Mangsa Kahwin Paksa Kongsi Kisah Penderitaan
[SH] “Apabila saya tidak kembali ke sekolah ketika berumur 13 tahun, mengapa pihak sekolah tidak bertanya apa-apa?
“Semasa saya melahirkan anak pada umur 14 tahun, mengapa doktor, jururawat atau pihak kebajikan masyarakat tidak menyoal ibu saya bagaimana saya boleh mengandung,” kata Sameem Ali, 42, ahli politik Britain yang menetap Manchester.
Berketurunan Pakistan, Sameem dipaksa berkahwin sebaik sahaja dia memasuki umur remaja dengan saudaranya yang berumur dua kali ganda lebih tua, dan hanya ditemuinya pada hari perkahwinan mereka.
“Saya lahir di Britain tetapi pada umur 13 tahun, saya dibawa ke Pakistan untuk bercuti, itu yang ibu bapa saya beritahu,” ceritanya.
Namun enam minggu kemudian, Sameem dikahwinkan dengan saudaranya. Ibunya berkata Sameem hanya boleh kembali ke Britain jika dia mengandung.
“Saya percaya saya dikahwinkan dan mengandung untuk membolehkan suami saya mendapat taraf penduduk tetap di Britain,” katanya.
Menurut Sameem, dia kembali ke Britain ketika sedang mengandung tujuh bulan dan melahirkan anak lelakinya pada usianya 14 tahun.
“Saya melarikan diri dari rumah sebaik sahaja saya disuruh membawa lelaki itu ke Britain ketika berumur 17 tahun. Dan saya tidak pernah lagi berjumpa dengannya selepas itu,” kata Sameem.
Pada 2011, kerajaan Britain melalui Unit Perkahwinan Paksa merekodkan 1,468 kes remaja bawah umur dipaksa berkahwin, dan 78 peratus daripada jumlah itu membabitkan wanita.
Namun, kerajaan Britain mengakui jumlah itu hanyalah permukaan dan tidak menggambarkan skala sebenar perkahwinan bawah umur kerana kebanyakan kes tidak dilaporkan. Kerajaan menganggarkan 5,000 hingga 8,000 kes perkahwinan paksaan di Britain setiap tahun.
Sameem berpendapat Peraturan Perlindungan Perkahwinan Paksa diperkenalkan pada 2008 di bawah Akta Perkahwinan Paksa (Perlindungan Awam) 2007 tidak boleh membantu mengatasi masalah ini.
“Saya tidak akan menghantar ibu saya ke penjara, walaupun dia memukul saya dengan teruk dan memaksa saya berkahwin,” kata Sameem.
“Undang-undang seperti ini tidak akan membantu kerana tidak ada anak yang akan menuding jari kepada ibu bapa sendiri,” katanya.
Ahli politik muda itu percaya isu perkahwinan paksa boleh ditangani hanya melalui pendidikan dan kesedaran.
Sebagai seorang yang dipaksa berkahwin muda, Sameem sanggup melakukan apa sahaja untuk mengelakkan kanak-kanak perempuan lain menjadi mangsa sama.
“Saya sanggup ke Pakistan dan menceritakan kisah saya kepada keluarga yang memaksa anak mereka berkahwin pada usia muda,” katanya dengan tegas. -DAWN
Permainan bertukar menjadi tragedi
Ketika zaman kanak-kanak, Sally as-Sabahi suka berlakon berkahwin dengan adik-beradiknya.
Sebagai kanak-kanak perempuan yang hidup susah di ibu negara Yaman, Sanaa, dia membayangkan baju pengantin yang cantik, alat solek dan majlis meriah membantunya melupakan kesusahan hidup dalam kemiskinan.
Jadi apabila ibunya menunjukkan gaun putih dan barang kemas kepadanya, Sally yang berumur 10 tahun bersetuju untuk berkahwin dengan lelaki dipilih ibu bapanya.
Lelaki bernama Nabil, 25, itu adalah saudaranya sendiri yang sebelum ini pernah berkahwin.
“Ayah dan mak memanggil saya keluar ke halaman rumah,” kata Sally yang menceritakan bagaimana dia akhirnya berkahwin dengan Nabil.
“Mereka beritahu saya supaya menarik nafas panjang dan bertanya sama ada saya ingin berkahwin. Saya jawab ya, tetapi adakah saya akan mendapat sehelai gaun, gula-gula, dan barang permainan?
“Mereka menjawab ya. Mereka berjanji akan memberikan apa sahaja kepada saya,” ceritanya.
Sally memenangi kes di mahkamah untuk bercerai dengan Nabil pada 2010 selepas kisahnya dilaporkan media tempatan dan mencetuskan debat di peringkat kebangsaan mengenai amalan perkahwinan pada usia muda.
“Saya tidak menggelarnya perkahwinan, saya menggelarnya rogol,” kata Shada Nasser, peguam wanita yang telah beberapa kali mengendalikan kes perkahwinan kanak-kanak perempuan bawah umur.
Pusat Kajian Wanita Antarabangsa mendapati hampir separuh daripada kanak-kanak perempuan di Yaman dikahwinkan sebelum umur mereka mencecah 18 tahun.
Kajian Universiti Sanaa mendapati di beberapa wilayah di negara itu, separuh daripada kanak-kanak perempuan dikahwinkan sebelum umur 15 tahun.
Sally masih ingat malam pertama perkahwinannya apabila Nabil memaksanya melakukan hubungan seks.
“Pada mulanya, saya rasa selamat. Sebab saya tidak tahu pun apa yang berlaku, jadi tentu saya tidak rasa takut. Tetapi kemudian saya berasa sakit dan darah mula keluar.
“Saya menangis dan menjerit. Saya benci diri saya sendiri. Sejak itu, saya melihat dia seperti bayang kematian,” cerita Sally.
Satu malam, apabila Sally enggan tidur dengan Nabil, ibu mertuanya mengikat kanak-kanak perempuan itu di katil.
Air mata ibu Sally, Nouria mula tumpah.
“Saya tidak pernah bercerita kepada Sally mengenai hubungan seks kerana saya malu. Saya sangka kakak saya (ibu Nabil) akan menjaga Sally seperti anak sendiri,” katanya.
Namun segala penderitaannya berakhir apabila dia memenangi kes penceraian pada 27 Mac 2010.
“Pagi itu saya rasa seolah-olah ada awan hitam di atas kepada saya, tetapi sekarang saya rasa sangat bebas,” katanya selepas menandatangani dokumen penceraian itu.
Apa pula kata Nabil?
“Semua lelaki perlu pertimbangkan umur, otak dan pastikan bakal isteri anda tidak gila,” katanya disambut gelak tawa sekumpulan lelaki yang berkumpul pada hari penceraiannya. “Saya datang ke rumahnya dan berkahwin dengannya. Saya tak rasa ia adalah satu masalah kerana saya tidak tahu umur sebenar Sally,” katanya. – Al Jazeera
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.