Bahana Cinta: Anak Dibunuh; Diri Dibelasah, Didera, & Dikurung
[HM] Ipoh: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dipukul hingga mati oleh teman lelaki ibunya sebelum mayat mangsa ditanam di kawasan hutan di Gunung Brinchang, Cameron Highlands.
Kejadian berlaku di Rawang, Selangor pada 2 Jun lalu, namun hanya terbongkar selepas ibu mangsa berjaya melarikan diri daripada kurungan teman lelakinya itu dan membuat laporan polis pada 18 Jun lalu.
Bekas suami wanita berusia 30-an itu yang juga bapa kandung mangsa turut membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah, Sabtu lalu, selepas dimaklumkan mengenai kejadian oleh ayah mentuanya.
Sumber polis berkata, mayat mangsa dipercayai disumbat ke dalam but kereta sebelum dibawa suspek sejauh lebih 200 kilometer dari Rawang untuk ditanam di Gunung Brinchang bagi mengelak kes berkenaan diketahui polis.
Menurutnya, siasatan awal mendapati ibu mangsa yang juga janda mempunyai dua anak lelaki berusia dua dan lima tahun, berkenalan dengan suspek berusia awal 40-an pada 2010.
“Wanita terbabit mendakwa suspek membawanya tinggal di sebuah hotel di Johor pada Mac lalu sebelum berpindah pula ke sebuah hotel di Rawang pada awal bulan lalu.
“Dalam laporan polis dibuatnya, wanita itu mendakwa dia kerap dipukul oleh suspek termasuk dengan menggunakan kayu, malah anak bongsunya (mangsa) juga kerap dipukul hingga muntah dan sakit lelah.
“Wanita itu pernah merayu supaya anaknya itu dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan, namun suspek enggan berikutan bimbang kesan lebam kecederaan akibat dipukul itu diketahui oleh doktor,” katanya.
Sumber itu berkata, pada malam 2 Jun lalu, wanita itu memberitahu dia tertidur akibat kepenatan dan meminta suspek menjaga mangsa.
“Kira-kira dua jam kemudian, suspek mengejutkan wanita dan memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia di atas sejadah.
“Wanita itu meminta suspek membawa mayat anaknya itu ke hospital, namun suspek enggan kerana takut ditangkap polis,” katanya.
Menurutnya, keesokan hari suspek membungkus mayat kanak-kanak itu dengan kain sebelum disumbatkan ke dalam but keretanya dan terus memandu menuju Gunung Brinchang dengan membawa bersama ibu dan abang mangsa berusia lima tahun.
“Sebaik sampai di satu kawasan sunyi di gunung itu, suspek dikatakan menggali lubang dan menanam mayat mangsa sebelum kembali semula ke hotel sewaan mereka di Rawang.
“Mereka terus menginap di hotel itu sebelum berpindah ke sebuah rumah sewa di Country Homes, Rawang, pada 6 Jun lalu,” katanya.
Sumber itu berkata, wanita terbabit memberitahu ketika tinggal di rumah sewa itu dia dan seorang lagi anaknya terus dipukul serta didera, selain tidak dibenarkan keluar rumah.
“Namun, wanita itu berjaya melarikan diri pada 18 Jun lalu ketika suspek tidak berada di rumah. Dengan bantuan orang awam mangsa membuat laporan mengenai kejadian dia didera dan kematian anak bongsunya di Balai Polis Rawang.
“Dia pulang ke kampungnya di Kedah dan memaklumkan kejadian yang berlaku kepada ibu bapanya,” katanya.
Menurutnya, bapa wanita itu kemudian memaklumkan kejadian kepada bekas suami mangsa yang juga menantunya sebelum satu lagi laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sabtu lalu.
“Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan daripada ibu kanak-kanak itu di Balai Polis Sungai Petani, Kedah,” katanya.
Jurucakap IPD Kuala Muda yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan dan siasatan kini diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor.
P/s: Adakalanya cinta itu buta dan menjadikan seseorang itu bodoh!
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.