.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dan Nik Aziz turut hadir pada majlis prapelancaran program itu di Kuala Lumpur semalam.
Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat kerana sudi menganjurkan program bersama ke arah menarik pelancong ke negeri pantai timur itu..."Tidak pula dikatakan TG Nik Aziz mahu membincangkan soal perpaduan dengan UMNO atau perkara yang sewaktu dengannya. Berdasarkan pemahaman saya, yang dimaksudkan oleh TG, iaitu berbaik-baik dengan Kerajaan Pusat agar Kelantan tidak lagi dianaktirikan dalam pembahagian dana dan pembikinan projek Kerajaan Pusat di negeri tersebut. Bukan hanya menjanjikan pembangunan kepada rakyat Kelantan semasa kempen pilihan raya, namun mengabaikan mereka selepas berlangsungnya pilihan raya. Mungkin juga tindakan berbaik-baik itu sebagai langkah awal membolehkan Kelantan menerima royalti minyak seperti yang dituntut oleh negeri tersebut. Hal ini secara tidak langsung dapat dimanfaatkan oleh rakyat Kelantan yang ratanya-ratanya umat Islam dan juga warganegara sah di bawah pemerintahan Kerajaan Pusat. Tidak pula dikatakan mahu berbaik-baik (berpadu) dengan UMNO. Namun, yang menjadi pelik bin ajaib ialah pernyataan itu disambut dengan respons seperti yang dipautkan di bawah ini:
1. "Umno sambut baik langkah Nik Aziz, tapi...
Mahu mahu kenyataan Nik Aziz dianggap suara parti, bukan individu
PETALING JAYA: Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan menyambut baik kesediaan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu melupakan sengketa dengan Umno sambil menegaskan "Umno tidak pernah menutup pintu perbincangan dengan PAS.
"Kita menyambut baik apa yang dikatakan oleh Nik Aziz kerana selama ini halangan untuk PAS bincang dengan Umno adalah Nik Aziz.. jadi apabila beliau (Nik Aziz) telah menghulurkan salam, maka kita kena sambut baik dan pintu rundingan sentiasa terbuka.
"Saya yakin Presiden dan Timbalan Presiden Umno masih lagi membuka minda untuk kita duduk berbincang mengenai perpaduan cuma bentuknya itu kita tidak tahu kerana ia melibatkan pimpinan tertinggi.
"Tidak pernah dalam sejarah perpaduan itu merugikan dan tidak pernah dalam sejarah perpecahan itu menguntungkan," kata beliau selepas merasmikan Persidangan Pemuda Umno Bahagian Selayang di Selayang hari ini...."
2. "Pertemuan serius dengan PAS dibincang MT Umno Jumaat
MUNYONYO (Uganda): Langkah awal yang akan diambil untuk mengadakan pertemuan serius dengan pemimpin PAS ke arah merapatkan hubungan kedua-dua parti itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat ini.
Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyambut baik kesediaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri PAS itu dengan kerajaan pusat berkata, senario itu akan membuka satu lembaran baru dalam hubungan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri Kelantan dan parti PAS.
"Saya bersyukur kerana ini adalah satu kenyataan yang positif daripada Nik Aziz yang menunjukkan satu sikap Muslim yang baik.
"Oleh kerana ada keputusan seperti itu, langkah-langkah susulan kita boleh ambil dan terbaik dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada penghujung bulan ini iaitu 31 Julai," kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita Malaysia di sini hari ini..."
3. Respons Naib Ketua Pemuda UMNO
"Di SEREMBAN, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim menyifatkan saranan Nik Aziz itu satu petanda cukup baik.
"Ini satu petanda yang sangat baik, yang sangat-sangat saya alu-alukan. Sebagai generasi muda saya berdoa dan berharap agar tidak ada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan pendirian yang telah dinyatakan oleh Datuk Nik Aziz.
"Saya harap ahli Pas keseluruhannya akan terus memberi sokongan kepada kenyataan tersebut tanpa dipengaruhi oleh pihak-pihak yang lain.
"Dan saya memberi jaminan bahawa kita dalam Pemuda Umno akan bersungguh-sungguh untuk menjayakan hasrat yang dinyatakan oleh Datuk Nik Aziz," katanya kepada pemberita mengulas kenyataan MB Kelantan itu hari ini.
Sebelum itu, Razali merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Seremban 2009..."
4. Respons Bendahari UMNO
"Dalam pada itu, Bendahari Umno, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah mahu kenyataan Nik Aziz itu dianggap sebagai suara parti, bukan individu.
Menteri Kewangan kedua itu berkata, sebelum ini Nik Aziz secara terang-terangan menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang dicetuskan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di muktamar parti itu baru-baru ini.
Nik Aziz juga, katanya, sebelum ini memberikan kritikan pedas terhadap Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, berikutan sokongannya terhadap idea kerajaan perpaduan.
Enggan pisang berbuah dua kali, Husni berkata, kenyataan itu seharusnya dinyatakan sebagai pendirian dan keputusan daripada parti bagi mengelak ia disalahgunakan untuk kepentingan politik dan individu semata-mata. "Bila betul dia (Nik Aziz) kata nak bersama Umno demi perpaduan ummah, dia kena bagi pendirian sebagai parti", kata beliau dipetik oleh Bernama selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita Umno Bahagian Kepong di Pusat Dagangan Dunia Putra..."
Namun begitu, Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menekankan bahawa kerjasama di antara dua kerajaan ini sahaja tidak memadai dan adalah lebih baik dan wajar jika parti Umno dan Pas dapat juga mengadakan kerjasama yang sebelum ini terhenti..."
5. Respons Ketua Wanita UMNO
" Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Umno, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta Nik Aziz supaya tidak memutarbelitkan kenyataannya itu bagi mengelak timbulnya kekeliruan di kalangan anggota PAS.
Justeru, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu meminta Nik Aziz supaya tidak mengubah pendiriannya, meskipun mendapat desakan daripada mana-mana pihak..."
KOTA BAHARU, 25 Julai (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed senada dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu melupakan sengketa politik lama antara kerajaan negeri pimpinan PAS dengan kerajaan pusat di bawah Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, BN dan Umno Kelantan khususnya bersikap terbuka dan sememangnya tidak mahu perbezaan dan perjuangan politik menjadi pemisah yang memecahkan umat Islam dan orang Melayu.
Mengakui perjuangan politik Umno dan PAS mempunyai perbezaan, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata dalam masa yang sama kedua-dua pihak masih mempunyai persamaan.
"Kita semua beragama Islam dan Melayu, tak perlu lagi ada pandangan yang memisahkan. Dalam hal yang ada persamaan itu tak ada sebab kenapa kita tak boleh bersepakat...tetapi seperti yang saya kata, harus ada kesungguhan dan keikhlasan," katanya...."
7. "Hishamuddin harap Nik Aziz ikhlas berbaik dengan kerajaan pusat
SANDAKAN: Kenyataan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berbaik-baik dengan kerajaan pusat perlu dibuat berlandaskan keikhlasan, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata perpaduan merupakan perkara penting yang tidak boleh digadaikan serta mesti konsisten bagi menilai keikhlasan untuk bersatu padu, memikirkan nasib bangsa dan agama.
"Kita dalam Umno, sentiasa mengalualukan usaha menjurus kepada perpaduan Islam dan kepentingan rakyat, tidak kira bila dan di mana.
"Terserah kepada mereka sama ada setuju atau hendak berbincang balik. Kalau jadi Alhamdulillah... tetapi kalau tidak jadi, kita akan teruskan juga dengan usaha perpaduan dan kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Batu Sapi di sini hari ini..."
Itulah respons yang diberikan oleh sebahagian daripada pemimpin utama UMNO. Lain yang dinyatakan, lain pula disahutnya. Bayangkan jika berita yang disiarkan oleh media arus perdana yang sudah tentu hebat kuasa penyebarannya ini dibaca/didengar/dilihat oleh masyarakat di ceruk-ceruk kampung atau masyarakat yang tidak berpeluang menggunakan kemudahan internet yang menjadi medium maklumat alternatif di bandar-bandar? Apa respons mereka?
PUTAR JANGAN TIDAK PUTAR!
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.